Ustaz Abdul Somad Batubara, dari Sumatera Utara pernah menjawab satu pertanyaan yang cukup menarik mengenai kecenderungan seseorang menghabiskan sebahagian perbelanjaan untuk mengubah penampilan fizikal, termasuk mencukur bulu mata, membeli produk berhias (make-up), membiayai pembedahan plastik (membaiki rawan hidung, pipi dan sebagainya) sebagai suatu perbuatan yang dilarang oleh Islam, kecuali dalam keadaan luar biasa menjadi sesuatu yang biasa, Maksudnya, keadaan penampilan fizikalnya begitu hodoh, ngeri dan menakutkan, mungkin seperti monster, ia dibolehkan untuk dilihat sebagai penampilan yang biasa (tipikal atau norma).

Di akhir jawaban itu, Ustaz Abdul Somad (lahir 18 Mei 1977) pernah dituduh menyimpang kerana jawapan-jawapannya cukup lojik dan membumi tetapi selaras dengan al-Qur’an dan Sunnah, menyeru dengan sebuah pertanyaan: Di manakah hatimu ketika anak-anak yang memerlukan bantuan untuk belajar (tempat, keperluan dan sokongan untuk belajar) serba kekurangan? Anak-anak yang sedang belajar ilmu-ilmu agama (juga menghafaz al-Qur’an) belajar dalam kepayahan dan serba kekurangan. Jadi kenapa tidak disalurkan sahaja wang yang perlu dibelanjakan untuk ‘berlebih-lebihan itu’ kepada mereka yang memerlukan; Sekolah Tahfiz, sekolah pondok untuk membantu para pelajar mendapat pendidikan Islam yang kondusif dan tanpa halangan?.

Apakah seruan Ustaz Abdul Somad itu merupakan seruan yang berlebihan atau melampau? Tentunya, sebagai seorang yang pernah menerima pendidikan hingga ke Universiti al-Azhar dan Universiti Islam Omdurman Moroko membuat seruan itu menggunakan akal yang sihat dan pengetahuan agama yang cukup bersanad sebagai rujukannya. Ini kerana, Islam bukan sahaja berusaha membina kekuatan diri seseorang dengan akidah yang baik menerusi prinsip tauhid, turut diberikan perhatian ialah mensejahterakan setiap orang menerusi makna Rahmatal Lilalamin.

Dalam sebuah kisah, terdapat sebuah hadis yang menceritakan mengenai pertanyaan Allah SWT kepada Musa AS mengenai bentuk ibadah yang paling disayangi oleh Allah, yakni sangat dekat dengan makna beriman kepada-Nya.

Muhammad bin Salih al-Usaimin, dalam Syarah Riyadus Solihin Imam Nawawi, (Jilid 1, edisi terjemahan, Jakarta: Darus Sunnah, 2016) melanjutkan kisah Nabi Musa AS itu di manaka Allah SWT bertanya: Apakah engkau mengerjakan suatu amalan untuk-Ku?

Nabi Musa AS menjawab: Tuhanku! Aku telah solat, puasa dan bersedekah; bersujud kerana-Mu, serta memuji-Mu, membaca kitab-Mu dan berzikir kepada-Mu

Musa! Di dalam solat ada pembelaan bagimu; di dalam puasa ada syurga untukmu; di dalam sedekah ada naungan untukmu; dan di dalam tasbih ada cahaya untukmu, “ Allah SWT bertanya lagi:. Lalu, apa amalan lain yang engkau kerjakan untuk-Ku?

Tanya Nabi Musa AS lagi: Tuhanku! Tunjukkan kepadaku amalan yang dapat aku kerjakan untuk menyenangi-Mu?

Allah SWT menjelaskan: Musa! Apakah engkau menolong wali-Ku? Apakah engkau memusuhi musuh-musuh-Ku?

Mulai saat itu, Musa AS menyedari bahawa ibadah yang mereka lakukan – sembahyang, zikir, berpuasa, dan membaca kitab suci adalah untuk faedah diri sendiri, tetapi amalan berinfaq, sedekah, berzakat dan membantu orang lain mengatasi kesusahannya adalah lebih besar pahala sehingga 700 kali ganjarannya.

