Kosmo, 16 November 2020: KLANG – Rumah tangga yang dibina selama 40 tahun antara seorang pesara swasta bersama isterinya musnah begitu sahaja apabila dia ‘ditinggalkan’ wanita berkenaan hanya kerana badannya berbau busuk selain kuat berdengkur ketika tidur. Perceraian akibat alasan remeh itu berlaku ke atas lelaki warga emas dikenali Husin (bukan nama sebenar) ketika usia­nya sudah menjangkau 71 tahun. Menurut datuk kepada 18 cucu itu, perkahwinannya yang dibina bersama wanita berusia 62 tahun berkenaan berakhir sejak dua tahun lalu

Kosmo, 15 November 2020 : KOTA BHARU – Bertemu semula dengan kekasih lama dan tidak boleh menerima keadaan pasangan menghidap penyakit kronik menjadi antara punca kes penceraian dalam kalangan warga emas di negeri ini meningkat. Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheaik), Datuk Che Mohd Rahim Jusoh berkata, kes perceraian melibatkan warga emas juga kebanyakannya berpunca daripada penggunaan media sosial. Menurut beliau, punca itu menyebabkan mereka lupa tanggungjawab masing-masing sehingga akhirnya berlaku perpisahan ketika usia menginjak senja.

Tahun 2016, terdapat 2,245 kes penceraian di Terengganu. Saya tidak terkejut dengan perkembangan itu walaupun angkanya agak mencemaskan dengan purata penceraian mencecah 200 kes setiap bulan. Pada suatu ketika, saya pernah menyertai program untuk ibu tunggal di Terengganu, bukan atas alasan ‘menggatal’ tetapi dijemput dalam satu majlis perasmian, hanya sekadar meramaikan jemputan agar Menteri Besar tersenyum. Ya! Orang politik akan berucap dengan semangat bila khalayaknya besar, syehnya naik.

Penceraian di usia emas bukan tidak pernah berlaku sebelum ini. Tetapi akibat peningkatannya, ia seolah-olah membawa kita kepada satu petunjuk, kalau dahulunya, ramai yang bercakap pasangan yang berusia kurang lima tahun perkahwinan mereka bercerai kerana masalah ‘indah khabar dari rupa’ dalam dunia perkahwinan.

Pasangan kurang lima tahun berkahwin, bercerai kerana salah seorang kecewa dengan perkara-perkara yang remeh-temeh, termasuk bau ketiak keterlaluan, suka makan dalam kereta, isteri suka berleter dan sebagainya. Isu besar ialah masalah kewangan tetapi yang lebih dominan ialah ‘tidak ada persefahaman’, yang boleh diterjemahkan sebagai masalah komunikasi.

Saya pernah menulis sebuah artikel panjang mengenai penceraian ketika usia emas, yang turut melanda Jepun dan Korea Selatan. Jepun terkenal dengan sebuah negara yang mempunyai warga emas teramai, iaitu sekitar 27.3 peratus daripada jumlah penduduk,

Akibat penceraian di usia tua, fenomena ‘hidup sepi, mati sendiri –(kodokushi)’ makin meningkat dalam masyarakat Jepun.  Tahun 2017 warga emas membentuk 28 peratus daripada keseluruhan populasi. Bagi mengatasi kesepian, Jepun membenarkan warga emas bekerja sehingga memasuki usia 80 tahun,  kecuali mereka yang berhadapan dengan masalah kesihatan. Mereka yang berumur  70 tahun ke atas merupakan 20.7 peratus daripada jumlah penduduk.

Jepun juga mengalami peningkatan kadar penceraian. Kadar perceraian di Tokyo semakin ketara sejak era 1960-an. Purata kes perceraian dikatakan melibatkan 70,000 pasangan setiap tahun. Namun pada tahun 2009, ia meningkat empat kali ganda iaitu kepada  253,000 kes .

