Perkahwinan ialah salah satu daripada fitrah kehidupan manusia di dunia ini. Ikatan perkahwinan sering dikaitkan dengan bisikan hati dan perasaan halus yang wujud dalam sanubari manusia. Perasaan begini terlalu sukar untuk difahami oleh individu lain kerana perasaan ingin berkongsi kehidupan dengan individu yang berbeza fizikal dan perasaan hanya terukir apabila gerakan dan bisikan hati mendesak individu tersebut melakukannya.

Islam mengharamkan ibu bapa memaksa anak berkahwin dengan orang yang tidak disukai olehnya. Ini disebabkan perasaan cinta itu adalah satu anugerah Allah kepada manusia yang ingin membina kebahagiaan dalam perkongsian hidup dengan teman yang dapat menawan hatinya. Ini adalah satu asas utama dalam pembinaan perkongsian hidup diantara lelaki dan wanita.

Apabila pasangan sudah mendirikan rumah tangga maka ketika ini mereka akan mengenali antara satu sama lain dengan lebih jelas. Baik atau buruk perwatakan suami atau isteri terpaksa diterima oleh pasangan tersebut. Kurang kesabaran dan kefahaman antara satu sama lain dalam menerajui kehidupan rumah tangga boleh menyebabkan pasangan mengambil keputusan untuk bercerai.

Perkahwinan merupakan satu kontrak diantara satu sama lain dimana tidak semestinya perkongsian hidup sebagai suami isteri akan berkekalan seumur hidup. Perceraian diharuskan apabila suami isteri merasai bahwa perkongsian hidup merupakan satu penderitaan. Kes perceraian di usia muda merupakan satu fenomena dalam negara ini masa kini. Perkara begini wujud mungkin disebabkan perkahwinan yang dibina lebih berasaskan kepada perasaan cinta pandang pertama yang mana lebih terdorong kepada hawa nafsu.

Ketika bercinta pasangan menyembunyikan kelemahan masing-masing kerana manusia yang berada dalam alam percintaan sering melindungi keburukan dan kelemahan mereka demi mempertontonkan kesempurnaan diri. Sikap kepura-puraan merupakan senjata untuk menawan hati kekasih. Apabila pasangan merasai bahwa diri mereka tertipu oleh lakonan yang dipersembahkan ketika bercinta maka hubungan mesra sebagai suami isteri menjadi semakin dingin dan berakhir dengan perceraian.

Darah muda yang dilamun oleh hawa nafsu kadang-kadang menyebabkan pasangan kekasih yang sedang bercinta mengambil keputusan untuk berkahwin secepat mungkin sebelum mengenali antara satu sama lain dalam jangka masa yang lama. Sikap begini bukan sahaja menyebabkan mereka kurang bersedia untuk memperlengkapkan diri dengan hal ehwal perkahwinan malah cara mereka menyelesaikan permasalahan rumah tangga lebih menjurus kepada perasaan dan emosi. Apabila emosi tidak dapat dikawal dan perasaan marah tidak dapat dibendung maka perceraian merupakan satu cara untuk mengatasi permasalahan.

Perasaan cinta yang dipupuk dalam masa yang singkat tidak mungkin dapat membentuk jiwa cinta yang mendalam diantara pasangan kekasih kerana mereka kurang memahami perasaan dan permasalahan masing-masing. Sikap ibu bapa yang terlalu ingin mendapat menantu kadang-kadang mendesak anak-anak berkahwin dengan kekasih mereka walaupun mereka kurang mengenali diantara satu sama lain. Perasaan cinta dan kasih sayang sukar dipupuk dalam jangka masa yang terlalu pendek kerana ia berkaitan dengan hati dan perasaan. Kehidupan rumah tangga sukar untuk dipupuk jika perasaan mawaddah warahmah (kasih sayang) tidak wujud dalam sanubari dan pemikiran pasangan suami isteri.

Apabila wujud perasaan cinta yang mendalam, suami dan isteri sanggup mengharungi bahtera kehidupan walaupun dalam kesukaran. Kesabaran, pertimbangan akal yang rasional dan kesedaran dalam memegang amanah Allah sebaagi suami dan isteri adalah merupakan asas kebahagaiaan rumah tangga.

Perkahwinan yang wujud masa kini adalah berdasarkan pilihan sendiri dimana ibu bapa hanya menurut kehendak anak tanpa melihat latar belakang keluarga dan sebagainya sepertimana dilakukan oleh masyarakat Islam masa dahulu. Oleh itu apabila berlaku pertengkaran dan permasalahan rumah tangga ibu bapa sukar untuk mencampuri urusan mereka terutama apabila hubungan kekeluargaan diantara suami isteri tidak akrab. Pasangan suami isteri yang masih muda dan kurang matang dalam hal ehwal rumah tangga sukar untuk menyelesaikan permasalahan mereka kerana ibu bapa kedua pihak tidak mencampuri urusan rumah tangga mereka dalam menyelesaikan persengketaan mereka.

