Ia juga disebabkan ‘keberanian’ dan kecekapan orang-orang Cina mengeksploitasi peluang, misalnya menjual beras kepada kuli-kuli lombong di mana beras itu dihasilkan oleh orang Melayu menerusi pertanian sara diri.   Hal ini masih kekal hingga sekarang walaupun telah ada sebuah syarikat yang menonopoli lesen beras, masih ramai pembekal (pengimport, pembungkus, pengedar dan peruncit) dimiliki oleh bukan Melayu.

KEBERANIAN YANG LAIN

Jadi, apabila isu monopoli beras cuba dipecahkan (BERNAS) maka orang Melayu kembali mempersoalkan apakah PM X ada keberanian untuk memecahkan monopoli bukan Melayu dalam perkara-perkara lain, termasuk bekalan simen dan bahan binaan, pembangunan projek perumahan, bekalan barangan dan perkhidmatan yang cukup dilihat ada hubungannya dengan politik kartel.

Setakat ini, tidak ada dasar yang tegas mengenai rantaian pengeluaran dan pemecahan mengenai isu daging ayam dan telur ayam. Bahkan, didesak agar kerajaan terus tambahkan subsidi makanan dan ubat-ubatan yang dikaitkan dengan industri tersebut.

Penguasaan ekonomi bukan Melayu menjadi faktor yang sangat kuat mempengaruhi pemaknaan politik “Ketuanan Melayu”; kekuatan ekonomi itulah yang digunakan untuk memusnahkan “Ketuanan Melayu”.

Untuk mengetahui bagaimana permainan itu dicorakkan menerusi strategi tersebut, kita dapat membacanya secara menarik dalam karya Firdaus Zainal ini, yang pada pendapat saya adalah sesuatu yang perlu untuk melengkapkan pengetahuan politik bagaimana UMNO semakin terjerat, dan kini sedang menjerat pula PPBM sekiranya dakwaan yang dikenakan itu dibuktikan di mahkamah. Iaitu salah guna kuasa, rasuah dan penggubahan wang haram. KAlau sebelumnya (PRU ke-14), UMNO digasak dengan Skandal 1MDB, selepas PRU ke- 15, Bersatu pula dihadapkan dengan Jana Wibawa.

Ia seolah-olah membentuk satu pusaran ganas, Muhyiddin yang secara terbuka mendakwa terbabit dengan Skandal 1MDB, kini dipersoalkan menyakau komisyen dan rasuah daripada pengagihan projek Jana Wibawa. Persoalan tersebut tidak berhenti setakat itu, bahkan ada cabaran agar mantan PM – Dr Mahathir – mengisytiharkan kekayaannya, dan sepanjang 22 tahun sebagai PM ke-4, beliau pernah dituduh sebagai “Bapa Korupsi” oleh pemimpin DAP, dan juga Presiden Amanah, Mat Sabu.

Dr Mahathir juga dikaitkan dengan kelibatnya membantu kroni termasuk menggunakan TH untuk membeli TH Perdana dan TH Selborn dengan harga lebih tinggi daripada harga pasaran. Hal tersebut telah dipersoalkan oleh Barry Wain, Malaysian Maverick: Mahathir Mohamad in Turbulent Times (2009) dan edisi terjemahan bahasa Melayu diterbitkan dengan tajuk Muslihat Mahathir: Mengharung Zaman Gelora, Kuala Lumpur: IBDE, 2023).

ELEMEN JIWA

Firdaus Zainal cuba melihat konsep “Ketuanan Melayu” dalam pelbagai perspektif: sejarah, arus sejarah politik, perubahan-perubahan akibat penjajahan, kesan pendudukan Jepun dan pemerintahan Bintang Tiga, Tragedi 13 Mei 1969, perkongsian kuasa politik (Perikatan dan BN), dan pelencungan pendirian serta semangat elit politik yang berkuasa. Dalam memahami konteks tersebut, pengarang melihatnya dengan menggunakan kerangka elemen jiwa yang mengandungi ‘kemarahan dan kemegahan’, yang dalam istilah politik disandarkan kepada Thymos. Thymos (atau Thumos) merupakan sifat semulajdi manusia. Istilah ini dikatakan muncul pertama oleh Homer (pengarang epik Yunani yang hidup antara Abad ke-8 hingga ke-7 Sebelum Masihi), The Illiad (dalam bentuk puisi):

“…yang dikaitkan dengan perjuangan untuk memperoleh keagungan dan membalas dendam…elemen yang wujud dalam jiwa perwira Yunani kuno…membangkitkan keberanian mereka untuk menentang musuh dalam peperangan..membawa maksud yang pelbagai seperti anger (marah), spritidness (semangat), dan keinginan mendapatkan penghormatan.” (Megalothymia, hal.21-22)

Menurut Firdaus Zainal, Thymos juga berbeza dengan akal yang waras, ia adalah bebas dan tidak semestinya terikat dengan nafsu dan kewarasan, sebagaimana dijelaskan oleh Socrates dalam dialognya:

It’s the opposite of our suggestion about the spirited element a few moments ago. We thought then it was deseirous in character, whereas now we regard it as anything but. In the civil war of the soul, it is for more likely to take up arms on the side of the rationak part.” (Megalothymia, hal.25).