Di samping itu, kadar perkahwinan juga semakin menurun disebabkan penentuan ekonomi menjadi taruhan utama. Trend perkahwinan lewat usia semakin berkembang dan ini telah merencatkan sedikit sebanyak proses penggantian penduduk. Kerana itu, ada kesenjangan yang besar antara umur pertengahan dengan usia emas. Kemajuan kesihatan menyebabkan peningkatan usia tua, manakala kahwin lewat memperlihatkan proses penggantian penduduk muda semakin perlahan.

China juga mengalami masalah penceraian yang  meningkat. Misalnya, pada tahun 2012, lebih 2.87 juta perkahwinan berakhir dengan penceraian dan ia turut dikaitkan dengan prosedur penceraian semakin muda, peningkatan jumlah pekerja kolar putih, tingkat pendidikan dan kebebasan kewangan, dan perubahan gaya hidup.

Selepas China mengalami pertumbuhan ekonomi yang pesat, ramai wanita tidak lagi mengharapkan kehidupan mereka dikongkong oleh lelaki atau suami dan lebih menerima hidup tanpa suami. Mereka tidak mempunyai masalah dari aspek ‘perbelanjaan anak’ kerana China mempunyai dasar satu anak, yang kini mula disedari ia tidak dapat membantu dalam proses penggantian. Warga emas semakin meningkat, namun kumpulan umur yang bakal menggantikan usia pertengahan semakin berkurangan.

Perangkaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu melaporkan bahawa pada tahun 2007, di China,  1.6 bagi setiap seribu perkahwinan berakhir dengan perceraian. Ia telah meningkat daripada hanya 0.4 bagi setiap seribu perkahwinan pada tahun 1985.

Di Jepun (20017), dua pasangan daripada seribu perkahwinan berakhir dengan perceraian manakala di Rusia purata 4.8 bagi setiap seribu perkahwinan . Tahun 2008, kadar perceraian di Amerika Syarikat adalah 5.2 bagi setiap seribu, secara mendadak turun daripada 7.9 pada tahun 1980. Hal itu memberikan gambaran bahawa apakah ia adalah satu bentuk ‘krisis sosial’ yang bakal menyebabkan ‘jurang melampau’ terhadap institusi keluarga?

Saya berpendapat, ‘jurang melampau’ yang semakin luas itu adalah petunjuk ‘krisis sosial’ yang sangat perlu ditangani, bukan sahaja ekoran penceraian dalam kalangan pasangan muda yang mencemaskan, bahkan peranan kaunselor semakin kritikal untuk  menyelamatkan perceraian dalam kalangan warga emas.

Kita tidak mahu fenomena kodokushi menjadi parah di negara kita. Maksudnya, apabila pasangan warga emas bercerai, salah seorang daripadanya akan tinggal bersendirian. Mungkin seorang ibu tua boleh tinggal bersama salah seorang anak, kerana hubungan yang lebih erat adalah dengan ibu. Ini bererti, jarang lelaki warga emas sanggup tinggal bersama anak-anak setelah mereka bercerai.

Begitu juga dengan kes penganiyaan warga tua, ia telah meningkat daripada 12,623 kes pada 2006 kepada 16,384 kes pada 2015. Penyakit utama warga tua di Jepun ialah damentia  (nyanyuk) dan ada kes di mana seorang anak merancang ‘membunuh ibu’nya kerana tidak tahan berhadapan dengan tingkah laku tersebut.

Menurut satu kajian yang dijalankan oleh Universiti Nihon Fukushi, antara tahun 1996 hingga 2015 terdapat sebanyak 754 kes pembunuhan warga emas membabitkan ahli keluarga dan penjaga dicatatkan di Jepun, sebahagian besarnya membabitkan lelaki. (Harian Metro, 3 Julai 2017).

Akibat tekanan menguruskan warga tua, Jepun mula berusaha membangunkan teknologi robot bagi menggantikan manusia (atau anak-anak dan ahli keluarga) melayani warga emas. Sebagai kaedahmereka yang  yang nyanyuk, Jepun memperkenalkan tanda di jari dan kaki dengan kod bar bagi memudahkan menguruskan warga emas yang tersesat.

Tahun 2060, Jepun menjangkakan 40 peratus penduduknya adalah warga emas. Dilaporkan bahawa lebih 4.8 juta warga emas (berumur lebih 75 tahun) masih dibenarkan memandu  dan menjadi salah satu punca peningkatan kemalangan maut di Jepun.