Perkahwinan dalam usia terlalu muda kadang-kadang menyebabkan pasangan suami isteri merasai bahwa kebebasan hidup mereka terlalu terbatas dan dibebankan dengan tanggung jawab. Suasana begini kadang-kadang menyebabkan salah seorang daripada menjadi kecundang dan menjalinkan hubungan cinta dengan wanita atau lelaki lain.Peristiwa begini banyak berlaku di kalangan lelaki dimana ketika mereka merasai diri agak selesa dan berpangkat perasaan dan pemikiran mereka mudah tertumpu kepada wanita lain tanpa menghiraukan tanggung jawab rumah tangga. Sikap begini bukan sahaja mengguris hati isteri malah ia membebankan isteri dalam hal ehwal rumah tangga. Ini adalah adalah salah satu faktor utama yang menyebabkan ramai wanita berusia muda menuntut perceraian di Mahkamah Syariah. Apakah ertinya memiliki suami jika urusan rumah tangga dan anak-anak dibebankan kepada isteri sedangkan suami berhibur dengan wanita.

Sikap kecundang dalam rumah tangga wujud disebabkan perasaan kasih sayang atau belas kasihan terhadap isteri atau suami tidak dipupuk dan kurang kesedaraan terhadapa tangungjawab dan amanah dalam rumah tangga. Dalam soal perkahwinan Allah meminta manusia supaya menanamkan perasaan kasih sayang, belas kasihan dan sabar.Ini disebabkan sesuatu yang berkaitan dengan perasaan dan bisikan hati tidak dapat dizahirkan dan dinyatakan kerana ia merupakan perkara yang amat sukar untuk difahami.

Bagi menjamin kebahagaian rumah tangga, Allah dan Rasul menyeru umat Islam supaya mempertingkatkan keimanan dan ketaqwaan. Keimanan dan ketaqwaan yang tinggi adalah merupakan penawar yang paling mujarab untuk mewujudkan perasaan belas kasihan, kesabaran dan penderitaan kehidupan berumah tangga.

Perkahwinan dalam Islam didasarkan kepada perasaan indah dan kerelaan memegang amanah Allah dalam pembentukan dan perkembangan umat manusia. Apabila suami dan isteri memahami konsep hidup rumah tangga berdasarkan kepada perlaksanaan amanah dan ibadah maka mereka akan berusaha membentuk rumah tangga yang bahagia dan berkorban apa sahaja demi kasih demi kebahagiaan bersama.

Panduan yang dikemukan oleh Allah dalam soal perkahwinan di dalam al-Qur’an lebih menumpukan perhatian kepada konsep mememgang amanah dan tanggung jawab. Suami merupakan individu yang wajib memikul tanggung jawab dalam urusan rumah tangga

Allah membuka minda umat Islam supaya menyeimbangi kehendak hawa nafsu dengan pemikiran yang rasional. Allah menciptakan manusia dengan hawa nafsu dengan tujuan untuk memperkembangkan umat manusia di dunia ini kerana tujuan dan matlamat manusia diciptakan ialah untuk menjadi hamba dan khalifahNya di dunia ini.

Hubungan diantara suami dan isteri adalah merupakan perkara yang terlalu rahsia dan sukar untuk difahami oleh orang lain. Allah meminta pasangan yang berkahwin supaya bersabar, bertolak ansur serta berkorban demi kebaikan diri mereka dan juga anak-anak. Allah juga menunjukkan cara untuk menyelesaikan masalah perkahwinan di dalam al-Qur’an. Rasulullah s.a.w. menjadi contoh tauladan kepada umat Islam dalam urusan rumah tangga.

Perceraian diizinkan apabila keadaan rumah tangga tidak boleh dipulihkan lagi. Allah juga menunjukkan cara-cara yang baik untuk bercerai. Orang yang paling bertanggng jawab dalam penyelesaian rumah tangga ialah ahli-ahli keluarga dan rakan-rakan yang akrab bagi pasangan tersebut. Apabila Allah menjelaskan bahwa ahli-ahli keluarga bertanggung jawab dalam penyelesaian rumah tangga, maka umat Islam perlu memahami bahwa soal rumah tangga, perceraian dan sebagainya bukan dapat diselesaikan dengan formula-formula yang berasaskan kepada andaian dan pemikiran manusia yang berbeza corak hidup dan latar belakang.

Setiap pasangan hidup mempunyai perasaan, corak pemikiran dan persepsi berbeza. Individu yang paling bijak dan warak pun tidak mampu untuk menyelesaikan permasalahan perkahwinan orang lain kerana perasaan manusia berbeza antara satu sama lain berdasarkan kepada perbezaan latar belakang pendidikan dan pendedahan. Oleh itu Rasulullah s.a.w. meminta umat Islam supaya menanamkan dalam jiwa dan pemikiran mereka bahwa suami isteri atau suami adalah rakan perkongisan hidup yan gperlu dihormati dan dikasihi. Jika rumah tangga yang dibina itu dapat memberi kepuasan dan kebahagiaan hidup maka itu merupakan kebahagiaan yang perlu diteruskan. Jika perkahwinan itu merupakan satu penderitaan batin maka perpisahan dibenarkan secara hormat dan dirahmati.

Oleh : Prof.Madya Dr.Saodah Abd Rahman

Translate »