KRISIS POLITIK, yakni perebutan kuasa antara dua pihak yang membentuk Majlis Peralihan Tentera (TMC) sejak berjaya mengusir kepimpinan Omar Hasan al-Basyir, Presiden Sudan, bulan April 2019, terjadi sekali lagi pada 15 April 2023, iaitu ketika umat Islam bersiap sedia menyambut Aidilfitri dalam tempoh seminggu lagi (22 April 2023).

Sebelum itu, pada bulan Oktober 2021, Angkatan Tentera Sudan (SAF), yang diketuai oleh Jeneral Abdel Fattah al-Burhani dan Anggota Separa Tentera yang dikenali sebagai Pasukan Sokongan Cepat (RSF), dipimpin oleh Mohamad Hamdan Dagalo (Hamedti) berjaya menjatuhkan Perdana Menteri, Abdullah Hamrook.

Abdullah adalah Perdana Menteri yang dilantik oleh TMC, Majlis Peralihan Tentera. TMC dibentuk selepas kejatuhan Omar al-Basyir dengan tujuan pentadbiran bersama bagi menjamin keselamatan penduduk dan mengelakkan ketegangan yang lebih parah.

Peperangan (Konflik Sudan terbaharu) yang berlaku pada minggu ketiga bulan Ramadan itu menjadikan sambutan Aidilfitri bagi 30 orang rakyat Malaysia yang bekerja di Sudan (kakitangan Kedutaan Malaysia dan Petronas) sangat cemas, kerana mereka sebenarnya sedang bergelut dengan jaminan keselamatan diri dan keluarga. Mereka hanya berjaya dipindahkan melalui jalan darat ke Port Sudan dan pada 24 Aprl 2023, Menteri Luar Malaysia, Dr Zambry Abdul Kadir menyatakan ia sedang berjalan dan usaha membawa keluar memasuki fasa kritikal. (Berita Harian, 24 April 2023).

Rakyat Malaysia terpaksa menempuh perjalanan sejauh 1,233 kilometer dalam tempoh 30 jam ke Port Sudan pada jam 8.07 minit malam Isnin (waktu Malaysia), hari ketiga sambutan Aidilfitri (25 April 2023). Dengan menggunakan kapal tentera Arab Saudi, HMS Abha, rakyat Malaysia bersama-sama ratusan lagi rakyat asing dipindahkan ke Jeddah mengambil masa perjalanan selama sembilan jam.

Setibanya di Pelabuhan Jeddah, mereka ditempatkan di beberapa buah hotel sebelum kedutaan masing-masing menguruskan penghantaran pulang beberapa hari kemudian. Mereka turut diberikan rawatan untuk mempastikan kesihatan bagi membolehkan dibawa pulang dengan selamat. Rakyat Malaysia tiba di KLIA pada 28 April 2023 dengan Saudi Airline (SV834) sekitar jam 4.00 petang.

Bersama-sama rakyat Malaysia di dalam kapal HMS Abha ialah 22 rakyat negara lain (14 warga Singapura, enam (6) Kemboja dan dua (2) warga Amerika Syarikat. Berdasarkan pengesanan pihak kedutaan, terdapat seramai 32 orang rakyat Malaysia yang tinggal di Sudan, dan 30 telah berjaya diselamatkan setakat ini.

Kini masih dikesan ada lagi keluarga rakyat Malaysia yang berkahwin dengan rakyat Sudan, tidak pernah berdaftar dengan Kedutaan Malaysia di Khartoum sedang dikenal pasti untuk diselamatkan dan dibawa keluar daripada Sudan.

Mereka tidak ada jalan lain untuk keluar daripada Sudan, kecuali dengan adanya bantuan daripada pihak luar, termasuk rundingan diplomatik antara kerajaan bagi membolehkan dibawa keluar. Tentunya, kerjasama antara negara amat penting ketika sesuatu tragedi berlaku, terutama untuk langkah menyelamat dan membawa keluar rakyat masing-masing sebelum mereka menjadi mangsa.

Buat sementara waktu, Kedutaan Malaysia ditutup mulai 1 Mei 2023. Ia akan dibuka semula sekiranya kemelut itu berakhir kerana Malaysia turut mempunyai kepentingan dalam usaha cari gali minyak dan projek air di Sudan menerusi eksplorasi kepakaran Petronas sejak tahun 1996.

