Bilamana Rene Descartes (1596-1650), Bapa Falsafah Barat Moden melafazkan kalimah keramat “Ego Cogito Ergo Sum” atau terjemahannya “AKU Berfikir Justeru AKU Ada/Wujud”, beliau telah merubah pandangan alam dan ilmu masyarakat dunia Eropah yang ketika itu masih berpaksi kepada ketuhanan Kristian dan Kekudusan Alam kepada satu pandangan alam dan ilmu baru yang memusnahkan perseimbangan hubungan antara Tuhan, Manusia dan Alam. Dengan mengangkat “AKU Yang Berfikir” sebagai satu-satunya sumber ilmu, Descartes telah memutlakkan keupayaan akal-rasional manusia secara bersendirian tanpa peranan aktif Tuhan dan Alam dalam proses perolehan ilmu.

Rasionalisme Descartes yang menyingkirkan peranan aktif Tuhan sebagai sumber utama ilmu dan menghilangkan dinamika dan nilai kudus Alam dalam proses pencarian ilmu inilah yang menjadi paradigma ilmu dan universiti moden hari ini. Apa yang disebut sebagai Rasionalisme Humanisme atau Rasionalisme Antroposentrisme atau sebenarnya Egoisme Descartes inilah yang menjadi paksi atau tunggak ilmu pengetahuan dan disiplin-disiplin sains tabi’i dan sosial moden yang diajarkan di universiti-universiti bukan sahaja di Eropah/Amerika Syarikat/Canada/Australia malah di Asia, Afrika dan Amerika Selatan/Tengah.

Dengan secara egoistik menjadikan dirinya sendiri sebagai subjek perolehan ilmu berpandukan akal-rasional/minda beliau semata-mata, Descartes telah mempelopori paradigma ilmu Barat Moden yang tidak lagi menganggap Tuhan sebagai sumber ilmu yang utama serta menganggap segala sesuatu selain dari akal-rasional/minda manusia hanya sebagai objek-objek kosong tanpa nilai untuk diketahui dan dikuasai oleh akal-rasional/minda manusia. Descarteslah pencetus legasi dikotomi subjek/objek atau subjektif-objektif dalam proses ilmu yang sehingga hari ini menjadi permasalahan yang masih tidak terungkai dan terus menjadi perbalahan dikalangan para profesor di universiti-universiti dalam konflik dan polemik objektiviti dan subjektiviti disiplin-disiplin ilmu.

Kaedah mendapatkan ilmu yang egoistik yang dijuarai oleh Descartes yang bergantung kepada akal-rasional/minda semata-mata ini tanpa kesedaran peranan aktif Tuhan dan sifat/tabiat Alam yang memiliki “jiwa” mereka sendiri telah mengakibatkan tiga bencana besar kepada umat manusia Barat dan Bukan Barat sehingga ke hari ini. Pertama, manusia berpandukan akal-rasional/minda mereka menggantikan Tuhan sebagai sumber dan rujukan ilmu. Kedua, Alam semesta dan segala suatu yang bukan akal-rasional/minda menjadi sekadar mesin objek-objek kosong tanpa nilai, “jiwa” dan kekudusan sedia untuk dimanipulasi dan dieksploitasi. Dan ketiga, pemisahan mutlak akal-rasional/minda dan jasad telah menghasilkan Dualisme Cartesian yang menjadi dilemma dan dikotomi pandangan alam dan ilmu manusia Moden antara Ruh-Jasad, Dunia-Akhirat, Sakral-Sekular, Tabi’i-Sosial dan Subjek-Objek yang dianggap tiada kesinambungan dan kesatuan.