Jika keadaan demografi penduduk tidak dapat diseimbangkan, Jepun mungkin akan kehilangan daripada peta dunia berasaskan kekuatan ekonomi. Ia ditunjukkan oleh penggunaan lampin dewasa adalah lebih tinggi daripada lampin bayi, Jika keadaan ini tidak dapat diubah, menjelang tahun 2100, Jepun bakal pupus,  34 peratus penduduknya akan ‘hilang’ dan Jepun diramalkan ‘kiamat”. (Free Malaysia Today, 28 Mac 2017).

Tahun 2018, lima buah negara yang menunjukkan kadar penceraian tertinggi ialah Belgium (32,000 perceraian setiap tahun) iaitu 71 peratus; Portugal  68 peratus; Hungari 67 peratus; Republik Chezh 67 peratus dan Sepanyol 66 peratus. Sebahagian besar dikaitkan dengan masalah kewangan, masalah komunikasi dan kurang memahami makna pernikahan serta institusi keluarga dengan baik.

Republik Chezh juga pernah diisytiharkan sebagai negara yang paling tidak sihat di dunia berdasarkan ukuran tabiat rakyatnya mengambil alkohol secara purata 13.7 liter setahun dan menduduki tangga ke-11 purata penggunaan tembakau (WHO). Amerika Syarikat menduduki tangga ke-10 dunia bersama Lithuana disebabkan 35 peratus penduduknya berhadapan masalah obesiti.

Malaysia semakin memasuki senarai negara yang mempunyai peningkatan peratusan warga tua. Statistik, anggaran jumlah penduduk tua ialah seramai 2.4 juta orang pada tahun 2016. Seramai 538,000 (23 peratus) mengalami masalah rasa sunyi atau Sindrom Sarang Kosong, iaitu ditinggal bersendirian, berjauhan dengan anak-anak atau ahli keluarga.

Banci 2010, sejumlah 7 peratus (1.4 juta) rakyat Malaysia berada dalam lingkungan umur lebih 60 tahun. Sebagaimana kita ketahui, umur 60 adalah umur persaraan dalam undang-undang pekerjaan di Malaysia. Mereka yang bersara ini, bukan sahaja sebahagiannya mempunyai masalah penyakit –kencing manis, darah tinggi dan kardiovaskular-bahkan dari perspekti psikologi merasa sunyi. Kalau sebelumnya, tidak terasa sunyi kerana masih ada peluang menghabiskan waktu siang dengan bekerja di pejabat ataupun bersembang-sembang dengan rakan-rakan.

Kita mungkin pernah melihat situasi bagaimana warga emas menghabiskan masa seharian bersembang-sembang di warung atau sesekali bertemu sesama mereka untuk mengatasi ‘rasa bosan’ dan ‘sunyi’, terutama jika kehidupan seharian  ‘hilang pasangan masing-masing’,  atas sebab bercerai mati atau hidup. Jika bercerai mati, ia tidak disesalkan, berbanding bercerai ‘hidup’ ketika masing-masing sangat memerlukan atau mengotakan apa yang pernah diinginkan, perkahwinan kekal sehingga akhir hayat.

Banyak sebab pasangan warga emas bercerai. Sebabnya mungkin remeh dan pelik bila difikirkan secara rasional. Setelah bertahun-tahun hidup bersama, daripada permulaannya, timbul perkara pelik, misalnya tidak tahan dengan bau ketiak suami mahupun ada di antaranya mengatakan masalah tidur berdengkur. Dengkuran yang kuat menyebabkan salah seorang terganggu dan sebagainya.

Apa yang kita ketahui, ada kecenderungan dalam kalangan warga emas cuba ‘memisahkan diri’ dengan pasangan masing-masing tatkala menjelang malam. Kenapa? Ada banyak sebab dan sebahagiannya kerana ‘perubahan gaya hidup’.

