Selepas PRN di enam buah negeri pada 12 Ogos 2023– Kelantan, Terengganu, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Kedahkeputusan secara keseluruhannya kekal statusquo – Kelantan, Terengganu dan Kedah dikuasai oleh PN (PAS); Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang dikuasai gabungan baharu PH-BN (kerajaan perpaduan- menyebabkan PN kembali ‘meroyan’ dengan hasratnya untuk menjatuhkan kerajaan perpaduan.

Alasannya, daripada keseluruhan 245 kerusi DUN yang dipertandingkan, PH-BN hanya menang 99 kerusi, 146 kerusi dikuasai oleh PN. Namun, yang mengecewakan PN ialah prestasi Bersatu dan Gerakan yang tidak memperlihatkan kemampuan untuk mencabar penguasaan PH-BN. PAS dilihat sebagai sebuah parti yang lebih terserlah dan bakal menenggelamkan kuasa Bersatu dalam PN. PAS menjadi semakin ‘angkuh’ dengan kemenangan tersebut sehingga dalam beberapa tindakannya mengetepikan pandangan dan pendirian Bersatu.

Bersatu pula berhadapan dengan imej yang semakin tercalar, ekoran pembabitan beberapa orang aktivisnya dengan Skandal Jana Wibawa, yang lebih dikenali sebagai ‘aktiviti sakau’. Antara yang terbabit ialah Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin dan Ketua Penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan. Wan Saiful kemudiannya meletakkan jawatan sebagai Ketua Penerangan dan tempatnya digantikan oleh Razali Idris dari Terengganu. Kes tersebut masih dalam proses perundangan.

Selain itu, Setiausaha Agung Bersatu juga dikaitkan dengan Kluster Mahkamah. Kini, Hamzah ikut terpalit dengan kes yang membabitkan anaknya, dalam kes pemalsuan invois dan stok minyak masak bersubsidi secara berlebihan. Muhyiddin pula ditekan untuk membantu membawa pulang menantunya yang berselindung di luar negara, yang juga ada kes salah laku undang-undang.

Kaitan dengan kes-kes tersebut juga menyebabkan PN kalah dalam tiga PRK yang diadakan selepas PRN. Dua PRK di Johor – Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram – PN tidak mampu mengalahkan PH-BN, walaupun DUN Simpang Jeram adalah tetangga terdekat penyandang kerusi Parlimen Pagoh, iaitu Tan Sri Muhyiddin sendiri. PAS juga tewas di Pulai sebaliknya, bekas pemimpinnya yang pernah tewas sebanyak enam kali berjaya menewaskan calon PAS, seorang pakar bedah. Ertinya, calon PAS, Dr Mazri Yahya kalah untuk kali kedua, kali pertama di Pulai pada PRU ke-14 dan kali kedua di DUN Simpang Jeram. PRU ke-14, Dr Mazri juga tewas di DUN Simpang Jeram.

Ini bermakna, kekuatan PN sebenarnya tidak memadai untuk mencabar statusquo politik. PN sebenarnya tidak boleh mengharapkan sokongan pengundi Johor, yang kekentalannya terhadap ‘kuasa politik Melayu’ dan pengaruh BN masih berakar, walaupun di dua PRK itu, BN tidak meletakkan calonnya. BN, walaupun imejnya sedikit memudar, ia tidak terhapus sepenuhnya sehingga boleh memberikan kemenangan kepada Bersatu dan PAS.

PAS hanya mampu menguasai satu DUN sejak PRU ke-14 di Johor. Pada PRU ke-14, PAS menang di DUN Bukit Pasir, dan PRU ke-15, ekoran sikap ‘tamak’, PAS gagal mempertahankannya. Pada PRU ke-15, PAS menang di DUN Maharani dengan majoriti 1,037 undi.

Pada PRK DUN Pelangai, PAS sekali lagi tidak berjaya untuk mengancam kerajaan PH-BN yang dikatakan akan bertukar disebabkan kemenangan tersebut akan menjadikan PN menguasi kerusi lebih besar daripada UMNO. Pada PRU ke-15, BN memenangi 17 kerusi, yakni sama dengan kerusi yang dimenangi oleh PN. Tetapi, dengan kerjasama dengan PKR menyebabkan BN kekal berkuasa di Pahang, yang akhirnya menghampakan Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man untuk dilantik sebagai MB Pahang.