“Thymos berkait rapat dengan tanggapan seseorang terhadap sesuatu perkara sama ada dilihat baik atau sebaliknya”, Firdaus menjelaskan “thymos ialah punca utama kejahatan manusia yang menjadi titik permulaan bagi konflik yang berlaku dalam kehidupan manusia…yang membawa negaranya ke ambang perang dan keruntuhan ekonomi dengan mempengaruhi rakyat bawahan merasakan kehidupan mereka sedang terancam.” (Megalothymia, hal.24)

Sambung Firdaus: “Thymos dalam diri mereka diekspresikan bagi membangkitkan semangat rakyat bawahan untuk bangkit menentang kuasa luar dan memperakukan keagungan mereka.” Juga boleh menimbulkan bahaya, sekiranya “tidak dapat dikawal dengan kewarasan”, akan menjadi ‘korup’ walaupun pada asasnya berhasrat untuk “mencapai sesuatu yang lebih baik daripada orang lain”.

PROKLAMASI ORANG MELAYU

Ini bermakna, apa yang sedang dilakukan, termeterainya Proklamasi Orang Melayu boleh dilihat sebagai strategi penggunaan thymos, untuk membangkitkan rasa marah dalam kalangan Orang Melayu terhadap ‘kerajaan perpaduan’ yang dimulakan dengan mengecam bentuk, sifat dan orientasi perkongsian kuasa yang berjaya dibentuk oleh PMX.

Biarpun ketika menulis buku ini (Megalothymia) tidak melihat perubahan terbaharu dalam lanskap politik Pasca PRU ke-15, kita boleh melihat ada keserasian hubungan dan relevansinya dengan pengungkitan semula ‘Ketuanan Melayu’ walaupun pengungkitan itu hanyalah suatu proses ‘menebus dosa’ oleh PAS dan Dr Mahathir, dan dalam masa yang sama ingin menjadikan ‘kebimbangan – thymos’ pemacu kepada kemuncak kebangkitan Gelombang Hijau, menolak nilai-nilai kebersamaan yang sedang dicorakkan dalam kerajaan perpaduan.

Daripada istilah thymos, muncul pula dua istilah yang saling berkaitan namun sisinya dilihat ada perbezaan yang jelas, iaitu isothymia dan megalothymia. Isothymia, “perasaan yang sederhana atau keinginan untuk mendapatkan pengiktirafan sama seperti orang lain…tuntutan untuk dihormati atas dasar sama rata dengan kumpulan yang lain.

“Lazimnya isothymia diperjuangkan oleh kumpulan yang terpinggir atau minoriti dalam sesebuah masyarakat. Francis Fukuyama menyifatkan kemunculan demokrasi moden ialah kisah kemenangan isothymia ke atas megalothymia iaitu masyarakat yang mengiktiraf penguasaan kumpulan elit yang kecil digantikan dengan pengiktirafan ke atas semua individu secara sama rata.

“Hal ini dilihat melalui perkembangan masyarakat dunia dalam Abad ke-20 yang mula memberi penekanan ke atas soal hak individu seperti yang berlaku di Amerika terutamanya dalam isu berkaitan perhambaan, hak pekerja, hak kesaksamaan wanita dan lain-lain.” (Megalothymia, hal.31)

Jelas Firdaus, “Di Malaysia, isothymia dilihat kepada perjuangan parti komponen dalam parti pemerintah seperti MCA dan MIC yang menuntut kuasa politik diagihkan secara sama rata atas semangat Barisan Nasional dan Kontrak Sosial walaupun mereka sebenarnya mewakili kumpulan minoriti.

“Di pihak pembangkang pula isothymia adalah teras perjuangan politik DAP menerusi ideologi Malaysian Malaysia dan Malaysian First, bukan ketuanan sesebuah kaum seperti Ketuanan Melayu…..Isothymia mungkin diterima sebagai satu bentuk keadilan sosial pada masa kini yang diasak dengan liberalisasi ekonomi.”(Megalothymia, hal.32).

