BARU-BARU INI tular kisah sepasang suami isteri (keluarga doktor) yang cukup mendapat reaksi pro dan kontra. Awalnya, kisah itu cukup membangkitkan simpati. Kisah duka seorang isteri apabila mengetahui suami berselingkuh. Tidak kurang juga reaksi empati, ada wanita tampil menelah rasa bahawa ‘kesunyian’ menjadi faktor yang membawa kepada perselingkuhan.

Ada seorang wanita mempertahankan eskapisme tersebut dengan memberikan lima sebab kenapa berlaku perselingkuhan: (1) sunyi; (2) tidak mendapat belaian daripada isteri; (3) suami tidak dapat nafkah batin secukupnya; (4) pakaian, makan dan minum diuruskan sendiri oleh suami; dan (5) apa pun suami mahu isteri melayan, membelai, dimanjakan oleh isterinya. Kesemua lima faktor dialami oleh si suami, maka itulah sebabnya si suami sanggup melakukan perselingkuhan dan merasakan isteri tidak lagi dapat memenuhi ‘keperluan’ zahir dan batin.

Pasangan tersebut sudah mempunyai seorang anak hasil perkahwinan selama tiga atau empat tahun. Si isteri tergerak hati untuk mencari punca kenapa hubungan mereka bermasalah dan akhirnya tiga hari sebelum pendedahan tersebut ditular (5 November 2021), suami sedang berselingkuh di rumah sewa mereka. Akibat ‘terperangkap’ maka si suami melafazkan  cerai talak satu.

Dikhabarkan perselingkuhan itu sudah lama berlaku. Mungkin naluri seorang wanita cukup kuat, maka pada hari tersebut berjaya mengesan perselingkuhan tersebut dan berjaya merakamkan ketika mereka sedang berduaan. Rakaman itu kemudiannya menjadi tular. Pasangan doktor itu bertugas di dua premis yang berbeza dan menyebabkan mereka merupakan pasangan jarak jauh yang hanya bertemu pada masa-masa tertentu sahaja, bukan sepenuh masa (setiap hari). Ini adalah tuntutan yang perlu dihadapi oleh pasangan berkerjaya dan pasangan jarak jauh.

Kisah ‘penderitaan zahir dan batin’ pasangan berkerjaya bukanlah perkara baharu dalam masyarakat Malaysia. Bahkan situasi’sunyi’ dan terperangkap dengan kekosongan ‘layanan’ antara satu sama lain menjadi sebahagian daripada faktor keruntuhan rumah tangga sekiranya salah seorang atau kededuanya tidak dapat membendungnya.

Melihat kepada perkembangan tersebut, ada dalam kalangan masyarakat mula mencari pelbagai sebab untuk mewajarkan tindakan dan keputusan yang dibuat oleh salah seorang daripada mereka. Ada yang mendakwa, seorang lelaki bersedia meninggalkan isteri yang ‘cukup cantik’ walaupun pada awalnya ia adalah menjadi tarikan utama pernikahan mereka.

Sayang seribu kali sayang. Ramai wanita semakin hilang ‘rasa tanggungjawab’ kerana merasakan ‘diri cantik’ di mana kecantikan itu tidak disusuli dengan rasa hormat dan tanggungjawab menjaga keharmonian rumah tangga. Ramai isteri (wanita) menjadikan nilai kecantikan itu untuk mendapat pujian, sanjungan dan siulan orang lain, bukan daripada suami sendiri.

Dalam hal ini kita mungkin teringat mengenai kisah Puteri Diana dan Putera Charles, yang merupakan pasangan yang cukup romantis dan bahagia pada saat-saat pertama perkahwinan mereka. Puteri Diana memang seorang yang cukup cantik, bukan sahaja di mata lelaki bahkan dalam kalangan wanita muda juga ada yang sanggup meniru penampilannya, termasuk fesyen rambut, gaya bersolek, penampilan dan senyumannya. Akhirnya, keanggunan Puteri Diana menjadi sesuatu yang cukup ‘sedih’ apabila Putera Charles kembali menjalin hubungan cinta dengan bekas kekasihnya, Camelia Parker, walaupun lebih berusia dan dilihat semakin dimamah usia.