Menurut Tuan Ibrahim, jika calon PN menang di DUN Pelangai, ia akan memberikan tekanan besar kepada PH-BN, yang hanya merupakan bayangan ilham daripada Timbalan Presiden PAS yang pernah terkenal dengan slogan, kalah tulis puisi. Beliau sebenarnya hanya bermain dengan igauan, kerana jika BN kalah ia belum menjejaskan kedudukan PH-BN kerana gabungan itu masih mempunyai majoriti. Pahang mempunyai 42 kerusi DUN. Ini bererti, jika PN menang di DUN Pelangai, ia belum mampu sampai ke garisan majoriti mudah, yakni 23 kerusi. PN hanya menguasai sekadar 18 kerusi, lebih dua kerusi daripada BN. BN masih ada sokongan daripada PKR dan DAP.

Hal yang sama pernah dimomokkan dalam dua PRK sebelumnya (Pulai dan Simpang Jeram) selain cuba mewujudkan tekanan yang sama pada enam PRN. Sesuatu yang dianggap ‘bohong’ kerana jika PN menang di kesemua enam PRN, ia tidak akan mengubah kedudukan kerajaan perpaduan. Ini kerana enam PRN itu hanya untuk menubuhkan kerajaan negeri, bukan kerajaan pusat. Kerajaan pusat akan kekal dengan gabungan PH-BN-GRS dan GPS, biarpun wakil rakyat tunggal MUDA membuat keputusan tidak lagi berada dalam blog kerajaan, dan majoriti dua pertiga terhakis dengan satu kerusi (kini tinggal 147).

Apa yang menyebabkan PN semakin koyak ialah secara terbuka MP Kuala Kangsar telah menyatakan sokongan kepada kerajaan perpaduan, menyebabkan PN penasaran lagi. Beberapa hari lalu, muncul pula keretakan dalam Bersatu di Bahagian Gerik, Perak, menyebabkan Hamzah Zainuddin terpaksa mencari jalan untuk mengekalkan kepimpinannya di Perak. Hamzah juga dikatakan mempunyai hubungan yang semakin bermasalah dengan Presiden PPBM sendiri, yang pada suatu andaian dikatakan tidak lagi sehaluan politiknya.

Ada yang memberikan andaian, kepimpinan Bersatu akan tercabar, kerana mungkin Hamzah akan mencabar Muhyiddin yang sejak memimpinnya tidak mampu menghasilkan kuasa yang lebih berpengaruh, bahkan semakin kerdil dalam gandingan PN. Muhyiddin gagal meletakkan Bersatu dalam kedudukan terbaik, bahkan gagal mencari ‘kubu kuasa’ walaupun Selangor dilihat cukup berpotensi pada PRN lalu. Ini kerana, Muhyiddin sangat mengharapkan imej dan aura Azmin Ali, sedangkan bekas Timbalan Presiden PKR itu sangat dibenci oleh PKR yang mendominasi politik Selangor.

Walaupun Azmin menang di Hulu Klang, beliau juga telah kalah di Parlimen Gombak oleh anak muridnya sendiri, iaitu Amirudin Shaari, MB Selangor. Pada PRN yang lalu, PN menguasai 22 kerusi DUN, masih belum cukup untuk berkuasa, walaupun berjaya menafikan majoriri dua pertiga. PH-BN menguasai 34 DUN (PH 32 dan BN 2). Bagaimanapun, empat kerusi DUN yang dimenangi oleh PN telah dicabar. Ia akan memberikan gambaran ada kemungkinan cabaran itu bakal mengubah kedudukan jika keputusannya mengarah kepada berlakunya PRK.

