Perkembangan ajaran Syiah sejak kebelakangan ini boleh dikaitkan dengan kemasukan pelajar luar negara dalam misi Malaysia menuju tahap kecemerlangan pendidikan serantau, kerana potensi ekonomi menerusi pendidikan dilihat begitu besar pertumbuhannya. Disebabkan prejudis masyarakat Barat terhadap Islam, menyebabkan lebih ramai penuntut daripada negara Timur Tengah cenderung untuk melanjutkan pelajaran di Malaysia di samping sikap masyarakat yang mudah menerima “tetamu luar negara”, kemudahan yang disediakan oleh kerajaan dan kadar yuran yang rendah dilihat sebagai faktor menarik.

Bagaimanapun, faktor prejudis masyarakat Barat terhadap Islam yang disumbangkan oleh doktrin “pertembungan peradaban” dan kesan Islamiphobia pasca World Trade Center, kegagalan Amerika Syarikat menguasai semula Iran selepas kejatuhan Shah Reza Pahlavi telah mempengaruhi persepsi bukan Islam terhadap penganut Islam sehingga digelar dengan pelbagai gelaran seperti “hantu hijau (green menace)”, “pengganas”, “pengkhianat”, dan “ajaran yang tidak bertamadun”. Bahkan, suatu ketika Presiden Amerika Syarikat, George Walker Bush memanggil Iran, Iraq dan Afghanistan sebagai “paksi kejahatan” dan setiap orang Islam yang memasuki negara tersebut dikenakan pemeriksaan rapi serta boleh ditahan tanpa perlu diberikan peluang membela diri.

Keadaan ini menakutkan pengikut Islam dari Timur Tengah untuk melanjutkan pelajaran di Barat di samping peranan Israel yang sentiasa menggelorakan politik dunia menjadikan rantau berkenaan cenderung tidak aman. Sejak menubuhkan negara haram di tanah kepunyaan kaum Kanaan (induk keturunan Palestin) dengan bantuan British, Sepanyol, Perancis dan Amerika Syarikat selepas Perang Dunia II, Israel tidak pernah berhenti daripada memporak-perandakan kehidupan masyarakat Arab. Bahkan dalam masa yang sama membantu membentuk persepsi buruk terhadap imej Islam dengan mempropagandakan ajaran Nabi Muhammad s.a.w itu sebagai “jahil atau idiot”, “gila seks”, “tidak ilmiah dan bohong”, “karut”, manakala al-Quran dicemuh sebagai kitab karangan manusia dan lebih buruk daripada biografi Adolf Hitler, Mein Kampf.

Konsep nikah kontrak atau mutaah sebenarnya suatu kaedah untuk menghalalkan daripada bersekedudukan sebagaimana menjadi amalan umum masyarakat Barat hasil perselingkuhan budaya sekular yang menentang campur tangan pihak gereja. Kahwin muta’ah dianggap lebih terhormat kerana ia masih menitikberatkan proses lafaz kahwin sebagaimana diperlukan oleh Islam, tetapi beberapa prinsip perkahwinan yang sebenarnya dianjurkan dilupakan.

Bagi pengagum fahaman Syiah, oleh kerana dalam perkahwinan secara Islam, sesebuah pasangan boleh melakukan lafaz cerai selepas hidup bersama sebagai pasangan sah, maka tidak ada sebab kahwin kontrak dilaksanakan, yang akhirnya selepas tempoh tertentu yang dipersetujui bersama mereka boleh bercerai atau meninggalkan pasangan masing-masing tanpa rasa tanggungjawab meskipun sudah mempunyai cahaya mata.

