Hubungan Dr Mahathir dengan Anwar Ibrahim semakin memasuki fasa ‘konflik’ yang bakal menghasilkan sebuah epik sejarah politik yang panjang. Kelicikan strategi dua tokoh yang pernah dikatakan sebagai ‘ganding terbaik’ dan ‘seteru yang berkawan’ tidak lagi dapat disembunyikan selepas tergelincirnya kuasa PH sebaik sahaja Dr Mahathir berpura-pura meletakkan jawatan sebagai PM ke-7 dengan mengharapkan berlakunya kejutan sebagaimana pernah dilakukan ketika berucap di Perhimpunan Agung UMNO (2002), yang bukan sahaja diserbu dan dipujuk oleh Rafidah Aziz serta juak-juaknya.

Pada mulanya mungkin Mahathir mengharapkan ada juak-juak menangis seperti Rafidah. Kali ini, Mahathir terperangkap kerana Langkah Sheraton benar-benar menjadi tujahan yang berat dan terlalu sendu bagi seorang yang dianggap ‘legenda  tersungkur’ dalam tempoh 22 bulan. Ironinya, pengalaman 22 tahun sebagai PM ke-4 tidak berjaya menyuraikan ‘rasa marah’ dan ‘kurang senang’ beberapa orang politikus yang dikawalnya dalam pemuafakatan Pakatan Harapan.

Azmin yang disayangi seolah-olah mengulangi budaya politik Anwar, sanggup berpisah dan menjarakkan diri dengan Mahathir. Anwar dipisahkan kerana ada rancangan untuk ‘menjatuhkan Dr Mahathir’ setelah merasakan PM ke-4 sudah terlalu lama berkuasa (dari tahun 1981) pun bukan cara yang boleh ditafsirkan begitu harmoni. Ada cerita yang terlepas dari mulut politikus yang rapat dengan Mahathir. Dr Mahathir sebenarnya telah berusaha mendesak Hussein Onn meletakkan jawatan lebih awal atas banyak perkara, termasuk tindakannya menahan mereka yang dikaitkan dengan subversif, komunisme dan juga pembersihan UMNO dari dalam.

Hanya faktor kesihatan yang dikatakan sebab Hussein Onn ‘bercadang’ melepaskan jawatan sebagai PM ke-3. Pun begitu, sebelumnya, Hussein membuat pertimbangan yang begitu berhati-hati dengan bertanyakan sokongan daripada semua Naib Presiden UMNO sebelum memutuskan penyerahan jawatan PM kepada Dr Mahathir. Ada ‘udang di sebalik batu’, Dr Mahathir ‘bermain dengan emosi’ dan akhirnya berusaha mencantas peluang Tengku Razaleigh Hamzah dengan melantik Musa Hitam sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Pusing pertama, Musa menang dengan dorongan kuat Dr Mahathir walaupun awalnya, Musa tidak yakin berdasarkan populariti Tengku Razaleigh dan kedudukannya sebagai Naib Presiden yang paling terserlah. Cuma ada kekurangan, kerana Tengku Razaleigh masih belum berkahwin, tetapi itu bukan alasan.

Bahkan gerakan kempen bermula dengan memancangkan Tengku Razaleigh ‘berkahwin dengan wanita keturunan Cina’ dan disambut dengan bukti jawapan telefon di kediamannya di Jalan Stoner, Kuala Lumpur, keluarga tukang masak yang sudah sekian lama menabur bukti sejak era ayahandanya lagi, Tengku Mohamad Hamzah Raja Dewa Long Zainal Abidin (Menteri Besar Kelantan antara tahun 1953 hingga 1959). Turut juga dikaitkan dengan skandal BMF (Bumiputra Malaysia Finance).

Pusingan kedua menjadi lebih hebat kerana Musa Hitam sudah pun mempunyai kedudukan dalam kerajaan dan boleh menggunakan kemudahan, membentuk gerak kerjanya secara teratur berbanding pusingan pertama. Musa adalah TPM dan tentunya mempunyai orang sekeliling yang lebih hebat dan ramai, tetapi, kemampuan Tengku Razaleigh tidak boleh dilihat enteng. Tengku Razaleigh masih dilantik sebagai Menteri Kewangan, yang juga ada orang-orang yang boleh membantunya. Razaleigh tewas sekali lagi, dan akhirnya Musa menghentak Mahathir, kerana terus mengekalkan Tengku Razaleigh dalam kabinet dengan menukarkan portfolio ke Kementerian Perdagangan dan Industri.

