Apa yang kita faham dengan liberal?
Mungkin kita akan memahami kenapa al-Ghazali (1058-1111) walaupun mendokong Imam As-Sya’ari, tidak banyak karya-karyanya menjelaskan secara berlebihan mengenai fikiran-fikiran peledak asas yang berjaya mengembalikan prinsip sunni di tengah-tengah kecamuk pergolakan faham pemikiran muktazillah, falsafah dan juga syiah.
Al-Ghazali mengambil pendekatan sederhana, tidak menyerang pendiri-pendiri mazhab lain, bahkan kadangkala berlaku perbezaan pandangan dengan Iman as-Sya’ari. Apa yang al-Ghazali cuba lakukan ialah menarik semula pandangan-pandangan yang berbeza, peribadi yang terkhilaf dan aliran pemikiran yang bercelaru kepada pemahaman semula semangat al-Qur’an dan al-Sunnah.
Biarpun karya-karyanya ditolak oleh segelintir umat Islam yang berfahaman wahabi, syiah dan sebagainya, karya al-Ghazali tetap menjadi bahan pendidikan yang cukup tinggi dan terbaik sehingga kini mengenai ‘jiwa agama’ dan kaedah menjalani hidup sebagai seorang muslim yang baik, dan boleh dipanggil mukmin.
Tidak semua mereka yang memeluk Islam boleh dipanggil mukmin, walaupun diterima sebagai muslim. Ia harus difahami dengan baik dan tidak menjejaskan maknanya.
Itulah yang dipraktikkan oleh Fadhlina sebagai satu bentuk pendidikan tidak formal dalam keluarganya. Semua orang faham, pendidikan tidak formal itu sangat penting sebagai proses awal pembangunan sahsiah seseorang, kerana syurga itu bermula di rumah. Tidak mudah meraih syurga di luar rumah, selagi syurga tidak ada di rumah.
Nampaknya, masyarakat lebih gemar mengejar syurga di luar rumah, tetapi neraka sentiasa panas membahang di dalam rumah. Kata seorang pendakwah yang naratifnya cukup kuat pengaruh sufi, bagaimana mahu ‘masuk ke syurga’ tatkala di masa hidup penuh dengan tindakan yang membawa ‘ke neraka’, misalnya adu domba, hasad dengki, salah faham dan bertengkar.
Suasana hidup di rumah dan persekitaran (dengan tetangga, jiran, masyarakat dan perhubungan dengan bukan Islam (sesama manusia) tunggang-terbalik). (Achmad Chodjim, Membangun Syurga: Bagaimana Hidup di Bumi Agar Damai Pula di Akhirat, Jakarta: Penerbit Serambi, 2005).
Apa itu neraka di rumah? Hubungan keluarga yang bermasalah, muncul pertengkaran antara suami isteri, anak-anak yang gemar membantah, ibu bapa yang gemar memerintah, suami dan isteri masing-masing sibuk dengan gajet, dan komunikasi dalam bentuk searah (bukan dua hala) yakni seorang mengeluarkan perintah manakala yang mendengarnya wajib melaksanakan perintah, tiada perbincangan dan rasa saling percaya.
Itulah sebabnya, apabila dianalisis sebab-sebab terbubarnya perkahwinan (sama baru atau lama berkahwin), lebih 70 peratus disumbangkan oleh faktor ‘tidak ada persefahaman’, makna komunikasi yang tidak berkesan dan bersifat satu arah.
Komunikasi satu arah inilah yang menyebabkan munculnya apa yang dikatakan dominasi, atau sudah lenyap bahasa cinta (love language). (Gary Chapman, The Five Love Languages: How to Express Heartfelt Commitment to Your Mate, Chicago: Northfield Publishing, 2004).
Saya tahu, ia tidak relevan dengan haramkan istilah ‘kafir’ tetapi harus difahami pengharaman tersebut bukan bermakna menempa edisi atau versi baharu al-Qur’an dan al-Sunnah, ia adalah dalam konteks interaksi dan pergaulan masyarakat berbilang agama, budaya, bangsa dan latar belakang sosiaslisasi.
