Semasa Richard menyerang Acre (musim panas 1191), berlaku konflik antara John dan Longchamp di England. Longchamp menyerang benteng Lincoln manakala John menyerbu Nottingham dan Tickhill. Dengan campur tangan para uskup, perang saudara (antara John dan Longchamp) dapat dihentikan. Eleanor pula berpendapat adalah lebih baik mengangkat Geofrey ‘Anak Haram’ sebagai uskup agung York, dengan cara ini ia dapat mengimbangi kedudukan John dan Longchamp.
Namun, cadangan tersebut dilihat sebagai satu pelanggaran terhadap Perjanjian Damai Tuhan. Eleanor akhirnya berjaya mendapat persetujuan Hyacinthus Bobo, yang kemudiannya ditasbihkan sebagai Paus Celestine II. Paus Celestine II kemudiannya menerima pengangkatan John sebagai Uskup Agung dari York dan menolak kedudukan Longchamp sebagai Uskup dari Ely. Geofrey si Anak Haram kemudiannya tidak dibenarkan balik ke England selama tiga tahun, tetapi larangan tersebut tidak diendahkan sehingga ditangkap dalam percubaannya di Terusan Dover. Akhirnya, semasa dibicarakan,  Longchamp tidak hadir dan melarikan diri ke Dover untuk membuat pengaduan kepada ke Roma.
Agar tidak dikenali oleh orang ramai, Longchamp menyamar dengan berpakaian wanita. Suatu hari, seorang nelayan menghampiri Longchamp yang sedang duduk di atas sebongkah batu karang. Disebabkan cuaca sejuk, nelayan tersebut menghampiri Longchamp dan cuba memeluknya. Akibat terkejut, Longchamp melompat dan pakaian yang menutup kepalanya terjatuh. Wajah sebenar Longchamp yang hitam jelas kelihatan, maka nelayan tersebut memanggil rakan-rakannya. Diejeknya peristiwa tersebut: Aku menemukan seorang perempuan, tetapi ternyata ia seorang laki-laki”.
Longchamp yang tidak memahami bahasa Inggeris hanya mampu memandang orang ramai yang berkerumun dan akhirnya diseret. Longchamp kemudiannya dimasukkan ke dalam sel tahanan Geofrey, di benteng Dover. Bagaimanapun tidak lama selepas itu, Longchamp berjaya meloloskan diri dan berjaya keluar dari England.
Longchamp tidak berdiam diri, dilaporkan kepada Richard mengenai rancangan John untuk merebut takhta, dengan menyalahkan Uskup dari Coventry yang berjaya dipengaruhi oleh John. Dalam hal itu, Longchamp berkomentar: uskup seperti itu bukan sahaja wajib dijauhi, bahkan ‘merosak jemaah Tuhan’.
Tulis James Reston, “Jelas sekali bahawa orang-orang terpelajar pada zaman ini benar-benar tahu bagaimana caranya menghina satu sama lain. Akan tetapi, tidak ada hinaan terhadap pemcelanya yang boleh menyelamatkan Longchamp sekarang sehingga beliau berundur dari atas pentas.” (James Reston Jr, ibid, 280).
Richard yang terpaksa mengharungi perang yang panjang,  melakukan seorang diri selepas sekutunya yang tidak pernah serasi –Philip Augustus dari Perancis dan kehilangan sokongan tentera Jerman – termasuk berhadapan dengan serangan penyakit yang mengganggu kesihatannya, cedera dalam serangan di Sungai Mati dan mengharungi perang psikologi daripada tentera Islam pimpinan Salahudin al-Ayubbi.
Dalam tempoh peperangan yang panjang, Tentera Salib berhadapan dengan masalah kekurangan bekalan makanan, yang akhirnya memaksa Richard memberikan tawaran mana-mana tentera yang kehilangan kuda akan digantikan dengan kuda yang baharu, dengan syarat ‘mendermakan daging kudanya yang pertama kepada anggota tentera yang lapar.’
