Pada zaman al-Ghazali, budaya atau tingkah politik banyak menyimpang dari kerangka syari’at sehingga berleluasanya rasuah, salah guna kuasa dan krisis ulama. Faktor yang menyebabkan fenomena itu berlaku menurut Imam al-Ghazali berpunca daripada kerusakan pada ulama yang cukup senang dan ghairah dengan kemilau kehidupan duniawi. Akibat keserakan tujuan, maka  para ulama tidak bersedia menasihatkan para penguasa dan membiarkan para penguasa bertindak sesuka hati bagi memenuhi keinginan tersebut.

Dalam sistem hirarki pemerintahan atau organisasi, orang yang paling berkuasa ialah mereka yang menduduki posisi paling atas (misalnya, Presiden, Perdana Menteri, Sultan atau pun Tzar) manakala mereka yang menduduki posisi kedua dalam struktur (misalnya menteri, menteri besar atau ketua menteri, bendahara, panglima, ulama (mufti, hakim,  ketua setiausaha, ketua pengarah, ahli lembaga pengarah dan eksekutif) dan strata pengurusan ketiga (setiausaha politik, setiausaha akhbar, pegawai khas, ketua penyelidik dan ketua pegawai eksekutif) adalah penasihat yang di lapisan teratas.

Dalam konteks politik moden, sama ada bersistemkan kerangka pemerintahan republik, demokrasi atau monarki, dilembagakan institusi-institusi sedemikian bagi menumpukan tanggungjawab dan peranannya yang khusus. Misalnya, dalam sistem Raja Berperlembagaan yang diamalkan di Malaysia, Yang di Pertuan Agong (YDPA) adalah kuasa pemerintahan yang tertinggi, dan kerana itu ia diibaratkan sebagai Payung Negara.

Dalam melaksanakan tanggungjawabnya sebagai ketua negara, YDPA bergantung kepada nasihat Perdana Menteri, dan kerana itulah dalam membuat sesuatu keputusan, ia membabitkan maklumat dan nasihat yang disampaikan oleh Perdana Menteri. Perdana Menteri pula memperoleh nasihat daripada menteri-menteri dan seterusnya menteri-menteri mendapat nasihat daripada timbalan menteri, setiausaha-setiausaha, ketua-ketua agensi dan Ketua Setiausaha Negara serta pegawai-pegawai kanan.

Misalnya, walaupun YDPA mempunyai kuasa pemutus (decision power), baginda tidak boleh mengisytiharkan ‘Proklamasi Darurat’ tanpa nasihat atau mendengar sebab-sebab yang jelas mengenainya dari Perdana Menteri, Ketua Polis Negara, Panglima Angkatan Tentera dan Ketua Pengarah Kesihatan serta Ketua Setiausaha Negera. Ini kerana, setiap keputusan akan dipertimbangkan secara saksama dan dilengkapi dengan cadangan untuk menguruskannya.

Perdana Menteri pernah mengemukakan cadangan sebanyak dua kali, dalam tempoh kurang empat bulan kerana angka jangkitan harian menunjukkan satu kawalan ketat perlu dilaksanakan. Kali pertama ialah bulan Oktober 2020, YDPA menolak permohonan Perdana Menteri kerana situasi yang ada ketika itu belum memadai untuk diisytiharkan darurat kesihatan.

Ia berbeza dalam permohonan kali kedua, data kes jangkitan baharu dan cadangan langkah lebih ketat (denda pelanggaran SOP, keputusan perbelanjaan, akses kemudahan di sektor swasta, penggembelingan kepakaran dan sumber manusia antara agensi, dan sebagainya) akhirnya diperkenankan untuk dilaksanakan mulai 12 Januari  sehingga 1 Ogos 2021 (boleh ditamatkan lebih awal).

Dari perspektif keselamatan ia merupakan keputusan yang tepat (teori pengurusan). Bagaimanapun setelah berlangsung dalam tempoh lima bulan (sehingga Jun 2021), situasi jangkitan tidak menunjukkan penurunan ketara kes jangkitan harian, YDPA mencadangkan agar semua yang bertanggungjawab sebagai ‘pembuat dasar’ agar dapat berbincang, berbahas dan mencari keputusan terbaik.

Tentunya, dalam sistem demokrasi berparlimen, Dewan Rakyat menjadi wahana utama dalam penentuan dasar seterusnya, maka YDPA mencadangkan ianya ‘secepat mungkin’ perlu bersidang. Peranan wakil rakyat sebagai ‘semak dan seimbang’ perlu dikembalikan semula kerana dalam tempoh darurat fungsi tersebut digantung sementara waktu.

