Kehidupan kini yang begitu moden, canggih, dan pantas dalam semua bidang. Dunia tanpa sempadan menimbulkan banyak sekali persoalan, bukan sahaja tentang kehidupan masa kini, masa depan, malahan tentang kehidupan ukhrawi.

Cabaran sedemikian didepani oleh semua masyarakat dunia dan tidak terkecuali masyarakat Islam. Justeru bukan sekali dua timbul permasalahan, perdebatan, perbahasan dan tidak kurang pula sanggahan sama ada di antara ulama dengan ulama mahupun antara ulama dan umara.

Contoh yang berlaku di hadapan mata kita ialah tentang persoalan Madani atau lebih tepat lagi tentang persoalan gagasan Madani.

Apabila seseorang mengatakan satu kajian perlu dilakukan tentang konsep Madani, banyak pihak dengan mudah mengambil kesimpulan tanpa memberi ruang langsung lalu membuat pelbagai tuduhan.

Tidak ketinggalan juga pihak yang bertentangan atau parti pembangkang yang mengambil kesempatan menggunakan isu tersebut untuk menegakkan benang basahnya. Lalu timbullah fitnah yang pada hakikatnya tidak menguntungkan sesiapa pun kecuali yang berkepentingan sehingga timbullah frasa menperlecehkan dan yang seumpamanya.

Daripada satu segi kita melihat pemikiran masyarakat masa kini begitu negatif sekali. Misalnya, apabila ada pihak yang mengatakan perlunya kajian terhadap sesuatu, maka perkataan “kajian” itu dengan mudah diisi dengan hal yang negatif.

Tidak bolehkah ulama dengan ulama, ulama dengan umara saling lengkap melengkapkan membincangkan sesuatu yang berhubung dengan Islam atau Islam sifatnya?

Gagasan madani yang mula dilancarkan beberapa tahun yang lepas adalah suatu dasar yang berupa kesinambungan daripada dasar yang lalu, misalnya Islam Hadhari, Wassatiyyah, Rahmatan lil Al Alamin, Satu Malaysia atau sebagainya yang bertujuan menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang maju berasaskan kepada acuan sendiri.

Islam Madani sebagai sebuah dasar ciptaan manusia, tidak boleh tidak ia mempunyai kelebihan dan cacat-celanya yang tersendiri.

Oleh kerana ia ciptaan manusia, maka ia perlu dikaji terutama aspek pelaksanaannya sama ada telah mencapai sasarannya mahupun tidak.

Ia dirangka berasaskan pendekatan wasatiyyah yang diperolehi pemahamannya daripada sumber al-Quran dan Sunnah dan ia haruslah dipandu pelaksanaannya dengan sumber naqli dan aqli berasaskan penegasan Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 143.

Di sini pentingnya sebuah ummah yang tidak mengamalkan ifrat (ekstrem) dan tasyaddud (melampau) mahupun tafrit (terlalu longgar). Mengikut Muhammad Abduh, sama ada ifrat mahupun tafrit, kedua-duanya adalah tercela.

Indonesia misalnya memperkenalkan Islam Kultural. Malaysia dengan Islam Madani. Ia bukan agama baru sebagaimana yang didakwa (baca: difitnah) oleh sesetengah pihak yang ingin menangguk di air yang belum jernih.

Kita mempunyai banyak sebab menyatakan demikian. Maka dengan sendirinya fitnah yang mengatakan konsep Islam Madani sebagai salah satu strategi Barat atau Eropah untuk ‘menyimpangkan’ pemikiran umat Islam perlu ditolak.

Paling penting adalah butiran dan falsafah konsep Islam Madani yang tidak bertentangan dengan prinsip-prinsip asas Islam. Hal ini telah diakui oleh sarjana Islam moden pada peringkat antarabangsa.

Sesungguhnya konsep ini merupakan gagasan pemikiran dan gerak kerja yang amat bermakna bagi Malaysia dalam usaha membangun sebuah negara maju serta bertamadun dalam kerangka ajaran Islam sebagai agama rasmi negara.

Pada asasnya, konsep ini merujuk kepada amalan agama yang menekankan soal ketamadunan, pembangunan dan kemajuan, yang bersifat komprehensif dan seimbang.

Ini merujuk kepada keperluan untuk menggabungkan kecemerlangan aspek fizikal dan spiritual, duniawi dan ukhrawi serta kejayaan peribadi dan kesejahteraan masyarakat.

Bagaimanapun, disebabkan ada umat Islam yang terkeliru dan mengabaikan salah satu dan kedua-dua aspek, maka nilai Madani ini perlu ditekankan bagi meletakkan kembali umat Islam pada landasan sebenar mengikut syariatnya.

Justeru atas dasar inilah nampaknya tugas murni ini patut diteruskan dan diwarisi oleh semua pihak sama ada mereka dapat memahaminya atau tidak.

Kerana itulah perjuangan agama berlangsung sejak daripada Adam, Nuh, Ibrahim sehingga Muhammad SAW.

Dalam hal ini Allah SWT berfirman yang bermaksud: Allah telah menerangkan kepada kamu (mengenai perkara agama) apa yang telah diwahyukan kepada Nuh a.s dan perkara yang Kami wahyukan kepadamu dan pesanan Nabi Ibrahim, Musa, Isa a.s, iaitu hendaklah kamu tegakkan agama ini, dan jangan bercerai dan berpecah. (Maksud al-Quran, Surah Al-Syuraa, ayat 13).

Kepada pihak yang ‘memperlekeh’ dan ‘memusuhi’ usaha murni ini, ingatlah bahawa kita barangkali terlupa untuk menyatakan kebenaran dan kebaikan sesuatu yang diusahakan oleh saudara seagama.

Oleh: Mohd Shauki Abd Majid

Translate »