Semasa menghampiri Baitul Maqdis, iaitu ketika berada di Jaffa (Tel Aviv), sepuluh kilometer ke arah selatan, Tentera Salib berhadapan dengan persekitaran hutan yang tebal, yang mana Tentera Islam sedang bersembunyi. Salahudin merancang untuk berlindung di situ dan melakukan serangan ke atas Tentera Salib sebaik sahaja mereka tiba.
Kemungkinan tersebut memang diduga oleh Richard. Richard kemudiannya menghantar seseorang untuk menyatakan hasratnya untuk berunding dengan Malik al-Adil, dan dipersetujui oleh Salahudin. Perundingan tersebut berlaku pada waktu malam, dan keesokannya laporan perbincangan tersebut disampaikan kepada Salahudin.
Salahudin merasa curiga dengan niat Tentera Salib untuk berdamai. Salahudin mengarahkan asas rundingan dan perdamaian itu dilanjutkan secara lebih mendalam, dan dalam masa yang sama mengarahkan mempertahankan kedudukan kekuatan Tentera Islam. Bagaimanapun, peperangan terus berlangsung hingga ke 6 September 1191, kerana hari berikutnya, umat Kristian bersiap sedia untuk menyambut hari ulangtahun kelahiran Maria, ibu Nabi Isa AS yang dianggap sebagai ‘perawan suci’.
Tarikh itu juga merupakan hari ke-14 bulan Syaaban (hari ke 224 dalam kalendar Hijrah), yang disambut sebagai Nisfu Syaaban (malam penuh rahmat selepas malam Lailatul Qadar), di mana catatan amalan umat Islam selama setahun diangkat ke ‘langit’ dan digantikan dengan ‘buku baharu’. Catatan pertama dalam ‘buku baharu’ akan bermula sebaik sahaja masuk waktu Maghrib pada 14 Syaaban kerana permulaan hari baharu bagi kalendar Islam ialah selepas matahari tergelincir dari kedudukannya ‘di atas kepala’.
Richard menyampaikan hasrat untuk menemui Salahudin. Dalam pertemuan tersebut, Richard menyampaikan hasratnya untuk berdamai. Antara persetujuan ialah (1) Baitul Maqdis diperintah oleh Tentera Islam tetapi penganut Kristian tidak dihalang untuk melaksanakan ziarah ke ‘tanah suci’; (2) Tentera Salib mempertahankan pantai Syam dari Syur ke Yafa; dan, (3) tanda-tanda agama Kristian (Salib Asal) yang dirampas oleh Tentera Islam dikembalikan. (Hamka, Sejarah Umat Islam, 2018, hal. 388). Setelah dibahas dengan mendalam dan perundingan berlangsung beberapa hari, perjanjian itu ditandatangani pada 2 September 1192 dikenali dengan Perjanjian Jaffa. Selepas beberapa bulan menguruskan Jerusalem, Salahudin membuat keputusan untuk pulang ke Damaskus.  Salahudin meninggal enam bulan kemudian (3 Mac 1193).
Pada bulan September 1192, mereka yang selamat dalam Perang Salib III di Acre bersiap sedia mengemaskan barangan untuk meninggalkan Tanah Yang Dijanjikan. Sebahagian besar armada Richard yang selamat memulakan pelayaran pulang pada 29 September manakala Richard meninggalkan bumi Palestin sepuluh hari kemudian, iaitu sekitar 9 Oktober 1192.
Perjalanan pulang ke England tidak kesemuanya mengikut jalan laut, kerana Richard berhasrat untuk singgah di Cyprus bagi mengucapkan tahniah kepada Guy Lusignan. Pelayaran dari Acre memasuki Laut Etrusca terpaksa berhadapan dengan gelombang kuat. Rombongannya seramai dua puluh orang “mempunyi firasat tentang beberapa risiko yang akan mereka hadapi di mana pun mereka mendarat di Eropah” dan “ke mana pun mereka memandang di atas peta, ada perangkap.” (James Reston Jr, ibid, hal.453).
