NILAI dan maruah seseorang, salah satunya terletak dan berpunca pada ilmu yang dimilikinya. Dengan ilmu, manusia boleh mengenal Tuhan dan kekuasaan-Nya. Berkat ilmu pula, ia mempunyai tali pengikat berupa keyakinan (iman) yang kuat dalam kesedaran dirinya. Ilmu pula yang berperanan menyalakan sinaran iman manusia, sehingga ia mampu membezakan dengan selesa, mana jalan lurus yang terang benderang serta lorong kesesatan yang gelap dan menyesatkan.

Oleh itu, perintah Allah kepada manusia untuk sentiasa belajar dan mencari ilmu pengetahuan merupakan kewajipan yang sama sekali tidak boleh diabaikan. Wahyu pertama al-Quran, iaitu perintah membaca (Iqra) tidak sahaja bermakna anjuran supaya manusia selalu dahaga terhadap ilmu pengetahuan. Namun lebih daripada itu, ia adalah amar penegasan bahawa dengan mencari ilmu, maka manusia telah menunaikan tugas utama, yakni mencari tuntunan dan matlamat hidup yang benar. Justeru, orang yang berilmu, selain dihormati oleh sesama manusia, ikhtiar di jalan ilmu telah pula dijanjikan jaminan istimewa oleh Allah, iaitu diangkat darjat manusia (yang beriman dan berilmu) oleh Allah, sebagaimana firman-Nya yang bermaksud:

“Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan dengan beberapa darjat.” (al-Mujadalah: 11)

Pada dimensi yang lain, Islam benar-benar menghargai pencari dan pengamal ilmu melalui gambaran profil yang sempurna. Selain manusia, seluruh makhluk di alam raya akan memberikan rasa hormat serta memuliakan mereka. Rasulullah s.a.w melukiskan betapa berharganya ilmu dalam diri seseorang, sehingga baginda mengatakan bahawa bukan hanya manusia yang menghormati orang berilmu, bahkan para malaikat pun rela memberi penghormatan kepadanya.

Alam Pun Berdoa

Melalui sebuah hadis panjang yang diriwayatkan daripada Kathir bin Qais, kita dapat mengetahui gambaran kemuliaan manusia berilmu yang dilukiskan oleh Rasulullah s.a.w. Kathir bin Qais berkata: “Aku duduk di sisi Abu Darda’ dalam sebuah masjid di Damsyik. Maka datang seorang lelaki, dan dia berkata, ‘Wahai Abu Darda’! Aku datang kepada engkau dari Madinah, kerana sebuah hadis yang sampai kepadaku bahawasanya Rasulullah s.a.w bersabda: ‘Barangsiapa berjalan pada suatu jalan kerana ianya mencari ilmu, maka itu Allah mudahkan baginya jalan menuju syurga. Dan sesungguhnya para malaikat nescaya menghamparkan sayapnya dan suka pada orang yang menuntut ilmu. Dan, sesungguhnya bagi penuntut ilmu, maka akan memintakan ampun baginya makhluk di langit (malaikat) dan bumi (manusia), bahkan ikan-ikan di dalam air pun (berdoa untuknya). Dan, sesungguhnya keutamaan orang yang berilmu atas hamba Allah ialah seumpama cahaya bulan yang mengalahkan cahaya bintang-bintang di langit. Sesungguhnya orang berilmu (ulama) adalah pewaris para Nabi. Sesungguhnya para Nabi tidak mewariskan dinar dan dirham. Mereka hanya mewariskan ilmu. Maka, barangsiapa mencari ilmu, ia telah mengambil dan menjaga kesempurnaan (agamanya).” (Riwayat Ibnu Majah dan Abu Daud)

Hadis di atas mengandungi mutiara hikmah yang sangat banyak. Selain perihal keutamaan ilmu dan orang yang memilikinya (ulama), Nabi s.a.w juga menegaskan bahawa manusia di mana-mana pun dan hingga bila-bila pun tetap berkewajipan mencari ilmu. Utamanya ialah ilmu-ilmu agama yang membolehkan seseorang mengetahui intisari dan pedoman asasi dalam Islam.  Betapa berharganya para pemilik ilmu, sehingga ia jauh lebih dihargai daripada pelbagai gemerlapan kekayaan harta dan perhiasan duniawi. Semakin banyak manusia menghimpun harta, semakin tamak pula ia memburunya. Namun semakin banyak orang memiliki ilmu, kian sedarlah ia bahawa ilmunya masih sedikit dan harus terus berusaha menambahinya, tiada henti.

Tidak hanya akan mengekalkan kesedaran bahawa harta dan dunia tidak lebih hanyalah perhiasan sementara dalam kehidupan, maka ilmu akan membimbing manusia agar mengawal hidupnya sesuai dengan garis panduan agama. Bekalan ilmu yang cukup mampu membuat kehidupan manusia menjadi semakin sempurna dengan kesanggupan mengetahui hal ehwal amal ibadah beserta hikmah-hikmah di dalamnya. Ia membolehkan kita mengenal sempadan, mana jalan Tuhan yang hak dan mana pula jalan syaitan yang batil.

