MARHABAN YA RAMADAN – “Selamat datang Ramadan” diucapkan untuk bulan yang suci; diharapkan agar jiwa raga kita serta keluarga, anak-anak dan umat Muslim seluruhnya diasah dan diasuh bagi melanjutkan perjalanan menuju Allah SWT. Kita perlu mempersiapkan bekalan bagi tujuan menyelusuri jalan itu.

Tahukah saudara apakah bekalan itu? Benih-benih kebajikan yang harus kita tabur di dalam jiwa keluarga Muslim seluruhnya. Tekad kita yang membaja untuk memerangi nafsu agar kita mampu menghidupkan malam Ramadan dengan solat dan tadarus, serta siangnya dengan ibadah kepada Allah melalui pengabdian untuk agama, bangsa dan negara.

Sebagai keluarga Muslim, kita seharusnya gembira menyambut kedatangan bulan Ramadan dan menghadapinya dengan dada yang lapang, dengan jiwa yang tenang, dengan hati yang tenteram. Bagi orang Islam yang beriman, mereka menerima kehadiran bulan yang barakah ini dengan penuh kegembiraan. Ini kerana pengembaraan Ramadan yang begitu lama sudah kembali semula menemui kita.

Sesungguhnya Allah mewajibkan puasa sebagai tujuan untuk membersihkan jiwa kita daripada sifat-sifat yang hina, dan menghiasi jiwa dengan sifat-sifat yang mulia serta menjauhkannya daripada setiap sifat yang tercela. Kita dianjurkan supaya banyak bersabar dan berjihad melawan hawa nafsu. Dengan puasa juga iman seseorang Muslim akan bertambah kuat dan bersih.

Ramadan menawarkan pelbagai tawaran dan ganjaran untuk keluarga Muslim yang beriman. Sebab itu juga bulan ini dikenali sebagai bulan ibadah, iaitu bulan di mana orang-orang yang beriman berebut-rebut mengerjakan amalan soleh.

Orang-orang yang beriman sahaja yang tahu menghargai Ramadan. Sebab itu mereka mempertingkatkan amalan baik seperti bersedekah, tarawih, qiamullail, tadarus al-Quran, berzikir dan pelbagai amalan baik pada bulan yang mulia ini.

Banyak kelebihan yang terdapat pada bulan Ramadan jika dibandingkan dengan bulan-bulan lain dalam Islam. Kitab suci al-Quran yang menjadi panduan hidup kita diturunkan di dalam bulan mulia ini. Ini ditegaskan oleh Allah SWT dalam firman-Nya yang bermaksud:

“Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (al-Quran) pada malam Lailatul Qadar. (Maksud al-Quran Surah Al-Qadr, ayat 1)

Umat Islam harus menghayati keagungan bulan Ramadan ini. Bulan di mana Allah telah menurunkan al-Quran sebagai petunjuk bagi seluruh umat manusia. Ini adalah bulan untuk kembali dan bertaubat, bulan pengampunan dan rahmat, bulan kebebasan daripada api neraka dan kemenangan berupa syurga.

Menghadapi bulan Ramadan memerlukan persiapan mental dan spiritual khususnya dari segi semangat dan ketahanan. Ini sangat penting untuk mendapatkan hasil yang maksimum daripada ibadah puasa itu.

Ada sesetengah orang bersiap sedia dari segi mental tetapi tidak mempunyai nawaitu (niat). Manakala sesetengahnya pula, sempurna dari segi niat tetapi tidak pula mempunyai semangat dan ketahanan dalam menghadapi puasa di bulan Ramadan.

Kurang daripada segi penghayatan atau pendidikan Ramadan barangkali menjadikan sesetengah orang tidak bersemangat. Kalau bersemangat pun tidak tahan lama, bersifat sementara dan ‘hangat-hangat tahi ayam’.

