Seni  menampilkan buah fikiran, estetika, iham, inspirasi dan imajinasi dalam bentuk abstrak, fizikal, emosi, psikologi, citra, persembahan dan penampilan yang menonjolkan aspirasi manusia yang kreatif dan inovatif. Seni Islam pula merupakan hasil karya yang memanifestasikan keindahan, kesungguhan, kepintaran dan cetusan rasa dan hati nurani. Seni Islam boleh didefinisikan sebagai segala perkara yang mencakupi kepelbagaian aktiviti dan integrasi kreativiti dalam minda dan cetusan rasa serta daya cipta yang ditundukkan kepada keredaan Allah dan kebesaranNya.

Seni yang boleh dijadikan sebagai medium dakwah antaranya ialah seni suara, seni muzik, seni kraftangan, seni silat atau seni mempertahankan diri, seni kaligrafi, seni sastera dan persuratan, seni logam, seni ukir, seni persembahan, seni lukis, seni budaya, seni bina dan lain-lain lagi. Dengan konsep Tawhid, kebudayaan dan kesenian Islam berbeza daripada peradaban lain. Menurut Islam, seni dibentuk untuk melahirkan insan yang benar-benar baik dan beradab. Konsep seni Islam dan pembawaannya haruslah menjurus ke arah konsep Tawhid dan pengabdian kepada Allah SWT. Motif seni dalam dakwah haruslah bermatlamatkan perkara-perkara ma’ruf (kebaikan), halal dan berakhlak. Jiwa seni mestilah ditundukkan kepada fitrah asal kejadian manusia yang dikurniakan Allah SWT. Jika dikaitkan dengan inisiatif dakwah, pembangunan seni dan kerangka dasarnya mestilah menyeluruh dan meliputi aspek-aspek akhlak, iman, matlamat keagamaan dan falsafah pembangunan kehidupan manusia.

Seni dan dakwah mestilah mendokong proses pendidikan yang bersifat positif mengikut kaca mata Islam, menggerakkan semangat, memimpin batin, emosi, mental dan membangunkan akhlak. Ertinya seni mestilah bersifat al-Amr bi Al-Ma ‘ruf dan Al-Nahy ‘an al-Munkar (menyuruh berbuat kebaikan dan mencegah kemungkaran) serta membangunkan akhlak masyarakat, bukan membawa kemungkaran dan juga bukan sebagai perosak akhlak ummah. Semua aktiviti kesenian manusia mesti ditundukkan kepada tujuan terakhir (keredaan Allah dan ketakwaan) dan semua nilai mestilah ditundukkan dalam hubungan dengan-Nya serta kesanggupan berserah diri. Seni juga seharusnya menjadi alat untuk ketakwaan. Maka seni boleh dijadikan sebagai salah satu wahana dakwah.

Ahli psikologi Islam dan ahli teori muzik, al-Farabi (872–950), yang juga dikenali sebagai Alpharabius di Eropah banyak membahaskan mengenai terapi muzik untuk minda dan pesakit tekanan perasaan serta membincangkan kesan-kesan teraputik muzik ke atas jiwa seseorang insan.

Seni mestilah mengangkat martabat insan dan menggarap segala unsur kesenian dan dakwah untuk tunduk serta patuh kepada titah perintah dan keredaan Allah SWT. Seni sebagai wahana dakwah mestilah mementingkan persoalan akhlak dan kebenaran. Manakala seni sebagai wahana mestilah mendorong ke arah ketakwaan, kemakrufan dan mencegah kemungkaran. Kesenian Islam terpancar daripada wahyu Allah dan syari‘ahnya. Maknanya ia harus berada di bawah lingkungan dan peraturan wahyu. Ini yang membezakan kesenian Islam dengan kesenian bukan Islam. Kesenian Islam menjadi wahana dakwah dalam konteks manusia dengan Tuhan, alam sekitar dan sesama manusia dan juga makhluk.