Kewajipan dan tuntutan supaya kita sentiasa hidup di jalan ilmu pun dengan jelas ditegaskan oleh Nabi Muhammad s.a.w. Daripada Ibnu Mas’ud  r.a, Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Pelajarilah ilmu-ilmu agama dan ajarkanlah ia kepada manusia (orang ramai). Pelajarilah perkara-perkara yang difardukan dalam Islam dan ajarkanlah ia kepada manusia. Pelajarilah al-Quran dan ajarkanlah ia kepada manusia, kerana sesungguhnya aku adalah seorang yang tetap akan mati (seperti makhluk-makhluk yang lain) dan ilmu juga akan diambil (kembali oleh Tuhan hingga hilang lenyap) dan akan lahirlah berbagai-bagai fitnah kekacauan sehingga akan berselisih dua orang dalam satu perkara yang difardukan, yang mereka tidak dapat seorang pun yang boleh menyelesaikan perkara yang diperselisihkan itu.” (Riwayat ad-Darimi dan ad-Daruqutni)

Pelbagai Jenis Ilmu

Para ulama memberikan batas serta pengkategorian dalam menuntut ilmu. Mereka menjelaskan peri pentingnya mempelajari dan mengajarkan ilmu pengetahuan, dengan pelbagai ragam bentuk serta hukum-hakam mengenainya.

Kategori yang pertama adalah ilmu-ilmu yang dianggap sebagai fardu ain. Setiap individu berkewajipan menuntut, mempelajari, dan mengamalkannya. Termasuk dalam kelompok ini tidak lain adalah senarai keilmuan yang merupakan asas dan tiang daripada rujukan pengetahuan agama, seperti akidah ubudiyah (tauhid), syariah muamalah, ibadah amaliyah (fikah), dan juga ilmu akhlak. Manakala kategori yang kedua adalah ilmu fardu kifayah. Ragam ini cukup banyak, misalnya pengetahuan di bidang pertanian, ternakan, ekonomi, sastera, kejuruteraan, sains, perubatan, politik, dan sebagainya.

Pada kelompok yang ketiga adalah ilmu-ilmu yang dilarang (haram) mempelajarinya, iaitu segala ilmu yang berupaya dan berakibat terhadap maksiat kepada Allah s.w.t, bertentangan dengan haluan ajaran agama, serta mendatangkan malapetaka bagi lingkungan sosial dan merosakkan alam sekitar. Sebagai contoh adalah ilmu yang mengajari tentang kejahatan, ilmu tenung (sihir), dan lain-lain. Sebaliknya, di luar itu, ada beragam ilmu yang dalam agama sangat dianjurkan untuk mempelajarinya, seperti ilmu-ilmu yang berhubungan secara khusus dengan al-Quran. Ini kerana al-Quran adalah kitab suci dan kalam Allah yang wajib dipelihara daripada diubah atau dipinda, baik dari segi sebutan, tulisan mahupun bacaan. Demikian juga halnya dengan ilmu hadis dan yang berhubung kait dengannya.

Cintailah Ilmu

Kesediaan untuk rela hidup dalam kancah keilmuan serta rasa senang dengan khazanah ilmu, merupakan pilihan yang bijak. Baginda Rasulullah s.a.w pun menghargai pilihan seperti itu dengan meletakkannya sebagai orang yang dilimpahi keuntungan. Dunia ilmu tidak menjanjikan gemerlapan harta, namun ia memberikan keluasan wawasan serta kedalaman rohani yang menyejukkan hati. Dalam sebuah hadis, Nabi Muhammad s.a.w memberikan nasihat, yang bermaksud: “Jadikanlah dirimu orang yang alim (mengajarkan dan mengamalkan ilmu) atau orang yang menuntut ilmu (belajar) atau orang yang selalu mendengar pelajaran agama, ataupun orang yang mencintai (ketiga-tiga golongan tersebut). Dan janganlah engkau sekali-kali menjadi golongan yang kelima, yang dengan sebabnya engkau akan binasa.” (Riwayat al-Bazzar)

Jadi, siapakah orang yang binasa itu? Iaitu mereka yang tidak termasuk daripada keempat-empat golongan tersebut. Dia bukanlah guru yang alim, pelajar ataupun orang yang sentiasa bersedia mendengar pelajaran (majlis ilmu), dan juga bukan orang yang mencintai ketiga-tiganya. Imam Al-Mawardi menyatakan bahawa orang yang menganggap ilmu syariat (agama) itu tidak ada faedahnya untuk dipelajari dan kemudian ia lalai dan meninggalkannya, sebenarnya orang itu telah benar-benar tenggelam dalam kesesatan dan jauh daripada kurnia, hidayah, dan petunjuk Allah s.w.t. Merekalah golongan yang termasuk dalam golongan yang kelima, iaitu golongan orang yang binasa.

