Dalam kalangan orang Melayu-Islam, Ramasamy telah menimbulkan ‘rasa benci’ oleh beberapa tindakannya yang dilihat mencabar ‘ketuanan Melayu’. Ramasamy pernah mengecam pendakwah bebas Dr Zakir Naik yang diberikan taraf ‘penduduk tetap’ oleh kerajaan Malaysia dan mendesak agar diekstradisi ke negara asalnya, India kerana didakwa ‘menyeru keganasan’ dan ‘membiayai keganasan’.

Namun, pendirian kerajaan Malaysia tidak berganjak dan menyebabkan Ramasamy terus melakukan desakan dan fitnah. Akhirnya, Dr Zakir menyaman Ramasamy, dan terpaksa membayar ganti rugi sebanyak RM 1.52 juta. Ramasamy akhirnya terpaksa memohon rakyat Malaysia menyumbangkan dana untuk membayar denda tersebut.

Di tengah-tengah rancaknya kempen, muncul pula suatu tindakan untuk menuntut kerajaan mencari penyelesaian kes kematian mengejut Teoh Beng Hock (16 Julai 2009) di Ibu Pejabat SPRM Selangor. Ketika itu, Teoh Beng Hock, bekas seorang wartawan adalah pegawai khas kepada Ean Hong Hian Wah, EXCO Kerajaan Negeri Selangor.

Sehari sebelum itu, seorang lelaki berusia 66 tahun, P Ramasamy ditangkap (4 Mei 2024) ditangkap kerana mempamerkan gambar Yang di Pertuan Agong dalam kempennya di PRK KKB. P Ramasamy (bukan bekas Timbalan Ketua Menteri II, Pulau Pinang) yang didakwa semalam (6 Mei 2024) mengaku bersalah. Beliau dijatuhkan hukuman penjara sebulan dan denda RM 3,000 oleh Mahkamah Majisteret KKB.

Ramasamy melakukan tindakan itu sebagai sokongannya kepada calon PH. Beliau memandu pacuan empat roda yang dipenuhi dengan bendera dan membawa sepanduk PH. Tujuannya ialah mendorong para pengundi memilih calon PH. (Harian Metro, 6 Mei 2024).

Teoh merupakan salah seorang saksi penting dalam siasatan salah guna peruntukan negeri Selangor semasa Pakatan Rakyat memerintah. Pakatan Rakyat yang memerintah Selangor adalah gabungan tiga parti utama, iaitu PKR, DAP dan PAS. Pakatan tersebut memenangi kerusi terbanyak di Selangor.

PRU ke-12 (8 Mac 2008) menjadi permulaan kemerosotan pengaruh BN. Pada pertandingan yang diadakan pada BN kehilangan tampuk kuasa di Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Perak manakala di Kelantan kekal diterajui oleh PAS. BN juga hilang majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat di mana pakatan pembangkang berjaya menafikannya dengan memenangi 81 daripada 222 kerusi yang dipertandingkan.

Akibat ‘kehilangan majoriti dua pertiga’ pergeseran politik tanah air cukup panjang sehinggalah memaksa Tun Abdullah Ahmad Badawi meletakkan jawatan setahun kemudian (April 2009).

Sebelumnya, muncul pelbagai percubaan mempersoalkan kesahihan keputusan PRU dengan pelbagai bentuk serangan termasuk dakwaan berlakunya ‘black-out’ semasa pengiraan undi, pembabitan Najib Tun Razak dalam ‘rampasan kuasa di Perak (Februari 2009), percubaan Anwar untuk ke Putrajaya (PRK Permatang Pauh pada 26 Ogos 2008), penerokaan kaedah menjatuhkan kerajaan dengan ‘menarik dan membeli’ wakil rakyat BN dan menyerang Najib dengan kematian seorang model daripada Mongolia, Altantuya Saariibuugiin (18 Oktober 2006).

Dalam memperjuangkan ‘keadilan untuk Beng Hock’, DAP berada di belakang tuntutan tersebut. Inkues terhadap kematian tragik itu bagaimanapun tidak menghasilkan keputusan yang dapat diterima ‘siapakah’ dan ‘faktor’ yang menyebabkan Teoh Beng Hock terjatuh daripada lantai keempat Plaza Masalam itu.