Fungsi seni mesti diintegrasikan dengan intelek dan dakwah supaya manusia menyedari perkaitan kewujudannya dengan alam, ketuhanan dan rohani atau dengan alam fizikal. Lantas ia menyedari keagungan Tuhan dan keunikan penciptaan-Nya. Seni dalam Islam menanam rasa khusyuk kepada Allah di samping memberi ketenangan di jiwa manusia sebagai makhluk Allah yang diciptakan dengan fitrah yang gemar kepada kesenian dan keindahan. Oleh sebab itu, seni dalam Islam tidak berslogan ‘seni untuk seni’, tetapi sebagai ‘seni kerana Allah untuk manusia, makhluk dan alam sekitar’. Maka, seni mempunyai signifikan sebagai medium dakwah yang berkesan. Kesenian Islam terpancar daripada Tawhid yang merupakan satu penerimaan dan penyaksian terhadap keesaan Allah s.w.t., maka seni yang berpaksikan Tawhid dapat menanam sikap bertakwa dan beriman. Seni juga meningkatkan daya intelek, perasaan kekhalifahan dan kehambaan dan bukan sahaja emosi.

Seni khat atau seni kaligrafi Islam misalnya, merupakan seni tulisan indah yang mempunyai nilai-nilai kehalusan dan kesenian. Ia mempunyai kaitan dengan peningkatan tahap tamadun itu sendiri. Sebab itu, ia merupakan hasil aktiviti masyarakat maju dan bertamadun. Salah satu maksud dalam saranan Nabi s.a.w. agar umat Islam membaca dan menulis supaya mereka dapat menulis ayat-ayat al-Quran dengan baik, dan dengan cara ini difikirkan memudahkan lagi mereka mempelajari dan menghafalnya. Rasulullah s.a.w. menggalakkan penulisan khat atau seni kaligrafi Islam, sabdanya: “Hendaklah kamu mengindahkan seni khat kerana antara  sumber rezeki”. Saidina Ali (k.w) pernah berkata: “Serikan anak-anakmu dengan ilmu seni tulis kerana tulisan (atau seni kaligrafi) merupakan perkara yang paling mustahak dan menyeronokkan”.

Seni persuratan pula pada zaman awal Islam menyaksikan orang-orang Islam tidak sahaja menerima serangan daripada orang Musyrikin yang berbentuk fizikal, malahan mereka turut dihujani serangan-serangan melalui pengucapan seni yang berbentuk puisi. Antara para sasterawan Muslim yang bertindak sebagai benteng untuk menangkis serangan tersebut adalah seperti Hassan ibn Thabit, Ka‘b ibn Malik dan Abdullah ibn Rawadah. Manakala karya sastera Islam yang berbentuk prosa berkembang dalam peradaban Islam, sesuai dengan proses penurunan al-Quran dan menjadi semakin matang lengkapnya keseluruhan al-Quran. Penggunaan cerita-cerita dalam al-Quran turut dijadikan media dakwah seperti Hasan al-Basri, Tamim al-Dari, Thawus Ibn Kaisan dan lain-lain lagi. Orang-orang Yahudi yang menganut agama Islam turut menuturkan cerita-cerita daripada warisan Bani Israil, seperti contohnya Kab al-Ahbar. Objektif cerita-cerita tersebut menekankan amanat pengajaran Islam, tetapi kadang-kadang sangat aneh sehingga menimbulkan keraguan terhadap kebenaran cerita-cerita tersebut. Cerita-cerita mengenai Bani Israil yang disangsikan kebenarannya disebut sebagai Israiliyyat.

Islam telah berjaya menyebarkan kesusasteraan luhur yang mencerminkan Islam sebagai ad-Din yang sempurna. Orang-orang Arab yang amat mesra dengan syair telah dipupuk supaya mencintai al-Quran yang indah dan bernas. Dari kecintaan kepada agama murni itu, terpancarlah seni sastera yang bernilai tinggi dan yang tidak lagi terbatas di dunia Arab, tetapi tersebar luas ke seluruh pelosok dunia Islam. Di alam Melayu, perkembangan Islam dipengaruhi oleh sastera atau prosa naratif. Di Pulau Jawa misalnya, para Wali Songo telah menggunakan berbagai-bagai cabang seni untuk mengembangkan Islam seperti gamelan, kuda kepang dan wayang kulit. Oleh sebab ramai orang Melayu yang buta huruf, karya-karya sastera Islam yang bertulis tangan dibacakan kepada pendengar seperti Sejarah Melayu. Antara jenis karya hikayat yang mula berkembang dalam kesusasteraan Melayu lama ialah cerita-cerita mengenai Nabi Muhammad s.a.w. dan cerita Nabi-nabi Allah (a.s). Karya ini berkembang luas kerana orang Melayu ingin mengetahui riwayat Nabi yang menyebarkan dakwah agama Islam dan segala nama Rasul melalui pembelajaran rukun iman. Prosa Melayu yang bercorak Islam telah berkembang dengan pesatnya sehingga lahirlah berbagai-bagai corak penceritaan seperti hikayat mengenai sahabat Nabi, pahlawan Islam, cerita mengenai orang-orang soleh, cerita tentang raja-raja Islam dan cerita berbingkai. Karya-karya puisi Islam juga turut tersebar, seperti qasidah, berzanji atau puisi untuk memuji Nabi dan berdakwah, yang asalnya berbahasa Arab, kemudiannya diterjemahkan untuk memberi kefahaman kepada pendengar setempat.

