Puisi Kaum Beragama Negeri Ini (KBNI) mengandungi dua perenggan: perenggan pertama ditulis dalam 14 baris; dan perenggan kedua dalam 26 baris yang kemudiannya diakhiri dengan Allahu Akbar Walillahil Hamd (Allah Maha Besar dan Segala Puji Hanya Bagi Allah), yang merupakan tasbih (Subhanallah), takbir (Allahu Akhbar) dan tahmid (Alhamdulillah), dan ungkapan tersebut sangat lazim digunakan ketika menyambut dua perayaan terbesar Islam, iaitu Aidilfitri dan Aidiladha.

Ia dilaungkan oleh umat Islam pada malam hari raya hingga menjelang shalat sunat hari raya. Ia sebagai menzahirkan rasa kesyukuran terhadap keizinan Allah memberikan kita ruang dan peluang beribadah sepanjang bulan-bulan mulia tersebut. Ia adalah syair yang disunatkan agar keafiatannya diperoleh daripada perbuatan Nabi Muhammad SAW dan para sahabat, dan seterusnya diwariskan pada generasi ulama berikutnya.

Takbir juga memberikan kita makna ‘kemenangan melawan hawa nafsu mazmumah (sepanjang Ramadhan), lambang penyatuan ummah, menyejukkan jiwa, menenangkan fikiran dan melapangkan hati untuk bermaafan, serta menyuburkan ukhuwah dan mengukuhkan ikatan persaudaraan. Nyatalah, pada akhir puisi KBNI Gus Mus sangat mengharapkan umat Islam kembali bersatu, bersatu menegakkan Islam dan menghapuskan rasa benci akibat perbezaan fahaman politik.

Saya gunakan edisi puisi Gus Mus yang disiarkan dalam dhomir.com., kerana saya gagal memperoleh edisi sebenar yang ditulis menjelang Aidiladha 1998 itu. Saya sebenarnya tidak memiliki antologi puisi Gus Mus, walaupun khabarnya telah menulis lebih 10 buah antologi puisi dan cerpen.

Antaranya antologi puisinya: Ohoi: Kumpulan Puisi Balsem (1991);  Tadarus: Antologi Puisi (1993); Pahlawan dan Tikus (1996); Wekwekwek: Sajak-Sajak Bumilangit (1996); Gandrung:Sajak-Sajak Cinta (2000); Negeri Daging (2002); Rubaiyat Angin dan Rumput (2006);  Bingkisan Pengantin (2002); dan Aku Manusia (2016).  Antologi cerpen pula ialah Lukisan Kaligrafi (2006) dan Konvensi (2018). Karyanya bukan sastera sebanyak 15 buah, termasuk terjemahan Kimiya-us Sa’adah, Dasar-Dasar Islam, Ensklopedi Ijma’, dan Mahakail Hasyi Asy’ari.

Perenggan pertama “Tuhan, lihatlah betapa kaum beragama negeri ini” yang ‘tidak mahu mengaku kalah” (mahu menang) berbanding ‘kaum beragama lain’ (pemeluk agama lain), yang berada di ‘negeri-negeri lain’, juga dalam negeri sendiri berusaha untuk ‘mendapatkan redha-Mu’ sehingga sanggup bermusuhan atau berperang sesama sendiri atau dengan pemeluk lain (rela mengorbankan saudara-saudara mereka), kerana berebut tempat (posisi) yang paling dekat dengan Tuhan (Allah SWT).

Saya kira, inilah yang cukup merunsingkan, kerana ada di antara manusia hanya memikirkan sesuatu yang salah, walaupun hasratnya adalah mulia. Tindakan untuk memposisikan kedudukan yang terbaik di sisi Allah SWT adalah atas semangat taqwa, bukan lain-lainnya termasuk membuat dakwaan bahawa jemaahnya paling dekat dengan Maha Berkuasa.

Sebagai doktrin keimanan, Islam hadir dalam kerangka yang sama, tiada perbezaan antara seseorang dengan seseorang yang lain, kecuali tahap ketakwaan. Itulah prinsip asas yang patut setiap umat Islam pasakkan dalam minda, jiwa dan setiap denyut nadinya, agar setiap daripada kita tidak kesandungan rasa sombong, bongkak dan ego diri yang ‘membunuh’.

