Dalam bahasa Arab, ‘Ibnu’ bermaksud ‘anak lelaki’ dan Khaldun adalah nama moyang kepada Abu Zaid Abdul Rahman bin Muhamad. Beliau kemudiannya lebih terkenal dengan nama Ibnu Khaldun.

Berasal daripada keturunan Arab Hadramaut tetapi keluarga telah berpindah ke Afrika Utara. Ibnu Khaldun dilahirkan pada 27 Mei 1332 (bersamaan Ramadan 932 Hijrah) di Tunisia, dari sebuah keluarga ternama, termasuk seorang abangnya, Yahia berkhidmat sebagai ahli politik dan ahli sejarah, manakala ayahnya merupakan seorang yang terkenal dalam bidang persuratan (sastera).

Mendapat pendidikan Quran, matematik, geografi dan sejarah di Tunisia. Demi mengekalkan martabat keluarga, pada tahun 1350 beliau berkhidmat dengan Sultan Tunisia dan tidak lama kemudiannya, beliau menduduki ahli majlis cendekiawan dan penyimpan mohor Sultan Maghribi di Fez.

Semasa berkhidmat dengan Sultan Maghribi, Ibnu Khaldun terkenal kerana pendapatnya bahawa pemerintah negara-negara itu bukanlah wakil Ttuhan ataupun manusia suci. Atas pendapatnya yang dianggap radikal itu, beliau dipenjarakan selama dua tahun. Setelah dibebaskan, Ibnu Khladun meneruskan kembaranya ke Sepanyol (Andalusia) dan diterima baik oleh sultan dan setiausaha baginda, Ibnu Khatib.

Sebaik sahaja diterima, Ibnu Khaldun dilantik sebagai duta bagi menjaga kepentingan orang Kristian di Castilla dan setelah misi itu berakhir, beliau berhijrah ke Algeria (di Bougie) dan memegang jawatan sebagai Pegawai Penyelenggara Istana. Sepanjang berkhidmat dengan istana, beliau sering tinggal bersama-sama masyarakat Badwi dan Barbar.

Setelah Sultan Bougie terbunuh, Ibnu Khaldun kembali ke Maghribi dan kembali menyampaikan syarahan di beberapa buah masjid di samping menghabiskan masa dengan menelaah. Beliau pulang di Afrika Utara sekali lagi dan menetap di kota Ibnu Sakma yang letaknya berhampiran Constantinople.

Semasa di Constantinople, Ibnu Khaldun mula menulis karya besarnya, Mukaddimah, yang membawa maksud Pengenalan Kepada Sejarah. Berasaskan pemerhatian sepanjang kerjaya dan penglibatan peribadi dengan masyarakat pelbagai agama, beliau mengambil masa selama empat tahun untuk menyiapkan buku tersebut.

Setelah selesai merakamkan pengalaman, pandangan dan kupasan mengenai kebangkitan dan keruntuhan banyak negara, Ibnu Khaldun kembali ke Tunisia dan memulakan semula mengajar di Masjid Besar. Atas perkenanan Sultan, Ibnu Khaldun diberikan kebenaran meninggalkan Tunisia untuk mengerjakan haji di Mekah dan tinggal beberapa bulan di Palestin dan Baitulmaqdis.

Ibnu Khaldun seterusnya berhijrah ke Mesir untuk meneruskan khidmat sebagai cendekiawan, pendidik dan hakim. Kehebatannya telah menjadi kekaguman pihak Universiti al-Azhar dan setiap kali beliau memberikan kuliah di Universiti Masjid al-Azhar, sambutan amat menggalakkan. Al-Maqrizi, seorang cendekiawan ulung Mesir turut mengambil peluang untuk bergaul dengan Ibnu Khaldun, terutama dalam bidang sosiologi dan teori kemasyarakatan.

Semasa di Kaherah, Ibnu Khaldun diminta agar membawa keluarganya menetap di sana. Semasa permohonan itu diterima, Ibnu Khaldun mendapat berita buruk bahawa keluarganya mati lemas di laut. Ibnu Khaldun telah kehilangan harta benda, keluarga dan kebahagiaan dalam hidupnya selepas tragedi tersebut.