Dua PRK – satu berlangsung ketika PRN iaitu Parlimen Kuala Terengganu dan satu lagi bakal berlangsung pada bulan November nanti, Parlimen Kemaman – setelah mahkamah membatalkan keputusan yang diraih pada PRU ke-15 yang lalu. Malangnya, kededua kerusi Parlimen itu dimenangi oleh PAS, ekoran terbukti ada aktiviti merasuah pengundi semasa berkempen. Walau bagaimanapun, keputusan mahkamah tidak menamakan siapakah yang melakukannya, maka calon yang dibatalkan kemenangan tersebut boleh dicalonkan semula, seperti yang berlaku di Parlimen Kuala Terengganu.

Namun, apa yang menariknya, ada ura-ura bahawa akibat ‘kebaikan’ yang sedang terjalin antara Presiden PAS dan pengasas Proklamasi Orang Melayu, kedengaran Dr Mahathir akan dicalonkan dan merehatkan bekas MP Kemaman yang disandang selama 10 bulan, Ustaz Che Alias Hamid. Ada dua sebab yang dilihat kenapa PAS memberikan laluan kepada Dr Mahathir untuk membina semula imejnya yang sudah ditolak ke laut oleh pengundi Langkawai. Sebab pertama ialah hubungan rapat Dr Mahathir dengan beberapa orang taikun pernigaan, termasuk Tan Sri Vincent Tan yang mempunyai kepentingan di Pulau Redang, menguasai kawasan pelancongan menerusi Berjaya Resort dan Hotel.

Dr Mahathir dikatakan dapat memulihkan hubungan kerajaan Terengganu dengan Vincent Tan ekoran adanya video tular yang membelasah Presiden PAS memohon sumbangan wang daripada taikun perniagaan itu, yang juga merupakan pemegang saham terbesar dalam Sports Toto, pengendali lesen perjudian (nombor ramalan) yang menjadi boomerang dan reaksi keras PAS sebaik sahaja menguasai politik di negeri Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis. PAS membatalkan lesen premis judi, yang salah satunya adalah Sports Toto.

Dalam video tersebut, Presiden PAS dikatakan menelfon taikun itu untuk memohon sumbangan dana pilihan raya untuk PAS. Ramai khalayak mempersoalkan tentang kejujuran politik Presiden PAS mengenai tindakan tersebut, kerana tentunya, sebahagian derma jika disumbangkan itu nanti adalah hasil daripada keuntungan perniagaan judi. Ini bermakna, PAS bukanlah sebuah parti yang benar-benar mengesahkan sumber yang halal untuk membiyai aktivitinya, dan mungkin juga akan melengkapkan dakwaan bahawa PN pernah mendapat dana daripada agensi operasi judi.

Apatah lagi apabila dikatakan pada musim pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional, yang diikutserta oleh PAS, jumlah cabutan khas telah meningkat kepada 22 kali setahun berbanding sebelumnya, hanya lapan kali. Kenapa hal ini tidak ditentang oleh PAS ketika PN meluluskan penambahan bilangan cabutan khas sepanjang penyertaanya dalam kerajaan pimpinan Presiden Bersatu selama 17 bulan? Itu adalah persoalan yang cukup mendasar dan tidak dapat dijawab dengan berkesan oleh PAS.

Hingga kini, PAS membisu dengan isu tersebut, sebaliknya, lebih mencari peluru lain untuk dilepaskan terhadap PH-BN, termasuk kekurangan satu kerusi dalam Dewan Rakyat, untuk menggambarkan bahawa PH-BN seolah-olah tidak lagi kuat dan stabil.

Jika Dr Mahathir benar-benar dipilih untuk dijadikan calon di Kemaman, tentunya, tentangan akan menjadi lebih besar terhadap keputusan tersebut, yang mungkin akan membangkitkan semula kisah duka yang masih berdarah, yakni perihal Perwaja Steel, yang menjadi ‘perlawanan besar antara Ahmad Said dan Eric Chia’ pada tahun-tahun semasa Dr Mahathir adalah PM ke-4. Cerita ‘keangkuhan kuasa’ dan ‘keistimewaan’ yang diberikan kepada Eric Chia akan terbongkar yang bakal menyebabkan Dr Mahathir kepanasan.