Perangkap-perangkap itu sudah beberapa lama dipasang oleh Philip Augustus. Philip Augustus seolah-olah berusaha memanjangkan kisah permusuhan antara Perancis dan Britain, termasuk dendamnya terhadap Richard, kebencian terhadap bekas Ratu Perancis, iaitu ibu Richard, Eleanor (juga bekas ‘ibu tiri’ Philip) sebaik sahaja Philip pulang ke Perancis sebelum selesai Perang Salib III.
Philip bukan sahaja tidak boleh menerima Richard sebagai ‘panglima Tentera Salib’ bahkan dalam banyak perkara sangat tidak menyenangi  tindakan dan strategi perang Richard.  Antara keduanya juga ada masalah dalam pembahagian ‘rampasan perang’ dan kedudukan Raja England yang teruji dengan pelbagai kemenangan dalam beberapa peperangan yang melibatkan England dan beberapa jajahan takluknya. Raja England mempunyai keluasan wilayah jajahan yang lebih besar, dan setelah Eleanor berkahwin dengan Raja Henry II, kuasa Britain cukup menyerlah dan dilihat semakin dominan di Eropah.
Philip merasakan hal itu perlu dikikis, maka dengan kesempatan yang ada, dilakukan pelbagai hasutan dan fitnah terhadap Richard di pelbagai kerajaan yang ada hubungan dengan Perancis, seperti Jerman, Itali, Yunani dan Yunani Kuno, menerusi kecekapan diplomasinya: Raja Perancis telah memfitnah Richard di hadapan siapa pun yang mahu mendengar. Sesungguhnya, Richard  tidak memahami luasnya fitnah tersebut tersebar.
“Di seluruh Eropah, teman-teman lamanya sedang memfitnah dia dengan tuntutan liar yang didorong oleh kombinasi antara nafsu seorang kekasih yang telah ditolak dan perajurit yang dipermalukan, yakni sejak saat Philip tiba di Judea, Richard telah mencuba untuk menjebaknya kepada Salahudin; bahawa begitu Richard  memperoleh akses atas Tirus (Tyre), dia membunuh Conrad dari Monferrat; bahawa dia telah meracuni Duke dari Burgundy; dan bahawa dia telah mengirim pembunuh oriental untuk memotong leher ramai raja Eropah yang tengah berkuasa dan menentang dia.”
Fitnah yang disebarkan oleh Philip itu menyebabkan semua pintu masuk ke Eropah seperti ‘dikunci’ dan arahan dikeluarkan untuk menangkap Richard: Kaisar telah menugaskan setiap kota di daerah kekuasaannya untuk menangkap Raja Inggeris; Yunani Kuno murka dengan penghinaan Richard terhadap Isaac Comnensus di Cyprus; Duke of Austria, menyeret panji Richard selepas kejatuhan Acre dan secara peribadi mesti bertanggungjawab; dan, di Peidmont, keluarga Conrad dan seluruh Itali yang memusuhi Tancred dari Sisilia, dan di Jerman, juga bermasalah kerana kaisar baharu Kerajaan Romami Suci, Henry VI kerana Richard menyokong Tancred.” (James Reston Jr, ibid, hal. 453-454).
Hal itu berjaya dilakukan oleh Philip sebaik sahaja meninggalkan Palestin atas alasan ‘sakit’ yang ditelah oleh Richard untuk (alasan) ‘melepaskan diri dari tanggungjawab perang suci’. Atas ‘kepercayaan’ itu, Richard sebenarnya tidak ada jalan selamat untuk kembali ke England. Richard tidak bercadang menggunakan sepenuhnya jalan laut kerana khuatir mengalami masalah yang lebih besar dan merbahaya belayar dalam musim angin Timur. Dengan memilih ‘jalan darat’, lebih diyakini ‘selamat’ berbanding lautan dan ada harapan untuk pulang dengan selamat.
Enam minggu selepas meninggalkan Acre, rombongan Richard mendarat di Corfu. Richard juga bercadang untuk membantu Henry dari Saxon, iaitu iparnya yang memberontak di atas pelantikan Kaisar Jerman yang baharu,  Henry VI. Corfu ialah sebuah pulau dalam wilayah Yunani yang pernah menjadi sarang perompak.