Setelah sepuluh tahun berlalu (16 Julai 2006 hingga Julai 2016), misteri punca kematian Teoh Beng Hock masih belum terjawab walaupun SPRM menunjukkan sekeping ‘nota bunuh diri’ walaupun diadakan inkues, penubuhan siasaran diraja (RCI), dan perbicaraan di mahkamah.

Kini, setelah PH menjadi peneraju dalam ‘kerajaan perpaduan’, kes Teoh Beng Hock mula diperkatakan semula dalam PRK KKB. Telah tertubuh satu persatuan yang dinamakan Persatuan Teoh Beng Hock untuk Kemajuan Demokrasi dan dalam PRK KKB mereka telah menganjurkan kempen mencari “PM Hilang” kerana tidak mahu bertemu dengan mereka. Jadi, mereka mencari PM di KKB.

Pengerusinya, Ng Yap Hwa akhirnya disiasat oleh pihak polis atas dakwaan “menghina dengan sengaja, dengan niat untuk membangkitkan pecah keamanan berikutan kempen “Cari Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang hilang”. Kempen itu dilancarkan pada 5 Mei 2024, dan Ng diminta hadir ke Balai Polis Kuala Kubu Bahru keesokannya (6 Mei 2024).

Salah seorang aktivis Persatuan Teoh Beng Hock, Wong Yan Ke menyifatkan “polis menganggap kempen itu menyalahi undang-undang dan menuntut agar poster-poster oleh persatuan itu diturunkan.”

Menurut Zaid Ibrahim, bekas ahli UMNO yang telah melompat ke PKR (2009-2010), menerajui Parti Kesejahteran Insan Tanah Air (KITA) antara 2010 hingga 2012 dan  menyertai DAP selama tiga tahun (2017-2020): “(Kes) kematian tragis Teoh Beng Hock tidak pernah diselesaikan. Walaupun begitu banyak siasatan dan inkues dijalankan, tiada jawapan yang jelas (diperoleh). Semestinya keluarga dan rakan-rakan Teoh Beng Hock tidak puas hati. Masyarakat awan juga (tidak puas hati).” (Free Malaysia Today, 6 Mei 2024).

Sebenarnya, kita cukup melihat kegigihan sahabat dan ahli keluarga Teoh Beng Hock dalam mencari sebab yang menjadikan seorang lelaki meninggalkan kekasihnya yang sedang hamil mati secara tragik. Mereka turut menghantar surat kepada Perdana Menteri bulan Disember lalu, menelurkan ‘rasa tidak puas hati’ kerana tiada siapa yang dipersalahkan dalam kes tersebut.

Akhirnya mereka bersedia melancarkan kempen mencari “PM yang Hilang” di KKB, kerana yakin dapat menyampaikan mesej dan juga boleh bertemu dengan PM. Ini kerana, PM mungkin akan turun padang membantu calon yang mewakili PH, yakni DAP mempertahankan kubu yang dimenangi sejak PRU ke-13 (2013).

Jika tuntutan itu diterima dan dilakukan semula siasatan, ia akan membuka lebih banyak pencarian ke atas beberapa kes yang belum selesai (baca ada jawapan yang jelas siapakah pelaku). Antara yang dinantikan oleh sebahagian besar orang Melayu ialah Keadilan Untuk Adib, wira pasukan bomba yang cedera parah ketika insiden di sebuah kuil di Subang Jaya pada tahun 2018.

Adib meninggal dunia pada 17 Disember 2018 selepas beberapa minggu bertarung nyawa akibat kecederaan dalaman yang serius pada malam kejadian tersebut (26-27 November 2018). Siapakah yang menyebabkan Adib cedera parah masih belum terjawab walaupun telah diadakan inkues dan juga siasatan. Masyarakat masih mengharapkan ‘Keadilan Untuk Adib’ sebagaimana perjuangan ‘Keadilan Untuk Beng Hock’.

Garis merah ini akan terus menjadi isu yang besar apatah lagi DAP dilihat cukup serius pada awalnya untuk mencari ‘Keadilan Untuk Beng Hock’ tetapi menyepi tatkala masyarakat awam perjuangkan “Keadilan Untuk Adib”. Setelah DAP berada dalam kerajaan, sekumpulan aktivis yang berjuang untuk mencari siapa bertanggungjawab di atas kematian Beng Hock mengambil alih perjuangan itu kerana DAP dilihat semakin ‘melupakan mandat’ tersebut yang telah berjaya melonjakkan sokongan pengundi bukan Melayu sejak PRU ke-12.

