Ketika menerima Anugerah Kepimpinan Ikon Perpaduan Negara, mantan ahli parlimen Sungai Benut, Tuan Tawfik Ismail, mengeluarkan kenyataan bahawa Kementerian Perpaduan seharusnya diberikan jumlah peruntukkan belanjawaan sama dengan peruntukkan JAKIM, atau lebih daripada itu. Beliau percaya bahawa peranan kementerian perpaduan adalah lebih besar daripada JAKIM, kepada rakyat Malaysia.

Naratif yang dibawa oleh saudara Tawfik ini, adalah cerminan isu yang dibangkitkan oleh kumpulan G25 dahulu, yang pernah mencadangkan supaya JAKIM dimansuhkan, kerana ia menidakkan hak asasi manusia. Justeru ia menimbulkan satu persoalan penting kepada masyarakat awam – Di manakah terletaknya rasional orang-orang sebegini, dan mengapa pemikiran mereka masih lagi dijajah oleh dunia barat, setelah lebih daripada 60 tahun kita merdeka?

Usaha untuk merendah-rendahkan peranan JAKIM merupakan satu tindakan yang pelik, apatah lagi jika seseorang itu lahir dalam kalangan umat Islam sendiri. Seharusnya, setiap umat Islam berusaha mempertahankan kewujudan JAKIM, dan jika ada kelemahan dari aspek pelaksanaan aktivitinya, ia perlu ditegur dan diperbaiki. Hanya minda yang dijajah oleh orientalisme dan aliran pemikiran barat, akan beranggapan bahawa JAKIM tidak mengutamakan perpaduan, baik sesama muslim atau antara kaum.

Aliran pemikiran barat mengandaikan bahawa jika agama menjadi urusan negara, maka seluruh masyarakatnya tidak akan beroleh keupayaan untuk menguasai keperluan-keperluan hidup secara rasional. Sekularisme dan humanisme, yang mengutamakan manusia atas semua, melaungkan mesej di mana agama dianggap sebagai faktor penghalang dan menjadi belenggu kepada kemajuan.

Asas sebeginilah yang digunakan oleh penentang yang mempersoalkan peranan JAKIM dalam meningkatkan, membangun dan menyelaraskan aktiviti berkaitan Islam di Malaysia.

Tidak cukup dengan menyerang peruntukkan JAKIM setiap tahun, dipersoalkan pula bahawa fungsi JAKIM adalah bertindih dengan fungsi ketua agama iaitu Raja-Raja Melayu dan Yang di-Pertuan Agong. Maka, menurut kumpulan ini, JAKIM perlu dimansuhkan walaupun pada asasnya institusi tersebut merupakan badan operasi yang ditubuhkan berdasarkan peruntukan Perlembagaan Malaysia.

Perlu difahami bahawa penubuhan JAKIM bukanlah satu tindakan yang bercanggah dengan peranan Yang di-Pertuan Agong mahupun Raja-Raja Melayu. Sebaliknya, Jakim merupakan badan kerajaan yang berperanan menyelaraskan pentadbiran agama Islam di negara ini. Tidak wujud kontradiksi dengan kedudukan Yang di-Pertua Agong sebagai payung kepada agama Islam di peringkat Persekutuan dan Raja-Raja Melayu di peringkat negeri.

Perlembagaan Malaysia meletakkan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan sebagaimana termaktub dalam Perkara 3(1): “manakala penubuhan JAKIM adalah selaras dengan Perkara 3(5) iaitu “Parlimen melalui undang-undang membuat peruntukan-peruntukan bagi mengawal selia hal ehwal agama Islam dan bagi menubuhkan suatu Majlis untuk menasihatkan Yang di-Pertuan Agong mengenai perkara-perkara yang berhubungan dengan agama Islam.”

Maka JAKIM menjadi sebuah institusi yang pada asasnya bertanggungjawab untuk menjaga hal-ehwal agama persekutuan dalam bentuk yang sistematik dan menjaminkan akauntabiliti. Pentadbiran urusan agama Islam dan masyarakat muslim dalam negara, yang kini mencecah hampir 21 juta umat, bukanlah suatu usaha yang kecil. Hairan juga, apabila JAKIM dan agensi-agensi di bawahnya sering kali dipuji oleh pemimpin luar negara, tetapi bangkit orang Islam dalam negara sendiri yang memperkecilkan usaha JAKIM selama ini.

