MODEL DAKWAH SEMASA:

SUATU ANALISIS TEORETIKAL KEPADA KARYA PANDUAN PARA PENDAKWAH

Pengenalan

Islam dan dakwah tidak dapat dipisahkan. Ia bermula sejak kedatangan Rasulullah (s.a.w.) sebagai utusan terakhir kepada seluruh umat manusia dan berterusan sehingga sekarang. Dengan adanya usaha-usaha dakwah tersebut umat Islam berkembang sehingga 1.8 bilion sekarang ini. Bagaimanapun, berbanding dengan penduduk dunia yang sudah melebih 7 bilion, dakwah perlu dikembangkan dan dipergiatkan lagi. Lagi pula sekarang ini Islam dilihat sebagai ‘musuh’ sehingga menimbulkan fenomena ‘Islamophobia’ di pelbagai peringkat.`

Dalam mencapai usaha untuk memperkenalkan Islam yang benar dan mengembangkannya, terdapat banyak model dakwah semasa yang dikemukakan. Syabuddin Gade & Abdul Ghafar Hj. Don (2015) membincangkan model dakwah semasa dalam artikel bertajuk “Model Dakwah: Satu Analisis Teoritikal.” Mereka membahagikan model dakwah semasa kepada sembilan model utama, iaitu: (1) model dakwah fardiyah (bersemuka), (2) model dakwah fi’ah (kelompok), (3) model dakwah pendidikan, (4) model dakwah bi‘thah (utusan), (5) model dakwah korespondensi (mukatabah), (6) model dakwah islahiyah (perdamaian), (7) model dakwah organisasi, (8) model dakwah umum, dan (9) model dakwah bersepadu.

Kajian di atas melihat bahawa model-model dakwah ini memiliki ciri-ciri tersendiri. Dengan sebab itu cara dan aktiviti pelaksanaannya perlu diselaraskan dengan keadaan mad‘u dan suasana sekitarnya. Kesemuanya mempunyai potensi berkembang dan menjadi lebih maju dan sistematik. Namun, buku Panduan Para Pendakwah (1984), iaitu karya terjemahan Melayu berdasarkan karangan asli Arab Shaykh Muhammad al-Bahi al-Khuli (1901-1977) bertajuk “Tadhkirah al- Du’at” (1952) tidak dibincangkan dalam artikel tersebut.

Dengan itu artikel ini akan menambah perbincangan model dakwah yang terdapat dalam buku al-Bahi al-Khuli sebagai sumbangan kepada wacana mengenai model dakwah. Buku Panduan Para Pendakwah boleh dikira antara sebagai buku paling awal dalam disiplin ilmu dakwah. Ia diterbitkan pada tahun 1952 berdasarkan ceramah-ceramah yang disampaikan oleh pengarang. Hassan al-Banna (1906-1949), pemimpin al-Ikhwan al-Muslimun memuji buku ini dalam kata-kata aluan dengan katanya, “… saya amat kagum dan sukacita sekali bila menatap segala nasihat-nasihat dan bimbingan yang berbentuk ceramah tentang cara-cara berdakwah yang sebenar yang dibentangkan dalam buku ini.” Berbanding dengan buku Usul al-Da‘wah (1975), karangan Dr. ‘Abd al-Karim Zaydan (1917-2014) yang lebih sistematik sehingga membentuk disiplin ilmu dakwah semasa, buku al-Bahi al-Khuli ini meletakkan garis kasar bimbingan kepada dakwah semasa.

Al-Bahi al-Khuli dan Panduan Para Pendakwah

Shaykh Muhammad al-Bahi al-Khuli merupakan seorang penulis, “yang terkenal sebagai seorang mujahid dan pendakwah yang ulung.” (Hassan al-Banna dalam al-Khuli 1984: xiii-xiv). Beliau adalah generasi penerus kepada gerakan dakwah al-Ikhwan al-Muslimun (selepas ini dipetik dengan singkatan, I.M.) di Mesir selepas pengasasnya Ustadh al-Sayyid Hassan al-Banna’ mati ditembak. Shaykh al-Bahi al-Khuli dikira ahli pengasas bersama-sama rakan-rakan dalam menubuhkan gerakan I.M. pada tahun 1928. Ia tertubuh selepas al-Banna’ melihat kepada keperluan umat Islam semasa kepada gerakan Islam bagi meneruskan usaha dakwah dan pengislahan dalam masyarakat Islam di Mesir selepas dilanda arus pemodenan barat dan pengabaian kepada ajaran Islam.

