PH mencipta sejarah kerana berjaya mengusir kuasa UMNO/BN sejak PRU pertama (1959) dan sebelumya menerusi keputusan Pilihan Raya Bandaran (1955), menerusi kerjasama tiga buah parti berasaskan kaum yang membentuk Perikatan.

Perikatan jugalah yang membawa kepada kemunculan Tanah Melayu sebagai sebuah negara baharu, merdeka daripada penjajahan British yang berkuasa sejak tahun 1824 setelah membahagikan wilayah kolonialisasi di Asia Tenggara dengan kuasa-kuasa penjajah yang lain – Belanda, Sepanyol dan Perancis.

Pembahagian itulah juga telah memecahkan dunia Melayu. Dunia Melayu menjadi sebuah wilayah yang semakin kecil dan dibentuk pula ‘kurungan’ dengan batu tanda sempadan. Hanya tinggal namanya sahaja sebagai komuniti yang besar dan berperadaban. Melayu hanya disebut sebagai kelompok orang-orang yang tinggal di Tanah Melayu, kerana namanya kekal sebagai tanah milik orang Melayu.

Di Indonesia Melayu dikenali sebagai etnik, bukan lagi bangsa yang besar. Bahkan dalam pemahaman tertentu ia lebih kecil daripada orang Jawa atau pun Orang Bugis sedangkan  pada asalnya, Bugis, Jawa, Mendailing dan sebagainya adalah dalam istilah Melayu. Ia ikut diperkecilkan dengan istilah Nusantara. Nusantara pada awalnya merupakan kawasan yang luas, tetapi sekarang Nusantara dirujuk hanya kepada negara Indonesia.

MAKNA MELAYU

Melayu, dalam konteks Tanah Melayu, bukan konsep etnik atau bangsa, ia sangat dikaitkan dengan istilah: (1) orang yang tinggal atau dilahirkan di Tanah Melayu; (2) beragama Islam; (3) mengamalkan adat istiadat Melayu; (4) bertutur dalam bahasa Melayu; dan (5) menerima raja atau sultan sebagai pemimpin tertinggi.

Di lain negara, Melayu tidak dikaitkan dengan pegangan agama, iaitu Islam. Misalnya, Jose Rizal dikatakan berdarah keturunan Melayu tetapi beragama Kristian. (Carlos Quirino, Jose Rizal: Melayu Agung, terjemahan Puspawati Rosman, Kuala Lumpur: IBDE, 2021, pada halaman 319 dicatatkan”

Melayu Agung itu telah mati’…Seorang lagi patriot Filipina akhirnya menerima nasib yang sama seperti tiga orang paderi yang mati mempertahankan kebenaran 24 tahun sebelum itu. Seorang lagi korban suci dipersembahkan sebagai korban kebebasan.” Rizal mati ditembak oleh Sepanyol pada pagi 30 Disember 1896)

Lima perspektif inilah yang menjadi latar kepada makna ‘Ketuanan Melayu’ sehingga kini dilihat sebagai sendu yang melekat dalam jiwa orang Melayu dan ancaman kepada bukan Melayu setelah proses penjajahan yang dilaksanakan oleh Inggeris berjaya menukarkan lanskap politik, budaya, ekonomi dan strtuktur sosial masyarakat menerusi dasar pemerintahannya secara langsung dan tidak langsung, selama lebih 100 tahun.

Kalau diambil kira faktor sejarah, Inggeris mula berkuasa setelah berjaya mendapat kebenaran menyewa Province Wellesley (Pulau Pinang) daripada Kedah (1786), memerintah Singapura (1819) dan termeterainya Perjanjian Inggeris Belanda (1824), maka Inggeris sebenarnya telah menjalankan jarum penjajahannya tersangat lama, lebih 170 tahun.

Ertinya, Tanah Melayu yang merdeka pada 31 Ogos 1957 telah diekploitasi dengan rakusnya oleh penjajah Inggeris dalam bidang ekonomi, sosial dan dengan halusnya pada pencorakan budaya dan pemikiran orang Melayu selain membentuk hubungan sosial yang dianggap terus ‘tegang’ dan ‘berkonflik’.

Persoalan-persoalan apa pun yang timbul di Tanah Melayu dan selepasnya Malaysia, tidak dapat dihapuskan sama sekali daripada kesan penjajahan Inggeris, daripada perspektif pemikiran, perundangan, ekonomi, struktur sosial, perbandaran dan dasar-dasar yang dikembangkan kemudiannya. Malaysia kekal merupakan negara ekonominya terbuka, dan mengamalkan sistem kapitalis.