Pada tahun 2021 berlaku sedikit tindakan pihak berkuasa Sudan merampas aset milik Petronas di Kompleks Petronas di Khartoum atas amalan rasuah yang berlaku dalam kalangan elit politik. Sudan mengeluarkan waran tangkap ke atas Pengurus Negara Petronas di Sudan.

Namun Petronas menafikan ia berpunca daripada masalah rasuah sebaliknya memfailkan kes ke Pusat Antarabangsa Bagi Penyelesaian Pertikaian (International Centre for Settlement of Dispute, ICSID, di bawah Bank Dunia dan turut membantah penangkapan Pengurus Negara yang diberikan waran tangkap tersebut.

Kemelut bermula apabila Presiden Omar Hasan al-Basyir digulingkan dalam rampasan kuasa tentera pada bulan April 2019. Petronas memasuki Sudan atas permintaan kerajaan Sudan pada tahun 1995, untuk meneroka dan memajukan sumber minyak. Petronas memiliki kepakaran dan teknologi cari gali dan eksplorasi.

Awalnya, kerajaan Sudan meminta bantuan Amerika Syarikat untuk meneroka dan mencari gali sumber minyaknya, tetapi ditolak dan mengharamkan syarikat-syarikat milik rakyat Amerika Syarikat membantu.

Omar al-Basyir pernah mendapat latihan ketenteraan di Malaysia semasa berkhidmat dalam tentera Sudan, sebelum menjadi peneraju merampas kuasa daripada Perdana Menteri Sadeg al-Mahdi (1935-2020) yang dipilih secara demokratik (1966-1967 dan 1986-1989) menerusi keputusan pilihan raya. Hubungan itulah yang memudahkan Petronas mendapat pelawaan daripada kerajaan Sudan semasa pemerintahan Omar al-Basyir sebagaimana ditulis oleh Dr Mahathir dalam A Doctor in the House (2011).

Al-Mahdi meninggal dunia akibat COVID-19 pada bulan November 2020 di sebuah hospital di UAE. Rampasan kuasa itu berlaku pada tahun 1989 . Al-Basyir dilantik sebagai jeneral pada tahun 1980-an dan pada tahun 1989, melancarkan rampasan kuasa tentera ke atas al- Mahdi, pemimpin Ulama Party. Sejak disingkirkan al-Mahdi menetap di beberapa buah negara       sebelum kembali         semula  ke                Sudan        pada           bulan        Disember         2018. (https://www.aljazeera.com/news/2020/11/26/sudans-former-prime-minister-sadiq-al-mahdi- dies-of -covid-19)

Hubungan diplomatik Malaysia dengan Arab Saudi cukup baik, dan ini sangat memudahkan misi penyelamat. Ini kerana Arab Saudi dan Mesir merupakan negara berjiran yang mempunyai hubungan diplomatik yang cukup akrab dengan Sudan. Sudan merupakan salah sebuah negara yang penting di Laut Merah, yang menjadi laluan utama perdagangan dan pengangkutan antara timur dan barat sebelum memasuki Terusan Suez.

Sudan juga mempunyai pesisir pantai yang panjang di Laut Merah, iaitu sepanjang lebih 900 kilometer, dan Port Sudan menjadi satu-satunya pelabuhan utama untuk tujuan perjalanan laut. Oleh itu, disebabkan SAF telah menutup ruang perjalanan udara, masyarakat tertumpu untuk keluar daripada Sudan dengan menggunakan kapal walaupun jaraknya antara Khartoum dengan Port Sudan lebih 800 kilometer (502 batu) yang memerlukan masa perjalanan hampir sehari suntuk (12 jam) dalam keadaan biasa.

Bila dalam keadaan bergolak, perjalanannya juga akan menjadi lebih panjang dan sesak. Beberapa bulan sebelum meletus konflik terbaharu, Nesrine Malik, salah seorang rakyat Sudan yang menetap di luar negara menceritakan pengalamannya pulang ke Sudan pada akhir Februari lalu. Kampung mereka terletak di pinggir Khartoum dan kereta mereka diperiksa oleh pihak berkuas sebanyak dua kali dalam perjalanan tersebut.

