Tokoh ini dilahirkan di Makkah al-Mukarramah pada 28 Zulkaedah 113 H, bersamaan 10 Mei 1896 M di sebuah kampung bernama Misfallah. Pada tahun 1913 beliau pulang ke tanah air bersama keluarganya. Ketika masih berusia 10 tahun, beliau telah mampu menghafaz 16 juzuk al-Quran di samping beberapa kitab lain. Syeikh Mohd Idris memasuki Sekolah Melayu Lubuk Merbau, Perak. (kini dikenali Sekolah Kebangsaan Syeikh Mohd Idris Al-Marbawi)

Sheikh Muhammad Idris al-Marbawi mendapat pendidikan seterusnya di Sekolah Pondok Sheikh Wan Muhammad di Bukit Chandan, Kuala Kangsar, Perak; Pondok Tuan Husain Al-Mas’udi Kedah; Pondok Syeikh Ahmad Fatani, Bukit Mertajam dan Pondok Tok Kenali di Kelantan. Berasaskan kepada pendidikan yang diterima beliau merupakan seorang pemburu ilmu agama yang serius. Hampir semua pondok dimana beliau pernah menuntut ilmu merupakan tempat tumpuan pelajar agama dari seluruh pelusuk Nusantara. Setelah memperolehi pelbagai ilmu dan pengetahuan di merata tempat, barulah Syeikh Mohd Idris Al-Marbawi bertugas sebagai guru agama di negeri Perak.

Pada tahun 1924, Syeikh Muhammad Idris Al-Marbawi mengambil keputusan melanjutkan pelajaran di Universiti Al-Azhar, Mesir dan berjaya mendapat ijazah ‘Aliyah. Ketika di universiti itu, beliau menyusun kamus Arab-Melayu yang pertama bagi kegunaan orang Melayu yang ingin mempelajari bahasa al-Quran (Bahasa Arab). Kamus yang tebal itu dinamakan Kamus Al-Marbawi diterbitkan pada tahun 1920-an. Sehingga sekarang, kamus itu sudah diulang cetak tidak kurang daripada 24 kali. Kamus Al-Marbawi ini digunakan secara meluas oleh penuntut-penuntut di Pengajian Islam dan bahasa Arab di Nusantara dan di Mesir. Kamus ini dilengkapi dengan ilustrasi bagi memudahkan keterangan dan penjelasan mengenai sesuatu istilah Arab dan masih belum ada lagi kamus Melayu-Arab yang dapat mengatasi Kamus Al-Marbawi sehingga kini.

Bermula dengan karya pertamanya itu Kamus Al-Marbawi, Syeikh Muhammad Idris mula menerokai bidang penulisan secara lebih serius dan menghasilkan banyak hasil karya agama. Antara kitab hasil karya beliau ialah Kitab Bahrul Mazi yang membicarakan 8200 permasalahan agama dan hal ehwal dunia akhirat. Kitab yang dalam tuliasan Jawi itu diterbitkan dalam 22 jilid, iaitu terjemahan dan ulasan lengkap daripada sebuah kitab Arab iaitu Sahih Imam Tirmizi. Kitab itu dikatakan sebagai satu daripada kitab huraian hadis yang terawal di negara ini.

Syeikh Mohd Idris Al-Marbawi juga telah menghasilkan beberapa tafsir al-Quran dalam Bahasa Melayu. Antaranya ialah Tafsir Quran Marbawi, Tafsir Quran Nurul Yaqin dan Tafsir Surah Yasin. Di samping itu, beliau menghasilkan sebuah lagi kitab berbentuk kamus aneka (Ensiklopedia), lengkap dengan keterangan bergambar. Kamus aneka itu diterbitkan dalam empat jilid. Beberapa karyanya yang lain ialah Tafsir Fathul Qadir, Kitab Bulughul Maram, Kitab Jamiul Ulam, Usul Al-Islam, Nizamul Hayah, Mu’jam Al-Ka’inat (4 jilid) dan beberapa buah kitab lagi.

Bagi mengenangkan jasa dan sumbangan yang amat besar bidang keagamaan dan persuratan kepada umat Islam di Nusantara terutamanya, Kerajaan Malaysia, memberikan penghormatan tertinggi kepada Syeikh Mohd Idris Al-Marbawi dengan mengisytiharkan beliau sebagai tokoh ulama negara terulung. Pada 5 Julai 1980, di atas usaha Prof. Dato’ Dr Haron Din, pihak senat Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah bersetuju agar Allahyarham dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Persuratan kepada Syeikh Mohd Idris Al-Marbawi. Anugerah berkenaan dikurniakan oleh Canselor universiti itu, Tunku Jaafar ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman sempena Majlis konvokesyennya. Pada waktu itu, beliau berusia 86 tahun dan dicatatkan sebagai ulama yang sudah menghasilkan 21 buah karya Islam dalam pelbagai aspek.