Perbuatan itu (bermuamalah) telah disebut dalam al-Qur’an oleh Allah SWT yang bermaksud:

“Perumpamaan bagi orang yang mendermakan hartanya di jalan Allah seperti sebutir biji yang menumbuhkan tujuh tangkai, pada setiap tangkai ada seratus biji. Allah melipatgandakan bagi sesiapa yang Dia kehendaki, dan Allah Maha Luas, lagi Maha Mengetahui. (surah al-Baqarah: 261)

Orang yang mendermakan hartanya di jalan Allah, kemudian tidak mengiringi apa yang dia dermakan itu dengan menyebut-nyebutnya dan menyakiti (perasaan penerima), mereka memperoleh pahala di sisi Tuhan mereka. Tidak ada rasa takut pada mereka dan mereka tidak bersedih.” (Surah al-Baqarah: 262)

Mengenai keperluan bermuamalat, Imam al-Ghazali (508-1111M) dalam kitab Mukasyafah al-Qulub: Menyingkap Hati Menghampiri Illahi, (edisi terjemahan terbitan Inteams Publishing House, Kuala Lumpur, 2014) mengatakan: Bila kamu sibuk dengan ibadah ritual dan bangga dengannya, maka itu tandanya kamu mencintai diri sendiri (bukan Allah). Tetapi, bila engkau berbuat baik dan berkorban untuk orang lain, maka sesungguhnya itu tandanya engkau mencintai Allah-mu dan tentu Allah SWT senang kerananya. Maka, buatlah apa yang Allah SWT senang, maka akan dilimpahkan rahmat-Nya dengan menjadikan hidup senang, harmoni, tenang dan bahagia.

Ya! Betapa besarnya pahala atau ganjaran yang disedikan oleh Allah SWT mengenai fadhilat sedekah dan berinfaq, bukan sahaja ganjarannya 700 kali ganda daripada ibadat-ibadat lain, bahkan mampu mengantarkan seseorang itu ke syurga. Seperti kisah seorang gadis yang pernah menemui Rasulullah SAW setelah malamnya bermimpi bertemu dengan ibunya yang sedang kehausan dan meminta-minta air. Ibunya hanya hanya memegang sekeping keju dan sehelai tuala kecil, sedang mengibas-ngibas api yang sedang membakar ibunya.

Setelah bertemu, Rasulullah SAW bertanya: Wahai Anakku! Kenapa wajahmu memanpakkan kesakitan dan apa yang kamu sorokkan di tanganmu?

Gadis itu menceritakan apa yang dialaminya pada malam tadi: keadaan ibunya yang kehausan di neraka dan terkinja-kinja meminta seteguk air. Belum sempat air yang berada di tangan gadis tersebut mencecah bibir ibunya, tangannya disambar api. Gadis itu sedih dan menangis kerana tidak dapat membantu. Ketika itulah ia tersedar dari tidur.

Diceritakan juga kepada Rasulullah SAW tentang mimpinnya yang kedua selepas meyaksikan ibunya yang kehausan dan tersiksa di neraka. Gadis itu pergi menemui ayahnya. Ayahnya sedang bersenang linang di syurga, Sebaik sahaja bertemu ayahnya, gadis itu bertanya kenapakah ayahnya tidak dapat membantu memberikan seteguk air kepada isterinya yang sedang kehausan dan kenapasan di neraka.

Si ayah membeitahu, setiap penghuni syurga tidak dibernarkan membantu penghuni neraka walaupun yang hendak dibantu itu adalah seorang isteri yang sangat taat kepada suaminya.

Ayahnya terus memberi makan kepada penghuni syurga, dan gadis itu pergi dengan rasa sedih dan terus menangis.

Dari dua situasi yang cukup berbeza itu, gadis yatim piatu yang sedang kesakitan itu bertanyakan Rasulullah SAW kenapa seseorang yang berada di syurga dilarang membantu seseorang di neraka. Ayahnya dilarang untuk membantu ibu di neraka. Jawapannya kerana penghuni neraka itu sedang menerima hukuman di atas tindakannya semasa hidup. Biarpun ibunya seorang yang kuat beribadat dan taat kepada suami, ia belum tentu mendapat tempat di syurga kerana cukup kedekut untuk bersedekah, berinfak dan membahagi-bahagikan harta yang dimiliki. Berbeza dengan ayahnya, seorang dermawan, kuat beribadat dan melakukan perbuatan baik itu tanpa menunjuk-nunjuk, atau bermuka-muka untuk mempamerkan kedermawanannya.