Di dalam kereta itu dipenuhi ahli keluarga, kesemuanya perempuan. Setelah dipastikan bahawa tiada ancaman keselamatan, kenderaan yang Nesrine naiki dibenarkan meneruskan perjalanan. Bagaimanapun, di tempat pemeriksaan (checkpoints) ada pelbagai jenis orang yang memeriksa, dari berpakaian tentera hingga berpakaian santai, dan dari situ.

Tulis Nesrine: Those manning the checkpoints were an inconsistent crew. Some were in plainclothes, others in military fatigues, the rest in police uniform. You never knew who you were afraid of,. The only commonfeature they shared was a jittery menace. They were keeping a close eye on movements in a city where tensions had been rising between the two most powerful men in the country”. (https://www.theguadian.com/world/2023/apr/20/sudan- outsider-hemedti-mohamed-hamdan-dagalo-leader-militia-army-war-conflict)

Alhamdulillah, 30 orang rakyat Malaysia berjaya keluar dari Sudan dengan menaiki kapal milik Arab Saudi untuk dipindahkan sementara ke Jedah sebelum dibawa pulang ke Malaysia.

Mereka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada petang Jumaat, 28 April 2023 setelah seminggu Aidilfitri diraikan. Tentunya, setiap daripada mereka melahirkan rasa syukur kerana dapat pulang dengan selamat, walaupun tidak dapat meraikan Aidilfitri dengan ceria di tanah air dalam situasi yang terlewat.

Tetapi, suasana di Malaysia masih ada dan disambut sehingga akhir Syawal (selama sebulan), tetap memberikan kenangan terindah selepas berjaya keluar daripada daerah yang disimbahi ‘awan hitam’ dan kemelut politik tersebut.

Pengalaman tersebut cukup berharga setelah kebimbangan dapat diredakan. Pengalaman itu cukup mengajarkan kita tentang erti kestabilan politik dan keamanan. Kestabilan politik memberikan kita jaminan untuk hidup dan mencri rezeki dengan lebih baik.

Ia cukup berbeza dengan apa yang mereka saksikan telah dan sedang berlaku di Sudan. Purata pendapatan tahunan penduduk Sudan ialah USD$ 750, atau USD $ 62.5 (kurang RM 270 sebulan).

Menurut anggaran badan antarabangsa, sekitar 80 peratus daripada 5 juta penduduk Khartoum tidak lagi mempunyai punca pendapatan akibat perang yang berlaku. Mereka merupakan pekerja yang dibayar gaji secara harian.

Apabila perang berlaku, mereka terputus peluang meraih pendapatan dan akhirnya menyebabkan kehidupan mereka bertambah sukar, sukar memperoleh bekalan makanan dan hidup dalam kebimbangan. Apatah lagi dalam keadaan iklim Sudan yang cukup panas dan berlaku kemarau berpanjangan sejak tahun 1984.

Setiap tahun, dianggarkan sejumlah 1.5 juta rakyat Sudan memerlukan bantuan antarabangsa bagi membolehkan mereka mendapat bahan makanan. Apabila perang yang berlaku perebutan kuasa, jumlah mereka yang memerlukan bantuan kemanusiaan dijangka meningkat kepada 15.6 juta orang, hampir satu pertiga daripada keseluruhan penduduk Sudan.

Tahun 2022, anggaran penduduk Sudan ialah seramai 47.96 juta orang dengan kepadatan 55.2 orang setiap satu batu persegi. Jumlah yang perlu dibantu telah meningkat sebanyak 10 kali berbanding tahun 2021, iaitu seramai 1.5 juta kepada 15.6 juta orang (2023).

Sudan merupakan negara terbesar di Afrika dan benua Arab. Sudan mendapat kemerdekaan daripada Inggeris dan Mesir pada tahun 1956. Pada 9 Julai 2011, Sudan dengan rasminya berpecah kepada dua buah negara, iaitu Sudan dan Sudan Selatan.

Kesan daripada perpecahan itu, Sudan menduduki tangga ketiga terluas di Afrika (selepas Aljeria dan Republik Demokratik Congo) dan dalam kalangan negara Arab dengan keluasan 1,886,0868 kilometer persegi.

