Beberapa hari sebelum menulis artikel ini, saya bertemu dengan seorang kawan di masjid kawasan perumahan kami. Sebelum pulang saya bertanya kepadanya tentang skim pelaburan hartanah dan makanan kesihatan yang disertainya.

Saya tahu sebab pada April lalu kami sama-sama diberi penerangan oleh seorang ustaz yang telah menyertai skim pelaburan itu. Skim tersebut sangat menarik. Ia khabarnya dikendalikan oleh orang yang warak dan dermawan.

Satu lot bernilai RM5,000. Pulangan pelaburannya agak lumayan iaitu RM1,000 sebulan. Selain itu pelabur juga mendapat peluang untuk berinfak, membantu orang yang susah dan meningkatkan kesihatannya. Kemudahan untuk menunaikan haji dan umrah juga disediakan.

Saya agak ragu-ragu. Kawan saya pula nampak sangat berminat. Melihat reaksi kami, ustaz itu berkata, dia bersama isterinya (ustazah) dan agak ramai juga jemaah masjid telah menyertainya sebab pelaburan ini amat baik untuk dunia (wang) dan akhirat (pahala).

“Mula-mula ana (saya) labur dua lot. Setakat ini ana dapat pulangan yang dijanjikan. Lepas itu ana dan orang rumah ana tambah pelaburan lagi. Sekarang kami ada lima lot setiap seorang dan tunggu dividen tiap-tiap bulan. Duit dapat, badan sihat, bantu orang dapat, pahala pun dapat,” kata ustaz itu lalu menjelaskan lebih lanjut tentang pulangan lumayan yang bakal diterima oleh setiap pelabur.

“Ana bukan ajak… tapi ana terangkan. Kalau anta berdua tak masuk pun tak apa sebab duit setiap pelabur dimasukkan terus kepada penganjur. Tak ada konsep upline dan downline,” terang ustaz berkenaan.

Kalau ikut hati, memang nak masuk. Tapi saya ambil keputusan tidak menyertainya sebab saya sudah taubat daripada menyertai sebarang skim cepat kaya atau jualan langsung (MLM).

Saya sudah serik kena tipu. Saya juga tidak pandai menjual barang. Saya tak mau habis duit sia-sia lagi. Kalau saya nak cari duit tambahan, saya mahu berniaga. Saya pegang duit sendiri, saya labur ke mana saya suka, dan saya tanggung sendiri untung ruginya.

Tapi kawan saya itu menyertai skim tersebut. Dia membeli dua lot (RM10,000) terus dengan menggunakan wang Amanah Saham Berhad.

Dalam pertemuan singkat di masjid itu, saya bertanya kepada kawan saya macam mana dengan skim pelaburan yang disertainya beberapa bulan lepas? Dapat tak dividen yang dijanjikan?

Kawan saya itu tersenyum. Tapi agak tawar. “Dua bulan pertama, cantik. RM1,000 seorang. Tapi bulan ketiga dapat separuh aje, RM500. Bulan lepas tak dapat. Bulan ni tak tau lagi. Tapi aku yakin, dapat,” katanya sambil tersenyum yang bagaikan dipaksa-paksa.

Saya terkejut, lalu bertanya lagi beberapa soalan. Kawan saya itu menjelaskan, “Bulan yang dapat separuh tu sebab seorang agen besar dah pecah amanah. Dia bawak lari duit pelaburan lebih RM10 juta. Sebab tu dividen kami dibayar separuh. Bulan keempat yang tak dapat tu… saya tak tau. Khabarnya bayar lambat sikit.”

Dia masih yakin tidak ditipu. Di pihak saya pula bertambah keraguannya. Sebab saya dengar skim pelaburan itu diraguinya kehalalannya. Saya bimbang, alasan-alasan tersebut hanya akan menjadi permulaan kepada keengkaran penganjur daripada menunaikan janji, dan akhirnnya skim kaya dunia dan akhirat itu menjadi skim cepat miskin.

Saya tidak menuduh penganjur dan agen skim ini menipu pelabur. Tidak sama sekali. Mungkin mereka sedang menghadapi masalah pecah amanah. Malah mungkin mereka melakukannya dengan niat yang sangat ikhlas dan telah mencuba sehabis baik untuk memberi pulangan yang tertinggi kepada pelabur. Mungkin juga mereka akan melunaskan semula semua bayaran tertunggak kepada pelabur. Harap-harap begitulah.

Cuma, saya risau. Sebab, sekarang ini ada orang yang menggunakan agama untuk meraih kekayaan. Manusia pula, terutama yang cintakan agama, mudah sangat terpedaya dan jadi taksub dengan simbol-simbol agama hingga hilang kewarasan dan pertimbangan akal.

