Pada 14 April 2024, Seorang lelaki bertindak nekad melepaskan tembakan kepada isterinya sebelum terkena individu lain dalam kejadian di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Kes ini sedang disiasat oleh pihak PDRM, maka kita tinggalkan tanggungjawab itu kepada pihak berkuasa yang sepatutnya. Namun pada hari Selasa 16 April 2024, laman berita Mstar telah menerbitkan artikel bertajuk – Rupanya hafiz al-Quran… Lelaki tembak isteri pernah ikut pengajian pondok di Pasir Mas.

Maka lahir persoalan yang serius – apakah kaitan jenayah itu dengan pengajian awal di pondok tahfiz buat si pelaku?

Gambaran Negatif Islam dalam Media

Semakin kita menuju kemodenan, terlihat wujudnya naratif di dalam media dalam dan luar negara, yang menggambarkan agama Islam serta orang Muslim yang sangat negatif. Di dalam ruang media popular dan berita semasa, orang Islam seperti satu kaum yang mundur, kalis kemajuan, alergik kepada perpaduan, dan gemar meromantiskan sejarah.

Di Amerika Syarikat, kajian telah mengenal pasti representasi media negatif yang meluas terhadap umat Islam. Kajian yang dijalankan dari 2000 hingga 2015 oleh Saifuddin Ahmed dan Jörg Matthes, telah membuat kesimpulan bahawa umat Islam digambarkan secara negatif dalam media, dan agama Islam sering ditunjukkan sebagai agama yang ganas. Artikel tentang orang Islam juga lebih berkemungkinan negatif, berbanding penganut Katolik, Yahudi dan Hindu, di negara itu. Hingga 80% daripada semua artikel yang berkaitan dengan Muslim adalah negatif.

Amat membimbangkan juga, bahawa perkadaran artikel negatif berbanding positif di negara-negara seperti UK, Canada dan Australia, adalah hampir sama seperti di Amerika Syarikat.

Yang menghairankan pula, adalah sikap pengamal media di negara ini, yang mengikut rentak media barat dan memberikan gambaran negatif dan tidak adil terhadap agama Islam dan penganutnya. Artikel mengenai kes penembakan di KLIA ini bukan kali pertama di mana media tanahair tidak mengambil kira sensitiviti penganut agama rasmi negara, serta tidak menghiraukan implikasi tajuk utama yang negatif mengenai Islam.

Agak janggal dan pelik jika dimasukkan sekali agama atau latar-belakang pengajian seorang tertuduh atau penjenayah. Tetapi inilah realitinya, apabila seorang muslim dituduh membunuh, maka dia akan dilabel sebagai seorang teroris, atau muslim radikal. Manakala seorang penjenayah beragama lain seperti Kristian, Buddhist, Taoist, atau Hindu, tidak pernah dikaitkan agamanya dengan jenayah yang dia telah lakukan.

Mustahil bahawa korelasi ini hanya satu kebetulan.

Lebih-lebih lagi di dalam media berbahasa Inggeris, dan yang cenderung kepada politik hala-kiri serta liberal. Ia seperti agenda utama mereka untuk mengedepankan satu naratif di mana Islam adalah sebuah agama yang kuno, keras, ketat, dan mengongkong kehidupan penganutnya. Insinuasi yang wujud dalam naratif begini, sama ada lahir daripada kejahilan, atau berniat jahat.

Propaganda Anti-Islam Dunia Barat

Dunia Barat, serta pengampu mereka di dalam negara dan wilayah kita, tidak pernah dan akan berhenti membenci dan sentiasa merancang siang dan malam untuk menghancurkan Islam dan umatnya (Surah Al-Baqarah ayat 120). Mereka pada setiap ketika mencari-cari kelemahan umat Islam sehingga mereka mendalami serta meneliti semua perkara tentang kaum Muslimin dan Islam. Mereka faham bahawa kekuatan Islam dan umatnya terletak pada aqidah Islam   dan   pemikiran-pemikiran  yang  terpancar  darinya, termasuk kekuatan kerohanian melalui tasawuf.

Bertolak dari situ, mereka merancang dan berusaha untuk memusnahkan Islam sehingga ke akar umbinya. Antara kaedah yang mereka lakukan adalah dengan cara menghapuskan Islam sebagai aqidah siâsiah (dasar sistem politik) dan menggantikannya dengan aqidah sekularisme (pemisahan agama dari kehidupan). Mereka menyebarkan propaganda bahawa sekularisme, humanisme, dan liberalisme adalah jalan-jalan menuju negara Utopia, sementara agama seperti Islam adalah peninggalan nenek-moyang yang sepatutnya ditinggalkan.

Di samping itu, untuk menjauhkan keinginan kaum Muslim untuk kembali kepada Islam, mereka secara terancang memberikan label-label negatif terhadap Islam dengan istilah-istilah seperti pengganas, fundamentalis, konservatif, ekstremis dan lain-lain. Mereka juga melakukan perang propaganda dengan melakukan penyesatan pandangan terhadap kaum Muslimin. Semuanya itu berpunca daripada satu perkara iaitu sebagai satu usaha untuk menghancurkan Islam sebagai satu kekuatan politik dan ideologi sekaligus menghalang tertegaknya Daulah Islamiyah dan penerapan Islam yang kâffah (syumul).

Perjuangan Menentang Naratif Barat

Sebenarnya sudah lama tiba masanya bagi pengamal media muslim dalam negara, untuk mengeluarkan bahan dan terbitan di dalam bahasa Inggeris, supaya dapat menarik perhatian serta menangkis naratif songsang yang berlegar di atas talian hari ini. Kebanyakkan penulisan serta konten Islami dalam bahasa Inggeris, datang daripada luar negara. Justeru konten ini tidak menangani isu-isu yang dihadapi muslim dalam Malaysia, dan sekitar Nusantara.

Langkah ini akan menunjukkan bahawa orang Islam dalam negara ada suara untuk melawan negativiti ini, dan bahawa kita mampu berhujah dalam medium bahasa mereka. Sudah tiba masanya untuk sangkal ideologi yang menyamakan orang Islam dengan sifat regresif, dan punca kepada kemunduran serta gejala-gejala sosial dalam negara.

Wujudnya bahaya yang nyata, jika umat Islam tidak cukup kritikal terhadap persepsi dunia Barat dan bersambil lewa untuk melawan persepsi itu. Perlu ada peningkatan kualiti dalam kritikan berlandaskan kriteria Islam. Tanpa fakulti kritikal yang tinggi, umat Islam berada dalam bahaya, kerana akan lahir generasi masa hadapan yang menerima pandangan dunia Barat ini secara total, dan menganggap perspektif Islami sebagai ketinggalan zaman.

Kelebihan kemodenan media harus disepadukan ke dalam fabrik budaya dan tamadun Islam, manakala keburukannya harus di-neutral-kan dan ditolak secara munasabah. Sebagai gantinya, alternatif Islam yang lebih sesuai harus dicari, dibangunkan dan disebarkan. Kita sebagai orang Islam harus peka dengan permainan naratif media zaman sekarang, serta perlu mampu untuk berlawan secara ilmiah di atas platform media yang relevan pada hari ini.

Catatan: Ibnu Hayyan

Translate »