Kuasa beli masyarakat Bumiputera dilihat cukup besar dan tertinggi dalam kalangan penduduk Malaysia iaitu mencecah lebih RM 109 bilion sebulan (Laporan Khas, Sinar Harian, 29 November 2023) dan tentunya,  sebahagian kuasa beli Bumiputera ialah BERBELANJA  di KK Mart, walaupun jumlahnya tidaklah semua.

KK Mart bukan kedai rangkaian serbaneka utama yang ada segala-galanya seperti pasar raya. Tetapi, jika dikira keseluruhan transaksi setiap hari, ia membuktikan secara kumulatifnya adalah cukup besar sehingga membantu meraih keuntungan sekitar RM 1,5 juta seminggu.

Ertinya, purata kuasa beli Bumiputera sehari adalah lebih RM 3.63 bilion atau purata hampir RM 152 juta setiap jam. Jika KK Mart boleh menarik satu peratus daripada kuasa beli Bumiputera setiap hari, ia membayangkan sejumlah RM 35 juta transaksi berlaku.

Jika setengah peratus sekali pun, ia berlangsung dalam jajaran RM 10 hingga RM 13 juta sehari, atau RM 11, 350 hingga RM 14,755 sehari purata setiap premis. Atau setiap premis purata menyumbangkan keuntungan sejumlah RM 1,702 kepada KK Mart setiap hari.

Dalam tafsiran yang lain, KK Mart meraih keuntungan sebanyak RM 150,000 sehari atau RM 52 juta setahun (RM 1 juta x 52 minggu). Lebih besar daripada kerugian yang dihadapi oleh Starbucks untuk tempoh suku keempat 2023 (RM 42 juta). Maka apabila ada tindakan #BoikotKKMart akan menyebabkan pengurusan atau pemilik kedai serbaneka itu terduduk.

Jadi bila Datuk Seri KK Chai menangis dan menyesal apa yang berlaku – kontroversi stoking berkalimah Allah – tidak dilihat sebagai penyesalan total dan tindakan yang boleh dimaafkan oleh sebahagian besar rakyat Malaysia, kecuali provokator yang melihat ia sebagai tindakan yang kurang wajar atas alasan tertentu.

Walaupun ada tekanan dan pandangan yang berbeza dengan apa yang dicadangkan oleh Dr Akmal Saleh, ia tidak menampakkan bahawa isu ini akan reda dengan cepat. Inilah dilemma yang dihadapi oleh mana-mana pengusaha kedai runcit atau kedai serbaneka atau mini market.

Jika mereka berjaya menarik minat belian dalam kalangan orang Melayu, mereka akan meraih keuntungan. Jika di sebaliknya, potensi untuk tutup kedai tetap ada, Ia menjadi faktor (pertimbangan) sebahagian besar rangkaian kedai serbaneka menjalankan perniagaan di kawasan-kawasan ramai orang Melayu.

Ertinya, benarlah pendapat yang mengatakan bahawa ‘orang Cina atau India boleh hidup dengan selesa dalam komuniti Melayu’ tetapi ‘Orang Melayu sukar hidup selesa dan tenang dalam kawasan majoriti penduduk bukan Melayu’. Mungkin ada factor lain, tetapi yang jelasnya bukan Melayu yang berniaga dalam “Kawasan Melayu” hampir kesemuanya memperoleh kejayaan berbanding orang Melayu yang berniaga di kawasan majoriti penduduk bukan Melayu.

Namun, dalam masa yang sama, rangkaian kedai sedemikian ‘kurang peka dengan sensitiviti masyarakat’ sehingga menyebabkan berlaku ketidakselesaan. Antara hal yang tidak disukai oleh orang Melayu ialah tiada pemisahan yang jelas antara produk halal dan produk tidak halal.

Kes ini telah berlaku di sebuah premis KK Mart di Johor sehingga menyebabkan premis tersebut diarah tutup. Kita mungkin teringat perihal tindakan salah seorang pemimpin PAS (Dr Hasan Ali, bekas Pesuruhjaya PAS Selangor dan EXCO kerajaan negeri, 13 Januari 2011) mengambil tindakan menyita beberapa botol minuman beralkohol yang dijual di sebuah premis kedai serbaneka dalam usahanya menghalang umat Islam terbabit dengan aktiviti yang diharamkan itu.