Al-Bahi al-Khuli merupakan tokoh-tokoh pasca Hassan al-Banna yang melahirkan banyak karya-karya dalam dakwah dan bidang-bidang lain. Menurut Kepel (2003: 36), tokoh-tokoh I.M. ini termasuk al-Bahi al-Khuli, Abd al-Qadir ‘Audah (1906-1956), Sayyid Qutb (1906-1966), Muhammad al-Ghazali (1917– 1996) dan Dr. Muhammad Taha Badawi. Di samping menggerakkan usaha dakwah I.M. secara umum, tokoh-tokoh ini merupakan pakar dalam bidang masing-masing.

‘Abd al-Qadir ‘Audah, umpamanya, merupakan seorang pakar undang-undang dan syariah menulis buku, al-Tashri‘ al-jina’i al-Islami: muqaranan bi l-qanun al- wad‘i (1977), Sayyid Qutb, ahli sasterawan Arab dengan tafsirnya Fi Zilal al- Qur’an (dari 1954) dan Ma‘alim fi al-tariq (1964), Muhammad al-Ghazali, seorang imam dan sarjana Islam dengan Fiqh al-sirah dan al-Sunna al- nabawiyyah bayna ahl al-fiqh wa ahl al-hadith (1989) dan Muhammad Taha Badawi, pakar undang-undang antarabangsa dengan al-Nazariyyah al-siyasah (1986) dan Madhkal ila ‘ulum al-‘alaqat al-dawliyyah (1980).

Al-Bahi al-Khuli juga menyumbang kepada penulisan, antaranya al-Islam: la shu‘ubiyyah wa la ra’sa al-maliyyah (1948; 1981); Tadhkirah al-du‘at (1952); Al- Mar’ah bayna al-bayt wa l-mujtama‘ (1953); al-Ishtirakiyyah fi l-mujtama‘ al- Islamiyyah (1964); al-Tharwah fi zill al-Islam; al-Siyam (1964); al-Hajj (1964); al- Islam wa qadaya al-mar’ah al-mu‘asirah (1970). Beberapa buku beliau ini diterjemahkan dalam bahasa Melayu, antaranya Panduan Para Pendakwah (Tadhkirah al-du’at) (1984) dan Islam dan Persoalan Wanita Moden (1995). Menurut Citino (2017: 40), al-Bahi merupakan pendakwah kepada gerakan I.M. (a propagandist for the Egyptian Muslim Brotherhood) apabila merujuk kepada dua buku al-Bahi, iaitu “al-Islam: la shu‘ubiyyaah” dan “al-Ishtirakiyyah.”

Selain itu ada nama-nama dari kalangan generasi pelapis dan memegang ketua umum (murshid al-‘amm) dalam gerakan I.M. iaitu Hassan al-Hudaybi (1891- 1973) sebagai Murshid al-‘Amm kedua, ‘Umar al-Tilmisani (1904-1986), Murshid al-‘Amm ketiga, Muhammad Hamid Abu Nasr (1913-1996), Murshid al- ‘Amm keempat, Mustafa Mashhur (1921-2002), Murshid al-‘Amm kelima, Ma’mun al-Hudaybi (1921-2004), Murshid al-‘Amm keenam, Mohammed Mahdi Akef (1928-2017), Murshid al-‘Amm ketujuh dan Mohammed Badie (1943-),

Murshid al-‘Amm kelapan. Selain itu terdapat tokoh wanita yang rapat dengan al- Hassan al-Banna’, iaitu Zaynab al-Ghazali (1917-2005).

Hassan al-Banna’ dalam kata-kata aluan kepada buku al-Khuli menyifatkan al- Khuli sebagai “seorang yang dikurniakan Tuhan kejernihan fikiran, halus fahaman, jiwa yang berilham, teguh keimanan dan keyakinan.” (al-Khuli 1984: xiv). Menurut Dr. Yusof al-Qaradawi, juga disebut sebagai pemimpin spiritual kepada gerakan I.M., beliau sendiri mengagumi keilmuan al-Khuli dan juga Muhammad al-Ghazali. Al-Khuli merupakan ketua markaz al-Gharbiyyah, Mesir. Ceramah beliau tentang panduan berdakwah dibukukan dalam Tadhkirah al- du‘at. Dari pengalaman al-Qaradawi sendiri, beliau bergabung dalam majlis halaqah yang dinamakan dengan “kutaibah al-dhabih” (Kader-kader “Penyembelih”, iaitu gelaran kepada Nabi Ibrahim a.s.) dengan al-Bahi al-Khuli (Mohd. Rumaizuddin Ghazali 2009: 167). Menurut Mohamed Ibrahim (2016: 4), al-Khuli merupakan salah seorang ulama’ yang mengambil pendekatan “haraki” berbanding dengan Hassan al-Turabi yang menggunakan pendekatan tawhid dalam tafsirnya, al-Tafsir al-tawhidi. Al-Khuli juga membincangkan isu wanita dalam tulisannya.