Ada istilah yang lain, yang cukup mengherotkan identiti Melayu, kerana menerusi legasi budaya, sistem pendidikan vernakular itulah tidak mudah untuk menyatukan orang Melayu sebagaimana bersatunya orang Melayu dengan kerajaan yang berasaskan ‘raja’ dalam kehidupan masyarakat sebelum penjajahan. Mentaliti dan pengaruh penjajahan Inggeris melahirkan fahaman sekular dan juga Melayu liberal.

EGO POLITIK

Nilai-nilai sekular dan liberal inilah yang semakin lantang mempersoalkan Ketuanan Melayu, yang kini sedang diperkatakan semula oleh Dr Mahathir setelah dirinya ditolak oleh orang Melayu dan kedudukan PAS yang merasakan ego politiknya cukup kuat selepas PRU ke-15.

PAS menjadi pemenang terbanyak, dengan memiliki 49 kerusi selepas PRU ke-15, merasakan perlu untuk melihat semula kebenciannyanya kepada ‘ketuanan Melayu’ yang pernah dianggap asabiyyah, hanya kerana mahukan orang Melayu menyokong perjuangannya.

Sebelum ini, PAS tidak ‘bangga dilahirkan dari rahim orang Melayu’ dan yang diperjuangkan ialah ‘Ketuanan Islam’. Namun, perjuangan ‘Ketuanan Islam’ PAS sebenarnya tidak memberikan perubahan sokongan yang besar, hanya mampu berpengaruh di negeri-negeri Pantai Timur (Kelantan dan Terengganu). PAS hanya mampu menguasai negeri-negeri bahagian utara Semenanjung sekitar tahun 2008 setelah bergabung dalam Pakatan Harapan. PAS buat pertama kalinya berjaya menguasai Kedah, tetapi tumbang pada tahun 2013.

Pada PRU ke-15, PAS berjaya menguasai Perlis buat pertama kali, dan hampir menguasai Perak dan Pahang. Melihat kepada perkembangan tersebut, ramai yang melihat ia sebagai kebangkitan Gelombang Hijau, tetapi PAS harus akui, kebangkitan itu masih sangat bergantung kepada penerimaan dan sokongan pengundi Melayu. Itulah dilemma yang ada, dan untuk itulah Presiden PAS terpaksa melupakan ‘kutukan dan kecaman’ sebelumnya, lalu bersetuju dengan Proklamasi Orang Melayu. Ibarat menjilat ludah sendiri. Fenomena yang cukup biasa bagi PAS.

POM disokong kerana PAS akan berhadapan dengan enam PRN yang bakal berlangsung bulan Ogos. Ini berdasarkan beberapa kenyataan yang dibuat oleh pemimpin di enam buah negeri yang tidak membubarkan DUN masing-masing semasa Dewan Rakyat dibubarkan (10 Oktober 2022) dan PRU ke-15 ditetapkan ada 19 November 2022.

PAS bersekutu (bergabung) dalam Perikatan Nasional (PN), sebuah gabungan yang muncul pada 7 Ogos 2020, yakni enam bulan selepas terbentuknya ‘kerajaan tebuk atap’. Awalnya, Perikatan Nasional diberikan nama kepada satu bentuk kerajaan campuran yang terbentuk selepas Langkah Sheraton, antara Bersatu, PAS, UMNO dan sebahagian penentang Anwar dalam PKR, yang diketuai oleh Azmin Ali. Perikatan Nasional turut mendapat sokongan parti-parti dari Sabah dan Sarawak.

Kedudukannya ialah 115 wakil rakyat yang menyokong Muhyiddin sebagai pengganti Dr Mahathir menerusi kuasa budi bicara Yang di Pertuan Agong (YDPA) dengan cara memanggil semua wakil rakyat untuk menyatakan sokongan secara bersemuka. Ketika itu, Malaysia mula dikesan wabak COVID-19, yang awalnya dikenali sebagai virus Wuhan  (tempat awal virus itu dikesan, iaitu di Bandar Raya Wuhan di wilayah Hubei, China pertengahan Disember 2019).

Selepas enggan mengadakan Sidang Dewan Rakyat, sokongan terhadap Muhyiddin menjadi berkurangan dan ada desakan untuk diadakan ‘undi percaya’. Muhyiddin akhirnya terperangkap, setelah secara terbuka ada sekelompok wakil rakyat UMNO menarik balik sokongan ke atasnya.