Megalothymia”, tulis Firdaus “perasaan berlebihan dan keinginan untuk diiktiraf lebih superior daripada orang lain. Megalothymia menjadikan seseorang itu berani mengambil risiko, melibatkan diri dalam bentuk perjuangan yang monumental semata-mata untuk mendapatkan pengiktirafan sebagai unggul daripada individu atau kumpulan lain…..

“Megalothymia politik Ketuanan Melayu adalah satu bentuk keinginan Orang Melayu mengangkat bangsa Melayu lebih unggul dari bangsa lain dengan Sultan sebagai induk penghormatan yang berdaulat. Orang Melayu tercabar sekiranya Sultan mereka dicabar kerana baginda adalah tuan kepada kedaulatan Melayu, “ jelas Firdaus.

Tambah Firdaus, atas sifat itu megalothymia ‘adalah antitesis kepada isothymia kerana perasan unggul yang wujud dalam diri manusia itu tidak boleh disamakan dengan perjuangan meletakkan hak sama rata atau setaraf. Megalothymia meletakkan seseorang individu atau kumpulan lebih superior daripada satu kumpulan yang lain.

“Hal ini bermaksud, walaupun mereka hidup dalam persekitaran demokrasi yang menekankan kesaksamaan dan keadilan, masih wujud batas-batas tertentu yang perlu dihormati kumpulan lain bagi mengiktiraf satu kumpulan lain sebagai lebih superior.

“Lazimnya, keinginan untuk diiktiraf lebih tinggi daripada kumpulan lain paling menonjol dibangkitkan oleh kumpulan nasionalis atau kumpulan pelampau agama….melibatkan satu bentuk perjuangan yang besar dan memberi kesan yang mendalam kepada masyarakat.

Di pihak nasionalis, mereka akan bermati-matian mempertahankan kedaulatan tanah air mereka dan maruah bangsa mereka daripada ancaman pihak asing. Manakala pelampau agama pula melihat ajaran agama yang dianuti mereka adalah paling suci dan diterima tuhan.

“Ini mendorong mereka melakukan keganasan dan pembunuhan bagi penganut lain dengan alasan darah mereka adalah halal dibunuh atas nama agama. Kumpulan Tamil Tiger di Sri Lanka, ISIS di Iraq dan Boko Haram di Nigeria adalah contoh pelampau agama yang mengekspresikan megalothymia dalam diri mereka kepada kumpulan lain.” (Megalothymia, hal.33-35)

DOKTRIN POLITIK

Jadi doktrin yang dikembangkan oleh PAS sejak tahun 1964 – jihad dan kafir – boleh dilihat sebagai perasaan berlebihan, menepati konsep megalothymia. Ia kemudiannya berkembang lebih parah selepas keluarnya Amanat Haji Hadi (1981), yang dijadikan ‘HIASAN DINDING’, dan membentuk ‘doktrin politik’ di hampir semua markas dan pendokong PAS.

Ia bukan sekadar seruan dan percikan pemikiran, melebar kepada tindakan lebih jauh besar (radikal) dan perpecahan dalam masyarakat Melayu: berlakunya pulau memulau, sembahyang dua iman, penceraian akibat perbezaan fahaman politik (dua nakhoda dalam satu  kapal), haram memakan sembelihan ternakan dan UMNO ‘kafir’.

(Yahya Ismail, Dosa-Dosa PAS, Petaling Jaya: Usaha Teguh Sdn Bhd., 1999; Ahmad Ismail Adam, PAS Bernafas Dalam Lumpur, K. Lumpur: Melangit Enterprise, 2011; Alias Ali, Terengganu Parah Di bawah PAS, K.Terengganu: Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu, 2004; dan Syaikh Abu Ahmadain al-Kunfulani, 27 Sebab Mengapa PAS Tidak Layak Memerintah, Rawang, Selangor: Puncak Aliran Enterprise, 2003)

Kemuncaknya ialah tafsiran terhadap Amanat Haji Hadi menjadi faktor berlakunya Tragedi Memali pada 14 November 1985.Kini, tragedi yang membabitkan kematian 18 orang (empat anggota polis) dipersoalkan semula apabila PAS “bersenyawa” dengan Dr Mahathir dalam Proklamasi Orang Melayu. Apakah Haji Hadi telah memohon maaf kepada Dr Mahathir apabila menuduh PM ke-4 sebagai ‘Mahazalim’ kerana ‘membunuh pejuang Islam’?