Selain tulisan Kepel di atas, al-Bahi al-Khuli juga mendapat tempat dalam kajian- kajian lain di barat. Sebagai contoh, Yvonne Yazbeck Haddad (1985: 300, n. 16) dalam artikel, “Islam, Women and Revolution in Twentieth-Century Arab Thought” melihat sumbangan al-Khuli dan pemikir Islam dalam isu wanita di zaman sekarang. Dalam kajian tentang tokoh lain, Rami Ginat dalam Egypt’s Incomplete Revolution: Lutfi Al-Khuli and Nasser’s Socialism in the 1960s (1997: 49) menyatakan bahawa al-Bahi al-Khuli merupakan ahli pengasas (founding member) kepada Ikhwan dan juga bapa saudara kepada Lufti al-Khuli (1928-), salah seorang dalam kumpulan intelektual penasihat kepada Presiden Naser. Menurut Johannes Reissner (2010: 135), al-Khuli lebih cenderung kepada fahaman sosialisme berbanding dengan aliran materialism dan kapitalisme barat. Perbincangan beliau dalam persoalan ideologi semasa bersesuaian dengan tren zaman Presiden Gamal Abdel Nasser (1918-1970) di Mesir. Arthur E. Zárate (2016) dalam abstrak kepada kertas kertas “Rethinking an Islamic “Moral Economy” menilai sumbangan tokoh-tokoh Ikhwan seperti Muhammad al- Ghazali (1917-1996), al-Bahi al-Khuli (1901-1977), al-Sayyid Sabiq (1916-2000), and Yusuf al-Qaradawi (1926-) dalam isu ekonomi dan moral. Menurut beliau, tokoh-tokoh melihat kepentingan harta dalam perjuangan Islam untuk menegakkan akidah Islam.

Wacana Panduan Para Pendakwah

Ketokohan al-Bahi al-Khuli terserlah dengan pujian yang diberi oleh Hassan al- Banna sendiri dan Yusuf al-Qaradawi. Buku Panduan Para Pendakwah juga mendapat pujian al-Banna dalam kata aluan dalam buku tersebut. Perbincangan selanjut ialah wacana dakwah dalam buku ini.

Buku ini mengandungi empat bab, dimulai dengan kata aluan oleh Hassan al- Banna dan kata pendahuluan dari penulis. Dalam setiap bab terdapat beberapa fasal. Al-Khuli dalam kata pendahuluan menyatakan buku ini adalah kumpulan

ceramah yang disampaikan kepada ahli I.M. dalam mengajarkan mereka “setengah-setengah cara dan selok-beloknya untuk menyampaikan cita-cita mereka sebagai pendakwah atau apa yang mereka suka menggelar diri mereka dengan nama kutaibah al-du’at (kader-kader dakwah).” Atas permintaan ahli I.M., al-Khuli akhirnya membukukannya dengan tujuan untuk penyebaran kepada umum dan ahli I.M. secara khususnya. Sumber utama ialah al-Qur’an dan Sunnah Nabi di samping pengalaman peribadi dalam bidang dakwah yang diceburinya dan panduan umum dari “fatwa-fatwa” dari Hassan al-Banna sendiri untuk berdakwah di jalan Allah.

