BULAN Rabiulawal Tahun Gajah mengingatkan kita akan kelahiran Nabi besar junjungan kita Muhammad s.a.w. Justeru, kita memperingati Maulud Nabi s.a.w untuk mengungkapkan rasa kecintaan yang tidak berbelah bagi kepada Rasulullah s.a.w yang tercinta.

Kalau ada yang mengatakan bahawa perayaan Maulud Nabi itu perbuatan bidaah, orang tahu kita ini pelaku bidaah yang mencintai Nabi. Dan kalau Islam itu tidak menghormati Rasulullah s.a.w maka kita ucapkan sahaja selamat tinggal kepada Islam.

Perayaan yang kita sambut adalah sebagai bukti cinta iaitu kenikmatan menyebut nama orang kita cintai. Dalam satu peristiwa setelah Nabi s.a.w wafat, Bilal tidak mahu lagi mengumandangkan azan. Tetapi setelah didesak oleh orang ramai termasuk Sayidatina Fatimah r.a (semoga Allah meredhainya) akhirnya Bilal kembali melaksanakan tugasnya.

Ketika azan dikumandangkan dan sampai kata “wa asyhadu anna Muhammad…” suara Bilal terhenti. Suaranya tersekat-sekat dan ia menangis sekuatnya.

Nama “Muhammad” kekasih yang baru saja kembali ke Rabbul Izzati, menggetarkan jantung Bilal. Bagi Bilal ia berhenti azan kerana nama itu mengingatkan dia kepada kehilangan besar kepada seluruh umat Islam.

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: Orang yang paling dekat dengan aku hari kiamat adalah orang yang paling banyak membaca selawat ke atasku.

Terlalu banyak untuk diperkatakan tentang keagongan dan keprihatinan Nabi Muhammad s.a.w yang menjadi teladan bagi semua peringkat manusia. Beliau adalah sebaik-baik makhluk Tuhan seluruhnya.

Dalam pada kita merayakan Maulidur Rasul bagi tujuan membangkitkan kecintaan kepada Rasulullah s.a.w jangan pula kita gelak ketawa atau melakukan perkara-perkara mungkar yang akan merosakkan suasana perayaan tersebut.

Umat Islam dituntut bukan sekadar untuk menghayati ajaran Rasulullah s.a.w tetapi memantapkan rasa cinta dan penghargaan atas jasa-jasa serta pengorbanan yang tidak ternilai.

Sehingga Allah s.w.t dan para malaikat mencurahkan rahmat dan memohonkan maghfirah untuk Nabi s.a.w serta menganjurkan umat Islam untuk menyampaikan selawat dan salam sejahtera kepada beliau dan keluarganya.

Keluhuran budi Nabi s.a.w bukan hanya dinyatakan oleh Allah dan diyakini umat Islam, berdasarkan firman Allah yang bermaksud: “Dan bahawa sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang sangat-sangat mulia” tetapi juga diakui oleh kawan dan lawan.

Malah ketika diminta untuk mengutuk Nabi s.a.w menjawab “aku bukan diutus sebagai pengutuk, tetapi aku diutus untuk mengajak kepada kebaikan dan penyebar rahmat”.

Kenneth Crags seorang pendeta Kristian Anglikan kontemporari mengingatkan bahawa: Penilaian negatif terhadap diri Muhammad adalah salah satu kekeliruan yang harus dihindari. Malah keyakinan Kenneth Crags akan kebenaran agamanya tidak menghalang beliau untuk mengakui bahawa, sebagai seorang monotheis sejati yang memiliki misi kenabian, Muhammad yang menjalin hubungan dengan Tuhan melalui wahyu dan kitab suci telah berhasil menciptakan masyarakat beriman.

Sifat kasih sayang Nabi terhadap sesama makhluk tidak akan ditemui pada seorang manusia pun yang lebih tinggi rasa kasih sayangnya, lemah-lembutnya serta perbuatan baiknya kepada makhluk Tuhan.