Isteri melihat suaminya ‘tidak lagi menarik’ atas pelbagai perkara. Mungkin isteri bertemu semula dengan kekasih lama, mungkin ketika zaman cinta monyet. Kemajuan teknologi telah memungkinkan antara mereka kembali menjalin hubungan ‘nostalgia’ yang terputus. Teknologi juga menghidupkan nostalgia dengan pertemuan semula atau lebih dikenali ‘reunion’ dan ketika itu cinta monyet kembali berbunga.

Ia menjadi lebih menarik apabila salah seorang daripadanya ‘sudah kosong’, mungkin sudah lama bercerai atau kematian isteri atau suami atau kededuanya ‘kosong’. Selepas pertemuan semula, mereka turut membuat pertemuan selanjutnya. Akhirnya, kalau salah seorang masih bersuami/beristeri, timbul pula keinginan untuk kembali menjalin hubungan cinta dengan kekasih yang terputus akibat ‘cinta monyet’ atau tidak kesampaian itu.

Mungkin kita teringat dengan kisah Salleh Yaacob, hilang isteri kedua kerana menemui semula bekas kekasih lama. Ia bukan berlaku ke atas Salleh Yaacob seorang, tetapi, ramai yang memberi komen, Salleh tidak berhadapan dengan masalah besar kerana beliau masih ada isteri-isterinya yang lain.

Berbeza dengan kes penceraian orang lain ketika sama-sama meniti usia emas, yakni seorang isteri yang sepatutnya sama-sama ‘menjaga’ dan ‘saling menyayangi’ dalam situasi menghabiskan sisa-sisa hidup. Kita mungkin teringat dengan filem Mohabbatin, lakonan Amitabh Bachan dan isterinya, Jaya Bhaduri ‘Bachan” yang cukup kuat nilai kekeluargaan dan kasih sayang.

Amitabh yang sudah bersara, anak-anak sudah mempunyai tanggungjawab masing-masing, mereka sanggup menghabiskan sisa-sisa hidup dengan ‘kasih sayang’. Kasih sayang antara pasangan tidak berkurangan, malah ia seumpama baharu berkahwin dan setiap hari menghidupkan situasi ‘bulan madu’.

Dalam masyarakat Barat, ada kata-kata “life begins at 60” atau “We Just Remarried”. Maknanya, peningkatan usia bukanlah menjadikan kasih sayang antara pasangan berkurang, selalu dilakukan aktiviti bersama. Dalam filem Mohabbatein, isteri sanggup tidur berbantalkan ‘lengan suami’. Ia sesuatu yang amat besar makna dan nilai kasih sayang. Apakah ini berlaku dalam masyarakat Melayu-Islam di Malaysia?

Mungkin ada, tetapi kebanyakannya setelah memasuki usia emas, masing-masing tidak tidur sekatil lagi. Berpisah katil atau kadangkala berlaku, isteri tidur bersama cucu-cucu manakala si suami bersendirian tidur di bilik. Ia bukan masalah ‘hubungan seks’ .

Ia ada kaitan dengan psikologi, iaitu tindakan tidur bersama bukan sahaja menggambarkan kemesraan, ia turut mencerminkan apa yang difahami sebagai ‘menerima keadaan’ dan ‘memahami situasi masing-masing’ seperti ‘seadanya’. Baik atau buruk dialami dan diatasi bersama, bukan menjarakkan diri.

Ada juga pola komunikasi antara pasangan berusia menjurus kepada ‘pertengkaran dan perbalahan’ walhal ia tidak sepatutnya berlaku kerana antara kedua sudah memahami antara satu sama lain sejak mula berkahwin. Gaya komunikasi sudah menjadi semakin ‘tidak mesra’ dan juga tidak matang, apabila dalam kehidupan di’usia tua’, isteri berasakan kedudukannya lebih dominan. Lebih dominan daripada masa-masa sebelumnya, kerana isteri mula terlupa bahawa dalam perkahwinan terlalu banyak ‘titik buta’.

Antara ‘titik buta’ itu ialah cara berkomunikasi, aksi komunikasi dan mesej yang diajukan, termasuklah sindiran tajam ‘penat memasak’ kerana suami sepanjang hari berada di rumah. Kalau sebelumnya, hanya memasak sekali sehari, yakni untuk makan malam. Suami kebiasaannya tidak pulang ‘makan tengah hari’ kerana jarak perjalanan itu meletihkan atau cukup menikmati makan tengah hari di kantin pejabat atau bersama rakan-rakan sekerja.