Ia merupakan sosialisasi yang dapat membangunkan peribadi yang baik, bukan peribadi yang memberontak, perungus dan gemar menghukum. Seperti pernah ditegaskan oleh pakar pendidikan kanak-kanak dan psikologi bahawa seorang kanak-kanak akan membesar dengan apa yang ditanam dalam jiwanya sejak dini.
Jika anak-anak itu dibesarkan dalam suasana rumah tangga yang berkecamuk, hubungan kekeluargaan seumpama ‘neraka’, kanak-kanak akan mewarisi ‘jiwa memberontak’ apabila dewasa. Jika kanak-kanak dibesarkan dengan kasih sayang, masalah kebejatan sosial dalam kalangan remaja tidak menjadi sesuatu yang membimbangkan.
Banyak penelitian psikologi dan sosiologi kenakalan remaja menemui kesimpulan, kanak-kanak yang membesar dalam lingkungan keluarga yang tidak harmoni – konflik antara ibu bapa, ahli keluarga dan sosial- akan menumbuhkan jiwa yang tidak tenteram dan berperangai kurang baik dalam kehidupan bermasyarakat.
Itulah sebabnya Islam sangat menekankan suasana hidup dengan penuh kasih sayang dalam lingkungan keluarga, tetapi tidak sampai kepada fenomen Anakku Sazali (sebuah filem klasik arahan Phani Majumdar, lakonan Tan Sri P Ramlee, yang juga bertindak sebagai pembantu pengarah pada tahun 1956).
Dialognya yang sangat berkesan dan diingati hingga sekarang ialah:…
”Jika 10 tahun dahulu bapak melakukan sedemikian, barangkali Sazali boleh jadi baik sekarang.
“Tapi sekarang sudah terlambat…sudah lambat pak!!
“Bapak yang bersalah dalam soal ini, bapak membesarkan Sazali dengan secara membabi buta saja, segala apa kemahuan Sazali bapak tunaikan…segala apa hajat Sazali, bapak sempurnakan, sehingga Sazali pandai cakap bohong sama bapak….sehingga Sazali menipu bapak…menipu untuk kepentingan diri.
“Tetapi bapak hanya ….Anakku Sazali…bapak yang bertanggungjawab atas segala kelakuan buruk dan baik sekali.”
Kata seorang budayawan dan sasterawan terkenal Indonesia, Danarto (1941-2018), jika ada kelakuan yang tidak baik (nakal dan jahat) dilakukan oleh anak-anaknya, ibu bapa wajib menyoal diri sendiri: Berapa peratuskah saham dalam kebejatan itu?
Jelaslah, apa yang dilakukan oleh Fadhlina dalam lingkungan keluarganya ialah tidak menyemai nilai-nilai kebencian di hati mereka, itu sahaja. Nilai saling hormat, meraikan perbezaan dan bertingkah laku yang baik sangat diutamakan. Mengharamkan penggunaan istilah ‘kafir’ bukan bermakna mengharamkan apa yang disebut oleh Allah SWT dalam al-Qur’an dan Nabi Muhammad SAW dalam al-Sunnah.
Dan, itulah juga yang disedari oleh Fadhlina apabila berkata, anak-anaknya ‘pick-up’ istilah berkenaan di luar rumah. Namun, ia bukan membawa makna konflik dan krisis, ia dapat membantu anak-anaknya memahami istilah itu dengan baik, antara sempadan agama dan nilai sosial.
Itu sahaja harapan dan hasrat Fadhlina untuk anak-anaknya, dan sebagai orang yang memutuskan dasar pendidikan negara, tidak menjadi hasratnya untuk menggantikan istilah ‘kafir’ dengan ‘non muslim’ sebagaimana diindoktrinasikan oleh segelintir pihak, yang membawa agenda ‘paling Islamik’ dan ‘paling benar’ dalam berpendirian atau beragama.
Memang diakui bahawa istilah tersebut (kafir) adalah sangat penting dan merupakan ‘dalalaah illahiyah’ (penunjukkan illahi) terhadap perilaku, sosok dan hakikat manusia tertentu sebagai individu, juga sebagai gambaran kelompok (al-Qaumul kafiruun), walaupun kebanyakannya memerihalkan nada personal dalam bentuk tunggal (kafir) dan kepelbagaian atau majmuk (plural), kafiruun dan alladzina kafaru.