Ketika Puteri Diana dan Putera Charles berpisah, pasangan itu sudah pun mempunyai dua orang cahayamata lelaki: Putera William (lahir 21 Jun 1982) dan Putera Harry (15 September 1984). Pasangan itu dikatakan juga mempunyai seorang puteri menerusi kaedah ‘ibu tumpang’. Ia dikatakan berlaku sebelum Puteri Diana dan Putera Charles berkahwin (29 Julai 1981). Sebelum berkahwin, Charles dan Diana menjalani ujian kesuburan di Amerika Syarikat di mana kedua sperma mereka diambil dan disenyawakan.

Malangnya, setelah mereka berkahwin, doktor yang melakukan rawatan kesuburan tersebut tidak melupuskannya. Salah seorang doktor yang merawatnya mengambil benih tersebut dan memasukkanya ke dalam rahim isterinya sendiri. Benih itu akhirnya melahirkan seorang bayi perempuan, Sarah (lahir tahun 1982 dan menetap di Amerika Syarikat), yakni seusia dan dilahirkan pada tahun yang sama dengan Putera William. Persoalan zuriat Putera Charles dan Puteri Diana masih menjadi isu yang cukup misteri. (Astro Awani, 28 April 2015).

Selepas bercerai dengan Putera Charles, Puteri Diana menjalin hubungan cinta dengan salah seorang anak jutawan Mesir yang cukup terkenal Mohammed al-Fayed (lahir 1929). Al-Fayed berkahwin dengan anak perempuan Mohamed Khassogi, Samira Khasoogi, yang juga merupakan anak saudara kepada Adnan Khassogi, seorang peniaga senjata yang terkenal. Al-Fayed bercerai dengan Samira, selepas dua tahun berkahwin (1954-1956). Dodi merupakan satu-satunya anak hasil perkahwinan al-Fayed dan Samira.

Dodi adalah pemilik rangkaian perniagaan Harrolds yang cukup terkenal sebagai premis perniagaan mewah di London. Diana mula berasmara dengan Dodi al-Fayed pada tahun 1997 (bercerai).Mereka mula berkenalan ketika dalam tahun 1996, di mana ketika itu Diana dan Charles sudahpun tinggal secara berasingan.  Dalam tempoh berpisah sehingga masa-masa penceriannya disahkan, Diana dilanda kemurungan dan berhadapan dengan bulimia (gangguan makan di mana cenderung memuntahkan kembali apa yang dimakan). Sebelumnya, Diana mempunyai hubungan sulit dengan seorang pakar bedah jantung keturunan Pakistan, Hasnat Khan.

Berdasarkan surat pertama (6 Ogos 1997), Diana menulis: Dodi yang dikasihi, terima kasih untuk enam hari yang paling ‘magis’ di ombak lautan. Ia adalah situasi yang amat menakjubkan, saya memuja semua itu dan setiap minit penuh dengan ketawa dan kebahagiaan dan kombinasi itu adalah satu layanan diambil serius.

Surat pertama diakhiri dengan kata-kata: Ini semua hadir dengan penuh rasa cinta di dunia ini dan seperti biasa, jutaan terima kasih yang tulus kerana membawa kegembiraan dalam kehidupan ini, dari Diana xx.”

Dalam surat kedua (bulan Ogos 1997), Diana menghantar sepasang butang lengan baju milik ayahnya kepada Dodi al-Fayed dengan menulis: Dodi yang dikasihi, set ini adalah hadiah terakhir yang saya terima daripada seorang lelaki yang paling saya kasihi di dunia, bapa saya. Ia diberikan kepada kamu kerana saya tahu betapa gembiranya apabila mengetahui bahawa ia berada dalam tangan yang selamat dan istimewa. Sayang, dari Diana.”

Hampir tiga minggu kemudian (31 Ogos 1997), pasangan itu maut dalam tragedi – kemalangan di sebuah terowong di  Pont de l’Alma di Paris – yang turut dikaitkan dengan konspirasi keluarga di raja Britain tidak boleh menerima ‘anak’ yang dikatakan sedang dikandung oleh Diana. “Anak” tersebut adalah hasil hubungan asmara Diana dan Dodi al-Fayed, di mana keluarga di raja Britain tidak boleh menerima daripada benih seseorang yang beragama Islam.