Sebab itu, orang yang berpuasa tanpa persiapan mental dianggap sia-sia seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Betapa banyak orang yang berpuasa tetapi tidak mendapatkan sesuatu dari puasa itu selain lapar dan dahaga.” (Hadis riwayat Bukhari)

Dalam setahun di mana terdapat 12 bulan hanya ada satu bulan Ramadan; tidak sampai 10 peratus pun. Tetapi dengan melihat nilai kualitatif dan kepadatan ibadah yang dilakukan sepanjang bulan ini, maka bulan Ramadan menjadi sangat signifikan jika dibandingkan dengan jumlah keseluruhan sebelas bulan lainnya. Justeru, alangkah ruginya jika kita menghadapi Ramadan secara biasa-biasa sahaja, lesu dan tidak bersemangat.

Mari kita persiapkan diri serta keluarga dan bersedia lebih awal untuk ke masjid. Jangan ambil mudah dengan mengatakan bahawa solat berjemaah dan solat tarawih hukumnya cuma sunat.

Demikian juga solat Subuh, usahakan untuk bersedia sebelum waktu Imsak, pastikan semua urusan dapur sudah selesai. Lebih penting, segala-galanya perlu siap sebelum azan dan kita sudah berada di masjid. Anda sudah tentu tidak mahu kehilangan kesempatan untuk solat tahiyatul masjid dan solat sunat rawatib, yang nilainya lebih mulia daripada dunia berserta isinya.

Puasa juga mendidik kita untuk belajar bangun awal. Sesetengah daripada kita menganggap kerana hukumnya sunat maka sahur ditinggalkan. Kalau kita sudah biasakan diri untuk bangun lebih cepat selama sebulan Ramadan maka ini bererti kita sebenarnya sudah mampu untuk melakukannya di luar bulan Ramadan. Di mana lagi kita dapat miliki peluang seperti itu kalau tidak pada bulan Ramadan selama sebulan terus-menerus.

Persiapan kita bukan sekadar menghadapi lapar dan dahaga tetapi bersedia untuk memahami dan menghayati makna-makna falsafah yang terdapat di dalamnya.

Tidak tahan mengantuk juga menjadi masalah besar dalam kalangan orang kita pada bulan Ramadan. Memang ada hadis yang menyatakan bahawa tidur orang yang berpuasa itu adalah ibadah.

Tetapi itu bukan perintah untuk memperbanyakkan tidur di bulan Ramadan. Tidak ada contoh daripada Rasulullah SAW, para sahabat dan orang-orang soleh tentang hal ini. Malah Rasulullah SAW mengurangi tidur baginda pada malam-malam bulan Ramadan hingga ke batas paling minimum. Baginda dan para sahabat banyak membaca al-Quran, berzikir dan sembahyang.

Sepintas lalu amalan-amalan seperti ini amat berat tetapi ia bukan terletak pada sesuatu amalan melainkan pada cara kita memikirkan amalan itu. Jika kita memikirkan sesuatu itu berat maka, ia dengan sendirinya menjadi berat tetapi jika kita memikirkannya mudah maka dengan sendirinya ia akan menjadi mudah.

Di samping persiapan daripada segi spiritual, ingatlah Ramadan adalah bulan maghfirah (pengampunan) dan rahmah (kasih sayang). Persiapan dari segi rohani diperlukan untuk membetulkan niat, membersihkan hati, membangun tekad dan bersiap untuk menerima bimbingan serta petunjuk Allah SWT.

Sebaik-baiknya sebelum bulan Ramadan tiba, sesuaikanlah diri dengan amalan seperti solat wajib kerana sesetengah orang berpuasa tetapi tidak melaksanakan solat. Kemudian hidupkan solat-solat rawatib, solat tahajud, berpuasa setiap Isnin dan Khamis, perbanyakkan sedekah, berzikir, membaca al-Quran, berdoa, dan hindari dosa-dosa kecil.

Sesungguhnya graf puasa nabi dan sahabat-sahabat meningkat berterusan sejak puasa pertama hingga hari puasa terakhir. Dan graf itu mengalami peningkatan yang amat tajam pada saat-saat akhir bulan Ramadan.

Malangnya, bukan sedikit dalam kalangan kita yang grafnya terbalik. Semakin hampir Ramadan menjelang, semakin banyak masa dihabiskan dengan perkara-perkara yang tidak ada hubungan sama sekali dengan kesucian bulan Ramadan.

Translate »