Ramadan sudah berlalu pergi, namun semarak api berpuasa itu masih menyala dengan terang-benderangnya lantas merebak kemaraannya dengan penuh kerendahan diri kepada jiran tetangganya yakni Syawal melalui penjelmaan dirinya dalam bentuk Puasa Enam sebagaimana yang telah diabadikan oleh Sunnah Nabawi! Seolah-olah menidakkan logik kuantitatif, matematik rabbani menyamakan nilai puasa Ramadan dan Syawal dengan nilai puasa sepanjang hayat!
Sang Puasa pun bergembira riang dek kerana Allah telah mengangkat darjat keemuliaannya ke darjat nan terpuji lantaran peranannya sebagai tetamu istimewa Ramadan dan Syawal. Akan tetapi, melalui peranannya sebagai pemampan kemanusiaan dan ketamadunan, masakan mungkin Puasa mahu menjauhkan diri daripada kaum mukminin selama sepuluh bulan berikutnya sehingga Ramadan datang kembali!
Berkat Sunnah Nabawi, puasa dapat senantiasa berdampingan dengan kaum mukminin, bukan sahaja pada bulan Ramadan dan bulan Syawal, bahkan pada bulan-bulan lain juga, sekurang-kurangnya pun pada setiap hari Isnin dan Khamis. Keberdampingan antara puasa dengan kaum mukminin menjadi kitaran yang diulang-ulang saban tahun lantas menjadikan puasa sebagai rukun keramat tamadun Islam!
Terbukti sudah Ramadanlah formula ketamadunan bagi kemampanan sejati. Ramadanlah yang memampankan insan individu, masyarakat dan planet bumi yang tiada galang gantinya! Bayangkan betapa gembiranya planet bumi seandainya berbilion-bilion jiwa manusia dapat mengingati Hari Bumi Sedunia dengan berpuasa ala Ramadan meskipun sekadar satu hari sahaja
Osman Bakar
6 Syawal 1445/14 April 2024
Recent Comments