Juga, dalam pembentangan Bajet 2024, nama sebuah tempat dalam daerah Kemaman disebut, dalam mukim Chukai. iaitu Kampung Paya Berenjut. Sebahagian daripada rakyat Terengganu akan mencari apa cerita mengenai kampung tersebut. Sedikit sebanyak ia akan memberikan satu kes yang cukup ‘kejam’ ketika PAS mula berkuasa di Terengganu, selepas menang PRU ke-10 (1999), yang meletakkan Haji Hadi Awang sebagai MB Terengganu ke-11 (1999-2004). Selain Kg Paya Berenjut, ada juga cerita duka di Kampung Bujal, yang juga terletak dalam daerah Kemaman.

Sebaik sahaja Haji Hadi mengangkat sumpah sebagai MB Terengganu ke -11, beliau melakukan beberapa perubahan drastik dalam dasar dan hala tuju pentadbiran negeri, termasuk mengunci mana-mana premis kendalian kerajaan persekutuan yang didirikan di atas tanah atau bangunan yang dimiliki oleh kerajaan negeri.

Antara yang terbabit ialah kelas-kelas prasekolah dan tadika yang dikendalikan oleh Jabatan Perpaduan dan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS). Premis tersebut dikunci, dan operasi pendidikan awal kanak-kanak tidak dapat berlangsung, sehingga menyebabkan dua agensi berkenaan mendapatkan premis lain untuk meneruskannya.

Kg Paya Berenjut adalah salah satu premis tadika dan prasekolah kendalian Kemas yang telah dikunci oleh pentadbiran PAS semasa dipimpin oleh Haji Hadi Awang. Pada Bajet 2024, PM X mengumumkan peruntukan berjumlah RM 31 juta untuk membina 1 buah Tadika, dan salah satu ialah di Kg Paya Berenjut. Saya terkenangkan kisah itu, kerana saya pernah menyimpan rintihan ibu bapa (memori) di Kg Paya Berenjut semasa anak-anak mereka dinafikan pendidikan awal oleh Presiden PAS yang cukup ‘kejam’ dan ‘penuh dendam’ itu.

PAS menafikannya, nama Paya Berenjut sangat melekat dalam pemetaan politik rakyat Terengganu kesan daripada ‘pertelingkahan’ tersebut.  PAS hanya menafikannya pada tahun 2018 (Harakahdaily, 14 Mei 2018), kerana isu itu diperkatakan sebaik sahaja PAS menguasai Terengganu selepas PRU ke-14, yang merupakan rungutan dan kebimbangan akan mengulangi perlakuan sebelumnya.

PAS pernah merobohkan bangunan tadika Kemas di Sura Hujung, Dungun Terengganu; dan secara keseluruhannya, 19,000 kanak-kanak yang berada di kelas-kelas tadika KEMAS telah diganggu secara sengaja oleh agensi kerajaan negeri yang dikuasai oleh PAS (Alias Ali, Terengganu Parah di Bawah PAS, Kuala Terengganu: Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu, 2004, hal. 55-59).

Nampaknya, setelah PH-BN berjaya melakarkan keupayaannya untuk ‘membaiki kerosakan’ yang muncul selepas Dr Mahathir kembali menguasai politik Malaysia, dan seterusnya kedukaan panjang akibat PKP hampir dua tahun semasa pentadbiran PN, menjadikan PN semakin mudah koyak walaupun kata-kata itu pada awalnya ditujukan kepada dua orang wakil rakyat PH-BN yang menang pada PRN di Kelantan.

Setelah PN berjaya melemahkan kuasa politik PH-BN di Kelantan, dengan kemenangan 43 daripada 45 kerusi yang dipertandingkan, PAS menjadi semakin angkuh dan sombong apabila Panglima Perangnya, Nassuruddin Daud dilantik sebagai MB ke-19. Nassuruddin dikatakan pilihan terbaik dalam gandingan agamawan dan teknokrat bagi membangun Kelantan yang sangat banyak kecederaan ekonomi, sosial dan infrastruktur asas sejak tahun 1990 lagi.