Berbagai-bagai bidang ilmu Islam yang dipelajari di alam Melayu banyak mengandungi ciri puisi. Misalnya teks-teks asal yang ditulis oleh sarjana Islam dalam bahasa Arab adalah dalam bentuk rangkap puisi yang dipanggil matan. Antaranya ialah Syarh Ibn ‘Aqil dalam bidang tatabahasa, Matan Jauharah dalam bidang Usuluddin, dan lain-lain. Puisi Islam juga turut berkembang dalam bidang tasauf. Ahli-ahli Sufi lebih gemar menyampaikan ajaran mereka dalam bentuk bahasa kabur yang hanya difahami oleh pengikut ajaran tasawuf sahaja. Puisi dijadikan sebagai media untuk menyampaikan mesej kesufian. Antara para pengarang puisi Sufi ini ialah ‘Abd al-Qadir al-Jilani, Ibn ‘Arabi dan lain-lain lagi. Di Aceh, Hamzah Fansuri merupakan pelopor yang mengenengahkan puisi-puisi Sufi pada abad ke-16 M ketika ajaran sufi mula berkembang di alam Melayu. Beliau dipengaruhi oleh bentuk Sufi dari Asia di dalam kebanyakan karyanya. Beliau dikatakan sebagai perintis bagi kelahiran genre syair dalam sastera Melayu.

Qasidah pula pada asalnya dalam bentuk puisi Arab yang telah mencapai kematangannya pada zaman pra-Islam. Puisi jenis ini mengandungi 50 hingga 100 baris. Pada zaman pra-Islam ia dituturkan dengan diiringi muzik. Dalam qasidah biasanya, penyair Arab Islam membicarakan pelbagai persoalan tentang kehidupan mereka di padang pasir sebelum dinyatakan persoalan pokok. Ia merupakan suatu bentuk puisi Arab yang diwarnai hingga sekarang. Al-Qur’an yang diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. bukanlah sebuah buku sastera kerana sastera itu merupakan konsep karya yang indah hasil ciptaan manusia. Namun begitu, al-Qur’an sukar ditandingi atau ditiru langgam bahasanya, sementara unsur-unsur keindahannya mudah menarik perhatian dan dapat dinikmati sama ada secara fizikal ataupun spirituil. Bahkan al-Qur’an mengatasi segala keindahan hasil-hasil sastera Islam buat beberapa zaman terkemudian. Keindahan tertinggi al-Qur’an terletak pada kebenaran amanat Allah s.w.t. Al-Qur’an menggambarkan amanat tentang kehidupan manusia atau tentang manusia itu sendiri. Al-Qur’an memberi petunjuk tentang dunia dan alam bersifat sementara ini, amalan-amalan soleh dan mereka yang mentaati Allah dan Rasul-Nya. Al-Qur’an juga menceritakan umat-umat terdahulu, Nabi-nabi, hal-hal kerajaan dan peribadi-peribadi tertentu. Kisah ini adalah untuk menegaskan kebenaran amanat, amaran atau ajaran yang disampaikan sebagai iktibar dan panduan bagi umat masa kini. Al-Qur’an disampaikan dalam bahasa Arab yang amat halus, mempunyai kelembutan puisi dan bahasa prosa bersajak yang dapat dirasakan oleh jiwa yang suci bersih dan penuh khusuk dan tawaduk. Ia menggerakkan jiwa untuk mengenali rahsia-rahsia kewujudan diri dan membawa akal merenung taraf kesucian alam rohaniah. Dalam al-Qur’an terdapat rentak dan irama indah yang dapat memberi kesan yang harmoni bagi jiwa manusia yang membacanya, ia memikat dan mengagumkan kerana kebenaran yang disampaikan pada isinya. Dalam suasana demikianlah sering dikatakan manusia menerima berbagai-bagai kesan kekudusan, iaitu kesedaran terhadap kefanaan diri atau kelemahannya, kerendahan nafsu dan kealpaan lalu mengenal makna tentang kebesaran Allah, harapan kepada-Nya, keampunan dan kasih sayang daripada-Nya. Para pengkaji bahasa dan kesusasteraan dalam al-Qur’an seharusnya mencapai penerimaan khalimah shahadah dan penyerahan diri yang total terhadap Allah s.w.t. Daripada mereka inilah lahirnya karya-karya Islam yang berasaskan pegangan tauhidnya dengan perasaan kekudusan dan takwa kepada Allah s.w.t.