Mereka mula berkenalan pada tahun 1997 selepas Diana menerima jemputan Mohammed al-Fayed untuk berehat di kapal layar milik keluarga dan seterusnya berehat di kediaman ladang di Cote d’Azur pada awal tahun 1997.Pengalaman ini membawa kepada beberapa kali pertemuan sulit antara Dodi dan Diana, dan Diana mula menjauhkan diri dengan lelaki pujaannya, Hasnat Khan, seorang doktor tampan, seorang pakar bedah jantung keturunan Pakistan di Royal Brompton, London.

Hasnat Khan pernah digelar Mr Wonderful oleh Puteri Diana. Ketika itu, pada tahun 1995, Diana sudah pun mempunyai masalah dalam perkahwinan mereka, dan hidup secara berasingan.Pertemuan pertama diawali dengan rawatan yang diberikan oleh Hasnat kepada salah seorang rakan baik Diana, yang beberapa hari menjalani pembedahan jantung.Diana dan Hasnat dikatakan menjalini hubungan cinta selama 18 bulan sebelum berakhir pada musim panas 1997.

Kehadiran Dodi sebagai penghibur menyebabkan Hasnat cemburu.Bagaimanapun, Dia akhirnya membuat keputusan untuk bersama Dodi yang dilihatnya mempunyai niat yang serius.  Sebelumnya, Diana dikatakan sedang mempertimbangkan untuk masuk Islam, dan pernah bertanya kepada Hasnat Khan: Apakah seseorang itu boleh berkahwin sekiranya berlainan agama?Maksudnya, antara penganut Islam dan Kristian.Apa yang diberitahu oleh Hasnat ialah dalam Islam, kededuanya mestilah beragama Islam.

*****

Dua persoalan yang membabitkan dua pasangan yang berbeza negara dan kedudukan itu membuktikan kehidupan mereka sebenarnya cukup bermasalah, bahagia yang yang diharapkan berubah menjadi sesuatu yang sangat menakutkan, bahkan tragedi.Kisah manusia dan kehidupan mencari bahagia merupakan kisah yang penuh mengandungi teladan, iktibar dan pelajaran yang boleh menjadi ikutan atau sempadan. Namun, seperti dijelaskan oleh Buya Hamka, seorang ulama yang cukup terkenal di nusantara, bahagia itu sebenarnya berada dekat dengan diri kita, kerana bahagia itu adalah apa yang kita rasai dan alami, seperti juga rasa kecewa, marah ataupun geram.

Bahagia itu dekat dengan kita, ada di dalam diri kita, “ tulis Hamka dalam Tasawuf Moden, “Bahagia dan celaka itu hanya berpusat kepada sanubari orang, bukan pada zat barang yang dilihat, dimiliki dan dipakai. Bagi kebanyakan orang, masuk bui menjadi kecelakaan dan kehinaan, bagi setengahnya pula, menjadi kemuliaan dan bahagia

Kutipan itu membuktikan bahawa kebahagiaan seseorang itu bukan diukur daripada material, walaupun material menjadi alat yang dapat membantu untuk kita merasai kecukupan dalam konteks teori psikologi moden yang dikenali sebagai Teori Hirarki Keperluan Manusia. Teori itu dikembangkan oleh Abraham H Maslow (1908-1970).

Keperluan kebendaan, menurut Maslow adalah keperluan paling bawah yang dikaitkan dengan keperluan survival (makanan, minuman, udara bersih, air, seks, pakaian dan sebagainya). Ia kemdian diikuti dengan keperluan kepada keselamatan (tempat tinggal, kesihatan, pekerjaan atau kerjaya, moral, diri sendiri dan  keluarga); keperluan kasih sayang (dicintai, disayangi dan dipunyai-mempunyai); rasa hormat dan menghormati atau diistilah sebagai keperluan esteem; dan kemuncaknya ialah aktualisasi kendiri (moraliti, pengiktirafan dan penghargaan, kreativiti dan dihargai dengan imej yang baik).

Jadi persoalan yang dihadapi oleh dua pasangan tersebut (pasangan doktor dan pasangan di raja Britain) itu sangat cenderung kepada kehendak ketiga, iaitu kasih sayang. Kedua pasangan itu tidak berhadapan dengan masalah keperluan asas, kecuali dalam hal-hal yang bersangkutan ‘penyimpangan seks’ antara pasangan, terutama di pihak suami.Ia disebabkan oleh faktor kesunyian, yang berada dalam kelompok ‘kasih sayang’.

