Mohamad Hassan juga dijangka dapat memecahkan beberapa cengkaman warlord sehingga ada yang melihat UMNO sebagai ‘syarikat sendirian berhad’ sebagaimana disifatkan oleh Anuar Musa. Itulah yang diharapkan, dengan gandingan baharu, walaupun Ismail Sabri bukanlah calon terbaik UMNO untuk jawatan PM, ia adalah lebih dipercayai daripada Anwar Ibrahim ataupun Presiden PAS, Haji Hadi Awang, juga dengan sikap dan tindak-tanduk Zahid sendiri.
Zahid hanya mencari ruang untuk melepaskan diri dengan mengharapkan apa yang berlaku ke atas Lim Guan Eng dapat diulangi bila Anwar mengambil alih teraju pentadbiran negara. Lim Guan Eng dibebaskan daripada pertuduhan salah guna kuasa dan rasuah oleh Peguam Negara (Tommy Thomas) walaupun kesnya sudah berjalan. Ruang itu hanya terbuka sekiranya Anwar berjaya mendapat jawatan PM (atau mungkin itu adalah secret deal di antara mereka) dan telah dilihat sangat tertutup jalannya di bawah kuasa Mahiaddin. Hal ini pernah didedahkan oleh Ahmad Maslan sebaik sahaja dilantik sebagai Setiausaha Agong Barisan Nasional menggantikan Anuar Musa (dipecat 5 Januari 2021).
Ahmad Maslan mendakwa kes mahkamah yang diteruskan oleh Mahiaddin adalah satu tindakan yang zalim. Dua sebab kenapa menentang Mahiaddin, pertama ialah pembahagian jawatan dalam kabinet yang lebih diutamakan kepada ‘katak-katak’. Kedua ialah: “ kerajaan sekarang meneruskan kezaliman kerajaan dahulu. Ini tak wajar dibuat
“Kes-kes yang dibawa ke mahkamah ini ialah kezaliman zaman (bekas perdana menteri) Dr Mahathir Mohamad, (bekas peguam negara)Tommy Thomas dan (bekas ketua pesuruhjaya SPRM) Latheefa Koya. Mahathir dah tak ada dalam kerajaan, Tommy Thomas tak tahu ke mana, Latheefa Koya pun tak tahu pergi mana. Tetapi kenapa kes yang mereka bawa ini diteruskan?”. (Malaysiakini, 6 Januari 2021).
Video pendedahan itu tular dan menyebabkan rakyat mula mempersoalkan keikhlasan politikus, termasuk sejauhmanakah perjuangan UMNO untuk kepentingan Melayu-Islam. UMNO digambarkan semakin tersasar, dan hanya menggunakan parti untuk melonjak, menjaga dan mempertahankan individu tertentu. Namun apa yang kita ketahui ialah, UMNO memperoleh 9 jawatan menteri, Bersatu 11, GPS 4, PAS 3, MCA 2, MIC 1 dan PBS 1. Ini bermakna walaupun dari segi kedudukan kerusi, Bersatu mengawal 34 peratus jawatan (26 peratus MP) manakala UMNO ialah 28 peratus (35 peratus MP).
Perubahan terkini menjadikan UMNO 10 jawatan (+ TPM) dan menambahkan satu lagi kedudukan sebagai menteri kanan. Ertinya, menteri kanan dalam susunan terbaharu ialah lima jawatan selain TPM, yang paling kanan. Bagaimana dengan kedudukan jawatan menteri kanan pertahanan, apakah ia akan diturunkan sebagai menteri biasa kerana penyandangnya adalah TPM?
Tiga nama yang masih berusaha mencaturkan politik iaitu Zahid (UMNO), Anwar (PKR) dan Mahathir (Pejuang yang sudah diluluskan pendaftaran) hanya sekadar ‘penyalak yang kuat’ bukit tidak lagi akan runtuh. Rakyat sudah muak dengan gelagat mereka bertiga kerana selepas PRU ke-14 terlalu banyak kenangan buruk dan cerita duka dalam kehidupan masyarakat Malaysia yang dicaturkan oleh mereka bertiga.
Ia sangat pedih apabila COVID-19 semakin menggila, ekonomi merudum dan rakyat kehilangan pekerjaan serta tidak dapat mencari rezeki, sanggup mengibarkan bendera putih kerana hidup perlu makan dan tidak sanggup melihat anak isteri kebuluran, bukan seperti sebahagian politikus, dalam kesempitan rakyat makin besar egonya sehingga sanggup membuli rakyat. Mereka membuli rakyat dengan berlakon menunjukkan ‘kesusahan’ dengan menularkan video makam mi segera.