Seni melagukan Al-Quran dinamakan tarannum. Al-Quran yang dibaca secara lagu yang terbaik boleh membawa seseorang menghayati ajaran Al-Quran, mengamalkannya dan membacanya secara fashah, tartil dan mengikut tajwid. Tilawah al-Qur’an atau qira’ah (membaca al-Qur’an) bermula seninya sejak zaman Rasulullah s.a.w. lagi. Batasan stail telah dikawal ketat agar tidak menyalahi tajwid, fashah, makhraj dan sebagainya. Nabi pernah mendengar Abu Musa al-Ash’ari (r.a) membaca al-Qur’an. Lalu baginda bersabda: “Aku dianugerahi serunai Nabi Daud (sebagai satu pengiktirafan dan kesukaan mendengar suara dan pembacaan Abu Musa). Namun demikian, tidaklah dibenarkan melagukan Al-Quran secara koir atau dengan iringan muzik atau dengan gaya keterlaluan seperti ajaran agama sesat baharu di negara jiran baru-baru ini.

Seni bunyi lain yang telah diterima mengikut budaya Islam ialah azan (panggilan kepada solat) yang dilaungkan lima kali sehari, mempunyai banyak ciri gaya umum membaca al-Qur’an. Bacaan talbiyah dan puji-pujian ketika menunaikan haji, tahmid, tahlil dan madh merupakan bacaan puisi memuji Tuhan, Nabi Muhammad s.a.w. atau tokoh-tokoh dengan gaya dan irama yang tersendiri. Malah shi’r (puisi yang dideklamasi) dengan tema mulia dan sihat tergolong ke dalam kumpulan bukan musiqa yang diterima.

Puisi-puisi Sufi pula merupakan suatu bentuk sastera Islam yang menggambarkan pengertian tentang kebenaran kerohanian melalui cinta kepada Tuhan dan rasa rendah hati. Sastera jenis ini muncul pada zaman Umayyah. Antara mereka yang terawal mengucapkan puisi jenis ini ialah Hasan al-Basri (meninggal 728M), Rabi’ah al-Adawiyyah (meninggal 801M), Muhyi al-Din Ibn Arabi (lahir 1165M), Bayazid, Al-Hallaj dan lain-lain lagi (q.s). Pencapaian tertinggi daripada pengucapan manusia mukmin ialah puisi-puisi Sufi. Puisi Sufi ialah puisi kerohanian yang dapat dianggap sebagai pancaran pegangan Tawhid yang mengalir dalam urat nadi penyairnya.

Sesetengah ahli Sufi dalam sejarah perkembangan tasawuf juga menjadi penyair. Mereka mencipta puisi di samping menyelitkan ajaran dan doktrin tasawuf dalam karya mereka. Di kepulauan Melayu mungkin tidak keterlaluan dikatakan bahawa Hamzah Fansuri  merupakan penyair Sufi yang teragung dan beliaulah orang pertama yang menyampaikan doktrin dan metafizika Sufi dalam bahasa Melayu. Puisi merupakan satu saluran yang sesuai bagi ahli-ahli Sufi untuk menyatakan segala perasaan hati nurani mereka. Sastera Sufi terhasil daripada pengalaman dan penghayatan estetik yang dilahirkan secara puitis untuk meluahkan perasaan kecintaan kepada Allah dan merupakan menifestasi daripada kemanisan iman. Persoalan ataupun tema-tema popular dalam puisi Sufi adalah seperti cinta Ilahi, ma’rifah, tauhid, ‘kesatuan’ dengan Tuhan dan persoalan sosial dan moral. Keindahan merupakan dasar dalam mencintai Allah dan perasaan itu menjadi dasar yang penting dalam ajaran Sufi.