Allah menegaskan dalam firmannya yang bermaksud: Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai sekalian manusia! Sesungguhnya aku adalah Pesuruh Allah kepada kamu semua. Tuhan yang mempunyai kerajaan langit dan bumi. Tidak ada Tuhan selain daripada- Nya, Yang menghidupkan dan Yang mematikan. Sebab itu, hendaklah kamu beriman kepada Allah dan Utusan-Nya, nabi yang ummi yang percaya kepada Allah dan perkataan-perkataan-Nya. Ikutlah dia supaya kamu mendapat petunjuk. (surah Al-A ‘Raaf ayat 158).

Sebahagian ulama tafsir menyimpulkan Nabi s.a.w telah meneladani sifat-sifat terpuji para Nabi sebelumnya.

Nabi Nuh a.s. dikenali sebagai seorang yang gigih dan tabah dalam berdakwah. Nabi Ibrahim pula terkenal kerana sifat pemurahnya serta tekun bermujahadah mendekatkan diri kepada Allah. Nabi Daud a.s kerana amat kuat rasa syukur dan penghargaan terhadap nikmat Allah. Manakala Nabi Zakaria a.s, Yahya a.s adalah nabi yang berupaya menghindar kenikmatan dunia demi mendekatkan diri kepada Allah s.w.t.

Nabi Yusuf yang begitu tabah menahan cubaan. Nabi Musa yang dikenali seorang nabi yang berani dan tegas. Demikian seterusnya dan Nabi Muhammad s.a.w meneladani semua keistimewaan mereka itu.

Keagungan Nabi s.a.w menjadikan beliau sebagai teladan yang baik sekali gus sebagai syaahid (pembawa berita gembira dan pemberi peringatan). Baginda menziarahi orang- orang sakit, bersama-sama mengiringi jenazah dan memenuhi undangan walaupun daripada seorang kanak-kanak.

Apabila berjabat tangan baginda tidak menarik tangan baginda selagi orang itu tidak melepaskan tangannya. Jika baginda melawati sekumpulan orang baginda akan sentiasa tersenyum dan akan menyapa dengan penuh kelembutan dan berhikmah.

Kesopanan baginda terhadap orang-orang kebanyakan dan sikap yang terpuji yang baginda tunjukkan terhadap orang-orang yang sombong menyebabkan baginda dihormati dan disanjung tinggi.

Dalam kesibukan baginda memimpin, baginda sentiasa menerima sesiapa pun yang datang dengan tangan terbuka dan lapang dada walaupun seorang Badwi yang kasar sifatnya.

Firman Allah dalam surah Al-Ahzab ayat 21 yang bermaksud: Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu orang yang sentiasa mengharapkan keredhaan Allah dan balasan baik hari Akhirat.

Wahai seluruh manusia, telah datang kepadamu sekalian bukti kebenaran dari Tuhanmu (yakni Muhammad) dan telah kami turunkan kepadamu cahaya yang terang benderang. (Surah An-Nisa ayat 174).

Iqbal pernah mencuba lukiskan kebesaran Nabi Muhammad s.a.w dengan kata-kata:

Sungguh hati Muslim Dipatri cinta nabi

Dialah pangkal mulia sumber bangsa kita di dunia

Dia tidur di atas tikar kasar

Sedang umatnya menggoncang takhta

Kisra Inilah pemimpin bermalam-malam terjaga

Di Gua Hira ia bermalam

Sehingga tegak bangsa, hukum & negara

Kala solat pelupuknya tergenang air mata

Di medan perang pedangnya bersimbah darah

Dibukakan pintu dunia dengan kunci agama

Duhai, belum pernah insan melahirkan

Putera semacam baginda.

Kesimpulannya kecintaan dan kepatuhan kita kepada Nabi Muhammad s.a.w. adalah untuk mencintai dan mentaati Allah. Al-Quran menegaskan barang siapa mematuhi Rasullulah s.a.w bererti mematuhi Allah. Bahkan yang disebut pada hamba-hambanya. Semuanya demi menjunjung perintah Allah dan menunjukkan penghambaan diri kepada- Nya.

Oleh : MOHD. SHAUKI ABD. MAJID

Translate »