Sejarah membuktikan bahawa kebanyakan pemimpin jatuh bukan kerana kurangnya pengetahuan sendiri, tetapi disebabkan peranan penasihat  yang tidak memberikan nasihat dengan betul, benar, jelas dan  berdasarkan fakta yang sahih.

Hal ini berlaku kerana seseorang penasihat tidak berlaku jujur ke atas tanggungjawabnya kepada pemimpin atau sebagai satu tindakan selepas merasakan pemimpin enggan mendengar nasihatnya. Dalam keadaan sedemikian, penasihat mungkin mempunyai cita-cita untuk meletakkan dirinya sebagai seorang pemimpin dan boleh dilaksanakan dengan memberikan ‘gula-gula’ agar pemimpin berkenaan jatuh.

Juga mungkin berlaku keadaan yang sedikit berbeza. Penasihat tidak ada keinginan untuk dilantik sebagai pemimpin, tetapi kerana menyokong atau terpengaruh dengan kelompok yang bersebelahan, menjadikan dirinya sebagai penasihat yang menikam dari belakang. Mungkin ada sedikit sebanyak sejarah hubungan buruk atau kekeruhan yang berlaku, yang mungkin bersifat peribadi atau sebagai reaksi balas kepada pemimpin yang semakin berubah pendirian setelah tersilau oleh kuasa.

Dalam sesebuah sistem pemerintahan, tidak semua nasihat membawa maksud baik dan perlu dilaksanakan oleh seseorang pemimpin. Bagi seseorang pemimpin, kecekapan membuat keputusan dan kejituan pemikirannya adalah ciri-ciri utama yang cukup hebat untuk mencapai prestasi terbaik atau membangunkan citra seorang pemimpin berkesan dan berwibawa. Bagaimanapun, sehebat mana sekalipun seseorang pemimpin, ia akan mengalami situasi buntu dan lemah sekiranya tidak mendapat maklumat strategik yang memadai dan tepat bersama analisis mendalam.

Penasihat adalah orang yang mempunyai akses dan berhubung rapat dengan seseorang pemimpin. Tugas utama penasihat ialah memberikan nasihat atau menyampaikan maklumat tentang apa yang dikumpulkan daripada masyarakat untuk dibincang, dicari solusinya untuk diambil perhatian atau keputusan oleh seseorang pemimpin. Maknanya, secara umum seseorang penasihat itu adalah orang yang mendapat kepercayaan berdasarkan kepakaran atau kedalaman ilmu pengetahuannya dalam sesuatu bidang (perkara).

Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud “Bila Allah menghendaki kebaikan kepada seorang pemimpin, maka ia memberikan untuknya seorang pembantu (wazir) yang jujur”. Maknanya jika pemimpin itu   lalai, tidak mahu mendengar atau tidak mengendahkan sesuatu nasihat baik, bila Allah SWT menghendaki di sebalikannya, maka ia sesuatu yang buruk bakal berlaku. Sesuatu kejadian yang buruk juga dapat berlaku sekiranya,  penasihat yang menjadi kepercayaan seseorang pemimpin itu adalah seorang penasihat yang jahat, yang bukan sahaja membiarkan seseorang pemimpin membuat keputusan salah, bahkan mencari kaedah bagaimana untuk mempercepatkan seseorang pemimpin itu jatuh.

Secara teorinya, kedudukan penasihat dalam budaya pemerinatahan dan penggunaan kuasa adalah sangat kritikal: bergantung kepada sifat penasihat itu sendiri. Disebabkan peranan  penasihat yang mustahak, tidak berlebihan dikaitkan bahawa tegak dan hancurnya sesebuah negara sangat berkait rapat dengan  kearifan dan kesungguhan pemimpin mendengarkan nasihat yang baik dan  cekap menilai sesuatu maklumat yang diterimanya.

Misalnya, dalam sejarah Islam ada kisah yang cukup menarik mengenai kejayaan rombongan Nabi Muhammad SAW dalam perjalanan hijrah ke Madinah. Rombongan yang diketuai oleh Rasullullah SAW mendengar dan bersetuju dengan keputusan seorang jurutunjuk arah yang bukan beragama Islam tetapi mempunyai hati yang ikhlas dan jujur memberikan pandangan bahawa perlu mengikuti jalan yang berbeza daripada kelaziman meskipun jaraknya sedikit jauh.

Sebab utama umat Islam berhijrah ialah kerana menghindari tentangan oleh kaum Quraisy di Mekah dan terdapat maklumat bahawa beberapa kumpulan Quraisy sudah menguasai beberapa jalan untuk mencari peluang untuk membunuh Rasullullah SAW. Ini kerana, pemimpin Quraisy sedang menawarkan hadiah 100 ekor unta kepada sesiapa yang dapat menangkap dan membunuh Nabi Muhammad SAW. Masyarakat Badui berusaha menyahut cabaran tersebut dengan mencari tempat di mana Nabi Muhammad SAW berselindung. Abu Bakar dan Rasullullah SAW ketika itu menyembunyikan diri di Gua Tsur.