Saya kutip apa yang ditulis oleh al-Ghazali, yang cukup menjadi tunjangan ilmu dalam kehidupan masyarakat Islam, yang berjaya mentafsirkan pengetahuan teori kepada amalan yang diperlukan, sebagai seorang muslim sejati. Dalam kitab (risalah) yang diterjemahkan oleh Gus Mus, Metode Tasawuf al-Ghazaly: Merambah Jalan Kebahagiaan, disebut bahawa:

kimia yang kita kenal, tidak kita jumpai pada perbendaharaan orang awam, Ada hanya pada perbendaharaan raja-raja. Demikian pula Kimia Kebahagiaan ada hanya pada perbendaharaan Allah SWT. Di langit ada anasir malaikat, di bumi ada hati para kekasih-Nya yang ‘aarif’. Maka. sesiapa pun yang mencari kimia ini dari selain derajat (hadirat) nubuwah (kenabian), dia tentu salah jalan. Amalnya ibarat wang dinar palsu, ia berfikir dirinya kaya walhal pailit (muflis)  di hari kiamat. (2007, hal. 15-16).

Gus Mus memberikan huraian bahawa istilah “kimia” yang digunakan sebagai: ‘pengertian mengubah materi, seperti misalnya logam-logam bagaimana mengubahnya menjadi emas. Jadi, Kimia Kebahagiaan maksudnya, pengertian bagaimana mengubah keadaan kita menjadi bahagia (mengenal Allah atau makrifatullah)….jalan hadratul-nubuwwah, mengubah keadaan kita menjadi sebahagian dari Nabi Muhammad SAW dengan cara mengheningkan (merenungkan) proses penciptaan (hidup dan kehidupan), mengarahkan diri (fikiran), jiwa dan raga dan membayangkan (istidhar) Rasulullah SAW ketika berzikir. Inilah yang dinamakan ‘hidup dan mati’ seseorang muslim adalah kerana Allah dan ditentukan oleh-Nya.

Al-Kimia, atau kimia yang dimaksudkan al-Ghazali ialah ‘mengubah sesuatu yang tidak berharga menjadi sesuatu yang berharga, umpama emas dan perak. Istilah ini digunakan bagi menggambarkan proses perubahan yang perlu dilaksanakan oleh manusia dari makhluk yang hina menjadi makhluk yang mulia.

Dari perspektif penciptaan manusia, Allah SWT menegaskan bahawa ‘manusia adalah sebaik-baik kejadian’ (surah at-Tinn, ayat ke-4) dan memuliakannya (anak cucu Adam) dengan ‘membawa mereka ke daratan dan lautan serta memberikannya rezeki yang baik-baik, melebih-lebihkannya (keistimewaan) serta diciptakan dengan kelebihan yang sempurna.’ (surah al-Isra’, ayat ke-70).

Namun, keistimewaan dan kelebihan yang Allah SWT berikan kepada manusia, tidak bermakna manusia bebas mengikut naluri atau hawa nafsu, tanpa batasan dan kawalan. Bagi mereka yang mengikuti keinginan ‘hawa nafsu’ akan berakhir dengan kekeliruan yang besar, malah tersesat daripada mengikut petunjuk Allah SWT, dan mereka termasuk dalam kalangan ‘orang-orang yang zalim’. (surah al-Qasas, ayat ke-50).

Sebagaimana yang kita sentiasa didendangkan, dalam hidup ini kita perlu mengawal diri kerana kawalan itu memberikan manusia pemahaman yang jelas bahawa dirinya diciptkan sebagai ‘hamba’ kepada tuan yang lebih Berkuasa, iaitu Allah SWT, bukannya menjadi tuan kepada manusia atau makhluk yang lain.

Ini membawa pengertian bahawa, setiap apa yang manusia lakukan, sama ada bersifat politik, ia perlu memahami bahawa dirinya adalah untuk memenuhi tuntutan orang lain, yang perlu dilaksanakan secara bertanggungjawab, amanah dan penuh sifat-sifat keihsanan.

Allah SWT mengajarkan setiap manusia, mereka yang secara mutlaknya individualistik adalah dalam kalangan mereka yang sesat dan berada dalam kerugiaan. Sebab itulah dalam Islam, perlu difahami bahawa hidup ini perlukan pengorbanan dan keseimbangan antara nilai-nilai kendiri dan nilai-nilai sosial.

Nilai-nilai kendiri ialah membudayakan apa yang Allah SWT perintahkan bagi setiap orang dalam semangat ‘kehambaan’ manakala nilai-nilai sosial ialah menjalin hubungan akrab dengan setiap orang, bukan saling menghina dan menghancurkan sesama manusia.

Bahkan, dengan benda-benda pun Allah SWT melarang agar tidak dirosakkan, kerana kerosakan itu boleh mengakibatkan petaka dan musibah, yang akhirnya manusia akan ditimpa pelbagai masalah. Ini dijelaskan dengan amaran keras oleh Allah SWT bahawa:

Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang dilakukan oleh tangan manusia, (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian daripada balasan atas perbuatan buruk yang mereka lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).” (Surah ar-Rum, ayat ke 41).