Sudan Selatan mempunyai keluasan sebanyak 644,329 kilometer persegi, iaitu hampir dua kali ganda daripada keluasan Malaysia dan Sudan, hampir 10 kali ganda lebih besar daripada Malaysia (keluasan Malaysia 329, 847 kilometer persegi). Ertinya, sebelum perpecahan Sudan dengan Sudan Selatan dimuktamadkan, keluasannya mencecah lebih 2.5 juta kilometer persegi.

Sudan terletak di bahagian timur laut benua Afrika, bersempadanan dengan Mesir di sebelah utara, Eritea dan Habsyah di sebelah timur, Sudan Selatan di bahagian Selatan, Uganda dan Kenya di bahagian tenggara, Republik Chad di di bahagian barat, Congo dan Republik Afrika Tengah di bahagian barat daya dan Libya di barat laut.

Penduduknya, 70 peratus adalah orang Arab Sudan, 5.5 peratus etnik Peja, 2.5 peratus etnik Niba, 2 peratus etnik Fur, 1.2 peratus keturunan Mesir, 0.5 peratus Fula dan lain-lain etnik sekitar 18.34 peratus. Secara keseluruhannya, Sudan adalah salah sebuah negara majoriti penganut Islam. Islam dianuti oleh lebih 80 peratus penduduk yang seramai hampir 46 juta orang (2021).

Sudan Selatan masih merupakan negara majoriti Islam tetapi peratusanya adalah lebih rendah kerana penganut agama Kristian dan agama-agama tradisi Afrika turut membentuk kumpulan penduduk yang cukup besar. Sudan Selatan mempunyai kekuatan ekonomi yang lebih besar berbanding Sudan terutama dari kepemilikan sumber semulajadi seperti minyak, gas, mineral (emas, tembaga dan sebagainya).

Namun, Sudan Selatan tidak mempunyai pelaburan untuk mengeksport hasil buminya, sangat bergantung dengan kemudahan pengangkutan untuk ke Post Sudan. Ini menyebabkan Sudan Selatan walaupun sudah diberikan kemerdekaan pada tahun 2011, masih bergelut dengan kepayahan mendapatkan kebenaran menggunakan paip gas dan minyak untuk disalurkan ke kapal tangki di Port Sudan.

Begitu juga dengan tahap kesuburan tanah di Sudan Selatan, ia dilihat cukup subur berbanding di beberapa wilayah di Sudan, kecuali wilayah-wilayang yang dilalui oleh Sungai Nil Putih dan Sungai Nil Biru, yang kemudiannya bercantum di Khartoum. Sekali imbas, pembentukan Khartoum boleh disamakan dengan Kuala Lumpur, sama-sama bermula di kawasan percantuman dua sungai, Sungai Gombak, yang merupakan anak Sungai Klang.

Kedua-duanya bertemu di Jalan Tun Perak (Jalan Moubatten), di mana menjadi lokasi Masjid Jamek yang masih kekal hingga kini.

Apa yang menariknya, Sungai Nil Biru dan Sungai Nil Putih bertemu di Khartoum, sebelum cantuman kedua buah sungai tersebut mengalir ke Mesir. Port Sudan dibina pada tahun 1905 dan saluran paip minyak dibina pada tahun 1977.

Jarak antara Khartoum dan Post Sudan ialah lebih 820 kilometer, yakni lebih jauh daripada perjalanan dari Johor Bharu ke Bukit Kayu Hitam (807 kilometer) menggunakan Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS). Di pelabuhan inilah sekarang menjadi tumpuan ‘penyelamatan’ oleh kebanyakan negara setelah ruang udara ditutup oleh pihak berkuasa sebaik sahaja krisis bermula.

Warganegara asing yang melancong dan bekerja di Sudan akan dibawa beratus kilometer ke Pelabuhan Sudan sebelum dibawa ke beberapa buah negara dan yang memainkan peranan utama untuk misi tersebut ialah Arab Saudi. Arab Saudi mempunyai hubungan diplomatik yang sangat baik dengan Sudan.