Abdullah bin ‘Uraiqit – dari Banu Du’il– diminta oleh Abu Bakar as-Siddik untuk menjadi juru tunjuk. Setelah diminta oleh Abu Bakar, Abdullah bersetuju dan berjanji tidak akan merahsiakan perjalanan hijrah dengan bersumpah: Demi Latta dan Uzza, aku sanggup menerima amanah itu. Aku tidak akan mengkhianatimu, wahai Abu Bakar. Latta dan Uzza adalah dua buah patung besar yang menjadi sembahan masyarakat Quraisy ketika itu.

Atas kemahiran dan kepakaran Abdullah, mereka menyusun perjalanan ke Yathrib (Madinah) dari arah selatan menuju ke Tahima, sebuah pekan di pesisir pantai Laut Merah. Sebelum sampai ke Tahima, rombongan akan membelok ke kanan dan seterusnya menuju ke Yathrib. Laluan tersebut agak jauh dan tidak popular, jarang-jarang diketahui oleh orang Quraisy. Ia juga cukup mencabar kerana terpaksa merentasi padang pasir ketika musim panas, terdedah dengan bahang matahari dan pelbagai kemungkinan lain, termasuk kesejukan melampau di waktu malam.

Nabi Muhammad SAW dan Abu Bakar mengekori rombongan tersebut setelah tiga hari perjalanan dimulakan. Ini bagi mengelakkan musuh-musuh Islam mengetahuinya sekiranya berlaku kebocoran maklumat. Setelah berjalan siang dan malam selama lebih seminggu, rombongan Nabi Muhammad SAW tiba di Yathrib (Madinah) dan disambut oleh para penduduk setelah mengetahui ketibaan mereka yang berjaya mengharungi perjalanan sejauh lebih 500 kilometer itu. (Kisah perjalanan yang sukar itu cukup menarik diceritakan oleh Muhammad Hussin Haikal, Hayat- e-Muhammad, 1935 atau edisi Indonesia diterjemahkan oleh Ali Audah, Sejarah Hidup Muhammad: Biografi Rasullah Yang Legendaris dan Terpercaya, 1973).

Atas sifat percaya, maka setiap kali berhadapan dengan sesuatu isu atau perkara, orang-orang inilah (penasihat) yang akan memberikan pandangan, maklumat sehinggalah diterima sebagai satu keputusan tindakan, berdasarkan kepakaran yang ada dalam dirinya, seperti Abu Bakar mempercayai kecekapan dan kejujuran Abdullah.

Kearifan seorang pemimpin dalam menentukan siapa yang akan dijadikan pembantu atau orang kepercayaannya, tidak sahaja akan meningkatkan kredibiliti dan prestasi dirinya,  bahkan akan melahirkan kecemerlangan besar kepada sesebuah negara. Ia bersesuaian dengan apa yang pernah ditulis oleh al-Ghazali bila menasihatkan Sultan Muhammad  Ibnu Maliksyah agar memerhatikan perilaku Sultan Ahmad Sanjar yang berkuasa di Khurasan: Sayang sekali! Leher kaum muslim hampir sahaja terputus akibat banyaknya musibah dan kutipan cukai. Sementara leher kudamu hampir sahaja terputus oleh kalung emas.”

Dalam suratnya yang lain, Al Ghazali turut merakamkan dialognya dengan seorang bekas pemimpin, yakni sudah lagi tidak berkuasa. Dialog itu bermula dengan satu pertanyaan:   “Apa sebab kekuasaanmu musnah dan berpindah kepada orang lain”?

Bekas pemimpin itu menjawab: “Aku tertipu oleh kuasa dan kekuatan yang aku miliki. Aku melupakan mesyuarat, mengalihkan tugasan kepada penasihat yang tiada pengalaman dan menafikan pegawai kanan. Aku mensia-siakan peluang dan kesempatan yang diberikan dan tidak pula melaksanakan pada saat yang diperlukan.

Tanya al-Ghazali lagi: “Apakah perkara yang paling besar keburukannya?”

Jelas bekas penguasa: “Iaitu pegawai yang tidak jujur, berkhianat dalam menyampaikan risalah kerana kepentingan perut mereka sendiri, betapa banyak kerajaan hancur kerana perilaku mereka”.

Mungkin juga kerana praktik politik pada zaman pertengahan sangat menyimpang daripada syari’at – salah guna kuasa, rasuah dan krisis para ulama – menyebabkan al-Ghazali cukup tegas membuat kenyataan bahawa: rosaknya masyarakat kerana rosaknya penguasa, dan rosaknya para ulama. Rosaknya para ulama kerana dikuasai oleh cinta harta dan takhta. Siapa yang dikuasai oleh cinta dunia, ia tidak akan mampu mengawasi sifat-sifat buruk. Lalu, bagaimana boleh mengawasi (menasihati) para penguasa dan para pemimpin? (Shalih Ahmad al-Syami, Imam al-Ghazali: Kisah Hidup dan Pemikiran Sang Pembaru Islam, edisi terjemahan Indonesia, 2019: 275-278)

(BERSAMBUNG)

Dr Alies Anor Abdul

Translate »