Tahun 1986 riuh lagi apabila Musa Hitam meletakkan jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri setelah berkecamuk dengan kemarahan PAS ekoran Peristiwa Memali pada tahun 1985. Musa menjadi ‘tertekan’ kerana memaksakan dirinya tidak bercakap benar di manakah Dr Mahathir berada ketika tragedi itu berlaku? Musa terpaksa ‘membisu’ kritikan dan menerima sepenuhnya tanggungjawab ‘menjaga imej boss’, yang akhirnya tidak tertahan lagi.

Lima belas tahun selepas mendiamkan diri, Musa menceritakan perangai Dr Mahathir yang teruk itu dalam Frankly Speaking, termasuklah keberadaannya dalam negara dan sentiasa diberitahu perkembangan insiden berkenaan. Jelaslah, Peristiwa Memali ada arahan yang dibuat oleh Dr Mahathir, tetapi, seperti diketahui umum, Dr Mahathir ‘tidak salah’ dan ‘saya tidak memberikan arahan’ apa yang berlaku itu adalah di bawah arahan Menteri Dalam Negeri. Ketika itu, Musa Hitam adalah Menteri Dalam Negeri selain Timbalan Perdana Menteri.

Mungkin itu juga menjadi sebab kenapa Musa Hitam kembali berganding bahu dengan seterusnya, Tengku Razaleigh Hamzah untuk menentang  Dr Mahathir. Ia bermula dengan kesepakatan untuk saling merasmikan mesyuarat bahagian masing-masing. Tengku Razaleigh merasmikan mesyuarat UMNO bahagian Segamat dan seminggu kemudian, Musa Hitam merasmikan mesyuarat UMNO Gua Musang.

Sebelumnya, diceritakan ada pertemuan empat mata antara Tengku Razaleigh dan Musa Hitam di Frankfurt ketika Tengku Razaleigh hadir dalam mesyuarat (IMF – International Monetary Fund) di sana. Dalam kesejukan suhu di Eropah, Musa dikatakan menaiki kereta untuk ke Frankfurt dan tiba menjelang awal pagi. Mereka berbincang dan menetapkan persefahaman yang kemudiannya dikenali sebagai ‘marriage of convinience’.

Bilakah Anwar muncul dalam sangkar politik UMNO? Anwar dibawa masuk ke dalam UMNO setelah Ibrahim Ali mendapat tahu keinginan aktivis ABIM itu. Ibrahim memberitahu Tengku Razaleigh, maka diusahakan pula dipertemukan dengan Dr Mahathir. Dr Mahathir bersetuju kerana ketika itu terdapat beberapa perancangan untuk membangunkan institusi berkaitan dengan Islam dan Tengku Razaleigh amat memerlukan pemimpin yang berjiwa Islam bagi menyahut reaksi kebangkitan semula Islam yang sedang melanda negara. Akhirnya, Anwar menyertai UMNO pada tahun 1981 dan bertanding dalam PRU 1982.

Tahun 1981, Tengku Razaleigh tewas. Tahun 1983, Tengku Razaleigh bertanding lagi dengan harapan boleh menang sekiranya Anwar yang bertanding Ketua Pergerakan Pemuda menentang Haji Sulaiman Palestin, menyokongnya. Anwar memerlukan ‘sokongan dan campur tangan Tengku Razaleigh’ untuk mendapat sokongan di Kelantan dan membantu mengalahkan Suhaimi. Tengku Razaleigh setuju untuk membantu, kerana Tengku Razaleigh ia ‘adalah detik terbaik untuk membalas dendam ke atas Suhaimi yang menjadi punca beliau kalah melawan Musa pada 1981”.

