Saya tidak ada jawapan yang tepat. Setakat ini belum nampak calon-calonnya kerana walaupun Anwar Ibrahim ‘sangat mahu’, tidak nampak jalan terbuka untuknya. Sama ada dia berjaya atau terus ‘mati beragan’ dengan kehendaknya agar pada suatu hari akan mendapat jawatan Perdana Menteri.

Dr Mahathir, setelah dua kali berada di posisi Perdana Menteri, masih bercakap ‘ramai mengharapkan dia kembali’, atau dilantik untuk kali ketiga setelah bekas-bekas kekecewaan Pakatan Harapan masih belum dihapuskan sejak 24 Februari 2020 kembali memberikan semangat apabila Pejuang sudah diluluskan pendaftarannya selepas Menteri Dalam Negeri mendapat arahan mahkamah agar membuat keputusan dalam tempoh 14 hari (25 Jun 2021).

Azmin Ali sudah jauh ‘membawa diri’ walaupun pernah dinaratifkan mendapat ‘kepercayaan Dr Mahathir’ (semasa dalam PH) dan kemudian Tan Sri Mahiaddin (di awal PN). Itu hanyalah ‘gambaran kepercayaan’ semasa PM ke-7 dan di awal penamaan barisan kabinet oleh PM ke-8.

Semalam (7/7/2021), Azmin Ali ‘tersandar’ dengan wajah sedih mengenangkan nasibnya yang malang apabila PM ke-8 tidak menamakannya sebagai TPM, sebaliknya melantik Datuk Seri Ismail Sabri yang di’terjah’ dengan ‘buka pintu belakang’. Azmin meluluskan operasi kilang-kilang selepas ‘total lockdown’ diputuskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang diumumkan oleh Menteri Kanan (Pertahanan) yang menjadi menteri bertanggungjawab dalam langkah pembendungan COVID-19.

Ismail Sabri Yaacob dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Hishamudin Hussein pula naik pangkat sebagai menteri kanan kerana sebelumnya dikhabarkan beliau adalah disebut-sebut sebagai Perdana Menteri dalam kemelut Mahiaddin selepas tersedak dengan ‘exit policy’ pada 15 Jun 2021 yang juga ditafsirkan sebagai ‘jalan keluar buat Mahiaddin’.

Agak menyedihkan, sejak darurat kesihatan diisytiharkan (12 Januari 2021) dan diikuti ‘total lockdown’ pada 1 Jun lalu, situasi pandemik COVID-19 tidak menurun dengan banyaknya sebagaimana diharapkan. Dua hari lepas peningkatan kes kepada lebih 7,097 tidak tertudung oleh ‘nyiru’ kenaikan pangkat Ismail Sabri dan semalam (8/7/2021) mencanak kepada 8,688 kes dengan kematian 135 orang.

Sebelum ini, kes harian tertinggi ialah 9,020 pada 29 Mei 2021 dan kematian tertinggi ialah pada 2 Jun 2021, iaitu sehari selepas ‘total lockdown’ atau PKP 3.0. Semalam, kematian akibat COVID-19 naik lagi, iaitu sehari selepas pengumuman jawatan TPM. Jawatan itu pernah diharapkan akan diberikan kepada UMNO kerana ia tidak diwujudkan semasa Mahiaddin membariskan senarai kabinet sebaik sahaja mengangkat sumpah pada  1 Mac 2020.\

Bagaimanapun, sebagai gantinya, Mahiaddin memperkenalkan empat jawatan menteri kanan, namun Azmin menduduki posisi teratas.  Azmin Ali diharapkan dapat menunjukkan prestasi cemerlangnya, tapi segala-galanya berubah. Azmin dikaitkan dengan kegagalan  menurunkan kes jangkitan baharu dengan ‘buka pintu belakang’ . Kenyataan Azmin juga bercanggah dengan laporan oleh KKM berhubung kes yang berlaku dalam sektor kilang dan rakan sekerja. Akhirnya menampakkan Azmin berusaha untuk mewajarkan tindakan ‘buka pintu belakang’ dan kewajaran itu menikam diri sendiri.