Pemimpin PAS telah gagal mengawal pemimpin-pemimpin mereka daripada membuat komen yang tidak sepatutnya terhadap inisiatif ‘kibar bendera putih’ kerana ia tidak bererti penyerahan dan mengaku kalah sebagaimana difahami dalam edisi sebuah perjuangan atau peperangan. Ini bermakna, PAS hanya memberikan hujah positif apabila ada nilai politik terhadap imejnya, budaya mengutip derma untuk membantu parti sangat sinonim dengan parti itu. Sepatutnya, PAS mengambil inisiatif dengan mendekati rakyat yang susah dan membantu mereka. Sebabnya, Islam sangat prihatin kepada mereka yang susah dan kesempitan hidup.
PAS lebih mementingkan ‘kuasa’ berbanding kepentingan rakyat keseluruhan. Banyak tindak-tanduk PAS yang bertentangan dengan apa yang dianjurkan oleh Islam, maka PAS selama-lamanya akan terus dianggap sebagai sebuah parti ‘penunggang agama’. Atas sebab itulah PAS tidak layak memimpin dan menerajui pentadbiran negara, budaya politiknya lebih banyak bertentangan dengan Islam.
Misalnya, mengecam mereka yang menghantar isyarat menerusi kibaran bendera putih, doktrin mengkafirkan sesama Islam, menggadaikan prinsip “Negara Islam” bila bersama DAP dan PKR (Pakatan Rakyat), tiada integriti dalam mengisytiharkan (tidak pernah menyatakan jumlah) kutipan derma, pendirian bercapah mengenai ‘dasar atau keputusan’ judi dan arak (semasa dan sebelum berada dalam kerajaan), dan paling menyedihkan ialah penipuan penggantian wang tunai (wang kertas) dengan wang emas (dirham) yang digembar-gemburkan di Kelantan semasa pentadbiran Datuk Nik Aziz Nik Mat.
Penubuhan Kelantan Gold Trade (KGT) akhirnya terserlah hanya sebagai perniagaan ‘jual beli emas’ bukannya menjadi teras penukaran sistem ekonomi yang tidak berteraskan ‘wang tunai’. Mungkin itu juga merupakan salah satu sebab Husam Musa tidak mendapat tempat di akhir pentadbiran Allahyarham Nik Aziz dan seterusnya terkeluar daripada lingkaran kuasa PAS. Kini Husam semakin menyepi dalam PAN, kerana mungkin perancangannya untuk memimpin PAN di Kelantan tidak berjaya dan peluang untuk melumpuhkan pengaruh PAS telah gagal.
Semakin kuat beliau menentang PAS, semakin banyak kelemahan-kelemahannya terdedah, termasuklah kisah penemuan minyak di daratan (dalam bandar Kota Bharu), pembangunan Lembah Sireh, projek penternakan kambing Jamanpari, projek penanaman pokok depu (gaharu), pembangunan kompleks sukan (stadium) di Pasir Puteh dan juga Lebuhraya Kota Bharu-Kuala Krai (yang kemudiannya disambung oleh BN).
BACA JUGA: DELUSI DEMOKRASI DI TENGAH KECELARUAN POLITIK MALAYSIA, https://omiw.com.my/Web/2021/07/09/delusi-demokrasi-di-tengah-kecelaruan-politik-malaysia/
Pemimpin-pemimpin PAS yang ada dalam kabinet PN sekarang juga dilihat tidak ‘kompeten’. Sebahagiannya terbabit dengan kontroversi manakala sebahagian lagi hanya sekadar ‘mengisi kekosongan’, tiada perancangan yang jelas dan tidak ada yang boleh dibanggakan selepas lapan belas bulan berada dalam kabinet. Untuk selesaikan masalah bekalan air bersih di Kelantan pun memerlukan masa selama 30 tahun (walhal PAS adalah menteri yang menjaga dasar kemudahan utiliti tersebut), manakala dari perspektif stereotype, salah seorang timbalan menteri terkait pula isu ‘poligami’ dan menjadi lebih parah bila melanggar undang-undang negara: poligami tanpa kebenaran, menikah secara dalam talian tanpa kebenaran pihak berkuasa agama, dan menggunakan jurunikah luar negara.
Apa pun masalahnya, sekiranya Mahiaddin meletakkan jawatan dalam tempoh terdekat, mungkin Ismail Sabri Yaakob akan bertindak sebagai Perdana Menteri (interim) sebelum pilihan raya umum dapat diadakan. Kita mungkin dapat membuka semula sejarah, bagaimana pemimpin-pemimpin mengesahkan kuasanya sebaik sahaja diberikan tanggungjawab menerajui pentadbiran negara: Tun Razak, Tun Hussein, Dr Mahathir, Tun Abdullah, Najib tetapi tidak berlaku sebaik-baiknya ketika Mahiaddin mendapatkan ‘baton’ itu.