Atas kerendahan diri sebeginilah Islam akan lahir sebagai sebuah sistem kemasyarakatan yang aman, harmoni dan saling berkasih sayang, kerana unsur-unsur yang dibelenggu oleh perangkap syaitan (kawalan dan dikuasai oleh hawa nafsu) dapat dihindari. Dan, tentunya setiap umat Islam sedar, faham dan berusaha mengelakkan diri daripada perangkap tersebut.

Jika apa yang dilaksanakan itu salah atau kurang tepat, maka perbaikilah sebaik-baiknya dengan kesedaran dan keinsafan, bukan menuding jari seolah-olah diri sendiri yang betul tetapi, kegagalan itu berpunca daripada ‘pengkhianatan’ orang lain.

Namun, tidak semua mereka berjaya, kerana selagi ada setan, selagi itulah ada langkahnya. Selagi ada setan, selagi itulah godaan berlaku. Setan tidak pernah putus asa, bahkan setan akan making gigih menggoda dalam kalangan mereka yang dikategorikan sebagai ulama dan yang bergelar pemimpin.

Itulah sebabnya dalam persoalan politik, urusan kemasyarakatan dan bernegara, Islam sangat menitikberatkan soalan pemimpin dan kepimpinan. Jadi, dalam persoalan KBNI, jelas Gus Mu scuba memerihalkan perihal pemimpin dan kepimpinan, walaupun tidak disebutnya secara mutlak keutamaannya, kerana itulah ‘mereka tega menyodok dan menikam’ sesama sendiri, sama ada sebagai batu loncatan ataupun alat untuk “memperoleh rahmat-Mu’ sedangkan tindakan itu sangat dilarang dan diharamkan. Tega bermaksud, tiada belas kasihan, tidak peduli dan sangat ‘busuk hati’.

Dalam kamus politik, tega boleh disamaalirkan dengan falsafah matlamat menghalalkan cara. Kerana kemahuan politik yang keras, kental dan tanpa belas kasihan, ia membawa pelbagai tragedi dan peristiwa tragis: penderaan, penyiksaan, pemenjaraan dan juga pembunuhan sebagai ‘langkah tepat’ menyelesaikan masalah atau menamatkan krisis.

Tentunya, ia bertentangan dengan hakikat Islam kerana Islam mementingkan keamanan dan keselamatan, diplomasi, kompromi dan toleransi kecuali melibatkan prinsip tauhid. Peperangan hanya jalan terakhir setelah pertimbangan-pertimbangan lain tidak ada lagi.

Bahkan, Islam melarang umat Islam berperang atas nama agama selagi pemeluk agama lain tidak mengkhianati atau mengancam umat Islam secara terbuka. Tidak ada ‘tawaran menebus dosa’ sebagaimana didoktrinkan oleh Pop Urban II sekitar tahun 1095.

Tetapi, hakikatnya, di Malaysia isu ini telah menjerat manusia-manusia politik sehingga timbul semangat kanibalisme, dengan berlandaskan pemahaman keras terhadap ‘jihad’. Kita boleh mengambil contoh, melihat kepada sejarah bagaima politik Islam itu ditafsirkan, bukan digandingkan sebagai wahana untuk meneguhkan semangat tauhid, tetapi untuk menegakkan perjuangan politik yang kadangkala seolah-olah seperti ‘hukum rimba’, dengan melontarkan dakyah dan kenyataan palsu (pembohongan).

Lontar Gus Mus, “mereka mendiamkan kemungkaran”, “medukung kelaliman” dengan semangat bengis, kejam dan zalim seumpama tirani, dengan berpura-pura “membuktikan keluhuran budi”, walhal ‘setan pun mereka tidak pernah berburuk sangka’.

Ertinya, mereka sanggup berbaik-baik dan menuruti perangai syaitan, dan kerana itulah tidak cuba untuk melawannya, sedangkan Islam sangat menitikberatkan perlakuan dan tindakan ‘menjauhi perangai syaitan’ sebagaimana ditegaskan oleh Allah SWT, ketika setan diusir kerana keenganannya – sombong dan takbur – tidak mahu sujud kepada Adam AS, yang telah selesai “diciptakan dengan kekuasaan-Ku”:

Maka keluarlah kamu berdua dari syurga; Sesungguhnya kamu adalah makhluk yang terkutuk. Sesungguhnya kutukan itu tetap atasmu sampai hari pembalasan. Iblis berkata: Ya Tuhanku, berilah penangguhan kepadaku sampai hari yang dibangkitkan. Allah berfriman: Sesungguhnya kamu termasuk yang diberi penangguhan, sampai kepada hari yang dijanjikan waktunya (hari kiamat). Iblis menjawab: Demi kekuasaan Engkau aku akan menyesatkan mereka semuanya, kecuali haba-hamba-Mu yang mukhlis di antara mereka (surah Saad, ayat ke-77-83).

(BERSAMBUNG)

KAMARUN KH

Translate »