Dr Mahathir, di awal kemunculannya digambarkan sebagai ‘ultra Malay’, mendakwa bahawa pemencilan kuasa politik Orang Melayu selepas mencapai kemerdekaan adalah dasar dan cara Tunku Abdul Rahman merencanakan proses perkongsian kuasa. Tunku pernah dikaitkan dengan keturunannya, iaitu lahir dari rahim seorang wanita keturunan Thai, dan beristerikan seorang wanita keturunan Cina, maka nilai Kemelayuannya ‘tidak asli’ serta boleh dipersoalkan. Tunku juga dikatakan seorang yang ‘happy go lucky’.

Sebenarnya, sindiran dan kecaman itu adalah kerana ego Dr Mahathir yang terlalu tinggi. Beliau yang tidak mengharapkan sokongan pengundi Cina akhirnya terpaksa menerima kekalahan kepada Yusuf Rawa, atas perpecahan pengundi Melayu dan sentimen pengundi Cina yang tidak berpuas hati dengan pendiriannya.

Kekalahan itulah yang membawa pertingkahan besar dalam UMNO selepas PRU ke-3 (1969). Dr Mahathir menulis surat terbuka dan surat itu kemudian diedar secara meluas. Kesannya, Tunku memecat Dr Mahathir sebagai ahli UMNO.

Dalam usaha mempopularkan dirinya, Dr Mahathir dikatakan semakin lantang mengkritik dasar pentadbiran Tunku termasuk persoalan hilangnya Singapura, yang dianggap sebagai sebahagian daripada Tanah Melayu (Malaysia). Bahkan, Dr Mahathir menyatakan Tunku terlalu ‘perlahan membuat sesuatu keputusan’ dan kadangkala mesyuarat berlangsung terlalu lama tetapi tidak ada keputusan yang dibuat.

[Mahathir Mohamed, Dilema Melayu, terjemahan Ibrahim Saad, Shah Alam: Federal Publications, 1982. Edisi asal berbahasa Inggeris, Malay Dilemma (1970) dan diharamkan sehinggalah Dr Mahathir dilantik sebagai PM ke-4 (1981). Ia diterbitkan kembali pada tahun 1981 dengan “New Preface” oleh Asia Pacific Press].

Hal ini mengingatkan kita kepada Mesyuarat Terakhir yang berlaku sebelum tumbangnya PH. Tidak ada sebarang keputusan, tetapi suasananya ‘sangat tegang’ masing mempertahankan rasional kenapa perlu atau tidaknya peralihan kuasa kepada Anwar Ibrahim. Ertinya sebagai pengerusi mesyuarat dan juga Presiden Majlis Pakatan Harapan, Dr Mahathir menggunakan peranannya untuk mencari ‘win-win situation’. Kagagalan itu turut mendedahkan kepada suatu tafsiran yang berbeza, perpecahan PH adalah dengan perkenan Dr Mahathir kerana Dr Mahathir sudah bosan dengan political bashing yang berlaku dan dilakukan oleh DAP dan juga Otai Reformasi.

(Ahmad Faezal, Langkah Sheraton, Kuala Lumpur: Patriots Publishing Sdn Bhd 2020; Muhammad Takiyuddin Ismail dan Suffian Mansur, (penyunting), Tujuh Hari Memanjang: Saga Sheraton, K.Lumpur: Penerbit Universiti Malaya, 2020; dan M Hafizul Hilmi, Mesyuarat Terakhir/The Last Meeting, Kuala Lumpur: Mohd Hafizul Hilmi, 2020)

JEJAK IDENTITI

Menurut rumusan terbaharu mengenai identiti atau asal-usul Orang Melayu, Dr Zaharah Sulaiman menafikan beberapa teori yang dikaitkan dengan migrasi masuk, Orang Melayu berasal daripada kaum imigran, seperti teori awal yang dibangunkan oleh para pengkaji (orinetalis), yang mengambil kesimpulan daripada induknya secara langsung dengan etnik China (Yunnan). Tiga gelombang perpindahan, Orang Negrito, Melayu Proto dan Melayu Deutro. Teori ini dikemukakan oleh beberapa orang sarjana antaranya RH Geldern, JHC Kern, JR Foster, JR Logen, Slametmuljana dan Asmah Hj Omar.

Satu lagi teori yang popular ialah teori Nusantara yang dipelopori oleh J Crawfurd, K Himly, Sutan Takdir Alisyahbana dan Gorys Keraf. Namun, disebabkan berlakunya herotan terhadap makna Nusantara, ramai yang menolaknya. Nusantara pada asalnya merupakan suatu kawasan yang luas (Alam Melayu), dipersempitkan dengan mengehadkan kepada wilayah Indonesia, tanpa dikaitkan dengan negara-negara Asia Tenggara yang lain.