Kerajaan ‘tebuk atap’ lahir selepas PH hilang majoriti wakil rakyat walaupun pada PRU ke-

14 memenangi sebanyak 125 kerusi Parlimen dan berjaya membentuk kerajaan. PH tersungkur kerana ada masalah dalaman (antara parti komponen), reaksi dalam rencana membentuk hegemoni (usaha Bersatu mengukuhkan kedudukan dengan menerima ‘katak’) dan isu peralihan kuasa selain ketidakcekapan barisan kabinet menguruskan negara.

PH turut menjadi serangan daripada sekelompok orang Melayu, termasuk pemimpin- pemimpin UMNO yang melihatnya sebagai cabaran terbesar terhadap konsep ‘Ketuanan Melayu’ setelah terlantiknya Peguam Negara (Tommy Thomas), Setiausaha Agung DAP sebagai Menteri Kewangan, penjualan aset dan pemindahan aset TH kepada sebuah syarikat tujuan khas di bawah MOF diperbadankan, diberikan peruntukan kepada institusi pendidikan vernakular swasta, kegagalan menunaikan manifesto PRU, cadangan pengurangan penjawat awam dan pemansuhan skim pencen.

LEGASI KETUANAN MELAYU

Ia menjadi semakin ‘heboh dan lantang’ setelah adanya keputusan pembebasan dakwaan ke atas beberapa orang politikus dan pendokong politik PH (terutama DAP dan PKR), penggelidahan rumah mantan PM ke-6, cadangan semakan semula kurikulum Pendidikan Islam dan Sejarah, dan lahirnya falsafah pembinaan dan pembangunan negara dengan slogan Wawasan Kemakmuran Bersama (2021-2030).

Persoalan ‘Ketuanan Melayu’ sama ada dilihat dari perspektif sejarah seperti legasi pemerintahan dan pembinaan kerajaan pada zaman sebelum penjajahan; dan persoalan politik dibincangkan secara meluas dalam Firdaus Zainal, Megalothymia Politik Ketuanan Melayu: Perjuangan Orang Melayu Mencari Ketuanan di Bumi Melayu, terbitan Ilham Books, 2-23 cukup menarik dan ilmiah berdasarkan kajian dan penemuan para pemikir sama ada yang berusaha mengukuhkan makna “Ketuanan Melayu” atau dalam kelompok yang menentang “Ketuanan Melayu.” Saya ringkaskan tajuk buku ini kepada Megalothymia.

Buku setebal 364 halaman ini (tidak termasuk dua Kata Pengantar: (1) oleh Dr Low Yong San (Pensyarah Kanan Sains Politik USM); dan (2) oleh Tan Sri Dr Syed Hamid Albar bekas pemimpin UMNO, Menteri Kabinet, dan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti Bersatu (2018).

Syed Hamid pada tahun 2014 menerima Ijazah Doktor Falsafah (PhD) daripada Universiti e- Asia setelah tesisnya, “Kepentingan Negara Dalam Polisi Luar Malaysia (1999-2008)” dan satu lagi PhD daripada UIAM (2019) dengan tesis “Ibnu Khaldun’s Theory and the Party- Political Edifice of the United Malays National Organization’. Tesis mengenai Teori Ibnu Khaldun diterbitkan oleh Springer Nature Singapura pada tahun 2023.

Firdaus Zainal ialah penulis yang cukup bermaklumat bila menghuraikan mengenai teori kitaran Ibnu Khaldun yang melihat sejarah politik UMNO sehingga period ‘keruntuhan’nya, period yang menolak parti yang mendominasi pemerintahan selama lebih enam dekad ke pinggir ‘koridor kuasa’, kalah dalam PRU ke-14 (2018).

Kekalahan itu ada kaitannya dengan haluan perjuangan politik yang berubah dan memaksa UMNO mengakui bahawa ‘Ketuanan Melayu’ yang diperjuangkan ketika menentang Malayan Union, mencari asas kemerdekaan, penyatuan pertubuhan-pertubuhan politik (siasah Melayu) yang tumbuh terpencar, telah menyebabkan para pemimpin mula melupakannya atas ‘kepentingan peribadi’ dan keinginan menjadi ‘warlord’ dalam parti atau apa yang dikatakan oleh bekas Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa sebagai ‘parti ditadbir dan diuruskan seperti syarikat sendirian berhad.”

Ulasan saya mengenai buku Hegemoni UMNO: Pembangunan dan Keruntuhannya Menurut Teori Kitaran Ibnu Khaldun (SIRD, 2021) telah disiarkan dalam tiga siri dengan judul Hegemoni dan Keruntuhan UMNO (21 Disember 2022, 30 Disember 2022 dan 1 Januari 2023).