Meskipun Descartes telah lebih 300 tahun meninggalkan kita, warisan ilmu egoistik ciptaan beliau terus kekal terutamanya dikembangkan dengan pesat selepas abad ke 17-18 Zaman Pencerahan Eropah dibina dalam pelbagai disiplin ilmu atas nama humanisme, positivisme dan naturalisme di universiti-universiti Eropah. Dari ilmu egoistik Descartes yang menjadi falsafah dan kaedah ilmu Barat Moden, ia menyerap kedalam universiti-universiti di Eropah menghasilkan ilmu pengetahuan dan disiplin sains yang bersifat Eurosentrik. Era Pasca-Penjajahan menyaksikan negara-negara bekas anak-jajah menubuhkan universiti-universiti tempatan dalam acuan ilmu egoistik Descartes dan dalam struktur universiti Eurosentrik atau berkiblatkan/beracuan universiti Barat para Penjajah.

Bayangkan betapa malangnya universiti-universiti di Asia, Afrika dan Amerika Selatan/Tengah yang telah lama merdeka tetapi masih lagi menelan ilmu egoistik Descartes dan Eurosentrik yang menafikan kewujudan ilmu-ilmu tempatan yang lebih serasi dan sesuai dengan faham dan penghayatan perseimbangan perhubungan antara Tuhan/Agama, Manusia dan Alam dalam pandangan alam dan ilmu mereka. Apakah para profesor dan universiti di Asia, Afrika dan Amerika Selatan/Tengah tidak berupaya menghasilkan ilmu pengetahuan mereka sendiri setelah sekian lama berada dalam bidang ilmu?

Kita tentu sahaja boleh menjadi rasional untuk menerima ilmu egoistik Descartes yang secara kolektif dan akumulatif menjadi ilmu Eurosentrik sekiranya ilmu-ilmu ini benar dan sah lagi menepati pandangan alam dan ilmu kita. Bagaimanapun bila menyaksikan sifat dan tabiat ilmu ini telah bertanggungjawab memaksakan pandangan alam, hidup dan nilai-nilai yang tidak secocok dengan pandangan alam, hidup dan nilai agama dan budaya tempatan ini telah meninggalkan kesan yang parah bagi negara-negara Pasca-Penjajahan. Akibatnya negara-negara tersebut mengalami kemusnahan identiti dan tradisi yang sepatutnya menjadi faktor kekuatan dan kesinambungan masyarakat dalam negara tersebut.

Begitu juga bila ilmu-ilmu egoistik dan Eurosentrik ini menjadi penyebab kepada menyemarakkan proses Antropogenik ataupun kemusnahan ekologi dan alam-sekitar disebabkan oleh pengunaan sains dan teknologi yang bersifat memusnah dan mencemarkan. Ilmu-ilmu egoistik dan Eurosentrik ini jugalah yang menjadi pemangkin ketamakan kapitalis-kapitalis global untuk memaksimumkan keuntungan mereka tanpa menghiraukan eksploitasi dan ketidakadilan kepada negara-negara Asia, Afrika dan Amerika Selatan/Tengah. Ilmu-ilmu egoistik dan Eurosentrik inilah juga yang terus melebar jurang politik, ekonomi dan sosial antara negara-negara sebelah Utara (Eropah/Amerika Syarikat/Canada) dengan negara sebelah Selatan (Asia/Afrika/Amerika Selatan/Tengah).

Sudah tiba masanya para profesor dan universiti tempatan di negara-negara Asia, Afrika dan Amerika Selatan/Tengah untuk mereformasikan diri mereka dari belenggu dan kongkongan ilmu-ilmu egoistik dan Eurosentrik ini. Sangat perlu bagi masyarakat di Asia, Afrika dan Amerika Selatan/Tengah diberi kesedaran dan keinsafan untuk memerdekakan proses perolehan ilmu-ilmu dari dominasi dan hegemoni ilmu egoistik dan Eurosentrik yang memusnahkan nilai, jatidiri, identiti, tradisi juga agama dan budaya mereka sendiri. Inilah waktunya untuk negara-negara Asia, Afrika dan Amerika Selatan/Tengah mencipta dan menghasilkan ilmu-ilmu sesuai dengan keperluan dan kehendak masyarakat wilayah mereka bagi memenuhi keperluan dan kesempurnaan kehidupan mereka.

Dr Amran Muhammad
Ketua Eksekutif ISSI

Translate »