Soal bilakah ianya akan dilaksanakan, ia kembali kepada keputusan Perdana Menteri, kerana beliau perlu mendapat nasihat daripada menteri-menteri kabinet, ketua-ketua organisasi utama (KKM, Peguam Negara, Speaker Dewan Rakyat, PDRM, MKN dan sebagainya).

Berdasarkan hirarki kuasa, setiap subordinit merupakan penasihat kepada seseorang yang berada di atas dan ini bermakna, proses nasihat menasihati itu berlangsung sepanjang masa, dinamik dan dalam pelbagai platform. Namun, sama ada sesuatu nasihat itu diterima sebagai satu keputusan dasar atau hanya sekadar makluman, ia bergantung kepada nilai dan bentuk nasihat itu sendiri. Dalam sistem pentadbiran sesebuah negara, sesuatu maklumat boleh hadir dalam bentuk laporan rasmi, laporan kajian dan juga petunjuk-petunjuk tertentu yang dikumpulkan.

Maklumat tersebut dibincang dalam satu kumpulan kecil atau kadangkala dikenali sebagai ‘think tank’ atau melibatkan beberapa orang yang sangat dipercayai (biasanya menurut kepakaran dan kebolehpercayaan), yang mana kadangkala berupa perwakilan tetap ataupun tidak tetap. Ia juga mungkin boleh jadi turut membabitkan ‘orang luar’ di mana kadangkala ‘orang dalam’ tidak melihat sesuatu anekdot atau perkara dalam kerangka yang objektif disebabkan ‘nilai kepunyaan’ (self value) yang ada dalam dirinya masing-masing, yang kadangkala cenderung bias. Kesemuanya itu perlu ‘dibaca’ dengan baik dan berkesan bagi membolehkan sesuatu keputusan terbaik dicapai.

Dalam konteks nasihat kepada penguasa atau pemegang kuasa, al-Ghazali menjelaskan: Seorang pemimpin mesti senang bergaul dengan para ulama dan menerima nasihat mereka. Tetapi, ia perlu waspada akan ulama al-suu (ulama culas/buruk), yang hanya menginginkan kekayaan duniawi. Mereka menyanjung, membujuk dan merayu anda. Mereka sengaja membuat anda senang, hanya kerana mengharapkan kekayaan anda, yang hina tidak  bernilai. Mereka berusaha memperoleh sesuatu dari anda dengan jalan makar dan tipu daya.”

BACA JUGA: PENASIHAT BERNAFSU MUSNAHKAN PEMIMPIN, https://omiw.com.my/Web/2021/07/01/penasihat-bernafsu-musnahkan-pemimpin/

Ertinya, dalam konteks perjalanan kuasa, seseorang pemimpin atau penguasa perlu melihat kecenderungan dan boleh membaca tingkah laku seseorang penasihat secara berkesan, termasuk tindakan-tindakannya yang bersifat psikologi ataupun politik.

Bukan sesuatu yang luar biasa bila berlaku situasi di mana penasihat bertindak melebihi had dan kuasa yang ada padanya, misalnya, seorang pembantu cuba membentuk imejnya seolah-olah dirinya lebih baik, berpengaruh dan bijaksana daripada ketua. Dalam sejarah, perilaku sedemikian cukup banyak terjadi sehingga ada kecenderungan seorang pembantu (atau timbalan) siap sedia untuk menjatuhkan ketuanya sendiri dengan cara halus dan juga dengan kekerasan.

Apabila kepercayaan telah diberikan diadun dengan ‘bayangan potensi besar’ diri sendiri dan diberikan dorongan oleh penasihat-penasihat yang ada di sekelilingnya, maka sifat sabar dan hormati kepada ketua semakin menipis. Akhirnya, ada ‘grand design’ yang dirancang secara rahsia, namun tidak semua berakhir dengan kejayaan, sebahagiannya berakhir dengan penyelesaian yang buruk (dipecat, bahkan ada yang dipenjara atau dibunuh). Perilaku penasihat sedemikian  menurut Al-Ghazali adalah penasihat yang buruk perangainya, dan jika penasihat itu merupakan seorang ulama, ia digelar ulama suu (ulama jahat atau berperangai buruk).

Bagaimanapun, seburuk mana pun seseorang pemimpin, al-Ghazali tidak menggalakkan rakyat bangkit memberontak kerana sesuatu pemberontakan itu cenderung kepada pertumpahan darah dan kesan buruk yang lebih besar atau meluas. Jika diterjemahkan dalam sistem politik moden, rakyat digalakkan menggunakan kuasa yang ada padanya menerusi amalan yang tidak menimbulkan keburukan yang lebih fatal, iaitu menerusi pilihan raya. Misalnya, apa yang berlaku di Libya, Irak dan Syria.

