Saya akan kupas permasalahan politik Malaysia dengan merujuk makna yang dapat dicerap daripada rangkuman tulisan Gus Mus, walaupun puisi tersebut sudah berusia 25 tahun. Ia cukup memberikan kita pemerihalan bagaimana masyarakat Islam terbelah, berbeza dengan hakikat Islam itu sendiri yang bersifat pemersatu dan penyatuan, kasih sayang dan persaudaraan, agama rahmah.

Saya sengaja hitamkan (bold) kalimat-kalimat yang menjadi premis dan aksi yang membalut diksi pengarangnya. Inilah yang akan saya bincangkan dalam memahami perlakuan dan aksi yang bernuansa politik yang terjadi dalam tubuh umat Islam, yang sejak lama terjadi walhal Islam itu hadir sebagai manhaj akhlak terbaik untuk membebaskan manusia daripada kebodohan, yang kita kenali sebagai ‘jahiliyah’.

Namun, semakin berkembangnya manusia (membiak dan berorganisasi), semakin lama mereka hidup, semakin berubah dan bercambah keinginan, menjadikan manusia semakin berkonflik sesama sendiri, seperti kembali ke fasa kehidupan jahiliyah, iaitu fanatik dan taksub. Ada keadaannya seperti kembali kepada sifat kanibalisme zaman yang dipanggil ‘survival of the fittest’ atau hukum rimba.

Kebetulan, Khutbah Jumaat di masjid-masjid dalam Wilayah Persekutuan pada 25 Ogos 2023 (8 Safar 1445H) membicarakan tema fanatik dan taksub, dengan tajuk Mewujudkan Keharmonian Dalam Perbezaan. Ia dilafazkan dua hari selepas saya membaca puisi Kaum Beragama Negeri Ini, yang tentunya cukup menarik minat untuk memahami secara lebih memadai mengenai pola dan budaya politik, kerana ia membabitkan persoalan fanatisme dan budaya taksub, yang disengajakan oleh seseorang pemimpin dalam usaha memposisikan kelompak dan meraih kuasa (mengumpul sokongan atau mencari kemenangan).

Sekembalinya ke rumah, selepas selesai shalat berjemaah Jumaat, saya cuba memikirkan apakah sebabnya tema khutbah itu dibuat begitu. Saya temukan beberapa sebab, dalam pemikiran saya sendiri.

Antaranya, bulan Ogos adalah ‘bulan kemerdekaan’ yang setiap orang diingatkan tentang detik-detik sejarah negara, sejarah terbentuknya sebuah negara merdeka, dilepaskan daripada taklukan dan dominasi penjajahan selama hampir 450 tahun (dari Portugis, Belanda dan Inggeris, serta pengaruh Siam).

Sedikit sebanyak menyelitkan makna ‘kecintaan’ kepada negara dan kebanggaan hidup di negara leluhur yang ‘bertuah’ ini, dengan hasil mahsul melimpah ruah di atas (flora dan fauna) dan di dalam perut bumi (mineral dan sumber air). Juga di langit, yang setiap hari diterangi cahaya matahari, yang menjadikan pokok subur menghijau, berbunga dan berbuah.

Cahaya matahari sepanjang tahun itu menjadikan manusia sihat, segar kerana dilimpahi vitamin D. Vitamin D adalah keperluan untuk membolehkan diri kita mendapat imunisasi dan antobodi. Sebab itulah kita digalakkan agar mendapat sinaran matahari secara langsung, untuk meningkatkan kekebalan, tetapi, perlu waspada dengan tidak mendedahkan diri dalam keadaan suhu yang melampau. Daripada pokok dan sayur-sayuran, kita memperoleh Vitamin K, yang sangat kita perlu untuk mengelakkan osteoporosis dan Alzheimer.

Begitu juga udara yang segar, kita sedutnya secara percuma sehingga ada ketikanya kita sangat take thing for granted, kerana tidak perlu membayar harga oksijen. Sedangkan, apabila kita dikenakan bayaran menggunakan mesin bantuan pernafasan, kita mulai sedar, betapa mahalnya kos untuk menjadi sihat. Ketika kita sehat, kita lupa untuk menjaganya, kita merasakan ia adalah sesuatu yang biasa (normal) dan diperoleh secara semulajadi (nature).

Ia juga memberikan kita sedikit latar kehidupan bermasyarakat, bahawa Malaysia adalah sebuah negara eka budaya, eka agama, eka etnik, eka latar belakang. Ini membawa maksud, Malaysia adalah sebuah negara yang bermasyarakat majmuk yang semakin bersifat kosmopolitan, individualistik dan materialistik.

