Pada masa ini, pelbagai persoalan yang timbul berkaitan dengan konsep kepimpinan dalam Islam, seperti siapakah yang dimaksudkan dengan pemimpin sesebuah negara? Dalam hal ini, konsep kepimpinan merujuk kepada khalifah atau imam, kelayakan seorang pemimpin yang wajar untuk ditaati, hukum mentaati pemerintah Islam serta batas-batas ketaatan kepada pemimpin negara.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Setiap kamu adalah pemimpin, dan setiap pemimpin akan ditanya perihal kepimpinannya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Hadis tersebut mengisyaratkan amanah yang perlu ditanggung oleh mereka yang layak memegang kepimpinan sama ada kepimpinan organisasi, kumpulan, masyarakat mahupun negara. Amanah yang dipikul akan dipertanggungjawabkan kembali kepada pemimpin itu sendiri pada akhirat kelak. Hal ini membawa satu peringatan bahawa isu kepimpinan ini bukanlah suatu yang dilihat secara mudah.

Malah, dalam hadis yang lain pula menyebut, “Apabila bermusafir seramai tiga orang, maka lantiklah salah seorang di antara kamu sebagai ketua.”  (Riwayat Abu Daud).

Terdapat beberapa pendapat yang melihat isu di sekitar pelantikan seorang pemimpin atas dasar akal ataupun syarak. Sesetengah ulama berpendapat bahawa pelantikan seorang imam ataupun pemimpin adalah wajib berasaskan hukum akal. Bagi sesebuah entiti sama ada sebuah organisasi, masyarakat bahkan keluarga, perlu ada sebuah kepimpinan yang diketuai oleh seorang pemimpin. Apatah lagi dalam konteks negara. Tanpa kepimpinan, sesebuah negara akan berada dalam keadaan kucar kacir dan tiada wawasan.

Secara semula jadi, pemimpin akan dilantik dalam kalangan mereka yang adil kerana manusia memerlukan keadilan dalam kehidupan mereka dan mengharapkan pemimpin yang mampu membawa mereka ke arah keadilan. Sebahagian pendapat mengatakan bahawa melantik seorang pemimpin atau khalifah atau imam merupakan perkara yang syari’e berdasarkan tugas-tugas pemimpin yang perlu menjaga kelangsungan agama Islam dan melaksanakan perintah Allah dan Rasul.

Kepimpinan bukan satu keistimewaan, tetapi ia adalah tanggungjawab. Ia juga bukan satu kemudahan, tetapi satu pengorbanan. Bukan juga sesuatu yang hanya untuk bersenang-lenang, tetapi adalah kerja keras. Kepimpinan juga bukan ruang dan peluang untuk bertindak sesuka hati, tetapi sebagai wadah untuk memberikan perkhidmatan dengan penuh kesabaran. Seterusnya, kepimpinan ialah contoh dalam berbuat sesuatu dan mempelopori sesuatu tindakan.

Dalam Kamus Dewan edisi Keempat meletakkan makna pemimpin sebagaimana berikut:

Pemimpin (kata nama): 1. orang yg memimpin; 2. buku pedoman, petunjuk; memimpin (kata kerja)

1. Bersinonim dengan membimbing: menuntun, memandu, memegang tangan, mengganding;
2. Bersinonim dengan mengetuai: menerajui, memerintah, mengimami, mengemudi, mengepalai, menghulukan;

3. Bersinonim dengan melatih: mengajar, membimbing, memandu, mendidik, mengasuh, memelihara, menjaga;

Manakala kata nama bagi ketua kerajaan dan ketua negara mempunyai konotasi yang berbeza sebagaimana berikut:

Ketua kerajaan: pemimpin tertinggi sesebuah kerajaan, yang dilantik daripada ketua parti politik yang memerintah. Dalam konteks Malaysia, ketua kerajaan ialah Perdana Menteri Malaysia.

Ketua negara: pemimpin tertinggi sesebuah negara yang terdiri daripada seseorang raja atau pemimpin parti politik yang memerintah. Di Malaysia, ketua negara ialah Yang Di Pertuan Agong.

Dalam mentafsirkan makna pemimpin, khalifah, imam atau ulil amri berdasarkan surah an-Nisa’ ayat ke 59:

Maksudnya: “Hai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul, serta ulil amri (orang-orang yang berkuasa) di kalangan kamu. Kemudian jika mereka berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada kitab Allah (al-Quran) dan (Sunnah) rasul-Nya, jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari Akhirat”(Surah an-Nisa’: 59).

Ulama’ berselisih pendapat siapa yang dimaksudkan dengan ulil amri di dalam ayat ini:

  1. Pendapat Abu Hurairah, Ibnu Abbas, dan Ibnu Zaid, maksud ulil amri di sini adalah para penguasa yang sah.
  2. Pendapat Jabir bin Abdillah, Hasan al-Basri, Qotadah, Mujahid dan ‘Atho’, yang dimaksudkan dengan ulil amri adalah ahlil ilmi (ulama) yang tegak di atas sunnah.
  3. Pendapat Imam Mujahid dalam satu riwayat ulil amri adalah para sahabat Nabi SAW ada juga yang mengatakan ulil amri di sini adalah Abu Bakar dan Umar.

Berkata Ibnu Jarir al-Thabari dalam tafsirnya 5/150: pendapat yang kuat adalah pendapat yang pertama berdasarkan petunjuk Nabi SAW, dan pendapat ini dikuatkan oleh Imam Ibnu Kasir dalam tafsirnya 1/530.