Setelah selesai bercerita, gadis itu memohon Rasulullah SAW agar dapat menyembuhkan tangannya yang sakit terbakar. Diletakkan tongkat di atas telapak tangan yang terbakar itu, lalu Rasululllah SAW memanjat doa kepada Allah SWT. Atas keberkatan dan kebenaran cerita tersebut, Allah SWT menyembuhkan tangan gadis berkenaan. Nabi Muhammad SAW berbuat demikian adalah sebagai pengajaran kepada semua umat Islam, bahawa sebanyak manapun kita beribadat (sembahyang, zikir, membaca al-Qur’an) tetapi mengabaikan tanggungjawab sosial (muamalat: bersedekah, berinfaq atau mewakafkan harta untuk tujuan jihad) ia belum mendapat tempat di syurga. Dalam bersedekah, berinfaq atau mewakafkan harta untuk tujuan kebaikan kepada agama, seseorang itu perlulah dilakukan secara ikhlas, tidak bermuka-muka dan cukup terpesona dengan promosi dan bermegah-megah dengan sumbangan yang diberikan.

Selepas itu, gadis berkenaan bertanya kepada Rasulullah SAW: Ya Rasulullah! Apakah yang saya harus lakukan untuk membebaskan ibuku, Ya Rasulullah?

Jawab Rasulullah SAW: Wahai anakku! pulanglah dan banyakkan bersedekah dan berzikir. Pahalanya engkau berikan kepada ibumu. Mudah-mudahan segala dosanya terampun.

Cerita tersebut cukup menggambarkan, betapa besarnya pahala yang disediakan oleh Allah SWT kepada mereka yang ikhlas bersedekah sehingga menjadi salah satu pertimbangan untuk ke syurga. Cerita tersebut cukup bertepatan dengan makna Islam itu sendiri, iaitu satu cara hidup secara berjemaah, bukannya bersifat individualistik. Mereka yang mempunyai harta, perlu sedar bahagian dalam kekayaan yang diperoleh itu ada sebahagian hak orang miskin, iaitu zakat. Dalam kekayaan yang dimiliki, ia bukan untuk menunjuk-nunjuk, tetapi untuk membantu orang lain yang dalam kesusahan dan kesukaran. Itulah falsafah sedekah. Itulah falsafah kehidupan yang menjadi amalan baik yang sangat disayangi oleh Allah SWT, malah lebih disayangi daripada golongan ibadat, juga orang yang berilmu tetapi kedekut membahagi-bahagikan ilmunya kerana Allah SWT.

Maka sebagai memenuhi tuntutan ’melakukan amalan yang baik dan sangat disenangi oleh Allah SWT, bersama-samalah kita bersedekah kepada sesiapa sahaja memerlukan, baik ia datangnya daripada individu ataupun organisasi. Apa yang lebih penting ialah ketulenan pihak yang memerlukan bantuan dan jelas tujuannya.

Madrasah Hidayatul Muntadbiin, yang terletak di Dalam Rhu, Semerak, Pasir Kelantan adalah sebuah pusat pendidikan Islam yang sedang dalam   pembinaan. Dengan keluasan tanah seeker yang diwakafkan oleh penduduk tempatan, madrasah ini sudah pun memulakan keperluan tapak dan menanam cerucuk untuk membangunkan sebuah kompleks pendidikan yang selesa. Namun, setakat ini, proses melengkapkan keseluruhan kemudahan – bangunan pejabat, blok pengajaran dan pembelajaran, asrama, masjid dan sebagainya – masih jauh daripada mencukupi.

Biarpun dalam proses pembinaan baru bermula (Mei 2021) dan masih belum sempurna, Madrasah Hidayatul Muntadbiin mempunyai hasrat dan impian yang cukup besar.