Oleh kerana ketika itu, PAS adalah sebahagian daripada gabungan Pakatan Rakyat, keputusan yang dibuat parti yang mendakwa ‘memperjuang peraturan syariah, negara Islam dan kemaslahatan umat Islam’ akhirnya membuat keputusan tidak selaras dengan ideologi politiknya.

Dr Hasan Ali digugurkan daripada jawatan EXCO Selangor, dipecat sebagai Pesuruhjaya PAS Selangor (Jun 2011); dipecat sebagai ahli PAS (Januari 2012) dan pada PRU ke-13, digugurkan sebagai calon parti.

Dr Hasan Ali kemudiannya menubuhkan sebuah NGO dan idealisme politiknya berjaya dikembirikan oleh PAS. Namun, beliau akan tetap dikenang sebagai seorang yang berani mengambil tindakan sekiranya ada hubungkait dengan akidah umat Islam.

Antara lain yang dicadang dan disuarakan oleh bekas pemimpin PAS itu ialah bantahan kehadiran orang Islam dalam Malam Thanksgiving di sebuah gereja di Damansara (3 Ogos 2011), ‘melarang’ orang Islam bekerja di premis kelab hiburan atau rumah hiburan yang bertentangan dengan akidah Islam (Januari 2011), yakni yang membabitkan hidangan minuman beralkohol, juga di premis-premis yang membabitkan aktiviti maksiat dan judi, yang menjadi tumpuan pelancong; dan mengehadkan masa operasi kelab-kelab malam;  dan membantah kedai serbaneka menjual minuman beralkohol.

                                                                                                      ******

Sehingga kini (selepas dua minggu, 28 Mac 2024) kontroversi penjualan stoking berkalimah Allah di premis KK Mart mengundang pelbagai tindakan sampingan yang jika tidak dapat dikawal boleh membawa kepada konflik yang lebih besar.

Menurut Pengarah Jabatan  Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Suhaily Mohd Zain, “ketika ini keadaan agak panas dan isu stoking yang mengundang kemarahan sesetengah pihak boleh menjadi pemangkin kepada krisis yang lebih buruk. (KiniTV, 27 Mac 2024)

Beliau turut menyokong gesaan yang dibuat oleh Khairy Jamaludin, bekas Ketua Pergerakan UMNO dan juga bekas menteri, semua pihak sepatutnya tidak lagi memanaskan keadaan, ia sudah cukup kerana pihak berkuasa sudah pun menjalankan tanggungjawab mereka, KK Mart dan syarikat pembekal stoking didakwa, kerajaan sudah pun memberikan perhatian dan meminta agar kes tersebut dikenakan tindakan yang tegas terhadap mereka yang bersalah.

Mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang terbabit adalah arahan yang cukup jelas dititahkan oleh Yang di Pertuan Agong dan juga keputusan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berhubung dengan kes tersebut. Ia bukan bermakna, arahan tersebut membawa kepada tafsiran yang lain, termasuk cakap-cakap yang cuba mentafsirkan kerajaan sebenarnya cukup tertekan dengan aspirasi taikun atau kehendak oligarki.

Ini kerana, kerajaan sekarang sedang berusaha untuk meningkatkan kemasukan pelaburan asing bagi menjadikan ekonomi Malaysia melonjak atau sekurang-kurangnya kembali kepada prestasi sebelum berlakunya perubahan kerajaan pada selepas PRU ke-14 (2018), yang meyaksikan penguncupan pertumbuhan, penurunan nilai mata wang, penutupan dan perpindahan operasi syarikat-syarikat multinasional dan juga pemulihan selepas pandemik COVID-19 yang panjang.

Jika isu stoking membawa kepada pergeseran yang lebih besar, termasuk boleh disifatkan seperti ‘konflik atau pergaduhan kaum’, ia boleh menyebabkan usaha pemulihan ekonomi akan menjadi sesuatu yang sukar.

Kata Datuk Suhaily, kita tidak mahu ‘another Kg Medan’ berlaku, walaupun asalnya bukan bersifat perkauman tetapi oleh kerana membabitkan dua kaum – Melayu dan Cina – ia boleh atau mungkin berlaku. Rusuhan Kg Medan merupakan konflik antara Melayu dan India. Tragedi itu berlaku pada 4 hingga 13 Mac 2001.