Pada enam tahun berikutnya beliau dinobatkan pula sebagai tokoh Maal Hijrah Malaysia yang pertama iaitu pada tahun 1408 Hijrah bersamaan 1987 M, Syeikh Mohd Idris Al-Marbawi telah dianugerahkan Tokoh Maal Hijrah yang pertama pada usia 95 tahun. Pada 19 April 1988, beliau telah dianugerahkan Pingat Ahli Mahkota Perak (AMP) oleh Sultan Perak, Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah ibni Almarhum Yussuf Izzuddin Shah sempena hari keputeraan baginda.

Beliau adalah seorang tokoh ilmuwan yang warak dan amat mementingkan hubungan kekeluargaan. Orang ramai yang mengenali beliau ternyata amat menyenangi dan menghormatinya. Keperibadian mulia di samping ketajaman fikiran walaupun telah berusia 90-an, merupakan aset beliau yang amat berharga. Penghayatan beliau terhadap ilmu, sifat rendah diri, di samping sifat dahagakan ilmu yang dimiliki, tidak dapat dinafikan lagi.

Bahkan semasa diminta berucap setelah dianugerahkan Tokoh Ma’al Hijrah, beliau dengan terus terang menyatakan yang beliau tidak layak berucap di situ kerana merasakan dirinya masih kekurangan ilmu. Dalam satu kejadian lain pula, beliau telah dilihat mengambil wuduk dengan menggunakan air yang sangat minimum yang tidak habis segayung air.

Sepanjang hampir 60 tahun berada di Timur Tengah, beliau banyak menjelajah dan menyaksikan pelbagai bentuk kebangkitan Islam selain daripada menjalankan kerja berdakwah. Ini telah banyak memberi kesedaran dan pengalaman berguna kepada beliau. Atas dasar ingin melihat lebih ramai muda mudi memperolehi pendidikan yang sempurna, beliau telah menggunakan wang ganjaran Tokoh Ma’al Hijrah untuk membolehkan anaknya menubuhkan sebuah Kolej Pengajian Islam yang dinamakan Kolej Idris Al-Marbawi Al-Islami di Ipoh, Perak. Tenaga pengajarnya terdiri daripada anaknya, Mariam dan cucu-cucunya serta beberapa orang tenaga pengajar luar.Sesungguhnya  jasa dan sumbangan beliau amat besar kepada Umat Islam di Nusantara khasnya dan umat Islam secara umumnya.

Walaupun belum puas mencurahkan bakti dan ilmu kepada seluruh umat manusia, ternyata Allah s.w.t lebih menyayangi beliau. Beliau telah kembali ke Rahmatullah ketika berusia 93 tahun pada hari Jumaat, 13 Oktober 1989, jam 8.30 pagi di Hospital Besar Ipoh, Perak. Jenazah beliau disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Lubok Merbau, Kuala Kangsar, Perak, bersebelahan pusara isteri beliau, Khadijah binti Mohamad Idham yang telah meninggal dunia 14 bulan sebelum itu. Beliau telah meninggalkan seorang anak perempuan, tiga orang cucu dan tujuh orang cicit yang tinggal di Malaysia. Di samping itu beliau telah meninggalkan balu kedua, Hajjah Munirah binti Abdul Wahab yang menetap di Mesir.

Bagi mengenang jasa beliau, namanya telah diabadikan di sebuah kolej kediaman di Universiti Kebangsaan Malaysia dengan dikenali sebagai Kolej Idris al-Marbawi. Namanya juga diabadikan di sekolah tempat beliau menuntut ilmu di Kampung Lubok Merbau, iaitu Sekolah Kebangsaan Syeikh Mohd Idris Al-Marbawi.  Penulis sempat bertemu dengan Sheikh Muhammad  Idris ketika hayatnya dan juga menyembahyangkan jenazah Allahyarham ketika beliau kembali ke rahmatullah. Begitu juga sempat meyembahyangkan jenazah allahyarhamah  isteri beliau terlebih dahulu kembali ke rahmatullah sebelum beliau.

Oleh: Medina Haura Muhammad Qasim

Translate »