Menurut Mudir Madrasah Hidayatul Muntadbiin, Ustaz Mohd Hanif Abdul Kadir, madrasah yang diasaskan itu akan ‘menjadi sebuah institusi yang mampu menyumbang kepada pembentukan generasi masyarakat yang lebih baik di masa akan datang dengan asuhan yang sesuai mengikut manhaj Ahli Sunnah Wal Jamaaah.

“Kemasukan pelajar ke madrasah ini, dilakukan secara terbuka. Madrasah menerima para pelajar dari kumpulan umur 13 hingga 21 tahun dan menerusi satu kaedah tapisan,” jelas Mudir Madrasah Hidayatul Muntadbiin.

“ Setakat ini lebih RM 700,000 telah dibelanjakan untuk proses awal pembinaan Madrasah.” Jelas Ustaz Mohd Hanif, “pihaknya masih mengharapkan sumbangan orang ramai. Madrasah ini perlu dibangunkan sebaik mungkin, dan ia tidak mungkin dapat dilaksanakan sepenuhnya oleh pihak pengurusan.

“Pihak pengurusan (pemegang amanah) sangatberharap ada individu, badan-badan amal dan tokoh koporat menghulurkan sumbangan. Pihak kami tidak menetapkan jumlah minimum dan dilakukan dalam bentuk saham wakaf, tetapi pihak kami akan menggunakan semua sumbangan yang diterima untuk melengkapkan kemudahan dan membina persekitaran pendidikan yang kondusif,” janji Mudir yang mewakilip pihak pengurusan Madrasah Hidayatul Muntadbiin.

Sebarang pertanyaan boleh dipanjangkan kepada: (1) Pengerusi, Imam Zaid (0136913526);

(2) Pengarah Urusan, Ustaz Mohd Nor (0159591706); (3) Mudir, Ustaz Hanif (0118969049) dan (4) Timbalan Mudir, Ustaz Mohd Anuar (01125423643).

Untuk menderma dan menyumbang: MADRASAH HIDAYATUL MUBTADIIN, NOMBOR AKAUN CIMB BANK 8604753924

Ingatlah, fadhilat sedekat itu cukup besar, bahkan Rasulullah SAW mengingatkan:

Maksudnya: “Dari Abu Hurairah RA bahwasanya Rasulullah SAW bersabda: ‘Tidak ada suatu hari pun ketika seorang hamba melewati paginya kecuali akan turun dua malaikat. Lalu salah satunya berkata, ‘Ya Allah berikanlah pengganti bagi siapa yang menafkahkan hartanya’, sedangkan yang satunya lagi berkata, ‘Ya Allah berikanlah kehancuran (kebinasaan) kepada orang yang menahan hartanya (bakhil).'” (HR. Al-Bukhari dan Muslim)

Sabda Rasulullah SAW yang lain, maksudhnya: “Setiap orang berada di bawah naungan sedekahnya (pada hari kiamat) hingga diputuskan di antara manusia atau ia berkata: “Ditetapkan hukuman di antara manusia.” Yazid berkata: “Abul Khair tidak pernah melewati satu haripun melainkan ia bersedekah padanya dengan sesuatu, walaupun hanya sepotong kue atau bawang merah atau seperti ini.” (HR. Al-Baihqi, Al-Hakim dan Ibnu Khuzaimah).

Sabda Rasulullah SAW, maksudnya: “Jika seseorang meninggal dunia, maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara (iaitu): sedekah jariyah, ilmu yang dimanfaatkan, atau doa anak yang sholeh.” (HR Muslim)

Justeru, jadikanlah sedekah kita secara ikhlas sebagai jalan yang akan menentukan ke manakah kita akan ditempatkan walaupun sudah meninggal dunia. Sedekah yang ikhlas membawa kit ke syurga, melengkapkan ibadat kita; tanpa sedekah yang ikhlas, ibadat yang jujur dan penuh keinsafan, kita tidak akan ke mana, kecuali menjadi penghuni neraka. Kedekut, bakhil, riak dan sombong adalah tindakan yang bukan sahaja rugi bahkan menghala kita ke lembah kehinaan, baik di dunia dan juga di akhirat.

Itulah, indahnya Islam, bukan Di manakah Hatimu ketika enggan bersedekah dan gemar bermegah-megah.

Mahanor Saleha

Translate »