SESUNGUHNYA apa yang ada di alam raya ini adalah halal untuk digunakan sehingga makanan yang terdapat di dalamnya juga halal. Justeru itu al-Quran mengecam mereka yang mengharamkan rezeki yang halal yang disediakan Allah untuk manusia. Al-Quran menyatakan: Dia (Allah) menciptakan untuk kamu apa-apa yang ada di bumi seluruhnya (al-Baqarah ayat 29): Dan Dia (Allah) yang menundukkan untuk kamu segala yang di langit dan di bumi semua bersumber dari-Nya (Surah Al-Jatsiyah ayat 13).
Para ulama Islam sepakat bahawa ajaran Islam bertujuan memelihara lima perkara pokok, iaitu agama, jiwa, akal, kehormatan (keturunan) dan kesihatan. Setiap usaha yang dapat mendukung tercapainya salah satu dari tujuan itu walaupun belum ditemukan dalam al-Quran atau al-sunah, mendapat restu atau dukungan penuh dari ajaran Islam.
Gizi (zat makanan yang diperlukan bagi tubuh dan kesihatan), yang dalam hal ini mempunyai peranan sangat besar dalam membina dan menguatkan kesihatan seseorang dan ini tidak terlepas dari apa yang dikemukakan di atas. Adalah menjadi kewajipan setiap orang untuk memelihara kesihatannya seperti terungkap dalam sabda Nabi Muhammad s.a.w.: Sesungguhnya badanmu mempunyai hak atas dirimu.
Tidak dapat disangkal, makanan mempunyai pengaruh besar terhadap pertumbuhan dan kesihatan jasmani. Persoalan yang akan diketengahkan di sini adalah pengaruhnya terhadap jiwa manusia.
Al-Harali seorang ulama besar berpendapat bahawa jenis makanan dan minuman dapat mempengaruhi jiwa dan sifat-sifat mental pemakannya. Ulama ini menyimpulkan pendapatnya dengan menganalisis kata rijs yang disebutkan al-Quran sebagai alasan untuk mengharamkan makanan tertentu, seperti pengharaman minumam keras (al-Maidah ayat 90) bangkai, darah, dan daging babi (surah An’am ayat 145).
Kata rijs menurutnya bermaksud keburukan budi pekerti serta moral. Sehingga, apabila Allah menyebut jenis makanan tertentu dan menilainya sebagai rijs, maka ini bererti bahawa makanan tersebut dapat menimbulkan keburukan budi pekerti.
Sesuai dengan di atas adalah pendapat yang dikemukakan oleh ulama kontemporeri, Syaikhh Taqi Falsafi, dalam bukunya Child between Heredity and Education. Dia menguatkan pendapatnya dengan mengutip Alexis Carrel, pemenang hadiah Nobel Kedoktoran. Carrel menulis dalam bukunya Man the Unknown lebih kurang sebagai berikut:
Pengaruh dari campuran (senyawa) kimiawi yang dikandung oleh makanan terhadap aktiviti jiwa dan fikiran manusia belum diketahui secara sempurna, kerana belum diadakan eksperimen secara memadai. Namun tidak dapat diragukan bahawa perasaan manusia dipengaruhi kualiti dan kuantiti makanan.
Dalam kaitan dengan kesihatan masyarakat dan kesejahteraan negara, gizi yang membawa kepada kesihatan merupakan syarat untuk pencapaiannya. Tanpa kesihatan, manusia tidak dapat melakukan aktiviti. Dan kesihatan diperoleh dari makanan yang bergizi. Inilah salah satu sebab mengapa al-Quran, dalam banyak ayatnya, mengaitkan aktiviti di bumi dengan makanan yang bergizi.
Jelas bahawa makanan mempunyai pengaruh yang besar bukan sahaja terhadap jasmani manusia tetapi juga jiwa dan perasaannya.
Apakah pesan-pesan al-Quran mengenai makanan? Ketika berbicara tentang perintah makan, Allah s.w.t., memerintahkan agar manusia memakan makanan yang sifatnya halal dan thayyib.
Sesuatu yang halal adalah yang terlepas dari ikatan bahaya duniawi dan ukhrawi. Kerana itu kata halal juga bererti boleh. Dalam bahasa hukum, kata ini mencakupi segala sesuatu yang dibolehkan agama, baik kebolehan itu bersifat sunah, anjuran untuk dilakukan, makruh (anjuran untuk ditinggalkan) mahupan mubah. Kerana itu boleh jadi ada sesuatu yang halal (boleh), tetapi tidak dianjurkannya dengan kata lain hukumnya makruh. Nabi misalnya melarang seseorang mendekati masjid apabila ia baru memakan bawang. Nabi bersabda sebagaimana diriwayatkan Abu Daud melalui Ali bin Abi Thalib.
Rasulullah melarang memakan bawang putih kecuali setelah dimasak. Dalam riwayat at-Tirmizi dikemukakan bahawa seseorang bertanya: apakah itu haram? baginda menjawab: Tidak, tetapi saya tidak suka aromanya.
Kata thayyib dari segi bahasa bererti lazat, baik, sihat, mententeramkan dan paling utama. Pakar-pakar tafsir ketika menjelaskan kata ini dalam konteks perintah makan menyatakan bahawa ia bererti makanan yang tidak kotor dari segi zatnya atau rosak, atau dicampuri benda najis.
Makanan yang sihat adalah makanan yang memiliki zat gizi yang cukup dan seimbang. Dalam al-Quran disebutkan sekian banyak jenis makanan yang sekali gus dianjurkan untuk dimakan, misalnya padi-padian (al-Sajadah ayat 27), ikan (al-Nahl ayat 4), buah- buahan (al-Mukminun ayat 19; al-An’am [6]: 141), lemak dan minyak (al-Mukminun ayat 21), madu (al-Nalh ayat 69) dan lain-lain. Penyebutan aneka macam jenis makanan ini, menuntut kearifan dalam memilih dan mengatur keseimbangannya.
Apakah jenis-jenis makanan yang disebutkan secara khusus di atas mempunyai kaitan dengan gizi? Nabi sendiri lebih menyukai makanan saperti susu, daging dan madu walaupun jarang diperolehnya.
Catatan: Ibnu Majid
Recent Comments