Pertukaran rejim kepimpinan pusat DAP juga turut memberikan sedikit sebanyak kesan sokongan pengundi bukan Melayu walaupun dalam beberapa pilihan raya prestasinya dilihat cukup melonjak. Biarpun DAP dibawah kepimpinan Anthony Loke mampu menjadikan DAP lebih baik prestasinya, kepimpinan beliau semakin dipersoalkan atas pendirian yang dianggap liberal dan banyak bertolak ansur.

Namun, bagi kebanyakan pengundi Melayu, pendirian liberal dan tolak ansur Anthony Loke itu tidak akan menguntungkan orang Melayu untuk jangka masa panjang. Anthony bijak menyusun strategi dan merancang untuk melonjakkan DAP agar pada suatu ketika akan menjadi sebuah parti yang dominan. Inilah yang membentuk dilema politik dalam kalangan parti-parti Melayu dan juga parti pelbagai kaum yang ditunjangi oleh politikus Melayu.

Sayangnya, semakin merasakan ada persaingan yang besar, parti-parti politik Melayu semakin berpecah. Hal yang sama turut berlaku dalam kalangan parti-parti yang mewakili orang India. Selepas PRU ke-15, muncul dua serpihan parti yang mewakili masyarakat India, iaitu MPIP dan URIMAI. Sebelumnya, sudah ada antaranya Parti Makkal Sakti, MIUP (Malaysian Indian United Party), Kongres Keadilan India Malaysia (KKIM), Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN) dan KIMMA (The Malaysian Indian Muslim Congress). Asalnya, hanya ada sebuah parti yang mewakili masyarakat India, iaitu MIC (Malaysian Indian Congress).

Begitu juga dengan parti-parti Melayu. Daripada dua parti yang dominan selepas mencapai kemerdekaan, iaitu UMNO dan PAS, kini muncul serpihan-serpihan yang cukup banyak. Antaranya, Berjasa, Hamim, Ikatan, Parti Amanah Negara (Amanah), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pejuang, Putra, MUDA dan Parti Kuasa Rakyat (PKR). Sebahagian parti-parti ini mula mengadopsi keperluan menerima bukan Melayu sebagai sayap politiknya yang terbaharu seperti PAS menubuhkan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP).

Namun, yang menarik ialah adanya usaha untuk membentuk gabungan parti-parti politik agar tidak dilihat bersifat perkauman ekoran perpecahan yang berlaku. Asalnya, gabungan parti-parti politik itu dimulakan oleh Perikatan dan kemudian ditubuhkan Barisan Nasional (1974). Selepas PRU ke-14, BN hanya tinggal tiga parti utama yang membentuk Perikatan pada tahun 1955, iaitu UMNO, MCA dan MIC.

Namun, dalam PRK KKB berlaku sedikit pergeseran antara UMNO dan MCA disebabkan ada ‘dendam’ antara MCA dan DAP yang tidak boleh ditoleransi.  Itulah sebabnya MCA tidak turun membantu berkempen bagi memenangkan calon DAP walaupun BN berada dalam Kerajaan Perpaduan.

Gabungan kedua terbesar ialah PH, yang awalnya ditubuhkan untuk menumbangkan penguasaan BN dengan gabungan PKR, DAP dan PAS dalam Pakatan Rakyat. Selepas Pakatan Rakyat berpecah, ditubuhkan Pakatan Harapan (PH) yang akhirnya berjaya menumbangkan BN pada PRU ke-14 (2018). Namun, penguasaan PH tidak sampai sepenggal, ia ditumbangkan dari dalam dengan sokongan BN dan PAS (Muafakat Nasional). Atas kejayaan itu, muncul sebuah lagi gabungan yang mengandungi tiga buah parti, iaitu Bersatu, PAS dan Gerakan. Gabungan ini dinamakan sebagai Perikatan Nasional (PN).