Sebaik tiba di situ, Richard menyewa dua buah kapal perompak untuk membawanya ke Dalmatian, yang berada jauh ke utara. Di bahagian utara itu ialah wilayah kekuasaan Leopold, Duke of Austria yang cukup kuat berdendam dengan Richard manakala di sebelah barat ialah Venice, dan di selatannya adalah Peidmont, kawasan yang dikuasai oleh Conrad dari Montferrat. Di bahagian hulu Laut Adriatik ialah wilayah Corz, yang dikuasai oleh Count Meinhard, anak saudara Conrad. Ertinya, di setiap penjuru Richard berhadapan dengan ‘musuh dan pendendam’. Oleh kerana itu Richard terpaksa menyamar sebagai kelompok Tentera Salib yang dipimpin oleh Baldwin dari Bethune, sebagai seorang saudagar kaya bernama Hugh.
Hugh mengirimkan sebentuk cincin dengan permata rubi yang mahal sebagai salam untuk mengambil hati Meinhard. Tetapi Meinhard dapat membaca muslihat tersebut dan menegaskan jawapan kepada utusan Richard: “Aku telah bersumpah untuk menangkap semua pelawat dan tidak menerima hadiah apa pun daripada mereka. Namun, atas kebaikan penghormatan yang telah disampaikan oleh tuanmu kepadaku, aku akan mengembalikan hadiah ini dan mempersilakan dia untuk meninggalkan tempat ini.” (James Reston Jr, ibid, hal.455-457). Peristiwa tersebut turut menunjukan bukti bahawa Richard sudah berada di persekitaran mereka, dan Richard mula berusaha meloloskan diri daripada diserang atau ditangkap, lalu menyamar sebagai Templars.
Richard  akhirnya berjaya mengeksploitasi Roger Argenton, seorang penduduk asli Normandia, yang awalnya ditugaskan untuk memeriksa semua rumah penginapan dan jika berhasil menangkap Richard, beliau dijanjikan mendapat separuh daripada kesemua rumah yang ada di Friuli.
Ketika menghampiri Richard, Roger dapat mengecam Raja Inggeris itu, tetapi tidak menangkapnya, sebalik berlutut memberikan penghormatan. Sebagai ‘kesetiaan’nya, Roger memberikan Richard seekor kuda tangkas untuk melarikan diri. Kumpulan dua puluh orang itu berpecah. Richard bergerak ke utara menuju kawasan pergunungan Alps memasuki Carinthia dan jumlahnya hanya tinggal tiga orang. Diceritakan bahawa rombongan Richard terpaksa menempuh perjalanan selama tiga hari tanpa makanan, dan berusaha untuk mendekati Vienna, kubu kuat Leopold.
Setelah sampai di salah sebuah rumah penginapan, Richard meminta salah seorang pelayan untuk membeli barangan keperluan di pasar. Namun, disebabkan ‘rasa bangga’ dan tindakan lelaki muda itu dilihat ‘luar biasa membeli’, timbul pertanyaan dan kecurigaan. Lelaki muda itu memberitahu, dia membeli barangan itu kerana diminta oleh gurunya, seorang lelaki kenamaan yang cukup masyhur.
Lelaki muda itu terlupa, dalam keranjang terdapat sepasang sarung tangan bersulam yang diketahui dimiliki raja. Lelaki itu kemudiannya ditangkap dan disiksa. Penyerbuan di rumah penginapan Richard dilakukan, dan ketika itu Richard menyamar pula sebagai seorang tukang masak dengan memakai jubah yang kotor. Dicubanya untuk memotong ayam, tetapi kerana Richard bukanlah seorang tukang masak, perilaku itu dicurigai, canggung, kekok dan tidak bertepatan dengan gaya tukang masak. Akhirnya, Richard ditangkap dan diserahkan kepada Leopold.
Berita penangkapan Richard segera tersebar, dan Henry VI dengan segera memerintahkan Leopold menyerahkan Richard untuk diadilinya. Pada 14 Februari 1193, keputusan dibuat bahawa Richard boleh dibebaskan dengan syarat bersedia membayar wang tebusan sebanyak enam puluh ribu pound perak. (Bersambung)
Kamarun KH
Translate »