Jangan kita lupa, sudah cukup ramai pengasas ajaran sesat yang jadi kaya-raya dengan menipu pengikutnya. Mereka asalnya entah siapa-siapa, tetapi kemudiannya memiliki empayar perniagaan, banglo mewah, kereta besar, isteri ramai dan wang melimpah, hasil `sumbangan’ para pentaksub.

Fenomena ini bagaimanapun bukan hanya terjadi di dalam agama Islam sahaja. Ia turut berlaku dalam agama-agama lain di seluruh dunia. Mari saya beritahu anda…

Kes 1: Di New York, Amerika Syarikat (AS) kini terdapat sindiket sami-sami Buddha palsu. Paling ramai di High Lane yang menjadi tempat tumpuan pelancong dari serata dunia.

Di sini sami-sami palsu berpakaian oren berkeliaran menjual barang-barang keagamaan seperti rantai, manik, tangkal dan tasbih dengan harga beberapa puluh dolar. Di samping itu mereka juga menawarkan doa kesejahteraan untuk pelancong sambil meminta derma, kononnya untuk kegunaan kuil.

Kegiatan sami-sami palsu itu menimbulkan kesangsian dan kemarahan pelancong serta pihak berkuasa tempatan. Tambahan pula, apabila ditanyakan nama kuil yang mereka maksudkan, sami-sami ini gagal menjawabnya. Mereka malah melarikan diri.

Tingkah laku sami-sami ini juga agak kasar. Ada yang bersuara keras apabil gagal mendapatkan `derma’ atau menjual barangan berkenaan.

Seorang wartawan akhbar New York Times yang membuat siasatan kes itu pada 2014 melaporkan, seorang sami yang diekorinya dilihat telah mengagihkan wang yang diperolehi pada hari itu dengan seorang lelaki lain. Sami itu kemudian membeli sejag wain berharga AS$12.99 sebelum menghilangkan diri di sebuah rumah kecil yang menjadi penginapan para imigran.

Kumpulan sami-sami Buddha di negara berkenaan mengecam sindiket sami palsu itu. Kata mereka, sami Buddha yang sebenar tidak akan berkelakuan sebegitu.

Sindiket ini telah mengutip wang yang cukup banyak. Mereka juga dikesan berkeliaran di Australia, Kanada, New Zealand, China dan Hong Kong.

Kes 2: Pada Januari 2016, Pastor Kong Hee yang merupakan pengasas Gereja Harvest City (CHS) di Singapura dijatuhi hukuman penjara lapan tahun setelah didapati bersalah menggelapkan sejumlah kira-kira S$50 juta dana pembangunan gereja berkenaan untuk mengembangkan karier muzik isterinya, Pastor Sun Ho di peringkat antarabangsa.

Perbuatan ini dilakukan bermula selepas Kong Hee dan Sun Ho mengasaskan gereja tersebut. CHS adalah antara gereja terbesar dan terkaya di Singapura. Ia turut mempunyai cawangan di Malaysia, Indonesia, India, Brunei dan Australia dengan pengikut seramai 30,000 orang.

Dengan menggunakan dana tersebut, Kong Hee membiayai isterinya membuat album Mandarin di China dan Taiwan, juga untuk pembikinan album bahasa Inggeris di Hollywood. Melalui dana itulah Sun Ho (yang digelar The Singing Pastor) dapat berkolaborasi dengan penyanyi-penyanyi terkenal seperti Diane warren dan Wycleaf Jean.

Perbicaraan yang panjang itu mendapati sejumlah S$24 juta digunakan oleh Kong Hee untuk kegunaan karier muzik Sun Ho manakala S$26 juta lagi untuk melakukan pemalsuan maklumat bagi menutup salahguna dana berkenaan.

Selain Pastor Kong Hee, lima orang lagi pemimpin CHS didapati bersubahat dengannya dan mereka masing-masing dijatuhi hukuman penjara 21 bulan hingga enam tahun setiap seorang.

Kes 3: Ini pula melibatkan agama Hindu. Pada awal tahun 2015 mahkamah di AS telah menjatuhkan hukuman penjara selama 27 tahun kepada Annamalai Annamalai a.k.a Dr. Com. Selvam a.k.a. Swamiji Sri Selvam Sidhar yang merupakan bekas pemimpin Hindu Temple Georgia atas pelbagai kesalahan kewangan, pemalsuan cukai dan bankrapsi.

Antara modus operandi Annamalai ialah mengenakan caj keahlian kepada ahli kuil berkenaan, kemudian mengenakan bayaran atas khidmat nasihat kerohanian atau lain-lain perkhidmatan yang diberikannya.

