Haruskah kita berkhianat? Jawabnya, tidak! Apa pun bentuknya, dan atas alasan apapun, pengkhianatan adalah perilaku orang-orang penakut yang tidak mempunyai keberanian untuk mengatakan yang sebenar dalam menegakkan kebenaran dan amanah yang telah dipikul. Tidak ada satupun perilaku sosial yang lebih tercela di mata Allah melainkan perbuatan khianat. Dalam istilah agama pengkhianat disebut sebagai perilaku orang munafik.

Sikap apa yang perlu diambil apabila kita menghadapi pilihan-pilihan sulit selain terus berkhianat terhadap satu kepentingan tertentu? Apakah tidak ada jalan lain selain dengan berkhianat?

Islam memberi jalan keluar dalam sebuah kaedah, iaitu mendahulukan kepentingan yang lebih tinggi dan lebih utama daripada kepentingan biasa. Iaitu kepentingan untuk jangka panjang harulah didahulukan daripada kepentingan jangka pendek. Kepentingan lebih umum haruslah didahulukan daripada kepentingan khusus.

Islam mensyaratkan bahawa setiap pengikutnya hidup dalam keadaan damai. Kehidupan yang damai atau aman itulah yang dapat melahirkan masyarakat harmoni, tersusun kemas dengan segala nilai dan norma kehidupan bersama, tidak meletakkan kepentingan diri sebagai matlamat utamanya.

Matlamat masyarakat atau dalam istilah sosiologi Islam adalah kepentingan jemaah atau kemaslahatan ummah dijadikan sasaran manakala kepentingan peribadi lebih bersifat membentuk peribadi yang mulia, tidak menyakitkan hati dan perasaan orang lain.
Oleh sebab itu, apabila kita disuruh memilih antara kepentingan parti dan negara, maka kepentingan negara harus lebih diutamakan. Hal in kerana, dalam negara yang mengamalkan sistem demokrasi, parti merupakan alat negara untuk mewujudkan keadilan dan kesejahteraan bagi rakyatnya. Bukan sebaliknya iaitu negara yang menjadi alat parti untuk mendapatkan kekuasaan, sehingga rakyat boleh menjadi mangsa apabila bertentangan dengan kepentingan sebuah parti.

Bagi seorang negarawan sejati, rakyat dan negara adalah tujuan pengabdian politik yang sesungguhnya, sementara parti baginya hanyalah sebuah alat untuk mewujudkan pengabdian itu. Bila ternyata parti dianggap telah keluar dan melanggar nilai-nilai keadilan, kebenaran dan kejujuran, maka kepentingan parti mesti diabaikan.

Inilah hakikat dan pendirian yang perlu diambil oleh seorang ahli politik yang sesungguhnya. Walaupun sesama golongan parti dilabel sebagai kurang memiliki rasa patriotik kebangsaan dan perbuatan ini sebagai pengkhianatan kepada parti, tetapi di mata rakyat ia adalah pahlawan.

Sekarang kita bertanya kepada ahli politik kita, manakah yang anda pilih? samada berkhianat kepada parti tempat anda “bekerja” untuk memperjuangkan tujuan politik anda atau meletakkan kepentingan negara mengatasi kepentingan parti?

Bila jawapanya “bukan kedua-duanya”, dalam erti tidak mahu berkhianat kepada parti dan negara, maka itulah sikap sebenar sebagai seorang penjaga amanah bangsa dalam erti yang sesungguhnya. Dengan sikap seperti itu, akan selalu berusaha mempertemukan kepentingan parti yang lebih kecil dengan kepentingan bangsa negara yang lebih besar dan utama.

Agama mengajar manusia menjauhi sifat-sifat tercela dan mengkhianati orang. Setiap orang wajib menghormati hak orang lain dan menjauhkan diri daripada sebarang tindakan yang boleh mengakibatkan permusuhan dan kekacauan. Menghasut dan menyebarkan permusuhan atau mencipta kekacauan adalah perbuatan yang sangat dibenci agama.

Allah berfirman yang bermaksud: Dan sekiranya mereka bermaksud mengkhianatimu, maka Allah akan mencukupimu. Dia sahaja yang dapat menolongmu dengan pertolongan-Nya dan orang mukmin sekalian (yang berada di belakangmu). (Maksud surah al- Anfal: 62)

Hakikat ini merupakan amanat Allah SWT dan Rasul-Nya kepada kita untuk dipraktikkan sepanjang kehidupan bermasyarakat. Kita juga ditegah daripada mengabaikan kesungguhan dalam memperjuangkan langkah mempertahankan agama, tanah air dan negara.

Menerusi ayat tersebut juga Allah menyebut pengkhianatan terhadap amanat itu adalah sebagai fitnah atau musibah. Malapetaka akan menimpa semua pihak yang ingkar dan tidak mengambil peluang memperbetulkan kesilapan.

