Tokoh ini merupakan seorang ulama ahli sunnah di Mesir. Beliau lahir di kota Iskandariah, Mesir pada awal bulan Zulkaedah tahun 1371 H atau 26 Julai 1952. Nama penuhnya Muhammad bin Ahmad bin Ismail bin Mustafa al-Muqaddem.

Syeikh Muhammad Ismail al-Muqaddem pemegang ijazah dalam bidang perubatan dan bedah dari fakulti perubatan Universiti Iskandariah, diploma Psikologi dari Ma’had ‘Ali li al-Shihah al-‘Ammah, Universiti Iskandariah.

Di samping itu, beliau juga memperoleh ijazah dalam bidang hukum Islam dari Universiti al-Azhar. Beliau juga salah seorang anggota Jum’iyyah Al-‘Alamiyyah al-Islamiyyah li al-Shihhah al Nafsiyyah (Organisasi Dunia Islam untuk Psikologi).

Beliau bergabung dengan Jamaah Ansar al-Sunnah (sebuah organisasi ahli sunnah yang berpusat di Mesir) di Iskandariah sejak tahun 1965. Beliau mulai menjadi penyebar dakwah ahli sunnah salafiyyah sejak tahun 1972.

Pada tahun 1977 beliau mendirikan sekolah al-Salafiyyah di Iskandariah. Beliau memberikan kajian ilmiah di pelbagai tempat di Mesir di samping beberapa negara Arab, Eropah dan Amerika Syarikat.

Di antara guru beliau dari kalangan ulama Jamaah Ansar Sunnah ialah Syeikh Muhammad Sahnun, Syahin Kasyif Abu Ras dan Abdul Aziz bin Rasyid al Najdi. Manakala guru-guru beliau ketika belajar di Azhar di antaranya ialah Syeikh Ismail Hamdi, Mahmud Ied, Shubhi al Khasysyab dan lain-lain.

Ijazah umum (hadis): Syeikh al-Muhadis Badi’udin Syah Ar-Rasyidi As-Sindi, Syeikh Muhammad Al-Hasan Ad-Dadu Asy-Syinqiti dan Syeikh Abdullah bin Shalih Al-Ubaid.

Di antara ulama yang beliau mendapatkan kehormatan sehingga dapat bertemu atau duduk di majlis kajiannya ialah Syeikh Abdur Razaq Afifi, Abdullah bin Humaid, Ibnu Baz, Muhammad Nasiruddin al-Albani, Hammad bin Muhammad al Anshari, Abdullah bin Quud, Ibnu Utsaimin, Abdullah bin Muhammad al Ghunaiman, Abdullah bin Jibrin, Abu Bakr al Jazairi, Rabi bin Hadi al Madkhali, Muqbil bin Hadi al Wadii, Sayyid Sabiq, Dr Mushthofa Hilmi, Muhammad Rasyad Salim dan Rasyad Ghanim.

Di antara buku-buku karya beliau ialah Tamamul Minnah bil Radd ‘ala A’dais Sunnah (Nikmat Yang Sempurna Sebagai Bantahan Bagi Para Musuh Sunnah Nabi), Adillah Tahrim Halqi al-Lihyah (Dalil-dalil Tentang Haramnya Mencukur Habis Janggut), Adillah Tahrim Mushafahat al Ajnabiyyah (Dalil-dalil Tentang Haramnya Berjabat Tangan Dengan Perempuan Yang Bukan Mahram), ‘Uluww Himmah (Obsesi Yang Tinggi), Bid’ah Taqsim ad Din ila Qasyrin wa Lubbin (Bidaahnya Pembahagian Agama Menjadi Kulit dan Isi), Khid’ah Harmajidun (Pembohongan Perang Armagedon) dan siri Audatul Hijah (Kembalinya Hijab) yang terdiri daripada tiga jilid; jilid pertama berjudul Ma’rakah al-Hijab wa al-Sufur (Konflik Antara Berpurdah Atau Tidak), jilid kedua berjudul al-Mar’ah baina Takrim al Islam wa Ihanah al-Jahiliyyah (Perempuan Antara Pemuliaan Islam dan Penghinaan Jahiliyah) dan jilid ketiga berjudul Adillah al-Hijab (Dalil-dalil Wajibnya Purdah).

Beliau juga memiliki kurang lebih 1500 kaset rakaman kajian-kajian rutin beliau di beberapa masjid di kota Iskandariah.

Di antara kajian beliau ialah tentang tafsir al-Quran. Beliau telah mengkaji dua kitab tafsir, iaitu Mahasin al-Ta’wil karya al-Qasimi dan Adwaul Bayan karya Syinqiti, fiqh dengan mengkaji kitab Manar al-Sabil (sebuah buku fiqh mazhab Hanbali), kajian akidah dengan membahas siri al-Aqidah fi Dhou’ al-Quran wa al-Sunnah karya Dr Umar al-Asyqar.

Catatan : Ibnu Fattah

Translate »