Berdasarkan angka penceraian pasangan di Malaysia semakin meningkat meskipun dianggap masih terkawal, ada telahan sebahagian kecil punca penceraian berlaku kerana adanya amalan kahwin kontrak, terutama dalam kalangan pasangan dengan sesetengah rakyat asing. Seorang lelaki warga asing, yang beragama Islam tidak dihalang untuk berkahwin dengan wanita Islam tempatan dan selepas beberapa lama hidup sebagai pasangan yang sah, lelaki asing itu kemudian mengambil keputusan untuk meninggalkan isterinya atas alasan, kembali ke negara asal dan sukar memperoleh taraf warganegara. Ini tentunya ada kaitan dengan sikap masyarakat yang begitu mudah menerima ahli keluarga baharunya dalam kalangan sesetengah rakyat asing yang berpura-pura menunjukkan sikap ramah, mesra dan pemurah atau romantik.

Wanita Islam Malaysia juga menunjukkan kaedah kahwin campur dengan pemuda asing adalah sesuatu yang berprestij, kerana ramai lelaki Malaysia tidak cukup romantik, matang, mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh dan “kurang keras”. Perkahwinan campur itu sebenarnya tidak dihalang oleh Islam, tetapi yang mendukacitakan ialah lelaki asing banyak menggunakan kelemahan itu sebagai kaedah untuk mencari kesenangan ketika berada di Malaysia, termasuk mendapatkan permit perniagaan atas nama isteri, rakyat tempatan. Ini sebenarnya sesuatu yang perlu disekat dan diperketatkan, termasuk meletakkan syarat mendepositkan sejumlah wang ke dalam akaun isteri yang tidak boleh ditunaikan selepas berkahwin.

Jika pasangan tersebut bercerai, maka deposit itu menjadi hak isteri bagi menyara kehidupan selepas bercerai termasuk menyara pendidikan anak-anak. Perkara seperti ini pernah dicadangkan dipraktikkan di Indonesia, di mana setiap rakyat asing yang hendak berkahwin dengan wanita tempatan perlu mempertaruhkan puluhan juta rupiah sebagai jaminan masa depan rakyatnya jika berlaku perceraian.

Meskipun syarat tersebut bukanlah satu kaedah terbaik untuk menghalang nikah mutaaah, ia sekurang-kurang mampu membendung keinginan rakyat asing untuk melakukan perkahwinan untuk tempoh yang singkat.

Seorang rakyat asing yang bercadang untuk berkahwin dengan rakyat tempatan, seperti yang diamalkan dalam ajaran Syiah mengenai perkahwinan mutaah dapat dikurangkan dan dibendung dari terus menjadi barah dalam institusi kekeluargaan Islam di Malaysia.

Perkahwinan atau nikah mutaah adalah satu perkahwinan yang menimbulkan kekeliruan di kalangan masyarakat. Apa lagi perkahwinan ini ada asasnya dalam ajaran Islam, cuma ia kemudiannya diharamkan. Perkahwinan ini juga masih kekal diamalkan oleh sesetengah pengikut mazhab Syiah. Ia merupakan topik yang menjadi perhatian umum ketika ini. Tidaklah dapat dipastikan bilangan sebenar pasangan yang terlibat dalam perkahwinan ini, namun berita-berita yang disiarkan amat membimbangkan.

Nikah mutaah ialah nikah sementara dan turut dikenali dengan istilah nikah muaqqat (nikah untuk sementara waktu). Menurut Ibn Qudamah, nikah mutaah boleh berlaku apabila seorang lelaki mengahwini seorang wanita hanya untuk suatu tempoh yang tertentu sahaja. Misalnya seorang wali mengatakan: “Saya mengahwinkan anak gadisku dengan engkau selama sebulan,” atau setahun, atau sehingga habis musim ini, atau sehingga berakhir perjalanan haji ini dan sebagainya, sama ada waktu itu telah ditentukan atau belum.

Mereka yang mengamalkan budaya ini kerana berpendapat, Rasulullah s.a.w pernah mengizinkan lelaki berkahwin sementara dengan wanita ketika di awal perkembangan Islam.Ketika itu, para lelaki Islam terpaksa melakukan misi dakwah dan keluar berperang bagi menentang ancaman musuh, meningggalkan isteri untuk sekian lama, maka dibolehkan untuk berkahwin wanita tempatan bagi mengekang perbuatan zina.