Tragedi ini turut merebak ke beberapa kampung berhampiran, Kampung Ghandi, Kampung Lindungan, Taman Datuk Harun, Taman Desa Ria dan sekitar Jalan Kelang Lama. Tempiasnya turut dirasakan di Jalan Gasing, Kelana Jaya, Sungai Way, Bandar Sunway dan Puchong.

Kontroversi stoking telah mengakibatkan Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Salleh dikecam oleh pihak yang tidak bersetuju dengan tindakan meneruskan boikot sehingga KK Mart ‘gulung tikar’ dan menerima ugutan bunuh (ditembak mati) oleh seorang pekerja bengkel di Melaka.

Suspek (warga emas berusia 68 tahun) itu telah ditahan oleh pihak berkuasa di Kandang, Melaka. Suspek mengusahakan kerja-kerja membaiki kenderaan di sebuah pondok yang didirikan bersebelahan dengan rumahnya di Bukit Duyong. Dia disiasat di bawah Akta Kanun Kesiksaan, Seksyen 506 kerana melakukan jenayah ugutan. (Malaysia Gazette, 26 Mac 2024).

Firdaus Wong Wai Hung, pendakwah bebas mualaf yang merupakan orang pertama mendedahkan sepasang stoking yang ditemuinya di KK Mart Bandar Sunway (13 Mac 2024), membuat enam laporan polis di Balai Polis Wangsa Maju berhubung ancaman bunuh yang diterimanya dan ahli keluarga. Ia membabitkan lima atau lebih individu, termasuk ugutan pukul.

Kata Firdaus menerusi facebooknya: ugut dan fitnahlah saya macam mana pun, sesekali saya tidak pernah gentar dan akan meneruskan dakwah saya. Saya sering nasihatkan sahabat jangan bertindak di luar batasan agama dan undang-undang, so let me talk walk the talk as well dengan biarkan pihak berkuasa  untuk ambil tindakan terhadap mereka semua.menerima ancaman bunuh ekoran kontroversi tersebut. “ (Malaysia Gazette, 28 Mac 2024).

Seperti kata Khairy dalam podcastnya, Keluar Sekejap: Enough is enough.  Setiap orang atau pihak perlu ‘step-down’. Hormatilah proses undang-undang dan tidak lagi ‘membakar emosi’. Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh pula dilihat sedikit kendur walaupun tidak lagi mengeluarkan kenyataan keras atau dalam istilah Rafidah Aziz, terus menjadi ‘kaki bakar’.

SPBYDA turut meminta agar seluruh rakyat hentikan kontroversi stoking kalimah Allah kerana isu itu sedang ditangani menerusi proses perundangan: Saya telah menitahkan untuk tindakan diambil mengikut lunas undang-undang, maka tidak perlu lagi untuk mana-mana pihak terus mengapi-apikan kemarahan secara berterusan.” (Sinar Harian, 27 Mac 2024).

Ekoran komen-komen yang jelek mengenai Islam dalam tempoh kontroversi stoking berkalimah Allah, seorang lelaki dari Cheras, Selangor , Chiok Wai Loong telah dijatuhkan hukuman penjara selama 6 bulan dan denda RM 12,000 oleh Mahkamah Sesyen, atas kesalahan perolok isu stoking kalimah Allah yang dilakukannya menerusi media sosial.

Komen lelaki berusia 35 tahun itu, stoking yang tertera perkataan “Allah” harus dialu-alukan  kerana ia bermakna orang yang memakainya mendapat perlindungan Allah “dari kepala sampai ke kaki”.

Komen tersebut telah mendorong warga maya mendedah dan mengedarkan butiran peribadinya, termasuk nombor telefon dan alamat rumahnya. Lelaki itu kemudian ditemui oleh sekumpulan lelaki Melayu yang dipercayai kumpulan silat.

Pertemuan dan pengakuan lelaki Cina berusia 35 tahun itu dirakamkan manakala videonya ‘meminta maaf’ ditularkan oleh Panglima Aduka, ketua kumpulan silat yang menemuinya, (Malaysiakini, 21 Mac 2024).

Dalam hujahnya untuk diringankan hukuman, Chiong berkata: Kami orang Cina ada rantai kaki dan tangan serta tatu Tuhan di pelbagai bahagian badan, ingat hanya kecil punya hal, saya tidak tah perkataan ini boleh jadi menghina.” Pihak polis telah menerima 24 laporan mengenai isu ini.