Menurut al-Khuli lagi, seorang pendakwah mestilah mempunyai keyakinan yang tinggi kepada ajaran atau ideologi yang dipegang dan berusaha untuk menyebarkan pegangan tersebut berbanding dengan sekadar pemidato yang hanya menggunakan pidato untuk menarik pendengar tanpa perlu ada kepercayaan tentang apa yang disampaikan. Pendakwah ialah “tabib sosial” dalam merawat penyakit masyarakat dan “reformis” untuk membetulkan masyarakat yang sudah rosak. Dia merupakan teman dan rakan menyantuni orang lain dan menghulurkan bantuan dengan penuh rasa rahmah. Pendakwah adalah pemimpin masyarakat. Pendakwah juga perlu mempunyai hubungan rapat dengan Allah dan berwibawa dalam sudut kerohanian dalam setiap aspek kehidupannya. Pendakwah merupakan “tokoh rabbaniyyah,” terkumpul dalamnya kerohanian yang tinggi, berjihad melawan hawa nafsu demi mendapat taufik Allah. Semua aktivitinya yang dilakukan di atas nama Allah yang maha Tinggi dan maha Agung. Kesemuanya boleh didapati dari sejarah para sahabat Junjungan Rasulullah (s.a.w.). Berbanding dengan golongan yang sesat, berkiblatkan barat, berbangga dengan negara, kebangsaan dan keturunan, para pendakwah meletakkan Allah sebagai tujuan utama.

Menurut al-Khuli lagi, tulisan beliau tidak bertujuan untuk membersihkan mana- mana ahli I.M. dari keburukan mereka atau menyanjung mereka kerana mereka berjasa dalam melaksanakan dakwah. Ini kerana dakwah merupakan cara lama yang sudah dilakukan oleh Rasulullah sendiri dan para sahabatnya. Kesemuanya sudah ditentukan Allah. Al-Khuli menambah bahawa beliau dan para pendokong dakwah terutama I.M. tidak perlu taksub atau berprasangka. Beliau menyatakan dalam buku ini, “inilah yang ada pada kita dan apa yang ada pada orang lain (maksudnya ideologi-ideologi moden).” Kalau ada rasa taksub, ia adalah taksub kepada kebenaran, sedangkan yang menentang Islam dan dakwahnya berada di atas kebatilan. Al-Khuli mengulangi dalam bahagian akhir kata pendahuluan bahawa “Inilah merupakan keimanan kita terhadap bentuk dakwah kita yang mana setengah-tengahnya dengan sebab kejahilan mereka mensifatkan dia sebagai taasub atau fanatik.” (hal. xxv)

Bab pertama membincangkan konsep dakwah, pendakwah, dua tujuan kehidupan dan rawatan kepada penyakit masyarakat manusia semasa. Bab pertama ini terbahagi kepada terdapat tiga fasal. Fasal pertama membicarakan tentang konsep dakwah dan pendakwah. Menurut al-Khuli terdapat dua fahaman berbeza tentang Islam, iaitu pertama fahaman Islam yang jelas dan kedua fahaman Islam yang kabur. Al-Khuli berpendapat asas kefahaman tersebut terbentuk dari kefahaman empirikal (hissi) dan rational (abstrak dan maknawi).

Kefahaman tersebut perlu dianalisa supaya jelas manakah yang benar atau salah. Hanya mereka yang mempunyai hati nurani (fiqh al-qulub) dan keyakinan hati (al-tasdiq al-qalb) yang dapat menentukan benar atau tidak sesuatu kefahaman. Menurut al-Khuli, penerimaan dan penolakan terhadap Islam berpijak kepada asas fahaman tersebut. Mereka mudah menerima Islam sekiranya hati nurani mereka baik, dan begitulah sebaiknya. Mereka menolak dan menentang Islam disebabkan terpengaruh dengan hawa nafsu atau mereka ini sekadar berpuas hati dengan pendekatan yang dipegang selama kini.

Dalam fasal kedua, al-Khuli membincangkan dua tujuan hidup manusia, iaitu tujuan berbentuk fizikal (hissi), tertumpu kepada makan, minum, pakaian dan material dan berbentuk keutamaan (fadilah) berupa kesenangan dalam melakukan kebajikan dan menyebarkan kebenaran. Keutamaan ini terkandung dalam konsep ibadah dalam Islam. Berbanding dengan tujuan yang berbentuk fizikal yang bersifat rendah nilainya, tujuan dalam bentuk keutamaan mempunyai nilai yang tinggi. Kesemua kelakuannya adalah untuk orang lain dan bukan semata-mata untuk diri sendiri. Dalam memilih antara dua tujuan tersebut, al-Khuli lebih memberi peranan kepada fitrah semula jadi manusia untuk merasa yang mana yang lebih tinggi antara kedua tujuan tersebut. Al-Khuli mencadangkan beberapa strategi yang boleh dibuat supaya tujuan kedua dapat dipupuk, antaranya ialah dengan mengamalkan kerjasama, menolong antara satu sama lain, memilih nilai demokrasi dan bersatu padu antara satu sama lain. Dengan itu sikap mementingkan diri sendiri (selfishness) dapat dikurangkan atau dihapuskan. Nilai-nilai ini sama sahaja sama ada di barat atau timur tetap dan perlu dilaksanakan untuk mencapai kebaikan dunia dan akhirat

