Salah satu punca kelemahan umat Islam hari ini sehingga terlerainya ikatan ukhuwah dan kesepaduan umah amat terkait dengan fenomena prejudis dan berprasangka buruk sesama sendiri. Sikap berprasangka buruk bagaikan budaya yang sukar dibendung lantas menjadikan manusia saling bercakaran dan bermusuhan kerana terhakisnya rasa percaya antara satu sama lain.

Berprasangka buruk atau dalam istilah al-Quran disebut ‘Zhan’ dilihat semakin menggejala dalam realiti masyarakat global yang hidup dalam dunia tanpa sempadan kini. Kemudahan dan kecanggihan teknologi seperti telefon bimbit, khidmat pesanan ringkas (SMS), Internet dan instrumen-instrumen lainnya turut merangsang dan menyuburkan lagi budaya negatif ini.

Sebab itulah isu yang kecil cukup mudah untuk diperbesar-besarkan malah mampu direka dan disensasikan dengan hanya menekan beberapa butang tanpa perlu menunggu lama untuk disebarkan. Semuanya mampu dilakukan dengan kecanggihan teknologi yang disalahguna bagi memuaskan gelojak nafsu yang tidak terbimbing dengan nilai-nilai ketuhanan dan keagamaan.

Dalam penulisan kali ini, penulis lebih cenderung membicarakan isu prejudis atau prasangka buruk ini dalam realiti budaya politik umat Islam kini. Ini kerana politik perebutan kuasa amat mudah menjerumus umat ke kancah polemik persengketaan yang berpunca daripada sikap berprasangka yang bagaikan semakin sebati dalam diri.

Sesungguhnya sikap prejudis dan berprasangka sering kali dikaitkan dengan gejala ketaksuban dalam budaya politik kepartian yang semakin tercabut nilai-nilai dan prinsip- prinsip Islam sejati. Penyimpangan budaya politik ini juga sering kali mengheret umat kepada fenomena permusuhan sesama sendiri hingga memecahkan ikatan ukhuwah dan meleburkan kesatuan yang menjadi tunjang kekuatan ummah.

Sememangnya di antara gejala taksub atau ekstrem berpolitik ini ialah sikap prasangka buruk terhadap orang lain hingga sentiasa berkecenderungan memandang kelompok lain dengan pandangan negatif yang penuh dengan kejelikan dan keburukan.

Sikap fanatik atau taksub yang menyelimuti diri, acapkali membutakan mata dari segala kebaikan yang dilakukan oleh orang-

orang yang berbeza pandangan dengannya. Sebagaimana kata pepatah: “Dan prasangka baik cenderung menafikan segala keburukan. Sebagaimana prasangka buruk cenderung melebih-lebihkan keburukan”.

Orang yang taksub kepada kelompoknya juga walaupun melihat sesuatu perbuatan baik, tidak akan keluar dari mulutnya kata- kata pujian kecuali yang melakukannya termasuklah dari golongan atau orang yang bersefahaman dengannya.

Fenomena berpolitik yang tidak didasari dengan akhlak Islam seperti inilah yang menyebabkan kelompok ekstrem ini amat mudah terjerumus ke kancah mencari salah orang lain lantaran didasari sikap prejudis dan berburuk sangka. Malah sekiranya ada perkataan atau perbuatan yang mengandungi dua kemungkinan iaitu baik atau buruk, maka mereka akan beratkan kemungkinan yang buruk daripada kemungkinan baik.

Ini pastilah amat bertentangan dengan prinsip al-Quran yang jelas menegaskan:

Wahai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan daripada prasangka, sesungguhnya sebahagian daripada prasangka itu adalah dosa. (al-Hujurat:12). Dalam sebuah hadis Nabi s.a.w. turut dipertegaskan: Jauhilah prasangka kerana prasangka itu adalah perbicaraan yang paling dusta (riwayat Muttafaqun Alaihi).

Apa yang pasti prinsip al-Quran dan as-sunah sentiasa menganjurkan agar umat sentiasa berprasangka baik terhadap hamba Allah. Apabila didapati padanya keaiban, hendaklah ditutupi supaya Allah menutupi keaibannya di dunia dan akhirat. Sebaliknya apabila didapati kebaikan, hendaklah dizahirkan dan disebarluaskan.

Namun apa yang berlaku kini adalah sebaliknya. Kita jarang mengambil sikap berbaik sangka apabila satu-satu berita yang berupa keburukan orang lain diceritakan. Lebih menyedihkan, kita pula yang menokok tambah cerita-cerita yang sampai agar ia lebih sensasi tanpa memikirkan natijah yang bakal berlaku kepada mangsa fitnah tersebut.

Kita mungkin lupa bahawa Islam amat keras mencela golongan pencacai-pencacai dan pengadu-pengadu domba yang sentiasa berusaha menyalakan obor kebencian dan membakar api permusuhan hingga terlerai ikatan ukhuwah di kalangan umat. Amaran keras Allah jelas ternukil dalam al-Quran: Dan janganlah kamu ikuti setiap orang yang banyak bersumpah lagi hina, yang banyak mencela, yang ke sana ke mari menghambur fitnah. (al-Qalam: 10-11).

Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas: Pada satu hari Rasulullah s.a.w. melewati sebuah kebun di antara kebun-kebun di Madinah. Tiba-tiba beliau mendengar dua orang yang sedang diseksa di dalam kuburnya, lalu Nabi s.a.w bersabda, Kedua- duanya diseksa, padahal bukan kerana dosa yang besar. Yang pertama diseksa kerana tidak betul-betul bersih sesudah membuang air kencingnya dan seorang lagi kerana suka mengadu domba (hadis riwayat al-Bukhari, lihat Fathul Baari, 1/317).

Banyak hadis lain yang menunjukkan betapa seriusnya kesalahan mengadu domba dan membudayakan prejudis dalam kehidupan. Bahkan dalam hadis yang lain Rasulullah s.a.w. jelas memberi indikasi bahawa orang yang mengadu domba dan mereka-reka cerita tidak akan masuk syurga bahkan bakal berhadapan azab pedih pada hari kiamat kelak.

Sebab itulah seorang mukmin sejati harus sentiasa berfikiran jernih dan menjauhi sikap berprasangka buruk agar sentiasa berlaku adil kepada kawan mahupun lawan. Jika benar sekalipun cerita-cerita keburukan mahupun kelemahan seseorang mukmin yang disampaikan itu, tidaklah sekali-kali menghalalkan kita berterusan membuka keaibannya.

Justeru usaha bersepadu harus dilakukan untuk membendung gejala berprasangka daripada terus menyubur dalam masyarakat Islam kini. Umat harus dibimbing agar lebih berakhlak dalam memanfaatkan pelbagai kecanggihan teknologi agar tidak mudah terjerumus dalam budaya berprasangka yang membinasakan. Umat harus dididik agar dalam kesibukan mereka berpolitik, jangan sampai memperjudikan kesatuan ummah hingga meletakkan masa depan negara diambang kemusnahan.

Catatan : Ibnu Majid

Translate »