Dan, tentunya dengan kepelbagaian inilah menjadikan cabaran kita untuk menjadikannya ia sebagai faktor kekuatan, sehingga pada suatu ketika, Malaysia menjadi model masyarakat majmuk yang berjaya, mampu mempertahankan keekaan itu selain hidup dalam kerukunannya yang tersendiri walaupun ada keadaan muncul polarisasi. Kata orang, tinggal serumah atau tidur sebantal, tetapi mimpi berbeza.

Memangnya, setiap orang ada mimpi berlainan. Ada keinginan dan harapan yang berbeza, hatta dari sepasang anak kembar sekali pun. Itulah sebabnya Allah ciptakan manusia itu berbeza, kerana Allah SWT inginkan manusia berkenalan dan saling mencari usaha untuk hidup secara bermasyarakat.

Kita berbeza etnik, subetnik, bahasa dan juga lokaliti. Semuanya itu menyebabkan kita mempunyai ciri-ciri yang berbeza. Misalnya, ciri budaya orang Kelantan dan Kedah, cukup berbeza walaupun mereka adalah orang Melayu dan sedikit sebanyak ada kaitannya dengan pengaruh Siam, maksudnya budaya dan juga pemikiran.

Namun, ia tidak meletus sebagai masalah yang menyebabkan kehidupan penuh permusuhan, perbalahan dan perang antara kaum, termasuk perang atas nama agama. Hanya sekadar ‘perang budaya’ atau ‘perang persepsi’ yang cepat reda, tidak melarat kepada pergaduhan besar, tidak ada idea ‘sweeping’ mahupun culture cleansing dan ethnic cleansing sebagaimana berlaku di beberapa buah negara.

Walaupun ada krisis, ia tidak berlangsung dalam situasi yang parah sebagaimana berlaku di beberapa belahan dunia, sehingga ‘agama’ diaggap sebagai ‘bencana’ seperti diungkapkan oleh Charles Kimbal. (Kala Agama Jadi Bencana (terjemahan bahasa Indonesia, 2003).

Banyak kisah mengenai peperangan atas nama agama yang dapat kita baca, kesemuanya timbul akibat dakwaan melampau sehingga menyebabkan konflik, pertembungan dan peperangan sedangkan semua agama sangat cenderung membangun peribadi yang baik, jujur dan beretika bagi setiap pemeluknya.

Sebab itulah sejarah peperangan antara agama dan intraagama sangat cenderung kepada kepentingan seseorang, di mana pemimpin agama membuat sesuatu tafsiran terhadap ajaran agama yang mereka warisi, sehingga melontarkan ‘rasa benci’ kepada pemeluk agama lain.

Ia disumbangkan oleh rasa ‘kekuatan’ dan juga ‘ingin menguasai’ atas apa pun alasannya, kerana pemimpin agama melihat manusia semakin cenderung menjauhi agama atas sikap dan perlakuan pemimpin mereka sendiri.

Ini terbukti daripada doktrin Perang Salib, bila mana gerejawan semakin hilang cengkaman kuasa, bila tradisi kependetaan yang mereka amalkan ikut menjadikan manusia yang lainnya cukup hina dan ada ketikanya diperbodohkan dengan perintah gerejawan, yang menolak rasional dan sangat tertakluk kepada tafsiran sendiri. Itulah sebabnya, atas nama agama, seruan kepada permusuhan menjadi cukup mempengaruhi.

Dalam keadaan gerejawan hilang pengaruh, maka ada keadah menebus dosa bagi menarik semula pemeluknya kepada kuasa gereja, sehingga gerejawan seolah-olah sangat berkuasa untuk menetapkan ‘syurga’ dan ‘neraka’ kepada mereka yang bersalah, dengan menyertai misi Perang Salib.

Hal seumpama itu juga berlaku dalam era moden umat Islam, apabila muncul sebuah organisasi politik yang mendakwa, menyokong (menjadi ahli, mendokong) dan mengundi pemimpin mereka dalam pilihan raya ‘dijamin syurga’ manakala yang menolaknya, ‘akan dihumban ke neraka’.

Mereka yang menentang perjuangan politik kelompok tersebut disamakan dengan dajjal. Dajjal sangat berpaksikan kepada kebohonga, tipu daya dan muslihat, yang pada tafsiran Imam al-Nawawi: menyembunyikan perkara sebenar dan mempersembahkan sesuatu yang tidak bernilai.” Dajjal juga dikatakan akan muncul menjelang kiamat. Atas ketakutan itulah muncul pula apa yang dinamakan messiah, yang membawa maksud seseorang yang akan menyelamatkan manusia daripada kehancuran atau kemusnahan.

Messiah ini hadir sebagai penyelamat dalam tradisi agama, dan messiah jugalah menjadi motivasi kepada tuntutan politik sekelompok orang, atau seseorang dengan dakwaan, menyertai kelompok mereka akan menjamin manusia selamat. Inilah ‘topeng agama’ yang diistilahkan oleh Luco Ozano dalam kajiannya mengenai politik atas nama agama dalam bingkai demokrasi moden. (Luco Ozano, The Masks of the Political God: Religion and Political Parties in Contemporary Democracies.2020).