Fasal ketiga dalam bab pertama ini membincangkan beberapa cadangan tentang rawatan untuk menyelamatkan manusia semasa apabila materialisme, taksud dan prejudis sudah menjadi cara hidup dan pegangan masing-masing. Al-Khuli memberi contoh aliran Nazisme yang merebak di Eropah sehingga menjadi masyarakat dalam permusuhan antara sendiri. Ini ditambah dengan kehidupan mereka yang berteraskan materialisme. Pendakwah yang benar melaksanakan dakwah berdasarkan hati nurani, berusaha bersungguh-sungguh tanpa lagi menghiraukan anak isteri, harta dan sebagainya. Kehidupan mereka bertujuan hanya semata-mata kepada dakwah. Mereka merupakan manusia yang serius dan berminat untuk mengubah manusia yang ada kepada yang lebih baik. Dari sini al-Khuli memberi definisi dakwah sebagai “memindahkan sekumpulan manusia dari suatu sekitar kepada sekitar yang lain.” (hal. 39). Menurut al-Khuli, dakwah berkisar kepada memindahkan manusia dari bersifat kebendaan (madiyyah) kepada ketuhanan (rabbaniyyah). Apa yang penting ialah strategi dalam berdakwah untuk melakukan islah (pembaikan, reform). Tindakan islah dalam berdakwah adalah seperti “tindakan menyelamat.” Ia bukan bertujuan membina universiti, hospital, bank dan sebagainya kerana kesemuanya memang sudah wujud. Pembaikan ini berkisar dari hati yang bersifat materialis kepada hati yang bersifat spiritualis, iaitu qalbiah terdahulu kepada qalbiah yang lain. Antara caranya ialah menerusi pendidikan, pemulisan, ceramah (wa‘az) dan sebagainya.

Dalam bab kedua, al-Khuli meletakkan tiga sikap utama yang perlu dimiliki oleh setiap pendakwah, iaitu bersikap (1) realis (2) kemasyarakatan dan (3) positif. Dengan bersikap realis pendakwah dapat menyentuh dan memikat hati sasaran kerana ia sebahagian dari sunnah Allah. Pendakwah yang hanya berteoris tidak dapat menyentuh hati-hati manusia. Dengan mengambil pendekatan kemasyarakatan, ia membawa kesan dalam berdakwah berbanding dengan sikap sendirian atau personal semata-mata. Seterusnya pendakwah perlu ada sikap positif dan praktikal dan mengelak dari sikap negatif dan pasif. Dengan berbuat demikian menjadikan dakwah lebih berkesan kerana tidak timbul rasa kecewa.

Dalam fasal pertama bab ini, al-Khuli memberi panduan bagaimana seorang pendakwah boleh bersikap realis, antaranya dengan menggunakan cerita. Terdapat banyak cerita dalam al-Qur’an dan cerita itu ada watak baik dan jahat yang boleh dijadikan teladan. Ia boleh memukau sasaran keran mengasyikkan. Sebagai contoh kisah tentang Nabi Sulaiman dan Puteri Balqis dalam Surah al- Naml boleh dijadikan sebagai iktibar tentang asas-asas kejayaan. Antaranya, kepentingan ilmu dan kekuatan, pemerintah yang memiliki visi tauhid, keimanan ketua tertinggi negara dan minatnya terhadap sesuatu dan keimanan rakyat terhadap objektif pemerintah menjadikan mereka ikhlas berbuat sesuatu. Rasulullah (s.a.w.) juga banyak bercerita dalam banyak riwayat hadith bersumberkan cerita-cerita sejarah dan sebagainya. Kesemuanya adalah untuk menambah keberkesanan berdakwah. Al-Khuli menambah pendekatan realis termasuk menggunakan perumpamaan, pepatah dan bidalan dalam berceramah. Selain itu pendakwah boleh menarik perhatian kepada kesan-kesan sejarah lalu, selain pengamatan terhadap perkara-perkara maknawi dan abstrak dan kesan- kesannya kepada perkara-perkara yang dapat dilihat (mahsus, inderawi). Seterusnya, pendakwah boleh mengambil pendekatan perbandingan antara perkara-perkara ghaib (sam‘iyyat) dengan hal ehwal duniawi dan akhirnya pendakwah boleh membawa bersikap realis apabila menekankan pengamatan terhadap ayat-ayat dan kebesaran Allah dan nikmat-nikmatnya yang ada.