Oleh kerana itu, istilah tersebut tidak pernah dicadangkan dikeluarkan daripada al-Qur’an dan al-Sunnah, kerana kededuanya adalah rujukan penting umat Islam, ia hanya ditinggalkan sementara dalam persekitaran hubungan (interaction) sesama manusia, baik antara muslim mahupun bukan Islam, dan muslim bukan muslim.
Inilah yang dilakukan oleh Rasulullah SAW ketika memulakan langkah di Madinah sehingga muncul sebagai sebuah kota peradaban dan ilmu yang kehidupan masyarakatnya sangat harmoni.
Keupayaan pembentukan masyarakat yang pelbagai dalam sistem pentadbiran Islam yang adil itu menjadi contoh bagaimana nilai-nilai rahmah diterjemahkan oleh Rasulullah SAW.
Hal itu juga menjadi model asas bagaimana Islam berinteraksi dengan bukan Islam, sebuah dasar hubungan sosial yang tidak pernah diingkari oleh semua pemimpin-pemimpin Islam terkemudian termasuklah para sahabat, dan penerus pemerintahan Islam yang berkembang di lebih separuh dunia dari Umayyah hinggalah runtuhnya Empayar Uthmaniyyah.
Saya mengambil sikap tersebut kerana sebagai orang Islam, kita dilarang untuk mendedahkan aib orang lain (sesama Islam dan dengan bukan Islam), kecuali mereka yang memerangi Islam.
Begitu juga kita tidak menentang bukan Islam kerana mereka tidak memeluk Islam. Jika berlaku pertentangan adalah kerana ada hubungkaitnya dengan masalah agama atau lain-lain asas primordial.
Kita tidak seharusnya menjadi begitu parokial, sebab Nabi Muhammad SAW cukup banyak menunjukkan teladan dalam perkara-perkara yang dinamakan toleransi bermuamalat (hidup bersama sebagai makhluk bermasyarakat).
JAdi, disinilah saya tidak bersetuju apabila larangan penggunaan istilah ‘kafir’ di rumah –dalam kalangan ahli keluarga- dianggap sebagai percubaan atau ‘dia ingin mengubah ayat-ayat Allah dan hadis-hadis Nabi s.a.w.”
Ia sesuatu yang boleh dianggap tuduhan dan sikap melampau dalam berpendirian, yang tidak sepatutnya dibuat oleh seorang ada ijazah pendidikan Islam, atau sedang menjawat jawatan sebagai Mufti Perlis. Satu generalisasi yang patut dielakkan, bukan tindakan yang wajar dipertahankan.
Bahkan seorang ulama kontemporari, Allahyarham Yusuf al-Qardhawi (9 September 1926-26 September 2022) menolak budaya kafir mengkafir sesama Islam dan juga tidak menggunakan (memanggil) istilah ‘kafir’ kepada bukan Islam pada situasi perbincangan, pergaulan dan bermasyarakat. (Yusuf al-Qaradawi, Bagaimana Berinteraksi Dengan al-Sunnah, terjemahan Kafa Nata ‘Amal Ma’a al-Sunnah oleh Huda Moksin dan Jawiah Dakir, Kuala Lumpur: ABIM Press, 1994).
Dengan tidak memanggil bukan Islam ‘kafir’ dalam etika dan rukun pergaulan tidak bermakna ‘membuang istilah al-Qur’an’, bahkan Imam al-Ghazali sangat mementingkan persoalan adab dan akhlak yang mulia dalam perhubungan antara sesama umat Islam, umat Islam dan bukan Islam bagi membentuk masyarakat (dan negara) yang aman dan harmoni.
Tidak terkecuali menghormati tanggungjawab dan hak sesama manusia, asalkan semua hak dan tanggungjawab itu tidak melanggari apa yang disepakatkan (dipersetujui).
Sejarah peradaban Islam tidak meminggirkan hak dan prinsip tanggungjawab kepada bukan Islam asalkan kesemuanya berlangsung dalam bingkai adab dan akhlak yang dibenarkan oleh Islam, yakni bukan Islam menghormati janji-janji untuk hidup secara aman dan harmoni dalam sebuah pemerintahan yang berteraskan nilai-nilai Islam.