Akibat ‘buka pintu belakang’, ada kecenderungan bohong menggunakan surat kebenaran operasi daripada MITI. Ada kilang-kilang yang tidak sepatutnya beroperasi kerana bukan ‘essential services’, tidak mematuhi SOP selain menggunakan surat kebenaran untuk merompak. Ia memperlihatkan sikap dan kaedah pengeluaran surat kebenaran yang cukup longgar, sebab itulah kilang memproses arang pun boleh beroperasi.

Ada juga dakwaan bahawa sepatutnya negeri-negeri yang dikuasai oleh Pakatan Harapan melaksanakan tanggungjawab menutupi kilang-kilang haram yang ada di Selangor, Negeri Sembilan dan Wilayah Persekutuan memandangkan tiga buah negeri berjiran itu menyumbangkan lebih daripada separuh jangkitan COVID-19.

Dua hari lalu (7/7/2021), tiga buah negeri tersebut mencatatkan 69.21 peratus (4,912 daripada 7,097 kes) dan semalam meningkat kepada 69.71 peratus (6,182 kes daripada 8,868 kes). Secara peratusan, kenaikan hanya sekitar 0.5 peratus tetapi realitinya ia cukup menakutkan,  iaitu sebanyak 1,270 kes, melebihi kes jangkitan baharu di Kuala Lumpur hari ini (1,133) dan juga semalam (1,005).

Beberapa hari lalu ada coretan nakal cuba mengeluarkan Selangor daripada peta Malaysia, seolah-olah lelucon sebelumnya, memindahkan Nilai 3 ke Selangor ekoran rentas daerah oleh Neelofar dan suami pada 2 Mei 2021 sebagai satira politik.

Juga dilaporkan dua orang menteri yang dinaikkan pangkat dan Peguam Negara bertemu Mahiaddin di Bukit Damansara, iaitu  selepas Presiden UMNO, Datuk Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan semua wakil rakyat UMNO (38 orang) sebulat suara menarik sokongan kepada PM. Itu hanya pengumuman bukan tindakan, realitinya masih ramai wakil rakyat UMNO tidak bersetuju. Mereka semakin berkonflik dengan Zahid dan menurut pengumuman Peguan Negara,  kedudukan Mahiaddin kekal kerana tidak ada bukti jelas yang dia ‘sudah jatuh’.

Ia seolah-olah mendekati dakwaan Anwar bahawa ‘kerajaan Mahiaddin sudah jatuh’ kerana dirinya sudah ‘nombor yang besar’ pada bulan Oktober tahun lalu. Anwar pula melakukan kenyataan ulangan daripada keyakinannya bahawa beliau akan mengangkat sumpah sebagai PM pada 16 September 2008, yakni dua belas tahun selepas ‘kejutan’ yang gagal.

PAda masa itu, Anwar digambarkan hanya berjaya mengangkat sumpah di hadapan potret Yang di Pertuan Agong. Semalam juga ada satu lagi lelucon, Anwar memakai pakaian berwarna putih (termasuk balutan sapu tangan di kepala) menatap potret Ismail Sabri sambil mengelap cermin bingkai potret.

Keputusan yang diumumkan oleh Zahid Hamidi tidak pula memberikan arahan kepada  Ismail Sabri dan Hishamudin untuk menolak jawatan baharu itu. Ini cukup membuktikan bahawa Zahid sebenarnya  lebih bermain dengan retorik setelah kedudukannya dipersoalkan oleh sebahagian pemimpin UMNO dan hanya sekadar menyuguhkan amaran yang diberikan sebelumnya  (21 Jun 2021) agar membuka Parlimen dalam tempoh 14 hari.