Dalam fasal kedua dalam bab kedua ini, al-Khuli membincangkan sikap pendakwah dan hubungannya dengan semangat atau roh kemasyarakatan. Al- Khuli berpendapat manusia itu terbahagi kepada ruh dan jasad. Katanya, jasad memerlukan kepada makanan dan kebanyakannya ialah apa-apa yang keluar dari perut bumi. Manakala ruh ada makanan tersendiri seperti ilmu, iktibar, pengajaran dan ilham. Menurut al-Khuli, identiti sebenar manusia ialah ruh. Dengan sebab itu tugas utama manusia ialah dalam aspek kerohanian. Al-Khuli meletakkan asas bidang kerohanian yang perlu dibawa dalam masyarakat, antaranya ialah (1) meletakkan sempadan antara hati nurani dengan nafsu (2) membetulkan faham tentang zuhud yang banyak disalahtafsirkan. Zuhud yang sebenar ialah keseimbangan antara dunia dan akhirat (3) menumukan kepada keseimbangan antara akal dan hati nurani (4) mengambil sikap tajarrud dengan membersihkan diri dari lintasan yang bercorak nafsu syahwat yang bertentangan dengan nilai ideal yang tinggi, iaitu rabbaniyyah (5) memperbanyakkan zikrullah (6) memilih dalam rohaniah pergaulan berbanding dengan memecilkan diri (7) memahami bahawa kesan kerohanian seperti farmasi yang menyediakan ubatan spiritual kepada masyarakat.

Seterusnya dalam fasal ketiga dalam bab kedua, al-Khuli membicarakan tentang pelaksanaan pendidikan kerohanian dalam kehidupan secara paraktikal. Ia perlu mencapai ciri-ciri sebenar keimanan, iaitu kefahaman yang jelas, cintakan ajaran yang terkandung dalam Islam dan cemburu terhadap keutuhannya. Antara tindakan yang boleh diambil, ialah: (1) mengetahui sasaran dakwah (2) memahami matlamat yang sebenar ialah Allah (3) menghidupkan hati nurani dengan memperingatkan dengan Allah dan memelihara hati nurani dari pengaruh yang beraneka ragam termasuk ekonomi, pengaruh-pengaruh nafsu dan social (4) segala rintangan hendaklah dihadapi dengan lembut (5) mengambil pengajaran dari contoh kejayaan dengan metod berlembut (6) tungak-tunggak kejayaan dalam sekitaran luar termasuk pergerakan yang aktif dan memasukkan bahan dakwah ke tengah-tengah kehidupan masyarakat (7) memusatkan kepada dasar berjamaah dengan menghimpunkan para pengikut serapat-rapatnya dalam dakwah dan tumpuan kepada disiplin diri, persaudaraan murni, sikap merendah diri, mengelak dari pertengkaran dan banyak bersabar, dan (8) memahami tentang kelebihan pelaksanaan pendidikan rohani, antaranya luas kefahaman tentang dakwah, memahami pahit getir dalam berdakwah, menggalakkan amal Islami di kalangan pendakwah, mendapat anugerah cahaya hidayah Allah dengan tidak merasa kecewa dan hampa dengan dugaan yang berlaku, mengetahui terdapat kelompok penyokong dan penentang kepada dakwah dan akhirnya melapang dada para pendakwah sehingga dapat menghasilkan natijah yang baik dalam perjuangan dakwah.

Al-Khuli menyentuh sumber-sumber bekalan pendakwah dalam bab ketiga dan ia terbahagi kepada empat sumber, iaitu (1) al-Qur’an (2) Sunnah (3) Sejarah umat-umat manusia dan riwayat hidup tokoh-tokoh terkenal dan (4) Realiti hidup semasa. Al-Khuli melihat membaca al-Qur’an sebagai ruh bagi menghidupkan diri pendakwah. Pembacaan al-Qur’an perlu dihayati melalui cara merenung, berfikir dan memahami setiap ayat yang mengandungi iktibar dan pengajaran, bertanya diri sendiri niat di sebalik pembacaan al-Qur’an, menghadirkan hati dan perasaan (‘ubudiyyah) ketika membacanya, menghadirkan rasa penghambaan kepada Allah, berpegang bahawa al-Qur’an adalah kalam Allah dan membayangkan ketika pembacaannya seperti mendengar dari Allah sendiri. Al-Qur’an juga meletakkan asas masyarakat meliputi ajaran untuk setiap peribadi muslim, prinsip-prinsip kemasyarakatan dan nilai-nilai penting untuk kebaikan manusia.