Al-Qur’an lengkap dihimpun dan disusun ketika pemerintahan Saidina ‘Uthman ibn ‘Affan (644M-655M). ilmu tafsir kemudiannya berkembang setelah didapati ayat-ayat al-Qur’an memerlukan penerangan dan penafsiran. Turut berkembang ialah penjelasan terhadap ayat-ayat tentang para nabi. Akhirnya cerita Nabi-nabi ini, yang  terdapat dalam pelbagai surah, disusun dan dipanggil Qisas al-Anbiya’. Karya berkenaan Qisas al-Anbiya’ yang kekal hingga ke hari ini ialah Tarikh al-Rusul wa al-Muluk (Riwayat Para Rasul dan Raja) oleh Muhammad ibn Jarir at-Tabari (839M-923M) (r.h). Dalam karyanya, at-Tabari menerangkan sejarah purba mengenai pelbagai bangsa, perihal nabi-nabi dan kerajaan mereka. Antara karya-karya lain berkenaan Qisas al-Anbiya ialah Ara’ al-Majalis: Qisas al-Anbiya (Majlis-majlis Pengantin: Cerita Nabi-nabi) oleh al-Tha’labi (meninggal 1036 M), Qisas al-Anbiya’ oleh al-Farjni, Taj al-Qisas (Mahkota Segala Cerita) oleh Abu Nasr al-Bukhari dan karya terjemahan oleh Al-Sarraf (r.h) dalam tahun 1212 Masehi berjudul Hisas Al-Atqiya’ min Qisas al-Anbiya’ (Petikan Tentang Kesolehan Nabi-nabi Dari pada Kisah-kisah Nabi). Ia cukup luas tersebar dan popular di kalangan masyarakat Islam. Ia merupakan kumpulan cerita Nabi-nabi Allah serta tokoh-tokoh Islam sebelum Rasulullah s.a.w. yang tercatat juga dalam al-Qur’an. Ia tidak sahaja tertulis dalam bahasa Arab, bahkan dalam bahasa Parsi, Urdu, Turki, Punjab, Melayu dan lain-lain lagi, baik dalam bentuk terjemahan dalam bahasa Arab mahupun ditulis semula dengan diberi warna-warni setempat mengikut selera penulis (nafas baru). Ia juga begitu popular hingga dizahirkan dalam bentuk buku-buku tersendiri seperti Hikayat Nabi Yusuf, Nabi Sulaiman dan Nabi Musa.

Antara jenis karya hikayat yang mula berkembang dalam kesusasteraan Melayu lama ialah cerita-cerita mengenai Nabi Muhammad s.a.w dan cerita-cerita mengenai Nabi-nabi Allah (a.s). Cerita-cerita Nabi Muhammad s.a.w. berkembang dalam masyarakat Melayu bersama-sama dengan perkembangan Islam. Seiring dengan cerita Nabi Muhammad s.a.w ialah cerita mengenai Nabi-nabi Allah dari Nabi Adam hingga kepada Nabi Isa. Keadaan ini berlaku kerana orang Melayu mengetahui segala nama Nabi itu melalui pembelajaran rukun iman. Begitu juga cerita-cerita Nabi disebut di sana sini dalam al-Qur’an. Melalui dorongan atau naluri ingin tahu mengenai riwayat yang jelas mengenai Nabi-nabi itu, maka timbullah kegiatan menyalin kitab Qisas al-Anbiya’ dalam bahasa Melayu untuk dibacakan dalam pertemuan pengajian agama Islam.

Aspek seni bina Islam terpenting yang harus diperhatikan ialah seni bina masjid. Ini adalah kerana Islam telah meletakkan tempat ibadah sebagai ciri penting sesebuah bandar. Ini dapat diperhatikan daripada sirah Rasulullah s.a.w. Tatkala baginda berhijrah ke Madinah, perkara pertama yang baginda lakukan ialah mencari tapak yang sesuai untuk membina masjid. Masjid menjadi lambang kekuatan akidah, kesatuan dan perpaduan umat Muslimin. Masjid pertama yang didirikan di Madinah ialah al-Masjid al-Nabawi yang digunakan oleh Rasulullah s.a.w sebagai pusat tarbiyah dan pentadbiran dalam menyusun strategi ekonomi, negara, sosial, pendidikan, peradaban, perang dan sebagainya. Selari dengan perkembangan masa dan kepentingannya, masjid kemudiannya dikembang dan diperindah dengan pelbagai unsur dekoratif-ornamentif berdasarkan latar belakang budaya persekitaran umat Islam. Seni bina masjid menjadi lambang keagungan tamadun berbanding dengan Barat, kerana unsur-unsur ketamadunan yang dikembangkan di kota-kota raya Islam mementingkan nilai kerohanian dan pada masa yang sama pembangunan fizikal dan kebendaan tidak dipinggirkan. Konsep penting dalam senibina Islam ialah pencapaian iman dan amal, takwa dan tawaduk, aman dan damai serta merendah hati kepada keagungan Allah s.w.t. Pengagungan dan perhiasan bukanlah menjadi matlamat seni bina Islam, tetapi kerana kreativiti dan inovasi umat, artis, seniman dan arkitek Muslim, ia menjadi suatu seni yang bernilai tinggi yang disepadukan bersama penggunaan corak, warna dan reka bentuk yang dibuat berdasarkan ajaran al-Quran.