Selepas PRU ke-15, terbentuk pula kerjasama politik antara PH, BN, GPS dan GRS untuk membentuk Kerajaan Perpaduan, yang ketika itu tidak ada mana-mana parti politik atau gabungan yang melepasi majoriti mudah. Kerajaan Perpaduan dibentuk menerusi cadangan Yang di Pertuan Agong bagi menyelesaikan masalah ‘Parlimen Tergantung’. PN menolak untuk bekerjasama dan bertekad untuk kekal sebagai gabungan pembangkang.

Atas sebab itulah PN dilihat sebagai cabaran atau saingan terbesar Kerajaan Perpaduan. PN, terutamanya PAS mempunyai sokongan akar umbi yang lebih baik berbanding UMNO yang beberapa ketika menjadi parti dominan dan sedang menguasai empat buah negeri – Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis. PH pula menguasai tiga buah negeri – Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan. BN menguasai empat buah negeri – Pahang, Melaka, Johor dan Perak. Namun, kekuatan BN di Perak dan Pahang bergantung kepada kerjasama dengan PH dalam Kerajaan Perpaduan.

Di Sabah dan Sarawak, kekuatan gabungan cukup menarik berbanding kekuatan gabungan di Semenanjung. GPS – Gabungan Parti-parti Sarawak menguasai lebih dua pertiga Dewan Undangan Negeri Sarawak. Di Sabah, walaupun GRS – Gabungan Rakyat Sabah – menguasai DUN, ia tidak membuktikan secara jelas keupayaannya kerana ia dibentuk selepas berlakunya kemelut politik – perpecahan dalam Parti Warisan, Perikatan Nasional dan BN. GRS mungkin akan diuji dalam PRN Sabah yang akan berlangsung pada tahun ini atau awal tahun 2025.

Sedikit sebanyak senario politik Semenanjung, walaupun tidak banyak kesannya ke atas Sabah dan Sarawak, ia cukup memberikan pengalaman berguna ahli politik dari Borneo untuk melihat ke dalam parti masing-masing bagi mengelakkan perpecahan. Oleh kerana itu, setiap kali berlakunya PRK di Semenanjung, perhatian dan indikasinya akan tetap menjadi bahan perbincangan yang menarik, walaupun keadaan politik di Sarawak dilihat cukup stabil dan pengaruh GPS semakin mengukuh.

Garis merah yang sedang diperkatakan dan dipertimbangkan langkah penyelesaian strategic dalam kempen akhir PRK KKB bakal menentukan siapakah pemenangnya. Berasaskan pemerhatian setelah sepuluh hari berkempen, bayang-bayang kemenangan calon PH semakin jelas walaupun PAS sudah mengetuk tukul menghukum ‘penyokong sendiri haram jika tidak keluar mengundi’ tidak bermakna calon Bersatu boleh menarik nafas lega.

Secara konservatif, DAP mampu mempertahankan kubunya di KKB. Sokongan kuat daripada kerajaan pusat dan negeri menjadi faktor utama, sekurang-kurangnya sebahagian besar pengundi India boleh menarik nafas lega bila diumumkan bahawa perumahan pekerja di tiga buah ladang akan segera dibina. Pengundi Melayu sebahagian besarnya lebih mempercayai kemampuan kerajaan untuk menangani masalah yang mereka hadapi berbanding PN yang hanya mampu ‘berjanji’ kerana kuasa dan keupayaan tidak dimiliki.

Walaupun Muhyiddin menjelaskan bahawa kemenangan dalam PRK KKB sebagai permulaan menawan Selangor, ia dijangka tidak akan berupaya melakukannya kerana Bersatu sedang berhadapan pelbagai masalah, termasuk kemelut kepimpinan dan integriti beberapa orang pemimpin tertingginya. Hanya mengharapkan dokongan kuat PAS, namun sebahagian pengundi PAS ‘merajuk’ kerana calon mereka tidak ditawarkan peluang bertanding dalam PRK KKB.

Apa pun, keputusan sebenar akan ditentukan oleh ketentuan pengundi KKB seramai 40,226 di mana pengundi awal sudah pun membuat pilihan mereka, yang juga masih belum dikira kecenderungannya. Semuanya akan ditentukan pada 11 Mei nanti, hari penentuan sama ada kubu kekal menjadi milik PH-BN (khususnya DAP) atau di sebaliknya.

MAHANOR SALEHA  

Translate »