Menurut al-Khuli, kedudukan Sunnah sebagai sumber dakwah bertolak dari kepentingan zaman nabi sendiri, iaitu zaman khusus ketika wahyu diturunkan dan nabi melaksanakan segala suruhan dan perintah Allah. Nabi merupakan hamba Allah dan utusannya. Baginda juga memiliki kelurusan budi pekerti dan terang cahaya hatinya. Baginda juga memiliki norma-norma kerohanian dan pengetahuan tentang perkara ghaib. Manakala sumber yang berasal dari sejarah umat lampau dan sejarah tokoh-tokoh terkenal boleh dijadikan sebagai pengajaran dan iktibar bagi pendakwah. Sumber terakhir dakwah ialah realiti kehidupan semasa. Menurut al-Khuli realiti semasa akan menjadi sejarah di kemudian hari. Pendakwah sewajarnya mencatat apa yang menarik perhatian untuk digunakan sebagai bahan dakwah.

Dalam bab keempat, al-Khuli mengariskan beberapa panduan kepada pendakwah dari sudut tuturkata semasa menyampaikan syarahan, pelajaran, khutbah jumaat, penulisan dan percakapan biasa. Antaranya pendakwah perlu bersopan santun, bersifat rabbaniyyah, memilih tajuk yang sesuai dalam ceramahnya, menggunakan sumber ilmiah dalam menyusun isi kandung, berhati cekal dan berani ketika menyampaikan khutbah, menulis dengan penuh semangat dan ketika bercakap hendaklah membuang perasaan tinggi diri dengan berlemak lembut, sentiasa tawaduk dan jangan mencabar orang dengan menunjukkan kehebatan dakwah sendiri.

Analisa Ringkas dan Perbincangan

Al-Bahi al-Khuli semasa umumnya mengemukakan suatu model dakwah semasa yang relevant, komprehensif dan sesuai untuk digunakan Boleh dikatakan bahawa ia sebenar merangkumi kesemua sembilan model yang dianalisis oleh Syabuddin Gade & Abdul Ghafar Hj. Don. Model dakwah tersebut mewakili model gerakan dakwah I.M. yang diasaskan Hassan al-Banna.

Menurut Malik Bennabi (1903-1973), dakwah I.M. yang digerakkan oleh al- Banna merupakan model dakwah yang bertepatan dengan metod dakwah yang terdapat dalam al-Qur’an dan Sunnah Nabi. Dengan kata lain, ia bertepatan dengan Islam itu sendiri. Walau bagaimanapun, I.M. berubah sedikit sebanyak berikutan kematian al-Banna dan diganti dengan pemimpin-pemimpin pelapis yang lain kerana mereka lebih menggunakan I.M. sebagai wahana politik (political instrument). Pada asasnya kedudukan I.M sebagai gerakan Islam yang mewakili ciri-ciri ketamadunan bertukar kepada mempergunakan agama yang diperjuangkan untuk kepentingan politik dan mencapai setengah tujuan yang praktikal dan segera tanpa memperdulikan asas dakwah yang sebenar (Bennabi 1987: 84-86).

Pemerhatian Bennabi ini tepat dengan perkembangan I.M. sehingga masakini. Dengan kata lain, I.M. perlu kembali kepada model dakwah Hassan al-Banna untuk kembali relevant dan sesuai dengan kepentingan masyarakat Islam. Penumpuan kepada mengambil alih kuasa politik dan sebagainya bukan merupakan tujuan asal gerakan Islam itu sendiri. Ini merupakan faktor di sebalik pengharaman I.M. diharamkan pada tahun 1954 di bawah Presiden Nasser dan pada 2013 dengan kejatuhan Presiden Morsi di bawah Jeneral al-Sisi. Apa yang penting ialah dakwah kepada masyarakat untuk kembali kepada tauhid dan perpaduan. Sememangnya sekarang ini berlaku pertelingkahan sesama sendiri sehingga membawa kepada perpecahan. Islam inginkan kepada perpaduan umat Islam sejagat dan masyarakat dunia.

