Oleh: YDP OMIW

SEBENARNYA masalah negara adalah masalah ulama juga. Kenyataan ini bukan menunjukkan bahawa adanya sebilangan ulama kita menggunakan ilmu yang ada padanya mempengaruhi orang ramai supaya menentang kerajaan, tetapi adalah bertujuan supaya setiap umat Islam berfikir secara matang dalam membuat sesuatu tindakan yang boleh melemahkan pentadbiran dan pimpinan negara. Lebih-lebih lagi dalam konteks negara yang diduduki oleh berbilang kaum dan agama. Jika pemimpin beragama Islam yang telah ada digulingkan, belum tentu pemimpin Islam yang lain dapat menjalankan pentadbiran dan perancangan pembangunan dengan lebih berkesan. Paling dibimbangi kemungkinan kuasa ketiga yang bukan daripada golongan Islam akan beroleh kesempatan.

Memang tidak dapat dinafikan, masih banyak lagi soal-soal keislaman belum dilaksanakan dengan sempurna. Perkara ini berlaku di negara ini dan negara-negara lain juga.

Kita mahu ulama dan umarak lebih aktif dan bekerja keras untuk menyelesaikan isu-isu semasa berkaitan dengan agama Islam dengan penuh hikmah dan bijaksana, ertinya tidak secara emosi dan gopoh-gapah, tetapi dengan menggunakan akal dan tidak dengan perasaan, kerana musuh Islam sentiasa mengintai-gintai kelemahan kita. Sekiranya perkara ini tidak diawasi dan tidak diperhitungkan maka yang rugi ialah seluruh umat Islam dan pimpinan negara.

Peristiwa-peristiwa yang telah berlaku di negara-negara Islam yang lain, seperti Afghanistan, Yaman Selatan, Libya, Syria dan sebagainya patut dijadikan teladan. Di negara tersebut dikatakan tidak ada kesepakatan para ulama dalam menyatukan bangsa mereka. Masing-masing lebih mementingkan puak dan suku daripada kepentingan ummah.

Sebagai umat Islam sama ada dia seorang ulama atau umarak, masing-masing bertanggungjawab untuk menyelamatkan ummah. Yang lebih penting persefahaman dan perdampingan ulama dan umarak hendaklah berterusan kerana ulama dapat mengetahui masalah yang dihadapi oleh pemimpin dan pemimpin pula dapat memahami masalah ulama. Manakala ulama yang berwibawa ialah bersedia memberi teguran yang bertitik tolak daripada perasaan kasih sayang. Pemimpin dan pemerintah yang baik pula ialah yang sanggup menerima teguran walaupun pahit dengan sikap keterbukaan tulen.

Tuduhan ke atas ulama yang mendampingi kerajaan sebagai ulama fasik adalah satu tuduhan tidak berasas kerana persoalan inilah yang kadang-kadang menjadikan ulama sentiasa dalam keadaan amat sulit dan serba salah. Sedangkan Islam sendiri tidak mengharamkan ulama berpolitik.

Rasulullah s.a.w telah menyampaikan tiga amanah penting yang harus dipatuhi oleh setiap mukmin demi memelihara keamanan negara dan keutuhan agama daripada sebarang penyelewengan dan menyesatkan. Antara amanah tersebut ialah wajib mematuhi pemerintah walaupun dia seorang hamba yang berkulit hitam.
Islam juga melihat bahawa keputusan jemaah atau majoriti adalah sebagai keputusan muktamad yang mesti dipatuhi walaupun kadang-kadang ia tidak selaras dengan kehendak peribadi. Sabda Rasulullah s.a.w yang bererti: Sesiapa yang melihat pada pemerintahnya sesuatu yang tidak disukainya maka hendaklah ia bersabar, kerana sesiapa yang memisahkan dirinya dari jemaah (majoriti umat Islam yang padu) biarpun sejengkal, lalu ia mati maka matinya itu adalah mati jahiliah (sesat).

Betapa besarnya Islam menekankan perpaduan dan menganjurkan supaya umat Islam jangan menggunakan sentimen melulu dan keinginan guling-mengguling yang boleh merosakkan kestabilan dan memecahbelahkan barisan umat sehingga orang memencilkan diri ataupun bertindak di luar kehendak majoriti umat Islam yang padu adalah dianggap mati dalam kesesatan jahiliah.

Ini bukanlah bererti bahawa Islam menganjur rakyat supaya bersikap membisu terhadap penyelewengan yang dilakukan oleh pemimpin atau ulama. Setiap rakyat mestilah mempunyai keberanian menegur dan membantah penyelewengan pemerintahnya dan jangan sekali-kali rela dan hanyut dalam arus penyelewengan itu. Tetapi selama pemerintah mereka masih patuh mendirikan syariat Islam, mereka tidak dibenarkan bertindak dengan kekerasan kerana Islam lebih percaya dengan nasihat-nasihat yang ikhlas, teguran yang jujur dan dakwah yang mencabar kebijaksanaan dan merangsangkan keinsafan. Inilah sebaik-baik cara untuk memaksa pemerintah yang menyeleweng balik ke pangkal jalan.

Yang menjadi pokok perhitungan kenegaraan ialah keamanan, kestabilan dan perpaduan di kalangan umat, kerana itu dalam Islam tidak ada ruang untuk guling-mengguling dan rebut-merebut demi memuaskan nafsu ingin berkuasa.

Translate »