Hal ini disebabkan oleh keputusan yang dibuat oleh kuasa-kuasa kolonial setelah mereka merasakan Asia Tenggara cukup bermanfaat untuk dieksploitasikan potensi ekonomi dan kekayaan sumber alam. Kuasa-kuasa kolonial itu membahagi-bahagikan wilayah Asia Tenggara kepada kumpulan wilayah-wilayah yang lebih kecil sebagai tindakan untuk membolehkan mereka terus menerus mendominasi dan mengeksploitasi potensi tersebut dan menyekat daripada berperang sesama sendiri.

Kemuncaknya, ialah termeterainya Perjanjian Inggeris-Belanda 1824, yang membahagikan kepada dua negera – Tanah Melayu dan Indonesia. Inggeris menguasai Tanah Melayu (dan juga sebahaguan Kepulauan Borneo) manakala Belanda menguasai seluruh Indonesia, yang kita kenali sekarang. Inggeris juga memainkan peranan memisahkan wilayah di Selatan Thai dengan Tanah Melayu menerusi penetapan sempadan menyebabkan Pattani menjadi wilayah Thailand (Perjanjian Bangkok 1909).

Kuasa-kuasa penjajah yang lain terus menjajah beberapa wilayah yang kurang diminati oleh Belanda dan Inggeris. Sepanyol menduduki Filipina, Perancis menjajah Indochina (Vietnam Utara, Vietnam Selatan, Laos dan Kampuchea) dan manakala Thailand terus kekal sebagai sebuah negara yang berbeza menerusi konsep ‘buffer state’. Myanmar (Burma) dikuasai oleh Inggeris. Filipina kemudiannya dikuasai oleh Amerika Syarikat selepas Perang Dunia II, atas kepentingan geopolitik dan mahu membendung kemaraan ideologi komunis.

Sebab itulah di negara-negara bekas jajahan kolonial itu, wujud kecenderungan menggunakan bahasa berdasarkan etnik penjajah pada peringkat awal di mana sistem pendidikan, interaksi pemerintahan menggunakan bahasa masing-masing. Kesannya masih jelas hingga sekarang walaupun bahasa Inggeris menjadi bahasa komunikasi yang berpengaruh dan utama sebagai bahasa perdagangan, komunikasi antarabangsa. Misalnya, bahasa Belanda di Indonesia, bahasa Inggeris di Malaysia (juga di Myanmar dan Kepulauan Borneo), bahasa Sepanyol di Filipina, dan bahasa Perancis di Indochina.

Orang Melayu berasal daripada Tanah Melayu, yang dikenali sebagai Benua Sunda dan kemudian mereka berhijrah ke serata dunia sehingga (termasuk ke seluruh pelosok Nusantara), pulau-pulau di Lautan Hindi, dan ke Afrika. Ada legenda yang cukup menarik dalam pengkisahan penjelajahan bangsa-bangsa Eropah ke seluruh dunia (penjelajahan Ferdinand Magellan antara tahun 1519-1522). Antaranya legenda seorang pemuda keturunan Melayu yang dikenali sebagai Henry the Black (Enrique el Negro, Enrique de Molucas, Henry of Molucas, 1497-1522)), atau Panglima Awang. Henry bertugas sebagai jurubahasa dan pembantu kepada Magellan.

Asal usul Henry terus diperdebatkan. Ada yang berpendapat, Henry berasal dari Tanah Melayu (Melaka), Indonesia (Sumatera atau Maluku) dan Filipina (Pulau Cebu). Namun, yang pastinya, Melaka ditawan oleh Portugis pada tahun 1511. Diego Lopez de Sequiera (Portugis, 1465-1509) mengembara hingga ke Melaka bersama Magellan (1480-1521) pada 1 September 1509 dari Lisbon. Semasa menawan Melaka, Portugis menawan pemuda Melayu untuk dijadikan hamba. Ketika itu Henry dikatakan berusia 18 tahun.

Salah seorang yang menyertai penjelajahan kemudiannya menceritakan bahawa Henry berasal dari Maluku, yang kemudiannya dibawa sebagai jurubahasa untuk menjelajah Sabah, Mindanao dan seterusnya kembali ke Lisbon pada tahun 1512. Tafsiran itu kemudiannya menyimpulkan Henry berasal dari Maluku, yang kemudian dibawa ke Melaka. (Syed Mahadzir Syed Ibrahim, Henry The Black Panglima Awang: Pelayar Melayu Pertama Mengelilingi Dunia, Petaling Jaya: Hijaz Records, 2020)

(BERSAMBUNG)

KAMARUN KH

Translate »