Kalau di zaman awal perkahwinan, isteri sentiasa mengharapkan suami ‘pulang awal’ tetapi setelah lama berkahwin, fenomena pulang awal tidak lagi menjadi sesuatu yang diharapkan. Suami pulang lewat dengan alasan tidak sanggup mengharungi kesesakan lalu lintas terutama di bandar ataupun masih benyak kerja yang perlu disiapkan, semakin senior kedudukan jawatan si suami, semakin banyak masa dihabiskan di pejabat. Jika isteri juga mempunyai kerjaya, suami dapat memahami kelewatan masing-masing, atas keperluan dan tanggungjawab kerjaya.

Dalam keadaan perubahan psiko-sosial pekerjaan, ia memerlukan tindakan cepat kerana ada ugutan “jika anda tidak boleh selesaikan, ada orang lain yang boleh lakukan’ atau “24/7 culture of works” mesti cepat dan tepat. Budaya kerja sebegitu bukan sahaja meningkatkan ekspaktasi, bahkan ada nilai yang perlu dibayar mahal, kita kehilangan masa berkualiti dengan keluarga dan semakin ketandusan masa untuk ‘berjalan-jalan’ dan ‘makan angin’.

Ada ketikanya, perlu menangguhkan keinginan bercuti atas alasan, ‘no body to take careyour jobs’, ‘urgent matters’ mahupun ‘cuti ditarik balik”. Namun, mengangan-angankan bersedia untuk menghabiskan masa dengan ‘jalan-jalan makan angin’ tetapi, ketika itu keupayaan memandu sudah terhad dan kekuatan tenaga juga terjejas, usia meningkat tidak lagi mampu ‘berjalan jauh’ atau ‘ memandu dalam tempoh yang lama’.

Untunglah ketika di awal persaraan boleh ‘ronda-ronda’, tapi bagaimana dengan sebahagian daripada pesara, beberapa bulan sebelumnya sudah ada petunjuk ada hidapi penyakit. Ia hanyalah tinggal ‘angan-angan’.

Ada isteri yang boleh lakukan berseorangan. Boleh ‘jalan-jalan’ dengan kawan-kawan, menyertai rombongan hingga ke luar negara. Ok! Tiada masalah. Tetapi, sampai bila perjalanan itu boleh dilakukan, kerana suami juga memerlukan perhatian daripada isteri. Persoalan ini semakin menjadi trend dalam persekitaran reunion mahupun ‘nostalgia kawan lama’.

Cukup seronok bila gambar-gambar itu dimuatnaikkan ke media sosial kumpulan ataupun peribadi dengan caption yang mencabar psikologi ‘orang-orang yang ditinggalkan bersendirian di rumah’. Komunikasi dengan kawan-kawan adalah lebih ‘mesra’ berbanding komunikasi dengan pasangan. Berhari-hari dikenang keseronokan itu sehingga terlupa menjaga hati pasangan yang mendengarnya.

Lantas, timbul kesimpulan: rakan-rakan menerima layanan mesra, tetapi tidak pula dengan pasangan. ‘Understanding’ pun ada batasnya, bukan tanpa batasnya. Bukan soal cemburu, tetapi, rasa terkilan kerana kadangkala berlaku salah kiprah. Itulah sebahagian daripada masalah perceraian dalam kalangan pasangan berusia emas.

Pola penceraian di usia emas memang semakin meningkat di Malaysia, juga di negara-negara lain atas perubahan gaya hidup dan persekitaran yang melanda kehidupan. Kalau dahulunya, seorang isteri bergantung harap kepada pendapatan suami untuk menanggung pelbagai keperluan, kini tidak lagi. Perbelanjaan besar untuk menyekolahkan anak-anak sudah tiada lagi, anak-anak masing-masing sudah ada kerjaya.