Mungkin kelambatan Tun Razak mengadakan PRU pertama boleh diterima kerana situasi politik pada masa itu sangat meruncing, iaitu dari perspektif keselamatan ekoran tercetusnya Tragedi 13 Mei 1969. Tun Razak hanya mendapat ‘kuasa sebenar’ pada tahun 1974 (PRU ke-4) setelah terbentuknya BN dan keadaan ‘ketegangan kaum’ dapat diredakan. Dr Mahathir tidak mengambil masa yang lama, sekitar setahun selepas mendapat ‘baton kuasa’ daripada Tun Hussein Onn (1981) bila membubarkan Dewan Rakyat bagi membolehkan PRU ke-6 diadakan (1982).
Tun Abdullah juga tidak menunggu masa yang lama, sekitar setahun selepas mengangkat sumpah sebagai PM ke-5, diadakan PRU ke-11, yang menyaksikan penguasaan BN terbaik selepas merdeka. BN memperoleh 198 kerusi daripada 219 kerusi Dewan Rakyat yang dipertandingkan. Kali pertama juga memperlihatkan PAS hampir tersungkur di Kelantan. Ia berbeza dengan pendirian Najib, kedudukan BN yang lemah (140 daripada 222 kerusi Dewan Rakyat dan kehilangan kuasa di Kedah, Selangor, Pulau Pinang, WP Kuala Lumpur), PRU ke-14 dilaksanakan pada tahun 2013, menyebabkan ia dilaksanakan hampir kepada garis penamatnya, yakni empat tahun selepas mewarisi jawatan PM ke-6 daripada Tun Abdullah (April 2009).
Dari perspektif teori, Najib adalah PM yang terlambat mendapat kuasa sebenar (kali pertama) dan gagal membuktikan kesinambungan politik BN apabila kedudukan BN dalam PRU ke-14 menguncup kepada 133 kerusi Dewan Rakyat, dan semakin berjarak dengan kekuatan dua pertiga. Biarpun Najib berjaya menguasai semula Kedah , dan sebelumnya berjaya di Perak menerusi peralihan kuasa apabila dua wakil rakyat PKR dan seorang wakil rakyat DAP mengisytiharkan diri sebagai wakil rakyat bebas, menyokong BN dalam saga politik (4 Februari 2009). Perubahan kuasa di Perak memberikan tamparan hebat kepada agenda Anwar Ibrahim yang gagal untuk membentuk kuasa kerajaan pusat melalui kaedah yang sama ‘rampasan kuasa’ pada 16 September 2008.
Najib akhirnya membawa BN ditunjuk ‘jalan keluar’ pada 10 Mei 2018 setelah gabungan yang membentuk Pakatan Rakyat diisytiharkan menang PRU ke-14. Kemenangan PH itu melakarkan suasana politik bahawa defisit keyakinan rakyat terhadap BN semakin menipis, rakyat termakan kempen-kempen yang bersifat ‘fitnah dan pembohongan’ di samping mendedahkan kelemahan Najib sendiri yang lebih ‘mendengar nasihat’ kumpulan dan orang perseorangan dari luar berbanding penasihat-penasihat dalam ‘inner circle’nya sendiri.
Dari perspektif penasihat dalaman, Najib diminta supaya mengadakan PRU pada tahun 2017, yakni ketika pembentukan PH masih ‘kelam-kabut’ tidak diendahkan. Najib menunggu sehingga hampir tempoh PRU ke-13, akhirnya ia benar-benar menjerat Najib bila mana beliau diterjah begitu hebat oleh Dr Mahathir, dan kerjasama parti-parti gabungan dalam PH sudah menunjukkan ada kesepakatan yang jelas: Anwar menerima Dr Mahathir dan Dr Mahathir diberikan tanggungjawab mengetuai PH.
Gambaran bahawa perselisihan dan pergaduhan Anwar-Matathir tidak dapat menyelamatkan BN, sebaliknya, berita-berita mengenai ‘persefahaman’ antara mereka disebarkan secara meluas menerusi media sosial, yang kemudiannya ditambah dengan isu ‘wang derma Arab Saudi’, maklumat separuh mengenai 1MDB dan perilaku orang-orang tertentu yang dekat dengan Najib menyebabkan rakyat mula melihat UMNO benar-benar sebuah parti yang rosak, kerajaan BN kerajaan yang ‘menjahanamkan negara’. Usaha Najib untuk melakukan pelan transformasi (pentadbiran, sistem penyampaian, politik, ekonomi dan sosial) tidak melekat dalam minda rakyat, dan ia hanya sekadar membina indeks (melonjak khabar gembira) walhal realitinya, indah khabar dari rupa (tidak membumi).