Dari segi sejarah, Sudan merupakan salah satu wilayah yang diperintah oleh Dinasti Fatimiyyah yang berpusat di Kaherah. Di Sudan terdapat sejumlah 19 buah universiti berbahasa Arab dan tahap literasi Sudan ialah sekitar 58 peratus (2000 di mana 69 peratus dalam kalangan lelaki dan 46 peratus dalam kalangan wanita) manakala tahap buta huruf dianggarkan (dalam kalangan mereka yang berumur 15 hingga 24 tahun) sekitar 23 peratus.

Banyak faktor yang menyumbang kepada keadaan tersebut, termasuk faktor budaya yang mengehadkan pendidikan untuk kanak-kanak perempuan dan pembabitan para lelaki dalam tugas-tugas ketenteraan (kerahan tenaga).

Sejak mencapai kemerdekaan, dilaporkan lebih 15 kali rampasan kuasa politik dan revolusi yang berlaku di Sudan. Kemerdekaan itu juga membawa kepada Perang Saudara yang berlaku sejak tahun 1950-an hingga berakhir dengan pemisahan Sudan Selatan.

Pengajaran pertama ialah kemerdekaan cenderung kepada perpecahan selepas ianya dicapai. Akan ada ‘rasa tidak puas hati’ seperti juga kisah wanita yang menjadi isteri pertama, kedua, ketiga atau keempat kepada seorang lelaki.

Walaupun, si suami memberikan keseluruhan nafkah dan cuba berlaku adil dengan setiap isteri-isterinya, akan muncul salah seorang daripadanya merasakan ‘tidak puas hati’, Jika setiap orang disediakan sebuah banglo yang sama, perabotan yang sama, kenderaan berjenama yang sama, masih timbul rasa terkilan atas banyak perkara. Inilah belenggu psikologi yang terus ada dalam diri manusia.

Dianggarkan telah mengorbankan ratusan ribu penduduk daripada negara yang asalnya bersaudara itu sebelum ianya mencapai persetujuan menerusi referendum yang diadakan pada awal 2011. Ia yang merupakan sebahagian daripada terma Perjanjian Navaisha antara kerajaan Khartoum dengan Tentera Pembebasan Rakyat Sudan (SPLA). 98.83 peratus undian menyokong pemisahan Sudan Selatan.

Apa yang dapat kita belajar daripada sejarah pergolakan politik di Sudan? Kemerdekaan di Sudan yang dicapai pada tahun 1956 tidak memberikan makna penyatuan sebaliknya menjadi asas kepada perpecahan Sudan kepada dua buah negara.

Ini bermakna, kemerdekaan itu hanya sesuatu yang bersifat sementara bagi Sudan, ia menjadi pendorong kepada Sudan Selatan untuk menuntut kemerdekaan dengan lebih mudah daripada Khartoum.

Hal ini mungkin dilihat ada sedikit persamaan dengan apa yang berlaku di Malaysia. Selepas mencapai kemerdekaan daripada Inggeris pada tahun 1957, Tanah Melayu mempunyai kerajaan sendiri dan tidak lagi bernaung secara langsung dengan British. Ia kemudiannya menarik minat Sabah, Sarawak dan Singapura untuk membentuk sebuah negara yang lebih besar dan berdaulat.

Usaha dirintis untuk membentuk Malaysia, dan ia menjadi kenyataan pada tahun 1963, walaupun mendapat reaksi ketenteraan daripada Indonesia yang melancarkan Konfrontasi – Ganyang Malaysia oleh Presiden Indonesia, Sukarno.

Bagaimanapun, Singapura memperlihat sikap yang berbeza. Singapura mula menunjukkan keangkuhannya apabila bergabung dalam Malaysia. Strategi Singapura ketika itu cukup jelas, iaitu mendesak agar berlaku perubahan dasar dan corak kepimpinan negara, berasaskan prinsip Malaysia Malaysian, meritokrasi dan tidak penterjemahan kepada kedudukan Istimeewa Orang Melayu walaupun dimaktubkan dalam Perlembagaan Malaysia.

Usaha mencabar keistimewaan orang Melayu menyebabkan kepimpinan politik sangat merasakan ia sebagai ‘duri dalam daging’. Ia kemudiannya mempercepatkan proses pemisahan, yakni kemerdekaan Singapura, yang sepatutnya daripada British.

(BERSAMBUNG)

KAMARUN KH

Translate »