Namun pendapat lain seperti Imam Ibnu Qayyim berkata: Yang sahih adalah yang mencakupi dua kelompok para penguasa dan para ulama kerana kedua-duanya sama-sama mengurus urusan manusia, dan ini adalah pendapat gurunya iaitu Sheikhul Islam Ibnu Taimiyyah (Lihat Majmu’ Fatawa 28/180).

Dalam Tafsir al-Tabari pula, Abu Hurairah mentafsirkan perkataan “ulil amri” itu sebagai “golongan pemerintah”.  Pemerintah ialah mereka yang diberikan mandat oleh rakyat untuk memimpin sesebuah negara.

Dalam konteks Malaysia, pemimpin terbahagi kepada dua kategori. Pertama, pemimpin negara dan pemimpin kerajaan. Istilah pemimpin negara merujuk kepada kepimpinan tertinggi negara yang terdiri daripada Yang Di Pertuan Agong, manakala ketua kerajaan merujuk kepada kepimpinan tertinggi sesebuah kerajaan yang dipimpin oleh parti yang memenangi majoriti undi dalam Pilihan Raya Umum.

Ketua negara Islam merujuk kepada “khalifah”, “amir al-mukminin”, “al-hakim”, sultan, “ulil amri”, dan disebut oleh al-Mawardi dalam al-Ahkam al-Sulthaniyyah sebagai Imam. Dalam persoalan khalifah atau imamah, al-Mawardi menyatakan imamah merupakan manusia yang dilantik oleh Allah sebagai pengganti Rasulullah SAW yang akan memelihara agama dan menguruskan urus tadbir agama seperti yang disyariatkan oleh Allah.

Manakala Ibn Khaldun menyatakan dalam al-Muqaddimah:

“…menjadi khalifah (dalam sistem yang ideal) pada hakikatnya bermaksud bertindak sebagai pengganti pembawa syariat (Nabi Muhammad SAW) untuk tujuan menyebarkan syiar Islam dan menerajui kepimpinan siyasah di dunia ini…”

Oleh itu, ketua negara Islam merujuk kepada kepimpinan tertinggi bagi perkara-perkara keagamaan dan keduniaan. Firman Allah SWT.:

“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya) dan apabila kamu menjalankan hukum antara manusia, (Allah menyuruh kamu menghukum dengan adil). Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa mendengar lagi sentiasa melihat.”(Surah An-Nisa’:58).

Sabda Rasulullah SAW:

 ” سَيَلِيكُمْ بَعْدِي وُلاةٌ , فَيَلِيكُمُ الْبَرُّ بِبِرِّهِ , وَالْفَاجِرُ بِفُجُورِهِ , فَاسْمَعُوا لَهُمْ وَأَطِيعُوا فِيمَا وَافَقَ الْحَقَّ , وَصَلُّوا وَرَاءَهُمْ فَإِنْ أَحْسَنُوا فَلَكُمْ وَلَهُمْ , وَإِنْ أَسَاءُوا فَلَكُمْ وَعَلَيْهِمْ ” .

“Sepeninggalanku akan datang kepada kalian pemimpin-pemimpin, kemudian akan datang kepada kalian pemimpin yang baik dengan membawa kebaikannya. Kemudian datang kepada kalian pemimpin jahat yang membawa kejahatannya. Maka dengarkanlah mereka, dan taatilah apa sahaja yang sesuai dengan kebenaran. Jika mereka berbuat baik, maka kebaikan itu adalah untuk kalian dan mereka, dan jika berbuat jahat, maka kalian mendapat pahala dan mereka mendapat dosa.” (Riwayat Abu Hurairah).

SYARAT-SYARAT PEMIMPIN

  1. Mempunyai wilayah (keupayaan) yang sempurna iaitu muslim, merdeka, lelaki, baligh dan sempurna akal fikiran.
  2. Adil, iaitu beragama Islam dan berakhlak mulia. Sifat tersebut diambil kira dalam semua perkara yang berkaitan dengan kuasa iaitu bersikap jujur, amanah, menjauhkan diri daripada perkara-perkara haram, suci daripada sebarang dosa, jauh daripada keraguan, terjamin benar apabila memberi persetujuan, benar apabila marah, menjaga maruah dalam urusan agama dan dunianya. Kesimpulannya ialah melaksanakan kewajipan-kewajipan syarak serta meninggalkan semua larangan agama dan maksiat.
  3. Kelayakan ilmiah iaitu mempunyai ilmu pengetahuan melayakkan berijtihad untuk mendapatkan hukum atau keputusan bagi sebarang perkara yang berlaku dalam semua aspek politik, ekonomi, sosial dan budaya.
  4. Halus dan tajam pemikirannya dalam menangani masalah-masalah politik, ketenteraan dan pentadbiran. Syarat ini memerlukan pengalaman yang cukup mengenai urusan orang awam, urusan negara, keperluan pemerintah dan politik.
  5. Berpendirian tegas iaitu berani dan suka menolong yang mendorong kepada mempertahankan kedaulatan negara.
  6. Keupayaan jasmani iaitu sempurna pancaindera yang terdiri daripada pendengaran, penglihatan, dan lidah supaya dapat mengetahui dengan sempurna terhadap apa yang berlaku di sekelilingnya.
  7. Keturunan Quraisy. Syarat ini mempunyai perbezaan pendapat mengenainya. Oleh itu syarat yang sesuai pada masa ini ialah orang yang bertanggungjawab mengurus dan mentadbir urusan orang-orang Islam mestilah terdiri daripada orang yang diikuti, ditaati, dipersetujui ramai dan mempunyai kekuatan yang bersandarkan kemahuan umum, maka itu semua akan menghasilkan kesatuan dan menghapuskan perpecahan.

 

BERSAMBUNG…

Oleh: Haji Sallehuddin Yaacob

 

Translate »