Indeks-indeks tersebut hanya sekadar pernyataan berdasarkan ukuran statistik yang cantik daripada perspektif pelaporan. Dalam kalangan rakyat, pembahagian kekayaan dan kemakmuran masih belum melata, kerana Najib dilihat sangat cenderung menghabiskan sumber kewangan negara bagi membina imej di peringkat antarabangsa, sedangkan dalam negeri rakyat masih bergelut dengan kepayahan dan permainan monopoli oleh bukan Melayu, yang sanggup ‘merasuahkan’ penjawat awam, politikus dan sesiapa sahaja asalkan berjaya memperoleh projek kerajaan.
Usaha Najib untuk menggunakan 1MDB sebagai agensi pelaburan negara bukan sahaja ditentang atau dilihat ‘mengekang monopoli’ oleh taikun-taikun bukan Melayu yang sudah kaya raya di zaman Dr Mahathir, maka mereka itulah yang bertindak balas secara terancang untuk menjatuhkan Najib. Ia kemudiannya menjadi parah apabila Jabatan Audit Negara mengeluarkan laporan yang cukup ‘menikam’, yakni 1MDB mengalami masalah pengurusan yang serius, yang kemudiannya memaksa Najib memindahkan ke Khazanah. Bila pemindahan itu berlaku, Najib didakwa mempunyai ‘conflict of interest’ kerana memakai dua ‘baju’: sebagai pengerusi 1MDB dan Menteri Kewangan, yakni Najib meluluskan cadangan Najib.
Biarpun hasrat dan niat Najib dilihat untuk mengurangkan ragam monopoli dalam beberapa perkara, melancarkan pembangunan TRX atas nama 1MDB sebagai hab kewangan dan perdagangan antarabangsa, ia menjadi cukup sinis dalam mengurangkan kuasa pergantungan kepada IPP (Pengeluar Tenaga Bebas) yang subur pada zaman Dr Mahathir ekoran ‘sabotaj’ penyaluran elektrik pada 2 Ogos 1996 – Malaysia black-out, iaitu selepas 6 tahun TNB diswastakan. Akibatnya, TNB menanggung kerugian yang cukup besar (RM 13.6 juta dan RM 10 juta untuk menggantikan peralatan yang rosak).
Peristiwa ini membawa perkembangan menarik di mana IPP mula diperkenalkan dan TNB dipaksa untuk membeli tenaga lebih mahal berbanding kos pengeluaran yang boleh dilaksanakan oleh TNB sendiri. Inilah kisahnya bagaimana Dr Mahathir menggunakan dasar penswastaan, dan persyarikatan Malaysia untuk menukarkan corak ekonomi Malaysia dengan melupakan asas perjuangan UMNO adalah memperkasakan ekonomi orang Melayu. Untuk mewajarkan tindakannya, Dr Mahathir menggunakan ‘mitos Melayu malas’ dan memuji sikap bukan Melayu yang cukup ‘rajin, kuat berusaha, cekap mengurus dan kreatif’ mencari peluang, termasuk menjalin ‘hubungan peribadi dengan pemimpin yang berkuasa.’
Ketika jiwa dan psikologi orang Melayu dibelasah, Dr Mahathir membina naratif membina lebih banyak projek-projek mega sebagai petunjuk ‘maruah – berdiri sama tinggi’ dengan masyarakat antarabangsa walaupun terpaksa ‘mengusir orang Melayu’ secara perlahan-lahan sebagaimana berlaku selepas KLCC dibangunkan dengan menggunakan dana GLC (Petronas) mengkayakan bukan Melayu. Dua penentangan besar Dr Mahathir terhadap Tun Abdullah dan Najib ialah keengganan penerusnya menghidupkan semula Jambatan Bengkok. Najib kemudiannya diserang dengan ‘penggelapan wang 1MDB’ dan juga membangunkan projek-projek infrastruktur mega yang didakwa ‘mahal’ serta sengaja dinaikkan kos untuk ‘cover hutang 1MDB’.
Penentangan terhadap Najib menjadi lebih lantang apabila tidak memberikan jaminan kepada anaknya, Mukhriz menang dalam pemilihan jawatan Naib Presiden UMNO (2013), maka ‘dendam’ itu menjadi semakin membesar setelah terkeluarnya Laporan Auduit 2015 terhadap 1MDB. Penentangan itu akhirnya merebak kepada persoalan-persoalan lain sehingga menggambarkan ‘BN benar-benar rosak’ dan hanya boleh dipulihkan dengan menjatuhkan Najib, sebab itulah apa pun yang berlaku semuanya di’doktrin’kan ‘salah Najib’.