Timbalan Pendakwa Raya, Datin Kalmizah Salleh memohon agar hukuman berat, setimpal dan menjadi pengajaran kepada masyarakat berkata: “ini menunjukkan keseriusan hantaran yang dibuat bersifat sensitif kepada penganut Islam”.(Berita Harian, 22 Mac 2024)

Sebelum itu (20 Mac 2024), seorang lelaki berusia 33 tahun, Ricky Shane Cagampang mengaku bersalah memuat naik komen berbaur penghinaan terhadap kalimah Allah di akaun facebook miliknya dijatuhkan hukum penjara 6 bulan dan denda RM 15,000 oleh Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu. Jika gagal membayar denda, tertuduh akan dikenakan penjara empat bulan. Ricky Shane didakwa mengikut Sekyen 233 (1) Akta Komunikasi dan Multimedia. Ricky didakwa melakukan kesalahan itu pada 17 Mac 2024.

Ricky yang berasal dari Tawau, Sabah merupakan seorang mualaf setelah memeluk Islam pada bulan Mac 2021. Ricky menjelaskan, tidak menyangka bahawa komennya terhadap laman facebook New Straits Times (NST) boleh menyebabkan kesan yang serius sehingga didakwa.

Walaupun komen itu sihapuskan selepas dibuat dua atau tiga minit, kata Ricky “kecuaian tindakan saya membuat komen seperti itu dan memuat naik adalah sesuatu yang tidak terfikir dan ia betul-betul berdasarkan emosi saya ketika memberikan maklum balas kepada komen dan hantaran yang lain. Saya memohon maaf dengan ikhlas sebanyak-banyaknya kepada semua yang terkesan oleh hantaran dan komen saya di FB berkaitan dengan agama Islam.” (Harian Metro, 21 Mac 2024)

Komen tersebut telah mendorong warga maya mendedah dan mengedarkan butiran peribadinya, termasuk nombor telefon dan alamat rumahnya. Lelaki itu kemudian ditemui oleh sekumpulan lelaki Melayu yang dipercayai kumpulan silat. Pertemuan dan pengakuan lelaki Cina berusia 35 tahun itu dirakamkan manakala videonya ‘meminta maaf’ ditularkan oleh Panglima Aduka, ketua kumpulan silat yang menemuinya, (Malaysiakini, 21 Mac 2024).

Dalam perkembangan yang lain, seorang aktivis berketurunan India, yang sudah lama melarikan diri dan dikesan berada di Jerman, Ganesparan Nadaraja yang tidak pulang ke Malaysia sejak tahun 2017/2018 disarankan oleh seorang pemimpin MIC, R Thinalan agar dilucutkan kerakyatannya kerana menyentuh perihal sensitiviti agama, raja dan politik; biadap kepada negara dan institusi negara.

Pihak polis sebenarnya pernah memohon agar Ganesparan dipulangkan ke Malaysia menerusi kerjasama antarabangsa, tetapi disebabkan beberapa tafsiran termasuk pesalah politik tidak dianggap termasuk dalam kategori kriteria ekstradisi, maka permohonan tersebut perlu dibuat dengan alasan dan dokumen seperti menepati kriteria yang ditetapkan. Proses itu sedang dikemukakan semula.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Suhaily sejak tahun 2018 sehinggalah 28 Mac 2024, Ganesparan  telah keluar negara dan telah  dikesan  tidak kembali ke dalam negara. Pada tahun 2021, pertuduhan secara absentia telah dibuat berhubung dakwaan penghinaan terhadap Yang di Pertuan Agung dan Perdana Menteri (Ismail Sabry Yaacob).

Semalam (28 Mac 2024), tambah Datuk Suhaily dalam klip video sidang medianya menjelaskan, sejak itu pihak polis telah membuka 22 kertas siasatan terhadap Ganesparan Kini, sebanyak dua lagi kertas siasatan yang dibuat berhubung dua video terbaharu yang menyentuh isu 3R itu ditular beberapa hari lalu. Ianya dipercayai dirakam dan ditular dari luar negara. (https://youtube/9rLLKMMK16A?si=aMf8J8YyfD_1Fk)J).

