Tatkala mendengar kata “murtad”, hampir semua orang berandaian atau beranggapan bahawa telah terjadi perpindahan agama atau seseorang telah keluar daripada agama yang diyakini sebelum ini kepada agama lain di luar agamanya.

Istilah murtad dikenal oleh semua agama. Secara sederhana, istilah ini difahami: keluarnya seseorang pemeluk agama daripada keyakinan agamanya dan berpindah kepada agama lain. Dalam Islam, murtad adalah termasuk salah satu dosa besar yang utama. Bagi mereka yang murtad, akan kekal selama-lamanya di neraka sebagai balasan di atas kederhakaannya terhadap Allah s.w.t dan akan kekal bersama iblis laknatullah.

Murtad dalam sejarah telah berulang kali terjadi. ‘Amalan’ murtad hanya sering dibahas pada ketika terjadinya murtad. Agaknya, upaya atau usaha untuk memurtadkan seseorang bukanlah pekerjaan mudah.

Hal ini disedari oleh kaum Yahudi dan Nasrani bahawa sukarnya untuk memurtadkan umat Islam dalam erti berpindah agama. Untuk itu, mereka berusaha melakukan aktiviti memurtadkan umat Islam dengan cara yang semakin halus.

Dalam konteks moden, murtad dalam pengertian klasik perlu diperbincangkan kembali. Sebab, jika makna ini akan tetap dipertahankan, maka generasi Islam tidak akan mampu diselamatkan. Sebab, usaha pemurtadan ketika ini bukan lagi dengan mengajak generasi Islam untuk berpindah agama, sebab hal tersebut sukar untuk terjadi.

Untuk itu, kaum Yahudi dan Nasrani telah merubah pendekatan untuk memurtadkan generasi Islam dengan merosakkan perwatakan, jati diri dan keperibadian generasi Islam. Ibaratkan sebuah rumah, kaum Yahudi dan Nasrani tidak lagi berusaha merosakkan rumah kerana mereka sedar akan mendapat tentangan keras daripada umat Islam. Oleh sebab itu, apa yang mereka lakukan adalah merosakkan asas dan isi rumah. Mungkin rumah cantik dan megah, namun asas dan isinya amat rapuh. Hal inilah yang perlu diwaspadai terhadap usaha-usaha pemurtadan pada era moden.

Umat Islam lupa bahawa usaha pemurtadan era moden terhadap generasi Islam telah berlangsung terus menerus. Hal ini dapat dilihat daripada pelbagai bentuk, iaitu: Pertama, mengambil berat terhadap orang-orang miskin. Bukankah Rasulullah s.a.w pernah berpesan, bahawa “kemiskinan lebih dekat kepada kekufuran”?

Di sinilah usaha awal yang dilakukkan, iaitu dengan  mengambil kira permasalahan orang-orang miskin. Mereka tidak lagi berpaling untuk turun langsung ke akar umbi dan mengeluarkan wang jutaan ringgit demi mengambil hati orang-orang yang terhimpit ekonominya.

Sikap ambil berat mereka sering mendapat simpati dan perhatian umat Islam daripada golongan yang rendah taraf ekonominya. Sebaliknya, umat Islam kadangkala lalai dan ambil mudah akan keadaan ekonomi saudara seimannya. Kita kadangkala terlupa dengan saudara kita yang kurang bernasib baik. Akibatnya, mereka terlantar dalam himpitan ekonomi. Keadaan psikologi ini kemudiannya dimanfaatkan oleh kaum Yahudi dan Nasrani untuk mengambil hati, sekali gus secara perlahan-lahan memasukkan ‘jarum jahat’ ajaran agama mereka. Untuk itu, sudah tiba masanya umat Islam dan badan-badan dakwah berusaha menyelamatkan kaum dhu’afa dan turun padang, mendekati mereka yang berada di persimpangan jalan itu.

Kedua, usaha mendangkal dan memesongkan akidah generasi Islam melalui pelbagai sogokan bahan-bahan melalui media massa yang secara terang-terangan menjurus kepada terjadinya pemurtadan, seperti perbomohan, ramalan, dan seumpamanya.

Ketiga, merosakkan budaya Islam menerusi budaya kapitalis yang bermuara pada tuntutan nafsu yang menjadikan jawatan, harta, pangkat dan pergaulan bebas sebagai “tuhan” baru yang dikemaskini dengan bentuk budaya moden.

Keempat, merubah orientasi umat Islam kepada kehidupan materialistik dan fahaman hedonistik. Pandangan ini menjadikan “Barat” dengan Yahudi dan Nasrani sebagai pencetusnya – sebagai tumpuan dan kiblat moden. Akibatnya, seluruh sistem umat Islam kehilangan sendi agama (tauhid).

Andaian / tanggapan ini merubah pandangan hidup generasi Islam untuk tidak begitu mengambil berat akan pendidikan agama, namun sangat mengambil berat terhadap pendidikan moden yang kekurangan nilai Islamnya. Teori-teori ilmiah dianggap hanya milik Barat. Sumber rujukan lebih diagungkan dari Barat. Generasi Islam lebih kenal akan teori Big Bang yang dikembangkan Barat berbanding teori emanasi yang dikembangkan oleh al-Farabi, yang juga mengetengahkan teori penciptaan alam. Generasi Islam lebih kenal dengan Maslow, Harbert Spencer, Elizabeth B. Horlock dengan teori psikologinya berbanding teori Ibnu Sina yang lebih lengkap membicarakan tentang psikologi.

Di sini, secara jelas terlihat bahawa generasi Islam sengaja dijauhkan daripada pemikiran Islam dan dijauhkan daripada mengenal pemikir Islam agar generasi Islam hanya mengenal pemikir Yahudi dan Nasrani. Akhirnya, kita menjadi golongan yang sangat mendewakan mereka.

Sudah saatnya isu pemurtadan ini menjadi topik yang patut diperbincangkan secara serius. Apabila kita terlalu memahami murtad hanya sebagai konsep seseorang berpindah agama, maka kita akan ketinggalan. Sebab, usaha memurtadkan generasi Islam yang dilancarkan kaum Yahudi dan Nasrani tidak lagi dalam bentuk usaha klasik. Mereka ketika ini telah memainkan peranan yang cukup halus.

Mereka tidak lagi menjadikan konsep berpindah agama sebagai matlamat murtad, tetapi membiarkan kelompok generasi Islam untuk tetap pada agama yang diyakininya, namun jati diri dan keperibadiannya terlepas daripada agama yang diyakininya itu.

Oleh : H. SAMSUL NIZAR

Prof. Dr. H. Samsul Nizar ialah Dekan Fakulti Tarbiyah & Keguruan UIN Suska Riau, Ketua Yayasan STAI al-Kautsar Bengkalis.

Translate »