Minat para belia kepada seni suara, seni lagu, seni muzik dan seni bunyi boleh digunakan sebagai wahana untuk berdakwah kepada kelompok mereka. Perkataan Arab “Ghina” bermakna menyanyi. Sama’ pula (mendengar) ialah nama yang diberi bagi muzik vokal dan instrumental dalam konteks upacara zikr (“mengingat” Tuhan) kumpulan tasawuf ataupun tarekat. Akan tetapi ia kerap kali tidak merangkumi muzik walaupun terdapat jenis-jenis muzik yang dimainkan dalam konteks-konteks sekular atau agama yang lain. Walau bagaimanapun, muzik hiburan yang memikat pancaindera yang bersekali dengan kegiatan terkutuk yang membabitkan perasaan melakukan amalan yang bertentangan dengan syari‘ah seperti meminum arak, mengambil dadah, menurut hawa nafsu, pelacuran, hubungan bebas, seks bebas dan lain-lain lagi tidaklah dibenarkan.

Seni drama, seni komik, seni lukis dan seni teater juga boleh dijadikan sebagai medium dakwah yang berkesan. Para belia amat berminat kepada seni-seni ini. Kenapakah kita tidak menggunakan seni-seni ini sebagai medium dakwah juga? Seni silat Melayu pula menjadi minat para remaja dan belia Melayu Islam. Seni silat Melayu yang patuh kepada syariat menekankan elemen displin, nilai-nilai murni, kekuatan jati diri, akhlak yang mulia, sahsiah yang terpuji, kekuatan fizikal dan mental, menghormati guru, ibu bapa dan orang yang lebih tua serta seumpamanya.

Sebagai kesimpulan, dengan merujuk kepada sumber pokok Islam, Islam sendiri tidak menghalang bentuk seni tertentu bahkan menyediakan garis panduan yang bersifat umum. Oleh yang demikian, seni Islam bukanlah seni yang bersumberkan wahyu semata-mata, bahkan berkait rapat dengan seni budaya yang berkembang mengikut zaman, persekitaran dan budaya sesuatu masyarakat. Kecenderungan kepada kesenian adalah fitrah insan. Kemampuan berseni adalah keistimewaan peribadi insan. Maka, Islam  sebagai agama fitrah telah menumpukan perhatian kepada seni budaya selama mana ia selari dengan syariat dan menyemai fitrah manusia  yang  suci. Para sarjana Islam juga telah banyak memperkatakan mengenai seni Islami tetapi tidak dalam konteks seni sebagai medium dakwah. Dalam Islam, seni tidaklah bermatlamatkan hiburan, tujuan keduniaan ataupun keseronokan. Islam telah menggariskan kesenian sesuai mengikut naluri dan fitrah semula jadi manusia. Sewajarnyalah juga manusia mengemudi seni mengikut fitrah manusia yang sedia ada, berbekalkan sempadan Syariah demi kesejahteraan jiwa dan dunia manusia. Bahkan sekiranya betul pembawaan seni itu, ia dikira ibadah pula. Alangkah ruginya manusia Muslim yang tidak tahu bagaimana membawa kecenderungan dan fitrah sespesisnya ke arah ketakwaan kepada Allah s.w.t.

Rujukan

Ismail Hamid 1990. Asas Kesusasteraan Islam.  Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Ismail Raj’i al-Faruqi et. al 1993. Atlas Budaya Islam. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Manja Muhammad Ludin dan Ahmad Suhaimi 1995. Aspek-aspek Kesenian Islam, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Muhammad Bukhari Lubis, Haji (ed) 1994 Persuratan Islam. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Othman Mohd Yatim 1989. Warisan Kesenian dalam Tamadun Islam, Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka.

Shahnon Ahmad 1981, Kesusasteraan dan Etika Islam, Kuala Lumpur, Fajar Bakti.

Translate »