Mahiaddin sudah mendapat tarikhnya, Dewan Rakyat akan bersidang sebelum akhir bulan Julai dan pengumumamnya disambut oleh Anwar Ibrahim sebagai ‘penipuan’. Rakyat sudah memahami siapa Anwar dan siapa Zahid daripada desakan yang sama, mengembalikan proses ‘semak dan seimbang’ dengan memulakan sidang Dewan Rakyat sebelum tarikh akhir darurat kesihatan. Hipokrasi dan cukup terdesak.

Rakyat Malaysia sudah mula menolak beberapa nama yang cukup menyiksa minda,  kerana merekalah yang menyebabkan lanskap politik bercelaru. Anwar sejak hilang jawatan Timbalan Perdana Menteri pada tahun 1998,  cukup banyak menimbulkan situasi tegang dan berkali-kali mengulangi anarkisme sehingga sebahagian pengagum-pengagumnya berpatah arang dan berkerat rotan.

Sebaik sahaja memperoleh pengampuan penuh pada bulan Mei 2018, Anwar semakin giat mencaturkan politik sehingga dilihat sangat cenderung kepada permainan yang tidak beretika. Di permukaan, Anwar memperlihatkan kesabaran menunggu, tetapi secara halusnya menggunakan juak-juaknya untuk menekan Dr Mahathir. Hal itu dapat dibaca oleh Azmin.

Azmin dua kali disekat daripada bertanding jawatan Presiden PKR. Kali pertama, ialah ketika Wan Azizah mempertahankan kedudukannya, Anwar pula meminta para pemilih memilih senarai yang diedarkan, dan hanya membenarkan Azmin mengisi kekosongan jawatan Timbalan Presiden setelah dikosongkan oleh Dr Syed Hussin Ali. Kali kedua, Azmin disekat di mana Anwar ‘mengancam’ dengan kemungkinan beliau sendiri akan bertanding,  tetapi tidak dilakukan, ia adalah strategi untuk memberikan laluan mudah kepada isterinya, Wan Azizah.

Walaupun Azmin kekal sebagai Timbalan Presiden, pengaruh dan kedudukan penyokong-penyokong cuba dikembirikan selepas Anwar menang jawatan Presiden PKR tanpa saingan dalam ‘gran design’nya. Menariknya lagi, puteri kesayangannya menunjukkan pendirian berlawanan, tidak menerima cadangan untuk mengetuai PKR Pulau Pinang, meletakkan jawatan dalam kerajaan dan bertekad, hanya akan berbakti kepada pengundi Permatang Pauh. Ia ditafsirkan sebagai satu bentuk protes.

Setelah juak-juak Anwar memberikan amaran kepada Dr Mahathir agr melakukan proses peralihan kuasa bila genap dua tahun berkuasa,  Azmin semakin menebal jiwa anarkis terhadap Anwar. Dalam kesempatan yang ada, Azmin tetap tidak mengizinkan Anwar hinggalah terpaksa dilakukan Mesyuarat Terakhir pada 21 Februari 2020. Mesyuarat yang tidak ada penyelesaian dan ketegangan bersambung selepas itu sehingga memungkinkan berlangsungnya majlis makan malam yang kemudiannya dikenali sebagai Langkah Sheraton (23 Februari 2020).

Pergerakan politik yang penuh muslihat itu akhirnya memaksa Tun Dr Mahathir membuat keputusan meletakkan jawatan keesokannya setelah mendapat dirinya tidak lagi memperoleh sokongan. Saat itu jugalah secara automatikny Pakatan Harapan terpaksa impiannya:  Malaysia Baru dengan menenggelamkan “selamatkan Malaysia”. Keadaan itu turut ‘memerangkap’, Anwar terlepas sekali lagi (kali keempat, di mana dua kali ‘disembelih’ oleh Dr Mahathir.