Semasa bercakap di Medan Ilmu, Pasir Mas pada 18 Ogos 2023, Nassuruddin menyifatkan ‘kemenangan dua wakil rakyat’ yang bukan daripada PN, iaitu ADUN Galas (BN) dan ADUB Kota Lama (Amanah) sebagai contoh mereka yang ‘menentang perjuangan Islam’. Akibat keceluparan tersebut, dua ADUN itu mendesak agar Nassuruddin memohon maaf dalam tempoh tujuh hari, dan jika enggan melakukannya, akan berhadapan dengan tindakan undang-undang.

Dua hari kemudian, Nassuruddin menegur dua ADUN berkenaan bahawa dalam perilaku berpolitik ‘jangan mudah koyak’ dan beliau enggan memohon maaf, kerana ada yang tersilap memahami bahawa ‘menentang perjuangan Islam’ itu disamakan dengan ‘menentang Islam’. Atas kesilapan tafsiran itu, Nassuruddin turut mengemukakan pendirian, akan mengambil tindakan undang-undang ke atas dua ADUN yang terkilan dengan pandangan awalnya. Sejak itu, istilah ‘jangan mudah koyak’ menjadi siulan politik, sehingga membentuk suatu irama yang pelbagai, menghina (menyindir) dan juga boomerang.

Boomerang yang melekat dalam pemikiran umum ialah bagaimana koyaknya PAS apabila Presiden PAS sendiri terlupa bila mengatakan (13 September 2023) bahawa dalam Islam tidak ada DNAA – dilepas tanpa dibebaskan – bila mengemontarkan keputusan terhadap Dr Ahmad Zahid Hamidi yang diputuskan oleh hakim Datuk Collin Lawrence Sequerrah pada 3 September 2023. Zahid yang dibicarakan selama 77 hari di atas 47 pertuduhan yang membabitkan pecah amanah, rasuah dan penggubahan wang haram dana milik Yayasan Akal Budi.

Zahid dilepaskan (DNAA – discharge not amounting to acquittal) atas 11 alasan yang kemudiannya dijelaskan oleh Pejabat Peguam Negara, dan sebelumnya, Zahid menghantar surat representasi setebal 200 halaman kepada Peguan Negara sebagai asas pertimbangan, termasuk kebocoran memo daripada Peguam Negara sebelumnya (Tommy Thomas).

Netizen kemudiannya mengambil cabutan yang terkandung dalam Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Terengganu) 2001, Seksyen 103, di mana Pendakwa bolehlah berhenti daripada mendakwa  selanjutnya pada mana-mana peringkat, yang hampir sama dengan Seksyen 254 Kanun Kesiksaan. Hal ini dijawab dengan baik oleh Menteri Hal Ehwal Agama, Senator Dr Mohd Naim Mokhtar dalam Malaysiakini, 14 September 2023, “Dakwa DNAA tiada dalam Islam boleh dipertikai”.

Presiden PAS mungkin terlupa, Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Terengganu) itu adalah undang-undang yang digubal semasa beliau adalah MB Terengganu, yang tujuannya adalah untuk menggantikan undang-undang ‘taghut’ yang diamal dan diwarisi daripada penjajah.  Itu adalah ‘mudah koyak’ yang menyebabkan ramai menganggap Presiden PAS sebenarnya lupa apa yang beliau perjuangkan, katakan dan pendiriannya semakin caca marba, seumpama ‘sesumpah’: Hari ini haram, esok halal.

PAS sekali lagi ‘koyak’ dengan isu DNAA apabila netizen turut memaparkan keputusan yang sama telah melepaskan Shahidan Kassim (MP Arau yang berpaling tadah kepada PAS), dalam kes ‘gangguan seksual’ terhadap gadis bawah umur. DNAA bermaksud, proses undang-undang akan diberhentikan sementara, sama ada untuk melengkapkan bukti dan penyesuaian fakta. Ia akan diteruskan bila-bila masa setelah bukti dikemaskinikan. Ini bermakna, Zahid Hamidi tidak dibebaskan, hanya dilepaskan sementara. Begitu juga dengan Shahidan. Sedikit berbeza, Shahidan dilihat seperti dibebaskan kerana pihak yang menyamannya, tidak ingin meneruskan perbicaraan.