Apabila Islam terus berkembang dan membentuk struktur masyarakat yang stabil, nikah mutaah itu diharamkan untuk selama-lamanya. Ini berdasarkan hadis yang bermaksud: “Hai sekalian manusia, sesungguhnya aku pernah mengizinkan kamu untuk nikah muta’ah. Ingatlah sesungguhnya Allah telah mengharamkannya sampai hari kiamat.” (Riwayat Ibn Majah)

Daripada Ibnu Umar: “Sesungguhnya Rasulullah saw mengizinkan kami nikah mut’ah pada tiga kali peperangan, kemudian ia mengharamkannya. Demi Allah, aku tidak peduli, siapa saja yang nikah mutaah sedangkan dia seorang muhshan (yang telah menikah), maka aku akan merejam dengan batu.” (Riwayat Ibn Majah)

Demikian juga beberapa pandangan para sahabat dan ulama salaf memperkuatkan hukum pengharaman nikah mutaah. Di antaranya Umar al-Khattab berkata: “Demi Allah, sesiapa saja yang menghalalkan mutaah, akan aku rejam dengan batu.” Manakala Ali bin Abi Talib pula berkata: “Rasulullah s.a.w melarang mutaah terhadap wanita.” (Riwayat al-Zuhri)

Al-Baihaqi berkata: “Al-Imam Jaafar bin Muhammad al-Baqir, salah seorang imam syiah telah ditanya, bagaimana hukum nikah mut’ah itu? Ia menjawab “ Nikah mutaaah itu adalah berzina.” Imam al-Qurtubhi berkata: “Sesungguhnya para ulama telah ijmak bahawa nikah mutaah itu hukumnya haram.”

Jelas sekali isu nikah mutah telah lama selesai dan kita seharusnya dapat membezakan antara perbuatan keji dan kotor dengan perbuatan yang dihalalkan. Nikah mutaah juga dipandang sebagai pelecahan seks bagi kaum wanita dan sesungguhnya ia amat keji dan hina dalam syariat Islam.

Ingatlah bahawa tujuan dan hakikat hidup ini bukan hanya sekadar memenuhi nafsu syahwat.Demikian juga nikah, ada tujuan paling mulia diantaranya membentuk keluarga yang sakinah, mawaddah dan rahmah serta membentuk generasi pelanjut perjuangan Islam.

Sedangkan nikah mutaah tidak dibolehkan adanya hubungan nasab, waris, talak malah turut menurunkan martabatseorangwanita, kerana hanya menjadikan mereka sebagai tempat melampiaskan nafsu syahwat sahaja, selepas itu selesai.Wanita diumpamakan sebagai barang dagangan, yang boleh diketepikan begitu sahaja selepas digunakan.Wanita diibaratkan objek seks yang boleh dibeli di pasar dengan mudah, dan ini adalah satu perselingkuhan budaya yang cuba dihidupkan kembali oleh masyarakat Barat setelah konsep bersekedudukan tanpa ikatan perkahwinan secara mutlaknya gagal mempengaruhi penerimaan masyarakat Islam sebagai sesuatu yang wajar dan beretika sebagaimana budaya hedonisme ciptaan mereka.

Allah s.w.t mengingatkan kita dalam beberapa firman-Nya yang bermaksud: “Dan janganlah engkau menurut hawa nafsu kerana yang demikian itu akan menyesatkanmu dari jalan Allah. Sesungguhnya orang-orang yang sesat dari jalan Allah, akan beroleh azab yang berat pada hari hitungan amal disebabkan mereka melupakan (jalan Allah) itu.” (surah Sad: 26)

Oleh : Abu Hatim

Translate »