Ismail bin Abi Uwais telah menceritakan kepada kami, berkata Malik, telah menceritakan kepadaku daripada Hisyam bin Urwah daripada ayahnya daripada Abdillah bin Amru bin al-As R.Anhuma katanya: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT tidak menghapus ilmu pengetahuan dengan cara mengambil sekaligus daripada hamba-hamba-Nya. Tetapi Allah SWT menghapus ilmu pengetahuan itu dengan kematian ulama sehingga tiada lagi orang yang alim. Ketika itu orang ramai melantik ketua-ketua mereka dari kalangan orang yang jahil dan apabila mereka ditanya mereka memberi fatwa dengan sewenang-wenangnya tanpa berpandukan ilmu pengetahuan. Maka mereka sesat lagi menyesatkan.” Justru itu kita sekarang sedang berada diakhir zaman dimana seorang demi seorang ulama diambil oleh Allah SWT.Terbaharu semalam kita kehiangan pula ulama tersohor Sheikh Yusuf al-Qardhawi.

Ulama tersohor, Sheikh Yusuf al-Qaradawi yang berpangkalan di Qatar dan merupakan pemimpin kerohanian Ikhwanul Muslimim, meninggal dunia hari ini, demikian menurut kenyataan laman Twitter rasminya.

Ulama dan ilmuwan Islam itu meninggal dunia pada usia 96 tahun. Beliau merupakan ulama dalam dunia Islam yang telah memberi banyak sumbangan dalam bentuk ilmu dan pemikiran di abad ini. Banyak kitab-kitab yang dikarang beliau yang mampu menjawab ratusan persoalan dalam isu agama dan kemanusiaan. Antara kitab terbaru beliau adalah Fiqh Jihad yang sangat tebal membahaskan mengenai hukum hakam dalam perjuangan khususnya dalam perang mengenai jihad al qital (mengangkat senjata). Tidak cukup menggemari ilmu beliau, sekurang-kurangnya kita mengetahui secara ringkas biodata Dr Yusuf Al-Qaradhawi ini.

Beliau lahir pada 9 September 1926 dizaman Era Hassan Al-Banna (Pelopor Ikhwan Muslimin) Lahir di Shaft Turab, sebuah perkampungan kecil di Mesir.Beliau ketika kecil, sebenarnya telah berjaya menghafaz Al-Quran semasa berumur 10 tahun. Beliau telah menamatkan pendidikan peringkat tertinggi di Maahad Thantha. Selepas itu beliau melanjutkan pelajaran ke Universiti Al-Azhar dalam jurusan Fakulti Usuluddin sehingga 1952. Pada tahun 1972, beliau telah berjaya memperoleh gelaran Dr.

Secara ringkas, Dr Yusuf Al-Qaradhawi telah berkhidmat di Qatar dan salah satu usaha beliau adalah menubuhkan Fakulti Syariah di Universiti Qatar serta mendirikan Pusat Kajian Sejarah dan Sunnah Nabi Muhammad s.a.w.Dr Yusuf Al-Qaradhawi merupakan tokoh tersohor yang menjadi antara rujukan utama umat Islam seluruh dunia. Beliau juga sedang menyandang sebagai pengerusi Kesatuan Ulama Islam Sedunia (KUIS) yang merupakan kesatuan paling berpengaruh dalam dunia Islam masa kini. Beliau bukan sahaja seorang ulama, malah beliau merupakan tokoh pemikir yang tersohor atas banyak usahanya dalam membantu membangkitkan semula kemuliaan umat Islam di mata dunia.

Dalam agama, Dr Yusuf Al-Qaradhawi memiliki keunikan dalam pendekatan dakwah dan ilmu. Pendapat-pendapat beliau sangat disenangi, mudah diterima dan sederhana. Beliau telah berjaya menonjolkan Islam sebagai agama untuk penyelamat dan sesuai untuk seluruh manusia. Dengan kehebatan ilmu, beliau turut dikenali sebagai ulama yang memiliki metodologinya tersendiri dalam menterjemah Islam. Ini menjadikan pemikiran beliau sangat relevan dengan zaman. Dalam penulisan, beliau telah menghasilkan lebih daripada 100 karya atau kitab dan telah diterjemahkan kepada pelbagai bahasa termasuklah bahasa melayu.

Catatan : Ibnu Majid

 

Translate »