Walaupun pencari ilmu tidak selalu terjamin oleh keperluan duniawi, akan tetapi keimanan dan keilmuan yang dimilikinya akan menjadi tiket istimewa menuju syurga Allah s.w.t. Hal ini sudah menjadi jaminan yang dinyatakan dengan kuat oleh-Nya. Lihatlah sepotong hadis Rasulullah yang bermaksud: “Sesiapa yang menerokai jalan hidup untuk mencari ilmu pengetahuan, nescaya ia akan dipermudahkan oleh Allah dalam perjalanan menuju ke syurga.” (Riwayat Muslim)

Demikianlah sekelumit gambaran tentang keutamaan ilmu serta orang yang hidup di jalan keilmuan. Ibnu Abbas r.a pernah berkata, “Orang yang berilmu mempunyai darjat sebanyak tujuh ratus kali darjat di atas orang-orang mukmin. Dan jarak di antara dua darjat ini terbentang sejauh perjalanan selama lima ratus tahun lamanya.”

Begitu mulianya orang yang mempunyai ilmu, sehingga dalam hadis yang diriwayatkan daripada Abu Umamah r.a, orang berilmu dianggap lebih utama daripada ahli ibadah sekalipun. Abu Umamah bercerita bahawa pada suatu masa, Rasulullah s.a.w pernah ditanya seseorang sahabat mengenai perbezaan di antara orang ahli ibadah serta orang yang berilmu (alim). Maka Rasulullah s.a.w menjawab, “Kelebihan orang yang berilmu atas ahli ibadah sama dengan kelebihanku atas orang yang paling hina di antara kamu.” Apatah lagi, jika orang alim tersebut juga seorang yang tekun dalam beribadah. Maka, semakin lengkaplah statusnya sebagai orang yang istimewa di sisi Allah s.w.t. Sebaliknya, orang yang bodoh, sebab ia lalai dan tidak berminat menuntut ilmu, nescaya ia diserupakan dengan manusia yang tidak mampu melihat (buta) – (maksud surah ar-Ra’du: 19).

Ilmu Membawa Kesejukan

Salah satu kelebihan ilmu ialah mampu membuat orang yang memilikinya sentiasa merasa dahaga (haus) akan curahan pengetahuan serta merasa masih kurang keilmuannya. Kesedaran seperti ini menjadikan dia selalu kelihatan bersemangat, tidak mudah putus asa, tidak permarah, dan jauh daripada sikap sombong (takbur). Kerana ilmunya, “aura panas” dalam dirinya akan terbuang dan berubah menjadi energi positif dalam hati dan mindanya yang menebarkan kesejukan manfaat pada lingkungan sekitar.

Disebutkan dalam Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim, bahawa Rasulullah bersabda yang yang bermaksud:  ”Sesungguhnya perumpamaan petunjuk dan ilmu yang diutus Allah kepadaku seperti hujan yang membasahi bumi. Ada bumi yang subur yang menerima air kemudian menumbuhkan rumput yang banyak. Ada bumi yang keras yang menahan air kemudian dengannya Allah memberi manfaat kepada manusia. Mereka meminum daripada air tersebut, memberi minum haiwan ternakannya, dan bertani. Hujan juga membasahi bumi yang lain, iaitu lembah yang tidak  mampu menahan air dan menumbuhkan rumput. Demikianlah perumpamaan orang yang memahami agama Allah, kemudian mendapat manfaat daripada apa yang aku diutus dengannya. Ia belajar dan mengajarkan ilmu. Dan itulah perumpaan orang yang tidak dapat diangkat kedudukannya oleh petunjuk Allah, dan tidak menerima petunjuk Allah yang aku diutus dengannya.” (Riwayat  Bukhari dan Muslim)

Justeru, daripada serangkaian penjelasan di atas, sewajarnya bagi kita untuk sentiasa mencari ilmu dan hidup dalam khazanah keilmuan sepanjang masa. Islam menyatakan kewajipan manusia supaya tiada henti menuntut ilmu, mulai dari masa kecil (buaian) hingga kita dijemput ajal. Dengan ilmu, kita dapat meniti kehidupan dunia dengan mudah, menjelang kehidupan akhirat dengan penuh keampunan Allah, serta menjadikan hidup di antara kedua-duanya sentiasa mulia. Ilmu adalah cahaya yang membuat orang yang memiliki dan mencintainya, jauh berbeza dengan sesiapa yang lalai dan menjauhinya. Mudah-mudahan kita akan menjadi saksi di hadapan Allah s.w.t bahawa kita termasuk daripada golongan yang mencintai ilmu.

Allah s.w.t berfriman yang bermaksud: “Adakah sama orang yang mengetahui (berilmu) dengan orang yang tidak mengetahui? Sesunguhnya orang yang menggunakan akalnyalah yang dapat menerima pelajaran.” (az-Zumar: 9)

Oleh : Mohamad Ali Hisyam

Translate »