Itulah yang menjadi asas kepada pembentukan Piagam Madinah; bukan mencari titik keruh yang boleh menjadikan Islam dan bukan Islam berkonflik dan hilang makna Islam yang rahmah dan syumul.
Pengajaran terbesar ialah setiap pemeluk agama ada hak dan tanggungjawab masing-masing. Hak dan tanggungjawab itu tidak pula digunakan untuk mendesak dan mengendurkan hak dan tanggungjawab umat Islam.
Itulah sebenarnya yang menjadi kekuatan Islam sehingga muncul sebagai agama yang paling cepat berkembang dan semakin dikecam, dihina dan dibenci (Islamofobia), semakin diterima oleh masyarakat dunia sehingga diramalkan dalam tempoh kurang setengah abad lagi, jumlah pemeluk Islam akan mengatasi jumlah pemeluk Kristian.
Biarpun gerakan membenci Islam semakin lantang dipropagandakan, Islam tetap menjadi pilihan untuk dikaji, diteliti dan difahami oleh mereka yang benci kepada permusuhan antara agama dan yang mencari satu bentuk pedoman kehidupan yang lebih baik.
Maka, dalam kemunculan ‘gelombang’ tersebut, umat Islam perlulah menjaga adab dan akhlak, tidak saling membenci dan mencari ruang adu-domba sehingga mencetuskan fenomena ‘sayalah yang betul’ dan ‘awaklah yang salah’ hanya berdasarkan kefahaman dan kerangka yang dianuti ketika mentafsirkan makna al-Qur’an dan as-Sunnah.
Di situlah letaknya peranan akal yang sihat, dan tulis Imam al-Ghazali dengan sebuah persoalan asas yang cukup besar dan sangat menentukan, iaitu bagaimana kita mengukur sesuatu pendirian atau pendapat itu ‘yang paling benar’.
“…aku nasihatkan kamu wahai saudaraku dan teman yang taksub, bertenanglah dan jangan menjadi terganggu. Kawal emosi kamu, bersabarlah dengan apa yang mereka katakan dan berpisahlah dengan mereka secara sopan.
“Tidak perlu cemburu kepada mereka yang tidak menjadi sasaran kedengkian dan tohmahan, dan jangan pula cemburu kepada mereka yang tidak pernah dituduh sesat dan kafir.
“Adakah ada pendakwah yang lebih sempurna daripada penghulu segala rasul? Meskpun begitu, mereka (orang kafir) menuduhnya sebagai orang gila!
“Apakah ada ucapan yang lebih tinggi dan lebih benar daripada ucapan Tuhan sekalian alam? Meskipun begitu mereka pernah mengatakan ia adalah dongengan umat terdahulu!
“Maka janganlah kamu sibuk dengan pertikaian dengan orang-orang ini, atau berharap untuk menjawab mereka. Usaha sedemikian adalah sia-sia seperti bercakap dengan orang tidak dapat mendengar.
“….hakikat dan definisi sebenar keimanan, kekufuran (al-haq) dan kesesatan tidak akan dapat diketahui oleh hati-hati yang dicemari oleh kecintaan kepada kemegahan dan kemewahan dunia. Semua hakikat itu hanya dapat disingkap oleh hati-hati yang telah dibersihkan daripada pencemaran dan kotoran dunia, kemudian hati yang telah melalui latihan rohani yang sempurna dan diterangi melalui zikir yang suci, kemudian hati yang dipelihara oleh pemikiran yang betul dan dihiasi dengan kepatuhan kepada hukum agama, kemudian dilimpahi cahaya dari pelita kenabian sehingga hati mereka menjadi seolah-olah cermin yang bergemerlapan – pelita keimanan yang seakan-akan berada dalam baling kaca dan menjadi sumber cahaya yang menerangi, yang minyaknya seperti berkilau walau tidak pernah disentuh api.” (Imam al-Ghazali, Ciri Pemisah Antara Islam dan Zindik, terjemahan daripada Faysal al-Tariqah Baina al-Islam wa al-Zandaqah oleh Farhan Affandi dan Anwar Yusof, Jenjarom, Selangor: IBDE Ilham Sdn Bhd., 2018, hal. xiii- xv).
Wallahuaklam.
MAHANOR SALEHA
Recent Comments