Jika melihat kepada beberapa tindakan, pendirian dan perucapan pemimpin, ternyata PN lebih banyak ‘koyak’ berbanding PH-BN, termasuk dalam isu percetakan buku J-Qaf oleh KPM yang melonjak harga daripada RM 15 juta kepada RM 80 juta. Bekas Menteri Pendidikan ‘koyak’ apabila terasa dirinya seolah-olah terbabit dengan skandal tersebut, setelah orang kanannya ditahan oleh SPRM. Dalam Dewan Rakyat, Radzi Jidin seperti orang ‘hilang kawalan’ bertempik ‘tarik balik, tarik bali, tarik balik’, yang sepatutnya beliau bahas secara rasional dan berfakta, bukannya beremosi.

Apa pun, keterlanjuran itu mendedahkan Radzi Jidin kepada ‘koyak’ yang lain; dualism pendirian dan penafian. Apa hubungannya mengenai latar belakang isterinya sebagai seorang anak ulama besar Kedah? Cukup sekadar menafikan bahawa isterinya bukanlah keturunan di raja. Kembalilah kepada asas, bahaw keturunan seseorang tidak akan mejamin keimanan seseorang, kerana iman itu tidak boleh diwarisi. Iman itu apa yang ada dalam diri sendiri dan menjadi asas pendirian, prinsip dan kriteria sebelum membuat sesuatu keputusan.

Kita tahu, orang yang alim, berilmu dan nampak sopan juga tidak terkecuali daripada godaan syaitan. Ia sangat bergantung kepada iman dan ketakwaan, dan kerana itulah al-Ghazali sangat kuat tekadnya untuk mengajak manusia agar tidak hanyut dalam ‘pesona dunia’. Sebab itulah hasil pemikirannya hingga kini cukup relevan dalam memperkatakan persoalan manusia, pembentukan jati diri, orang-orang yang beriman dan kental beragama menerusi pendekatan ‘pembinaan karakter’ dalam tasawuf dan jalan hidup ‘amar makruf nahi mungkar’. (Iman Al-Ghazali, Pedoman Orang Yang Bertakwa, terjemahan Bidayatul Hidayah oleh  Ustaz Othman Jantan, Singapura; Pustaka Nasional, cetakan ketiga 2016; dan R Andi Irawan, Tasawuf Sosial – Al-Ghazali, Semarang, Indonesia: CV Asna Pustaka, 2019)

Ini bermakna, dengan memahami, menghadirkan dalam diri sempadan amar makruf dan nahi mungkar akan menghindarkan setiap daripada kita dalam tindakan atau budaya ‘mudah koyak’, bukan hanya kerana kepentingan politik, ramai yang terperangkap dalam fenomena ‘mudah koyak’, dan akhirnya, benar-benar terkoyak.

Menariknya lagi, ada ADUN yang setelah menang menyalahkan ‘orang lain’ setelah tidak mampu membayar (sagu hati) imbuhan wang apabila pengundi luar pulang mengundi (tunggu peruntukan kerajaan pusat); memohon peruntukan secara terbuka untuk ‘sedekah’ orang meninggal, menziarahi orang sakit dan ‘duit ngelan – hadii kenduri kahwin; dan membiayai pusat khidmat wakil rakyat (sewa premis, gaji pekerja dan kos operasi). Kesemuanya itu dilihat sebagai karakter ‘mudah koyak’; awalnya sombong dan angkuh dan setelah terkapai-kapai untuk melaksanakan janji, sedar tidak mampu melakukannya walaupun bertekad ‘berkhidmat untuk rakyat/pengundi’. Koyak rabak jadinya, pecah di perut sendiri.

Semoga Allah SWT menjauhinya, kerana fenomena ‘mudah koyak’ itu membawa kerosakan dan kebinasaan sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang dilakukan oleh tangan manusia, (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian daripada balasan atas perbuatan buruk yang mereka lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).” (Surah ar-Rum ayat ke-41).

KAMARUN KH

Translate »