TUMPAT: Seorang warga emas menjadikan perahu sebagai tempat tidur setiap rumahnya di Kampung Bendang Pak Yong di sini ditenggelami banjir.

Omar Awang Kechik, 80, berkata, keputusan itu dibuat kerana dia sudah lali dengan situasi tersebut.

Menurutnya, dia bimbangkan keselamatan harta benda jika berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS).

“Alah bisa tegal biasa. Lagipun hidup saya sudah sebati dengan banjir. Tetapi sebelum banjir saya akan pastikan bekalan makanan sentiasa cukup,” katanya pada pemberita selepas Penyampaian Bantuan Kepada 30 Asnaf Mangsa Banjir oleh Pertubuhan Kearifan Islam Malaysia (OMIW) di Kampung Derdap di sini hari ini.

Seorang lagi penerima, Taib Awang Kechik, 82, memberitahu, setiap kali banjir dia tidak berpindah meskipun rumahnya dimasuki air.

“Saya bimbang nak tinggalkan rumah. Kalau pindah pun hati jadi tidak senang memikirkan harta benda di rumah,” ujarnya.

Sementara itu, Pengerusi OMIW, Datuk Dr. Aziz Jamaludin Mhd. Tahir berkata, sumbangan barang keperluan dapur dan wang tunai itu bertujuan meringankan beban mangsa banjir.

Katanya, beliau berharap sumbangan ini dapat menceriakan golongan asnaf di sebalik musibah banjir yang menimpa mereka. – UTUSAN

Sumber: utusan.com.my

Gambar semasa pembahagian sumbangan dari OMIW

Translate »