Sayangnya, Anwar berjaya memperalatkan Tengku Razaleigh tetapi Tengku Razaleigh gagal memperalatkan Anwar. “Tindakan Anwar meminta perwakilan Pemuda memberi sokongan kepada Musa ternyata memberi kesan apabila Tengku Razaleigh tewas kali kedua kepada Musa. Tengku Razaleigh mendapat 517 undi manakala Musa 722 undi”(1983). (Ibrahim Ali, Perjuangan Tanpa Nokhtah:Ranjau, Onak, Fitnah dan Cemburu, 2016: 321-323).

Anwar sebagai ‘orang baharu’ juga berhadapan dengan masalah di Permatang Pauh. Untuk bertanding kali pertama (PRU 1982), beliau diboikot oleh jentera UMNO Permatang Pauh (dipimpin oleh Datuk Mat Saad). Ketika itu, Tengku Razaleigh menghulurkan bantuan, mengarahkan Ibrahim Ali membantu dan mendanai perbelanjaan kempen Anwar. Ibrahim dan Rani (abang Anwar) menyusun kerja kempen, tanpa bantuan orang ABIM (kecuali Kamarudin), menyebabkan Anwar ‘kelam kabut’, tetapi berjaya mendapat ‘sokongan UMNO Pulau Pinang’, dan dalam PRU itu Anwar menang.

Selepas menang, Anwar dilantik sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Ia adalah sesuatu yang diharapkan oleh Anwar, sebahagian ‘tawar menawar’nya untuk menyertai UMNO. Ini dirakamkan oleh Ibrahim daripada percakapannya dengan Tengku Razaleigh:”Anwar ini terlalu ambitious, dia boleh sebut kepada Dr Mahathir lepas menang, dia nak jawatan menteri. Dia minta terus.” Sebelum itu, Tengku Razaleigh memberitahu, “Dr Mahathir mengesahkan kepada Anwar, beliau akan mendapat jawatan dalam kerajaan, tetapi tidak pula berjanji akan diberi jawatan menteri dengan berkata: Kita akan timbang you dalam kerajaan”. (hal.315)

Melonjak kedudukan Anwar, daripada pemimpin ABIM menjadi Menteri Pertanian, kemudian bertukar portfolio sebagai Menteri Belia dan Sukan. Diangkat naik sebagai Menteri Pelajaran dan seterusnya Menteri Kewangan selepas Daim Zainudin berundur. Dari Menteri Kewangan, Anwar terus merentas ke puncak seterusnya, bertanding jawatan Timbalan Presiden UMNO, dan memaksa Tun Ghafar berundur.

Hati kecil tokoh UMNO yang banyak berjasa itu terkedu, kisah peribadinya berkahwin lagi dijadikan isu dan akhirnya veteran politik itu mengambil keputusan ‘berdiam diri’. Mahathir tidak ‘mengenang budi’ kehadiran Tun Ghafar sebagai ‘penyelamat’ hubungan kerajaan dengan istana ekoran krisis perlembagaan yang boleh ‘menghancurkan’ asas bernegara. Pengucilan Tun Ghafar itu membuktikan UMNO semakin meresap masuk golongan ‘oportunis’ selepas Dr Mahathir berjaya membawa masuk lebih ramai ahli korporat yang kemudiannya membentuk ‘warlords’ dalam UMNO.

Proses bertanding dicemari dengan ‘politik wang’ di semua peringkat (cawangan dan bahagian) manakala Ketua Bahagian (KB) perlu pula menaja perbelanjaan ahli-ahli UMNO untuk hadir ke Perhimpunan Agung Tahunan UMNO (PAU). Antara perlu ditaja ialah penginapan, wang poket dan sewa bas (minyak kereta). KB juga dilihat sebagai ‘power broker’; mempengaruhi perwakilan untuk memilih seseorang yang ‘menawarkan diri’ dalam jawatan di peringkat pusat.

Sokongan secara ‘en-block’ sangat diperlukan: disitulah ada kemungkinan berlaku ‘transaksi kewangan’, tanpa wang seseorang itu ‘tidak boleh menang’. Sebab itulah UMNO semakin dicemari oleh oportunis, perlukan jawatan untuk mengumpul kekayaan, menerusi ‘rundingan’ untuk mendapatkan kontrak dan projek kerajaan, yang boleh diputuskan oleh menteri-menteri yang dilantik oleh Perdana Menteri.  (bersambung).

Kamarun KH

Translate »