Ingatlah bahawa apabila kita ingin memperkasakan kedudukan bangsa, kita haruslah bermula dengan usaha membangunkan pola hidup masyarakat. Kita perlu menyemai benih-benih budaya dan nilai kehidupan yang harmoni, ia tetap bermula dengan niat. Niat bermula daripada kesanggupan hati dan iltizam kita. Secara berlawanan, jika hati resah atau kacau bilau, maka akan lumpuh dan hancurlah masyarakat.

Dalam hal ini, Allah SWT berfirman dalam surah Al-Anfal ayat 24 hingga 27 yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman sahut dan sambutlah (seruan) Allah (dan seruan) Rasul-Nya apabila Ia menyeru kamu kepada perkara-perkara yang menjadikan kamu hidup sempurna (maju dan kuat) dan ketahuilah bahawa Allah (berkuasa) mengubah atau menyekat antara seorang itu dengan (pekerjaan) hatinya dan sesungguhnya pada-Nya kamu akan dihimpunkan kembali dan jagalah diri kamu dari berlakunya dosa (yang membawa bala bencana) yang bukan saja akan menimpa orang yang zalim dalam kalangan kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu semua secara umum) dan ketahuilah bahawa Allah amat hebat azab seksa-Nya.

Dan ingatlah ketika kamu sedikit bilangannya (lemah) serta tertindas di bumi sendiri kamu takut orang-orang (musuh-musuh) menangkap dan menculik kamu, maka Allah memberi tempat untuk kamu bermastautin dan diperkuatkan kamu dengan pertolongan-Nya serta dikurniakan kamu daripada rezeki yang baik-baik supaya kamu bersyukur. Wahai orang-orang yang beriman janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan Rasulnya dan (janganlah) kamu mengkhianati amanat kamu sedangkan kamu mengetahui salah dan bahayanya.”

Peringatan daripada Allah SWT itu amatlah wajar dijadikan renungan setiap umat Islam, termasuk dalam kalangan yang berkepentingan dan berasa angkuh dengan kekuatan sendiri. Ini kerana, kehidupan kita di Malaysia adalah kehidupan yang diasaskan secara bermasyarakat. Tidak ada satu kumpulan pun yang boleh mendabik dada mengaku bahawa kekuatan diri dan kumpulannya sahajalah yang mampu bertahan, tanpa memerlukan bantuan orang lain.

Seseorang akan dianggap sebagai seorang negarawan sejati, kerana hati dan fikirannya telah dipenuhi oleh hasrat untuk menjadi seorang pengabdi yang bebas dari sifat kerakusan duniawi dan gila kuasa. Pemimpin akan terselamat dilabel sebagai pengkhianat oleh siapapun baik dalam parti dan negara sekiranya sentiasa membela kepentingan rakyat dan negara.

Bagaimanapun, apabila kepentingan parti lebih diutamakan berbanding dengan kepentingan bangsa dan negara, maka bersedialah dilabel sebagai pengkhianat sebenar. Sedar atau tidak, tiada pengkhianatan yang lebih besar daripada mengkhianti khianat kepada negara sendiri. Pengkhianatan kepada parti tidak sebesar impaknya kepada pengkhianatan bangsa dan negara.

Lalu, bagaimana kita mengatasinya? Jangan ada khianat kepada parti, dan apalagi kepada rakyat dan negara. Memang, menjaga kepentingan parti bersama dengan kepentingan rakyat kadang-kadang bukanlah persoalan mudah. Ia sangat memerlukan kekuatan dan kebijaksanaan tersendiri. Tetapi, bukankah bermakna ini sebagai keputusan berani dengan memikul amanah sebagai wakil rakyat? Ertinya, apabila tidak mampu menggalas jawatan itu, maka demi amanah yang dipikul, sebaliknya mundur dan letak jawatan dan kembali lagi menjadi rakyat biasa.

Oleh kerana itu, mari kita utamakan nilai nilai prinsip kita sebagai pemegang amanah dari rakyat untuk menentukan siapa yang akan dibebani pemegang amanah ini. Marilah kita berpegang teguh kepada ajaran Allah, dan menjunjung tinggi nilai-nilai luhur agama yang kita peluk.

Percayalah, kebahagian adalah berasaskan kepada jiwa dan raga yang sihat dan bukan hanya kesenangan duniawi semata-mata. Oleh sebab itu, buatlah rakyat bahagia dengan mempertahankan nilai-nilai kejujuran, keadilan, amanah dan bertanggungjawab niscaya kita akan mendapatkan kebahagaian yang berlipat ganda daripada yang Maha Kuasa.

Catatan:Ahmad Bin Ismail

Translate »