HEGEMONI

Hegemoni membawa maksud “menguasai”, fenomena usaha untuk mempertahankan kekuasaan oleh mereka yang berkuasa; dominasi oleh sesebuah kelompok terhadap kelompok lainnya, dengan atau tanpa ancaman kekerasan, sehingga idea-idea yang ditekankan oleh kelompok dominan terhadap kelompok yang didominasi diterima sebagai sesuatu yang wajar (common sense).

Konsep ini mula dibincangkan secara ilmiah oleh Antonio Gramsci (1891-1937), seorang pemikir politik dan falsafah Itali, sebagai hegemoni budaya (cultural hegemony), yang dipengaruhi oleh Marxisme. (Andrew Heywood, Political Ideas and Concepts: An Introduction, London: Macmilan, 1994)

Daripada padanan teori kitaran itu ia jelas menunjukkan bahawa UMNO, semakin lama berkuasa semakin melupakan “Ketuanan Melayu” dan konsep itu hanya menjadi igauan ngeri apabila iklim politik tercabar, yakni apabila UMNO bermasalah atau mendapat cabaran daripada parti-parti politik lain (bukan Melayu atau multietnik), sama ada dari dalam Perikatan/Barisan Nasional atau di luar gabungan tersebut.

Ia menjadi lebih ‘takut’ apabila dicabar oleh parti-parti yang dikuasai oleh bukan Melayu, termasuk daripada MCA, Gerakan dan menjadi lebih ditakuti apabila diapungkan oleh DAP. Itulah hakikatnya, hingga sekarang masih belum ‘sembuh luka’ walaupun sudah bermula ‘jalan persefahaman’.

PAS pernah mencuba menerusi percubaan dalam CCC, Barisan Alternatif, Pakatan Rakyat namun ia telah gagal. PAS bertekad untuk tidak lagi bekerjasama dengan mana-mana parti yang ada kaitannya dengan DAP.

EKSTASI PAS

Apabila UMNO menjalin kerjasama dengan DAP, ia membuka peluang kepada PAS untuk ‘mengherdik UMNO’ dan memindahkan slogan ‘Ketuanan Melayu’ sebagai kempen politiknya menjelang PRN setelah merasakan ada sedikit rasa lega pasca PRU ke-15, bahkan mampu mencapai prestasi lebih baik daripada Bersatu, sebuah parti serpihan UMNO yang ingin menggantikan UMNO. Apakah itu satu bentuk ‘ekstasi’ ?

Dari dalam, UMNO merasakan ‘Ketuanan Melayu’ tercabar apabila MCA, Gerakan dan MIC meminta jumlah kerusi yang lebih sehingga muncul ‘ugutan dan ancaman’, misalnya ugutan MCA ketika parti itu hanya diperuntukkan sebanyak 28 kerusi menjelang PRU 1 (1959). MCA mahukan 40 kerusi. Presiden MCA, Dr Lim Chong Eu kemudian menulis surat kepada Tunku Abdul Rahman (24 Jun 1959) memberi ‘kata dua’ atau ‘amaran’ dan surat tersebut disebarkan secara meluas.

Ketua Seranta MCA, Yung Pung How berkata, sekiranya tuntutan itu tidak berjaya, Jawatankuaa Agung MCA akan memutuskan sama ada akan bertanding di bawah Perikatan atau secara bersendirian. Cabaran itu sebenarnya berlaku kerana MCA merasakan UMNO perlu akur dengan kekuatan ekonomi yang dipegang oleh komuniti Cina. Ketika Pilihan Raya Bandaran (1955) yang menjadi ujian penyatuan tiga parti politik utama, sebahagian besar dananya disediakan oleh MCA. MCA merasakan ia sesuatu yang wajar dan tuntutan sedemikian adalah perlu. Mungkin itulah yang menjadi kebimbangan dalam memperkatakan ‘Ketuanan Melayu’ sebagai hak yang wajar dipertahan atau diperkasakan dalam lanskap politik Malaysia hingga kini.

Disebabkan oleh dasar pecah dan perintah yang diamalkan semasa penjajahan British, orang Cina yang dibawa masuk pada awalnya sebagai buruh (pelombong dan pekerja pelabuhan) mempunyai peluang dalam bidang ekonomi adalah lebih baik daripada orang Melayu (dibiarkan dengan tradisi ‘hamba raja’ dan ekonomi tradisi/sara diri), menjadikan kedudukan mereka semakin kukuh menguasai ekonomi.

(BERSAMBUNG)

KAMARUN KH

Translate »