Di dalam surah Muhammad, ayat 38, Allah SWT berfirman yang bermaksud;

“Dan jika kamu berpaling (daripada beriman, bertaqwa dan berderma) Dia akan menggantikan kamu dengan kaum yang lain; setelah itu mereka tidak akan berkeadaan seperti kamu.” – QS Muhammad, ayat 38

Di dalam kenyataan rasminya, menteri di dalam Jabatan Perdana Menteri, Hal Ehwal Agama, Dato’ Setia Dr. Naim Mokhtar, menegaskan bahawa fungsi JAKIM adalah berbeza dengan Kementerian Perpaduan Negara. Kementerian Perpaduan Negara misinya adalah untuk meningkatkan usaha baharu penyatupaduan untuk membina tapak integrasi bagi pengukuhan semangat muhibbah dalam kalangan rakyat. Manakala misi JAKIM pula adalah untuk memperkukuh tadbir urus hal ehwal Islam melalui pendekatan rahmah ke arah kesejahteraan ummah.

Beliau juga memberikan penjelasan bahawa secara keseluruhannya, peruntukan tersebut adalah melibatkan semua agensi di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) termasuk JAKIM, JAWHAR, JAWI, YADIM dan lain-lain. Ini adalah komitmen jitu Kerajaan Madani untuk memperkukuh kedudukan agama Islam yang telah dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

Dalam isu perpaduan nasional, umat Islam sentiasa diminta untuk berpegang teguh kepada agama Islam sebagai tali yang mengikat dan secara tidak langsung menyatukan mereka semua. Dalam konteks ini, tali Allah merujuk pada ajaran dan prinsip-prinsip Islam yang mengatur kehidupan umat. Hanya dengan perpaduan,umat Islam dapat mencapai keberkatan dan petunjuk daripada Allah serta terhindar dari perpecahan dan kebinasaan.

Mengutamakan kesatuan dan menghindari perpecahan adalah langkah penting dalam menciptakan lingkungan yang harmoni, toleransi, dan saling menghormati di tengah keragaman yang ada dalam masyarakat. Berpuak-puak dan berpecah-belah pula berpotensi menjejaskan perpaduan nasional dan membawa kesan negatif yang amat ketara, antaranya kerencatan pembangunan sosial dan ekonomi, ketegangan dan konflik sosial, ketidakadilan dan ketidak-saksamaan. Perpecahan masyarakat akhirnya mendatangkan bahaya kepada kestabilan negara dan perpaduan nasional. Secara tidak langsung, ia mengganggu kestabilan politik dan mengurangkan keberkesanan tadbir urus sesebuah kerajaan.

Menjadi tanggungjawab kepada semua pihak untuk menyatukan saf umat Islam dan menjadi contoh kepada orang lain dalam kalangan bukan Islam, serta menzahirkan prinsip agama kita yang cintakan kesejahteraan dan ketenangan serta menolak sebarang bentuk keganasan dan pelampauan. Perpaduan umat Islam akan menjurus kepada perpaduan nasional, antara pelbagai kaum dan agama yang menjadi fabrik tanahair kita. Tidak salah untuk Muslim menyokong untuk bersama membentuk perpaduan nasional demi kebaikan agama, bangsa dan negara. Sepatutnya perpaduan yang ingin dicapai merentasi sempadan politik, warna kulit, bangsa, bahasa, dan negeri.

Ia mestilah bermatlamatkan untuk mewujudkan keharmonian, kesepakatan, kerjasama, persefahaman yang baik, toleransi yang tinggi, dan membina serta menyuburkan noktah-noktah persamaan serta mengecil dan menumpulkan duri-duri perbezaan dan perselisihan. Kesemuanya ini bertitik tolak daripada niat yang tulus lagi ikhlas yang terbit dari hati yang suci dan jiwa yang bersih.

Umat Islam, walaupun berpandukan aliran barat, perlu segera sedar bahawa mereka ada jati diri tersendiri yang berbeza daripada yang lainnya. Jati diri yang tidak berpihak ke kanan mahupun kiri. Peribadi sejati yang terzahir pada tanda-tanda dan ciri-ciri berpaksikan Islam. Melihat kepada senario perpecahan umat yang berlaku di dunia pada masa kini, maka menjadi wajib bagi kita mencari jalan penyelesaian yang paling berkesan dengan sesegera mungkin supaya umat Islam kembali berada pada kemuncak kegemilangannya.

Catatan: Ibnu Majid

Translate »