Kasih sayang, adalah sesuatu yang dilihat mudah dan kadangkala dikira sebagai proses yang tidak perlu dipelajari dengan berkesan, ia boleh berlaku secara semula jadi. Ia merupakan satu pendirian yang silap, kerana nilai kasih sayang antara seorang manusia adalah berbeza, walaupun pada asasnya ia adalah keperluan yang cukup mengikat atau penuh dengan konflik. Hal tersebut kerana perspektif ‘kasih sayang’ antara manusia adalah berbeza, termasuk tafsiran dan pemaknaannya.

Sebab itulah ada sesetengah orang berpendapat, faktor luaran seperti kekayaan, wajah yang cantik, penampilan yang menarik, rumah agam, pakaian berjenama dan segala bentuk pemenuhan material sebagai sumber kebahagiaan. Contoh yang cukup menarik iaa]lah apabila tular sebuah kisah resepsi perkahwinan yang membabitkan perbelanjaan mewah, sehingga boleh digelar wedding of the year. Jika berita itu ditular, siapakah yang paling cepat memberikan reaksi?

Tentunya wanita?Kenapa?Kerana dunia dan kehidupan sekarang penuh dengan bingkai materialistik. Secara spontan mungkin kita terlekat dengan pesanan seorang pakar pelaburan saham: Wajah tak cantik taka pa, janji kaya. Dalam hal ini, kita seringkali meninjau semula kepada kisah ‘dua darjat’ seperti kisah filem P Ramlee, Penarik Beca dan Ibu Mertuaku.

Kasih sayang, dalam perspektif Islam bukanlah berpengkalkan kisah ‘dua darjat’; kerana si suami miskin, tidak setaraf maka perkahwinan tersebut perlu dibubarkan dengan pelbagai alasan. Alasan-alasan tersebut bukan bersifat ‘benar’ dan kebanyakannya adalah ‘bias pemikiran’ sehingga membudayakan ‘kebohongan’ seperti dihadapi oleh P Ramlee. P Ramlee (Osman Jailani dan Kassim Selamat) terpaksa dipisahkan dengan Sarimah (Sabariah) atas alasan, meninggal dunia semasa melahirkan anak oleh Mak Dara atau Dara binti Ali (Nyonya Mansur), kerana ingin dikahwinkan dengan Ahmad Mahmod (Dr Ismadi), yang mempunyai taraf sosial yang cukup berbeza dengan P Ramlee seorang pemain muzik.

Seorang pemain muzik, bukan sahaja tidak mempunyai masa depan (ketika itu), bahkan cukup hina di mata Nyonya Mansur: Ahli Muzik! Memang pantang datuk nenek aku. Ahli Muzik! Anak tidak mengenang jasa! Sabariah! Tiga hari aku beri tempoh untuk berfikir, kalau kau mahu kahwin dengan laki-laki yang aku suka, harta bendaku terpulang kepada kau! Kalau kau mahu kahwin laki-laki yang kau suka, kau tersingkir daripada kaum keluargaku.” .

Akhirnya terbongkar, Ibu Mertua cukup ‘celaka’ sehingga melahirkan dialog ini:

Kassim Selamat: Apa semuanya ini?

Nyonya Mansur: Ampunkan Kassim! Ampunkan mak Kassim!

Kassim Selamat: Kalau ini bukan kubur Sabariah, di mana Sabariah sekarang?

Nyonya Mansur: Sabariah ada. Sabariah mak sudah kahwinkan dengan Dr Ismadi

Kassim Selamat: Ismadi?! Sekarang barulah aku tahu segala-galanya.Rupanya kamulah yang mengirim telegram palsu supaya aku boleh bercerai dengan Sabariah, bukan begitu mak?

Nyonya Mansur: Ya  Kassim! Jangan cakap lagilah nak, mak dah tua, mak salah Kassim.Jangan cakap lagilah nak.”

Kassim Selamat: Ku hairan mak, mengapakah kau diciptakan Allah menjadi manusia! Kan lebih baik kau menjadi haiwan?”

Nyonya Mansur: Astaghfirullahalazim Kassim! Anak mak Kassim. Aku dah tua, maafkan aku Kassim aku salah Kassim! Kassim! (BERSAMBUNG)

Kamarun KH

Translate »