Selain gagal pada 16 September 2008, Anwar juga terkejang dengan Langkah Kajang (2014) bila tidak bertanding dan memberikan laluan kepada Wan Azizah. Wan Azizah pula terhalang untuk dilantik sebagai Menteri Besar Selangor, maka Azmin dilihat sebagai ‘musuh’).  Selepas itu, Anwar berhadapan dengan dua kali lagi kekecewaan: peletakan jawatan Dr Mahathir pada 24 Februari 2020; dan keenam, Oktober 2020, tidak cukup nombor).

Kegagalan kali keenam cukup memeritkan,  pungutan akuan bersumpah (SD) daripada wakil rakyat UMNO turut dibalas pungutan SD oleh Nazri untuk menyokong Hishamudin, Langkah Zahid mendapat tentangan Anuar Musa, dan audio perbincangannya dengan Anwar benar-benar  menimbulkan prasangka dan kesan boomerang. Zahid dikatakan ‘sangat terdesak’ mengangkat Anwar kerana mengharapkan (jika berjaya) kes-kes mahkamah yang dihadapinya dapat dilepaskan,  biarpun pada suatu ketika, Anwar sangat mengecam  penambahan ahli Bersatu ikut ‘pintu belakang’.

Kesan bocornya perbincangan rakaman audio tersebut, UMNO berada dalam situasi yang cukup berbeza. Muncul sekumpulan yang menentang kepimpinan Zahid dan menyambung semula pertelingkahan dengan Anuar Musa. Situasi itu menggambarkan bahawa sudah tidak ada lagi ruang kompromi dalam UMNO. Bila Zahid mengeluarkan kenyataan ‘menarik sokongan kepada Mahiaddin’, Anuar Musa memberikan ulasan yang berbeza dan ada pandangan yang tidak berpihak kepada Zahid oleh Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Zahidi Zainul Abidin bahawa  30 ahli Parlimen UMNO mendesak Zahid agar meletakkan jawatan.

Ia bertambah menarik dengan pengakuan Narzi Aziz (dapatkan 25 SD), menyebabkan Zahid kian tersepit. Zahid tersepit kerana pernah mengancam akan keluar PN atas sebab jawatan TPM tidak diberikan kepada UMNO, tetapi majoriti wakil rakyat melihat penarikan diri akan membangkitkan lebih besar kemarahan rakyat, rakyat mahukan semua politikus berganding bahu menamatkan penularan pandemik bukannya saling ‘bunuh membunuh’ sesama sendiri.

Perkembangan tersebut memberikan gambaran, jika sesuatu berlaku kepada Mahiaddin dalam masa terdekat ini, Ismail Sabri merupakan orang yang paling layak memegang jawatan PM ke-9, walaupun ada yang melihatnya sebagai PM interim. Najib pula menyarankan bahawa PM Interim seharusnya tidak melebih enam bulan. Mahiaddin sudah memberikan jaminan bahawa PRU ke-15 akan diadakan selepas selesai Bajet 2022, yakni sama ada akhir tahun ini atau awal tahun depan.

Dalam perkiraan itulah UMNO berada dalam situasi terkapai-kapai,  terus bekerjasama dengan Perikatan Nasional atau bertanding secara solo. Jika Ismail Sabri dilantik sebagai PM interim, bermakna peluang UMNO untuk kembali bangkit adalah lebih cerah berbanding di bawah kepimpinan oleh Zahid Hamidi, dan itu adalah jalan terbaik untuk ditunjuk jalan keluar buat Zahid.

Bagaimanapun, kedudukan Zahid bakal berubah jika keputusan mahkamah mendapati dirinya bersalah, dan ini menjadikan UMNO mungkin bangkit dengan semangat baharu di mana Datuk Seri Mohamad Hassan bakal melakarkan tindakan yang lebih boleh diterima oleh sebahagian besar akar umbi. Keadaan ini mungkin akan menyingkirkan sebahagian ‘jelaga’ yang sudah lama melekat dalam kepimpinan UMNO kerana setakat ini Mohamad Hassan belum termasuk dalam senarai warlord. (BERSAMBUNG)

MAHANOR SALEHA

 

Translate »