Selain itu, ekoran kontroversi stoking berkalimah Allah turut mengundang pelbagai reaksi masyarakat awam yang boleh dirumuskan dalam bentuk persimpangan, sama ada memboikot atau tidak memboikot. Jika KK Mart merupakan satu-satunya kedai serbaneka yang ada, ia agak sukar untuk diteruskan boikot kerana keberadaannya sangat membantu.

Tetapi, jika terdapat banyak pilihan – ada 99 Speedmart, 7 Eleven, Hari-Hari, Family Mart, MyNews, L&M dan pasar raya NSK, EconSave, Mydin, MyMart, Lotus, AEON, Giant dan sebagainya, ia mungkin boleh berlaku untuk tempoh yang lama.

Sejak kontroversi itu meletus, sekurang-kurangnya KK Mart sudah terdedah dengan etika perniagaannya, apa sahaja boleh asal membawa untung. Ia jelas apabila salah satu premis perniagaannya tidak mengasingkan produk halal dan haram (Jementah, Segamat), yang kemudiannya diarah tutup  oleh Majlis Perbandaran Segamat (MPS) susulan pemeriksaan dilakukan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Agama Islam Segamat dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDNK).

Ertinya, siapa atau premis atau organisasi manapun perlu elak daripada kontroversi. Ini kerana bila kontroversi terhadapnya timbul, lebih banyak hal yang dilihat tidak beretika, menyalahi peraturan dan mungkin janggal akan terbongkar, walaupun ‘niatnya baik’. Itulah sebabnya peribahasa Melayu cukup tegar memberi nasihat agar sentiasa beringat-ingat sebelum membuat sesuatu.

Bahkan ada pepatah Cina mengatakan: Orang yang berbuat baik meski rezeki belum datang bahaya sudah menjauhinya, tetapi orang yang berbuat jahat walau bahaya belum datang rezeki sudah menjauhinya.”

Sepatutnya inilah yang menjadi prinsip dalam setiap aktiviti dan tindakan jika hidup mahu selamat dan tidak dibenci orang. Walaupun KK Mart tidak mengeluarkan stoking berkalimah Allah, akibat ‘tersilap pandang’ itu telah menjadikan ia bersubahat menghina Islam.

Pada pandangan umat Islam, mereka yang bersubahat adalah dilaknat dan menurut Dr Zulkifly Mohamad al-Bakry, bekas Mufti Wilayah Persekutuan dan Menteri Hal Ehwal Agama era Perikatan Nasional. Sesiapa yang terlibat dengan sesuatu dosa seperti rasuah, sama ada menjadi bersubahat, menjadi perantara, maka hukumnya haram sebagaimana perbuatan tersebut yang membantu kearah dosa tersebut.” Ini bermakna, mereka yang bersubahat, hukumnya adalah sama beratnya dengan pelaku jenayah itu sendiri. ((mStaronline, 28 Januari 2022).

Jadi, istilah ‘terlepas pandang’ bukanlah alasan untuk menafikan kesalahan terbabit. KK Mart perlu mengambil tanggungjawab penuh kerana setiap produk yang memasuki premisnya perlu diperiksa sebelum dijual. Setiapnya perlu dilihat bukan sahaja daripada perspektif kualiti, spesikasi semata-mata, tetapi perlu menilai menurut perspektif sosiobudaya masyarakat yang menjadi pelanggannya. Jika terdapat ‘kesamaran’, KK Mart perlu menahan produk tersebut sebelum diedarkan dan memanggil kumpulan pakar untuk menilainya.

Nampaknya, dalam kes kontroversi tersebut, KK Mart mengambil sikap sambil lewa, dan hanya bersungguh-sungguh membuat pemeriksaan selepas berlakunya kontroversi. Sebab itulah tindakannya menggunakan influencer, seperti mengundang Caprice bagi menggambarkan kes tersebut sebagai kecil tidak berkesan,

Sebaliknya, ramai yang mempersoalkan latar belakang Caprice itu sendiri yang pernah kontroversi mengenai misi kemanusiaan ke Gaza dan tidak mewakili pihak berkuasa agama. Usaha menjadikan dirinya sebagai selebriti dan pempengaruh dalam kontroversi stoking berkalimah Allah gagal total.

(Bersambung)

MONOSIN SOBRI

Translate »