Pemberontakan di Libya sehingga terbunuhnya Muammar Gadafi menyebabkan kehidupan rakyat masih belum kembali pulih. Pemberontakan di Irak, biarpun Saddam Hussein berjaya dibunuh, situasi politiknya masih kucar-kacir dan dikawal oleh Amerika Syarikat. Begitu juga di Syria, beberapa juta rakyat terpaksa hidup sebagai pelarian dan berhadapan dengan pelbagai kesukaran.

Bashar al-Assad melakukan reaksi balas kerana beliau sedar, pemberontakan yang berlaku didalangi oleh kuasa asing. Dalam tiga buah negara tersebut, ia menjelaskan bahawa kuasa-kuasa asing, khususnya Amerika Syarikat sebenarnya yang berusaha menimbulkan kekacauan, dan kerana itu ia wajib ditentang walaupun terpaksa membayar harga yang mahal, termasuk pertumpahan darah sebagai mempertahankan hak sebenar.

Atas apa yang berlaku itulah mungkin Prof Dr Ibrahim Amir ar-Ruhaily dari Universiti Islam Madinah tidak mengesyorkan penggulingan seseorang penguasa walaupun dalam tindakan seharianya penguasa itu zalim  atau melanggar hak-hak rakyat dan pentingkan diri. Rakyat masih perlu  mentaati seseorang pemimpin dan dianjurkan: (1) melakukan penentangan (benci dan ingkar) secara rahsia dan sentiasa berusaha untuk menasihati agar pemimpin agar bertaubat dan membaiki kesilapan; (2) bersabar dengan penguasa yang zalim tidak melepaskan ketaatan kerana sebab kezaliman mereka; dan (3) tidak boleh menuntut penggulingan kekuasaannya dan memberontak kepadanya. (Ibrahim Air ar-Ruhaily, Tindak Tanduk Penguasa, edisi terjemahan, 2018: hal. 100).

Etika politik sedemikian adalah berbeza dengan kaedah politik moden yang berasaskan penilaian rasional, kerana pemberontakan dan pembunuhan seseorang pemimpin boleh dibenarkan atas prinsip matlamat menghalalkan cara, di mana persoalan moral dan etika diketepikan bagi membolehkan sesuatu matlamat tercapai. Situasi ini sangat buruk dan menimbulkan pola politik yang cukup kotor.

Dalam etika politik moden, jika seseorang pemimpin didakwa bersalah, ia masih belum boleh dilucutkan jawatannya selagi ia tidak dibuktikan bersalah. Ini bermakna, ada keadaan di mana disebabkan oleh kehendak dan kepentingan diri, seseorang penasihat turut melakukan petualangan dengan tujuan untuk meletakkan dirinya sebagai orang yang bakal berkuasa.

Mungkin sebagai seorang yang meminati sejarah, kita akan bertemu dengan watak Napoleon Bonarpatre, seorang panglima tentera yang cukup diberikan kepercayaan oleh King Louis XIV. Setelah merasakan dirinya’cukup hebat’ dan berpengaruh, Napoleon akhirnya menjatuhkan King Louis sebagai penguasa Perancis dan mengisytiharkan dirinya sebagai maharaja (1804). Napoleon akhirnya menjadi seorang yang sangat ‘kemaruk kuasa’ dan melancarkan pelbagai serangan untuk menakluki wilayah yang lebih luas. Napoleon gagal dalam peperangan dengan Rusia (1812) dan akhirnya beliau terpaksa hidup dalam buangan (1814) di Pulau Elba, dekat Itali.

Napoleon berusaha untuk muncul kembali (1815) menerusi kempen Hundred Days (100 Hari) melancarkan Perang Waterloo (18 Jun 1815) di Belgium melawan pasukan bersekutu (Britain, Belanda dan Prusia) namun kepercayaan umum terhadap kekuatannya tidaklah sehebat sebelumnya. Tentera yang dipimpin oleh Napoleon mengalami kekalahan teruk, dan Napoleon sekali lagi dibuang ke sebuah pulau terpencil di laut tengah, St Helena sehinggalah meninggal dunia pada 5 Mei 1821.

Bagi sesetengah orang, apa yang berlaku di akhir hayatnya adalah satu bentuk ‘hukuman’ atau ‘karma’ di atas ketamakannya untuk mendapat kuasa dan memperluaskan kuasa. Napoleon menjadi contoh dalam politik moden mengenai seorang pemimpin yang gila kuasa.

(BERSAMBUNG)

Dr Alies Anor Abdul

Translate »