Inilah kisah sejarah, yang berpunca daripada dakwaan ‘berlebihan’. Kita boleh membacanya daripada buku-buku ilmiah, seperti Karen Armstrong, Perang Suci (terjemahan bahasa Indonesia, 2003), Berperang Demi Tuhan (terjemahan bahasa Indonesia, 2001) dan Fields of Blood (2014); John L Esposito, Unholy War: Terror in the name of Islam (2002); Don Jones, Crusades (2019); Thomas Asbridge, The Crusades: The War of Holyland (reprinted edition, 2011); dan, Jonathan Philips, Holy Warriors: A Modern History of the Crusades (2010).

Ia berlaku kerana minat, kecenderungan dan penafsiran terhadap politik, yakni kuasa yang akan menentukan sebagai bayangan hegemoni dan dominasi, dalam masyarakat yang satu dan homogenus menggunakan agama.

Agama adalah satu-satunya daya tarik yang menyatukan setiap orang, kerana agama melangkaui batasan etnik, lokaliti dan wilayah. Tetapi, dalam agama juga muncul sekterian, prejudis dan fanatisme.

Akibat aspirasi dan keinginan yang berbeza itulah menjadikan suasana perbezaan keinginan dan aspirasi, dalam nuansa politik semakin menjengkelkan dan dalam masa yang sama menjadi pertikaian yang cukup besar, jika tidak dapat dibendung, boleh membawa kepada konflik perkauman sebagaimana pernah berlaku pada 13 Mei 1969.

Biarpun sebab utama tercetusnya 13 Mei 1969 bukan faktor agama, provokasi melampau menyebabkan timbul ketakutan dan reaksi balas sehingga menyebabkan kematian dan ketidaktenteraman.

Kita tidak mahu tragedi itu berulang, tetapi banyak juga cebisan-cebisan sejarah itu diulang-ulang dengan memberikan tafsiran yang bersifat perkauman, sehingga berlaku tuduhan, tudingan dan rasa benci, hanya kerana keinginan tertentu yang cukup kuat dikaitkan dengan mencari ‘laba politik’.

Saya tidak berhasrat menamakan individu mahupun organisasi, kerana saya tidak ingin dituduh terperangkap dalam perbincangan yang dilarang, yakni 3R – royalty, religion and race – yang semakin membingkai dan menampakkan ada kehendak menolak ‘kontrak sosial’, yang menjadi asas lahirnya Perlembagaan Persekutuan pada 1955 dan seterusnya menjadi undang-undang terpenting Malaysia, yang kedudukannya adalah lebih tinggi daripada mana-mana undang-undang yang dikembangkan (untuk tujuan khusus) daripadanya.

Biarpun ada pertikaian, kerana Malaysia mempunyai satu lagi bentuk undang-undang, yakni undang-undang yang dinamakan sebagai peraturan Syari’ah dalam hal ehwal yang dikaitkan dengan umat Islam.

Pada suatu ketika, oleh kerana dualisme undang-undang ini, maka muncullah dakwaan bahawa Malaysia kekal sebagai negara sekular, kerana menggunakan perlembagaan penjajah, maka ia wajib ditukarkan kepada undang-undang Islam sebagaimana perlunya Malaysia menjadi sebuah ‘Negara Islam’.

Konsep ‘Negara Islam’ menjadi acuan bayangan kerangka pemerintahan dan perjuangan sebuah parti politik sehingga menyebabkan masyarakat menjadi semakin terbelah, bukan sahaja antara Islam dan bukan Islam, bahkan dalam kalangan masyarakat Islam, yang merupakan 63.5 peratus daripada 32.4 juta orang (Banci Penduduk 2020).

Penganut Islam merupakan penduduk majoriti, manakala penganut Buddha merupakan kelompok kedua terbanyak (18.7 peratus), diikuti Kristian (9.1 peratus), Hindu (6.1 peratus) dan agama-agama lain (0.9 peratus).

Jadi, dakwaan bahawa umat Islam dan Islam ‘terancam’ hanyalah merupakan ‘permainan politik’ untuk menjadikan rakyat Malaysia ‘marah’ dan umat Islam ‘benci’ kepada kuasa politik yang membentuk pemerintahan.

Ia jelas suatu tindakan yang boleh dinamakan sebagai fitnah, atau dalam puisi Gus Mus sebagai ‘tega menyodok dan menikam’ sehingga tidak ada sedikit pun rasa benci kepada ‘setan’.