Walaupun begitu, realiti yang ada bukan berlaku seperti yang diimpikan dalam buku Panduan Para Pendakwah, ia tetap berguna dalam mengislahkan gerakan Islam semasa yang sudah berpecah belah dan bersaing sesama sendiri. Mereka mungkin lupa kepada objektif asal Islam untuk menyeru kepada tauhid. Tauhid ini bermaksud bertauhid kepada Allah yang Maha Esa. Begitu juga tauhid (wahdat al-ummat) atau penyatuan sesama manusia.

Kesimpulan

Buku Panduan Para Pendakwah karangan al-Bahi al-Khuli merupakan buku awal tentang dakwah atau secara lebih khusus model dakwah I.M. Imam Hassan al- Banna dalam kata aluan mengiktiraf model yang ditulis oleh al-Khuli. Sekiranya kita sependapat dengan Bennabi, maka buku ini sewajar menjadi panduan kepada setiap pendakwah. Kebanyakan menepati sebagai model dakwah semasa yang begitu komprehensif sesuai digunakan, menepati tanggungjawab setiap Muslim kepada Islam dan dakwah.

Rujukan

Al-Khuli, Muhammad al-Bahi (1952). Tadhkirah al- Du‘ah. Mesir: Dar al-Kitab al- ‘Arabi; El-Bahi, El-Khuli (1984). Panduan Para Pendakwah (Tadhkirah al-du’at). Ter. Ismail bin Mohd. Hassan. Kuala Terengganu: Yayasan Islam Terengganu

Badawi, Muhammad Taha (1980). Madhkal ila ‘Ilm al-‘Alaqah al-Dawliyyah. al-Qahirah: Maktabah al-‘Arabiyah al-Hadithah

Badawi, Muhammad Taha (1980). Usul ‘Ilm al-‘Alaqah al-Dawliyah. al-Qahirah:

Badawi, Muḥammad Ṭāhā (1986). al-Naẓarīyah al-siyāsīyah: Al-naẓarīyah al-ʻāmmah li l-maʻrifah al-siyāsīyah. al-Qahirah: al-Maktab al-Misri al-Hadith

Bennabi, Malik (1987). Islam in History and Society. Trans. Asma Rashid. Islamabad: Islamic Research Institute

Citino, Nathan J. (2017). Envisioning the Arab Future: Modernization in US-Arab Relations, 1945- 1967. Cambridge: Cambridge University Press

Esam Eltigani Mohamed Ibrahim. (2016). Hassan Turabi Tafsir: A Study of the Ideological Aspect of al-Tafsir al-Tawhidi. Kuala Lumpur ITBN & PENA

Gade, Syabuddin & Don, Abdul Ghafar Hj. (2015). Model Dakwah: Satu Analisis Teoritikal (Dakwah Model: A Theoretical Analysis). ʻUlūm Islāmiyyah Journal. 23-41. 10.12816/0028490 Ginat, Rami (1997). Egypt’s Incomplete Revolution: Lutfi Al-Khuli and Nasser’s Socialism in the 1960s. The Cummings Center Series. London: Frank Cass

Haddad, Yvonne Yazbeck (1985). “Islam, Women and Revolution in Twentieth-Century Arab Thought.” Dalam Yvonne Yazbeck Haddad, Ellison Banks Findly (ed.). (1985). Women, Religion, and Social Change. Albany: State University of New York Press

Johannes Reissner (2010). “The Intra-Islamic Discussion of a Modern Economic and Social System.” In Werner Ende, Udo Steinbach (ed.). Islam in the World Today: A Handbook of Politics, Religion, Culture, and Society. Ithaca: Cornell University Press

Kepel, Gilles (2003). Muslim Extremism in Egypt: The Prophet and Pharaoh. Berkeley: University of California Press

Mahmoud, Mohamed A. (2007). Quest for Divinity: A Critical Examination of the Thought of Mahmud Muhammad Taha. New York: Syracuse University Press

Maktabah al-‘Arabiyah al-Hadithah

Mohd. Rumaizuddin Ghazali. (2009). 10 Tokoh Sarjana Islam Paling Berpengaruh. Batu Caves: PTS Islamika

Zárate,         Arthur         E.        (2016).         “Rethinking         an         Islamic        “Moral         Economy.”

http://islamicstudiesconf2016.web.unc.edu/files/2015/10/Zarate.Abstract.pdf

Zollner, Barbara (2009). The Muslim Brotherhood: Hasan Al-Hudaybi and Ideology. London: Routledge

Oleh : PM Dr. Abdul Salam Muhamad Shukri, IIUM

 

 

Translate »