Sewaktu Timurlane (suku kaum Tartar) menyerang Syria dan mengancam Damsyik, Sultan Barquq (dinasti Mamluk di Mesir) memaksa Ibnu Khaldun dan rombongannya menganggotai pasukan tentera. Timurlane menerima Ibnu Khaldun sebagai seorang kakitangannya.

Sepanjang berkhidmat dengan pentadbiran Timurlane, Ibnu Khaldun sekali lagi menumpukan perhatian menulis mengenai peristiwa sejarah dalam buku berjudul Kitab al-Ibar (Buku Mengenai Pengalaman atau Pengajaran). Namun demikian, bukunya yang paling terkenal ialah Pendahuluan Sejarah atau Mukaddimah atau Prolegomena.

Dalam buku Mukaddimah, Ibnu Khaldun meletakkan sejarah (tarikh) sebagai acuan analisis dalam konteks sains pembangunan atau sains sosiologi sebagaimana ia dipelajari di universiti-universiti seluruh dunia.

Buku Mukaddimah dibahagikan kepada enam bab utama, iaitu (1) asas sosiologi umum dan acuan pengaruh persekitaran kepada manusia, (2) sosiologi masyarakat primitif dan luar bandar, (3) sosiologi politik termasuk sistem kerajaan, negara dan instutusi, (4) sosiologi masyarakat bandar dan bentuk peradaban, (5) sosiologi ekonomi dan industri, (6) sosiologi ilmu pengetahuan, sains, pendidikan dan hal ehwal budaya.

Secara umumnya, buku Mukaddimah mengandungi dua jenis kerangka ilmiah, iaitu asas kajian sains sosial dan perkara-perkara yang boleh menyebabkan terhakisnya pandangan ilmiah.

Penyusunan buku ini menggunakan kaedah sebagaimana lazim digunakan oleh sejarawan Islam terdahulu, iaitu kaedah naratif tradisional (memberi maklumat) dan kaedah akal bagi mengesahkan kesahihan peristiwa melalui alasan yang kuat, Kaedah pertama dikenali sebagai pendekatan deduktif, manakala kaedah kedua ialah induktif.

Ibnu Khaldun dinilai sebagai seorang yang berjaya menerapkan prinsip sosiologi dan merupakan pemikir pertama yang melakukan perkara sedemikian. Sebahagian prinsip yang dikemukakan oleh beliau ialah (1) fenomena sosial patuh kepada hukum, (2) hukum meliputi golongan yang besar dan tidak dipengaruhi oleh individu terpencil, (3) hukum dapat ditemui dengan mengumpulkan rekod peristiwa masa lalu dan pencerapan semasa, (4) set hukum sosiologi yang sama berlaku dalam struktur masyarakat yang sama, dan (5) meskipun hukum itu bersifat sosial, faktor dorongan biologi dan fizikal perlu diberikan perhatian yang besar.

Gaya pemerhatian yang digunakan oleh Ibnu Khaldun mendahulu apa yang diperkenalkan oleh Max Weber (1864-1920), seorang ahli sosiologi Jerman dengan istilah versetehen. Pandangan Weber, tanpa versetehen, atau empati institusi dengan manusia lain akan menyebabkan berlakunya eksploitasi ke atas orang lain dalam pengertian sosiologi.

Pemikiran Ibnu Khaldum mengenai jenis masyarakat dan integrasi sosial jauh lebih lama mendahului teori penemuan kaedah penelitian masyarakat yang dikemukakan oleh Emile Durkheim (1855-1917), Augustus Comte (1798-1857) dengan teori arus kemajuan, Herbert Spencer (1820-1903) dengan teori evolusi, Pareto (1843-1923) mengenai teori kitaran elit, Nicollio Micheavelli (1469-1527) mengenai pendekatan politik dan pemilikan kuasa, John Locke (1632-1704), Karl Marx (1818-1883), ataupun Montesquieu.

Ibnu Khaldun meninggal dunia pada tahun 1406 ketika berusia 74 tahun dan jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Sufi, Kaherah. Walau bagaimanapun, pemikiran ilmiah Ibnu Khaldun hanya baru mendapat perhatian masyarakat apabila usaha beberapa orientalis menterjemah dan memberikan pandangan mengenainya, iaitu setelah Eropah mula bangkit dari zaman kegelapannya.

Catatan : Ibnu Haidan

 

Translate »