Mereka kembangkan dakyah itu dalam diri umat Islam, dengan harapan mereka (umat Islam) akan menyokong perjuangan politik yang mereka kembangkan, walaupun haluan dan arahnya sangat cenderung propaganda, sejarah budaya politiknya sangat fanatik dan taksub. Mereka sanggup mengambil ‘peranan Tuhan’ sehingga mampu menentukan ‘siapa ke syorga siapa ke neraka’ kerana setiap kata-kata dan keputusan yang dibuat oleh kepimpinan parti adalah ‘sakral’.

Sakral maknanya suci, bersih dan tiada dosa (tidak salah, yakni semuanya benar). Sedangkan ‘kebenaran’ itu adalah sesuatu yang palsu atau semu, sesuatu yang bersandarkan ijtihad sendiri, bukannya kebenaran mutlak yang diwahyukan. Bukan kesepakatan yang mencukup syarat dan kaedah berijtihad.

Mereka bersandarkan kepada tafsiran terhadap ayat-ayat al-Qur’an dan Hadis, tetapi huraiannya adalah bersandarkan ijtihad peribadi atau kelompok, ilmu dan pengalaman yang mereka ada, walaupun ia adalah bersifat penyelesaian kepada isu yang hadir dalam pengalaman sejarah yang berbeza.

Mereka tidak menghormati kedinamikan hidup dan perubahan zaman, hanya mahu mengambil bulat-bulat daripada apa yang mereka kutip daripada sejarah, sedangkan dalam syariat, tidak semua hukumnya dikanunkan secara jelas, masih ada kesamarannya.

Muhammad Asad (1900-1992), seorang mualaf yang pernah diberikan penghargaan sebagai pemikir awal dalam pembentukan negara Pakistan dan seterusnya wakil ke PBB, memetik kisah Mu’adh ibn Jabal yang ditanyakan oleh Rasulullah SAW semasa dilantik sebagai gabenor di Yaman.

Ia dipetik bagi menggambarkan bagaimana menentu dan menegakkan syariat dalam urusan kenegaraan atau pemerintahan, bukan sekadar melakukannya ‘ikut emosi’ dan ‘kepentingan sendiri atau kelompok’ tanpa ijtihad yang memadai, atas nama keadilan, prinsip yang sangat diutamakan dalam kehidupan bermasyarakat atau berorganisasi.

Rasulullah SAW bertanya: Bagaimana engkau akan memutuskan kes yang akan dibawa kepadamu?

Jawab Mu’adh: Aku akan memutuskannya menurut Kitab Allah.

Tanya Rasulullah SAW lagi: Dan jika engkau tidak menemukan suatu pun mengenai (suatu perkara) di dalam Kitab Allah?

Terang Mu’adh: Maka aku akan memutuskannya menurut Sunnah Rasul Allah.

Rasulullah SAW menyambung: Dan jika engkau tidak menemui suatu pun mengenainya di dalam Sunnah Rasulullah?

Maka”, jawab Mu’adh, “Aku akan menggunakan penghakimanku sendiri (ajtahidu bi-ra’yi) tanpa sedikit pun keraguan.

Setelah mendengar jawapan itu, Rasulullah SAW menepuk dada dan bersabda: Segala puji bagi Tuhan, yang telah menunjuki utusan dari utusan Tuhan yang menyenangkan yang akhir.

Namun itu cebisan sejarah yang berlaku pada zaman Rasulullah SAW yang sentiasa ada untuk dirujuk sekiranya apa yang berlaku tiada ‘duluan’.

Bagaimana jika apa yang berlaku selepas 1,400 tahun wafatnya Rasulullah SAW, yang tiada ‘duluan’ yang boleh dirujuk?

Tentunya, ia membabitkan pencarian dan rumusan para pakar, bukan rumusan dan keputusan seseorang, kerana setiap orang ada kelemahan dan kekurangan, sama ada daripada perspektif ilmu dan pemahaman sejarah.  Itulah yang dinamakan ijtihad, bukan ijtihad seorang pemimpin yang melihat dirinya sendiri ‘yang betul’, ‘yang paling berilmu’ dan ‘maksum’.

Inilah yang berlaku dalam masyarakat yang bagi Muhammad Asad dinamakan sebagai ‘integriti sosial dan spiritual’ dan ‘karakter dan tingkah laku’ seseorang (ulama, hukama, fuqaha dan sebagainya) yang syarat utamanya, “ketidak pentingan diri mereka, idealisme mereka, dan penyerahan diri mereka tanpa soal kepada kehendak Tuhan.” (dalam Prinsip Pemerintahan dan Kerajaan Dalam Islam, terjemahan Ahmad Yunus Mohd Noor dan Ahmad Nabil Amir, Bangi: Penerbit UKM, 2019, hal. 34-36).

(BERSAMBUNG)

KAMARUN KH

Translate »