Setelah berkuasa selama 22 bulan, kepimpinan Dr Mahathir tidak dapat ‘membaiki kerusakan’. Sebaliknya, kerusakan selama 22 bulan itu lebih fatal daripada apa yang dikaitkan dengan BN. Sebab itulah ramai rakyat Malaysia menyambut ‘kejatuhan PH’ dengan sokongan yang besar kepada Mahiaddin walaupun bebeza dalam kalangan politikus. Ia memperlihatkan dalam tempoh 100 hari pentadbiran Mahiaddin cukup berbeza dengan 100 hari PH. PH disinonimkan dengan ‘pakatan hancing’. Sehingga kini, hancingnya masih berbau dan sangat meloyakan.
Mahiaddin yang kini berhadapan dengan dakwaan ‘kerajaan gagal’ kerana pandemik COVID-19 yang penularannya menjadi lebih menakutkan ialah gelojoh politikus Bersatu dalam usaha mencengkam negeri-negeri selepas berjaya menjatuhkan PH di Johor, Kedah, Perak dan Melaka. Bersatu ingin menjadi dominan di Sabah, maka gerakan menjatuhkan Shafie dimulakan dengan ‘katak-katak’ selepas Musa Aman dibebaskan daripada pertuduhan salah guna kuasa. PRN Sabah diadakan pada 26 September 2020, dan sejak itu kes jangkitan COVID-19 terus meningkat dan sampai ke peringkat yang cukup mencemaskan hingga sekarang.
Rakyat mula mempertikaikan usaha membendung penularan COVID-19 setelah percubaan melandaikan kes jangkitan sehari tidak menunjukkan penurunan yang ketara. Kesan daripada itu, Mahiaddin didesak meletakkan jawatan, dan dalam masa yang sama, tiada solusi jelas siapakah yang bakal melakarkan semula kaedah terbaik menangani pandemik COVID-19, selepas ianya menyebabkan fenomena ‘bendera putih’ saling bersamaan dengan ‘bendera hitam’. Mahu tidak mahu, kita harus akui, sehebat manapun langkah yang disyorkan oleh kerajaan, ia tidak akan berjaya dan mencapai matlamat selagi masih ada sikap saling menyalahkan.
Rakyat menyalahkan politikus, politikus menyalahkan rakyat tetapi, kenapa politikus tidak menunjukkan pendirian yang tegas, tanpa mengira fahaman politik perhebatkan tindakan membantu rakyat, libat serta dalam menerima vaksin dan tidak melanggar SOP. Jangan hanya kerana ‘kepentingan politik’, SOP dilanggar sesuka hati atas nama ‘mempertahankan perlakuan salah’ termasuk mempertahankan ‘pekebun Musang King haram’, dan juga politikus melanggar SOP. Jika rakyat dikenakan kompaun serta merta, kenapa perlukan siasatan dan kelulusan Peguam Negara untuk membuat pendakwaan kepada ‘kluster kayangan’? Yang salah tetap dihukum, maka itulah sebenarnya keadilan dapat dijelaskan, bukan, kerana seseorang itu dari ‘kluster kayangan’ maka proses undang-undang boleh diperlambatkan dan muncul pula skuad pembelaan terhadap ‘pengkhianat negara’.
Sesiapa pun yang menjadi PM, akibat masalah dalam negara sudah membengkak, yang memegang kuasa mestilah dalam kalangan mereka yang cukup tegas membuat keputusan. Seorang PM mestilah mempunyai gaya pemimpin antara demokratik dan autokratik, kerana ada ketikanya, keputusan autokratik amat diperlukan terutama ketika situasi negara dalam keadaan cemas.
Jika hanya terlalu mahukan semuanya demokratik, semuanya akan dipertahankan walaupun ‘buruk’ sebab tafsirannya sangat tertakluk kepada pemahaman makna kebebasan dan kemanusiaan, yang kadangkala ‘memesongkan’ hakikat demokrasi itu sendiri. Demokrasi lahir sebagai hasrat mengupayakan rakyat, tetapi bila rakyat diperbodohkan untuk kepentingan politik (agenda tertentu) maka menjadi tanggungjawab elit berkuasa untuk menghindarinya. Dengan membiarkan fenomen itu berkembang, demokrasi hanya suatu bentuk ilusi dan delusi.
MAHANOR SALEHA
Recent Comments