Tetapi, kadangkala anak-anak terlupa, biarpun si ayah mempunyai wang pencen, pemberian anak-anak secara terus juga penting dari segi psikologi. Apa yang berlaku ialah, anak-anak boleh menitipkan wang kepada ibu, tetapi bukan kepada ayah. Si ibu, memang merasa dihargai, tetapi si ayah kadangkala terpakasa ‘buat tak tahu’.

Lama kelamaan, si ibu merasa senang dengan titipan anak itu dan bila muncul pertengkaran kecil, ada kata-kata ‘mencabar’. Isteri mengeluarkan alasan, sekarang tidak memerlukan suami kerana boleh hidup dengan anak-anak. Isteri mengeluh, hidup tidak menarik lagi kerana suami semakin ‘membebankan’, makin berusia makin menjadi pendiam dan tidak peduli. Bagaimana suami boleh bertukar mood?

Tidak lain kerana si isteri semakin tidak menjaga pola komunikasi. Lebih baik mendiamkan diri daripada ‘bercakap-cakap’ kerana ‘bercakap-cakap’ menimbulkan pelbagai konotasi dan salah faham. Bila ‘bercakap-cakap’ belum selesai, isteri membuat tafsiran yang berbeza, ada istilah yang perlu dikontrakan, sedangkan itu bukan hal yang ingin diuji.

Itulah sifatnya, kerana secara psikologi, wanita begitu kuat memorinya, boleh membangkitkan semula isu-isu kecil yang sudah dilupakan atau selesai. Ia diungkit dan diperkatakan semula seolah-olah, dalam kehidupan berumah tangga, suamilah punca segala masalah dan ketidaksefahaman, atau tidak menjaga ‘hati isteri’. Sudah lama membengkak, tetapi ditangguhkan kerana masih mengharapkan tanggungjawab suami untuk memberikan perbelanjaan membesar dan menyekolahkan anak-anak. Kini, keperluan itu tidak lagi muncul.

Melihat kepada fenomena penceraian dalam kalangan pasangan berusia semakin meningkat, kita mungkin akan bertanya: apa akan jadi dengan institusi kekeluargaan pada masa hadapan? Apakah institusi keluarga akan timpang atau hanya perlu di peringkat awal membina kehidupan, atau tidak muncul dalam kalangan generasi muda.

Mereka boleh hidup tanpa ‘pasangan yang sah’ kerana budaya ‘saling memerlukan’ hanya berada pada tahap yang khusus, yakni berdasarkan keperluan kerjaya, keinginan bersosial dan bukan lagi bersifat peribadi (bukan individualistik).

Lebih mencemaskan, bila diberitahu bahawa faktor penceraian berlaku kerana sebab yang remeh dan kadangkala dianggap pelek atau tidak munasabah, bau badan, kuat berdengkor, ‘reunion’ mahupun pola komunikasi yang semakin janggal dan ‘bahasa sebagai punca salah faham’.

Sebenarnya, dalam usia emas, seks bukan lagi perkara utama walaupun ada (bukan seperti diutarakan oleh seorang ahli psikologi: lelaki sentiasa mahukan seks walupun giginya sudah tiada), perkara yang dominan ialah bagaimana ‘kasih sayang’ itu diterjemahkan dan dikembangkan setiap hari menerusi kata-kata dan tindakan walaupun ia tidak dilafazkan.

Secara lazimnya, 70 hingga 80 peratus gerak-geri, penampilan dan riak wajah membawa maksud yang lebih jelas daripada ucapan. Sepatutnya, itulah yang wajib kita belajar memahaminya dengan berkesan dan mengaplikasikannya dalam kehidupan, yang telah kita kumpulkan sejak menginjak alam perkahwinan bertahun-tahun lamanya.

Apakah masa yang dihabiskan bersama dalam kehidupan berkeluarga itu menjadi semakin ‘bosan’ dan ‘liabiliti’? Sepatutnya, semakin lama semakin sayang. Semakin lama semakin kita bertekad dan mencari solusi, berpuluh tahun boleh memahami, kenapa sekarang tidak lagi? Apakah ia suatu tindakan atau perilaku yang pelek?

Kamarun KH

Translate »