Annamalai juga memperdayakan pengikut tadi hingga mereka memberikan kebenaran kepadanya menggunakan kad kredit masing-masing. Ia dilakukan dengan melalui panggilan telefon tanpa pengesahan rasmi mangsa. Kuil berkenaan seterusnya mengenakan caj di atas penggunaaan kad kredit tersebut.

Mangsa berasa tertipu dan membuat aduan. Bagaimanapun, Annamalai membalas dengan mengemukakan saman terhadap para pengikutnya, kemudian menggunakan dokumen-dokumen palsu serta rakaman audio seolah-olah mangsa memberikan kebenaran terhadap penggunaaan kad kredit mereka.

Selain itu Annamalai menggunakan wang sumbangan kepada kuil berkenaan untuk tujuan peribadi. Pendapatan daripada penipuan itu digunakan untuk membiayai kehidupan mewahnya sekeluarga, termasuk membeli rumah-rumah agam bernilai jutaan dollar, hartanah, kereta mewah serta simpanan wang di luar negara.

Kes 4: Yayasan Baptist Arizona (BFA) ditubuhkan pada 1948 untuk mengumpul dana bagi program Gereja Southern Baptist. Jika gereja-geraja lain mengumpul dana secara konservatif, BFA  pula pada awal 1980an melakukannya dengan membuat pelaburan dalam skim pasaran hartanah di Arizona yang sedang melambung ketika itu.

Para pelabur dijanjikan pulangan yang lumayan. Ramai yang menyertainya dan mendapat pulangan yang dijanjikan. Bagaimanapun, apabila pasaran hartanah jatuh menjunam pada akhir 1980an, BFA mula menggelabah. Mereka terdesak untuk membayar dividen yang dijanjikan kepada para pelabur.

Bagi menutup masalah itu, pegawai-pegawai tertinggi BFA telah menggunakan wang para pelabur yang terkemudian untuk membayar dividen lumayan kepada para pelabur terdahulu. Ini sama dengan skim piramid Ponzi yang telah diharamkan. Namun keadaan menjadi semakin parah kerana parasan hartanah semakin teruk sedangkan para pelabur menuntut dividen bulanan masing-masing.

Jumlah penipuan skim ini dinilaikan sekitar AS$500 juta, iaitu antara yang terbesar dalam sejarah AS! Kebanyakan mangsa adalah golongan berusia yang mahu menggunakan wang tersebut untuk membantu kegiatan gereja.

Apabila para pelabur mendesak BFA menjelaskan kedudukan sebenar isu ini, pegawai-pegawainya cuba mengelak dengan mengatakan, “Ia akan memburukkan nama Tuhan.”

Tetapi mangsa-mangsa membalasnya dengan mengatakan, “Ia tidak memburukkan nama tuhan, tetapi memburukkan nama orang yang menggunakan nama Tuhan demi melakukan penipuan ini. Tuhan tidak terlibat dalam sindiket ini.”

Pada awal 2007 mahkamah di AS telah menjatuhi hukuman penjara selama empat hingga enam tahun berserta denda sehingga AS$159 juta kepada empat orang pegawai tertinggi BFA atas kesalahan-kesalahan tadi.

Kes 5: Kathleen Dake, seorang ahli Gereja Katholik St. Isidore di California, AS, telah menyalahgunakan sejumlah AS$600,000 dana gereja berkenaan untuk kegunaaan peribadi.

Kes 6: Bishop Juius C. Blacwelder menyalahgunakan AS$500,000 wang Gereja Jesus Christ of Latter-day Saints untuk membeli harta-harta mewah dan membayar hutang peribadi.

Kes 7: Pada 2011, Eun Tea Lee ditahan kerana menggunakan AS$700,000 dana Gereja Korean Central Presbyterian di Virginia, AS, untuk membiayai kehidupan mewahnya. Ketika kegiatannya itu terdedah, Tae Lee memiliki sebuah kereta Porsche!

Sebenarnya banyak lagi kes penggunaan nama agama untuk tujuan meraih keuntungan kewangan. Ada yang sah dan diperakui dari segi undang-undang, tetapi banyak juga yang menyeleweng. Sedihnya, yang mengasas dan menganjurkannya adalah orang agama, tetapi yang menjadi mangsa adalah orang yang mahu mendekatkan diri dengan agama.

Masing-masing mahu mencari pahala, tetapi tanpa sedar, ada pihak yang menjual agama bagi mendapatkan laba dunia. Saya berharap sahabat saya itu mendapat keuntungan yang dijanjikan dan penganjur pelaburan yang disertainya dapat menunaikan apa yang dijanjikannya … walaupun saya sebenarya sudah mula berasa bimbang.

Oleh: Shahmie Muhammad

Translate »