Kenyataan sokongan penasihat Tun Mahathir mengenai “Mageran Bukan Darurat” lebih mengelirukan daripada “darurat kesihatan”. Nampaknya Tun M hanya ingin berkuasa, mengetuai kembali kerajaan dan tidak mahu sama ada DS Najib atau DS Zahid Hamidi dan lebih-lebih lagi DS Anwar Ibrahim mengetuai kesepakatan baharu dalam menangani pandemik ini.

Sudahkah beliau lupa bahawa beliau meletak jawatan ketika pandemik Covid-19 baru bermula. Tidakkah beliau nampak corak perkembangan pandemik ini diseluruh dunia.

Daripada mengetuai kerajaan, menahan kemaraan Azmin dan sekutunya, mengekalkan Bersatu di dalam PH dan memulihkan perpaduan PH ketika itu, beliau memilih meletak jawatan tanpa berunding dengan PH yang telah berkorban meletakkan beliau di tampok kekuasaan.

Agenda beliau amat jelas bukanlah untuk menyelesaikan isu pandemik secara teratur dan berstrategik tetapi lebih untuk berkuasa, yang akhirnya akan menghancurkan negara.

Dengan menyatakan pimpinan lain tiada penyelesaian, sebenarnya beliau kelihatan mahu meneruskan legasi melakukan sesuatu tanpa semangat musyawarah, sepertimana Kerajaan PN yang hanya membuat keputusan sepihak tanpa berunding dan berhujah di dalam parlimen.

Peranan institusi sepenting parlimen telah dimandulkan.

Sebenarnya rakyat telah penat dan lelah dengan apa yang dilakukan oleh pimpinan semasa yang tiada hala tuju, tiada visi dan tiada misi. Dengan menutup parlimen, ia lebih dari agenda sepihak (one side agenda) dan kemungkinan besar hasil negara, amanah warisan akan ranap dan musnah kerana tiada lagi semak dan imbang.

Belajarlah dari negara yang telah berjaya menangani pandemik ini seperti China, New Zealand, Australia dan negara terhampir Singapura.

Petang kelmarin (11 Jun 2021) timbul pula cadangan Majlis Pemulihan Negara oleh Tun Mahathir. Seperti yang dilaporkan majlis ini tidak di letak di bawah kerajaan tetapi akan melapor terus kepada YDP Agong.

Menurut kenyataan tersebut jika penubuhan majlis ini dipersetujui maka nama-nama akan dipersembahkan kepada YDP Agong. Licik sekali Tun Mahathir mahu menyingkirkan peranan pimpinan parti politik dan kerajaan.

Kenyataan ini seolah-olah tiada siapa mampu memberikan penyelesaian kepada krisis pandemik Covid-19 selain beliau. Pembentukan ini jika diperhalusi akan membentuk kerajaan dalam kerajaan, maka kerajaan sediada ataupun kerajaan baharu akan menjadi itik tempang (lame duck) yang tidak mempunyai fungsi. Apa sahaja badan atau majlis pada masa ini tidak relevan lagi.

Kegagalan sediada adalah disebabkan dasar, visi dan misi yang amat lemah, ketiadaan satu dasar yang tegas menggabungkan antara prinsip sains dengan pengurusan krisis yang cekap oleh pimpinan.

Negara telah ada banyak majlis atau badan yang khusus mengenai sains, ekonomi, teknologi, pentadbiran awam yang boleh di gembelingkan. Yang penting sekarang adalah sebuah kepimpinan yang tegas, berintegriti, mengamalkan pemerintahan yang baik (good governance) dan amalan terbaik (good practices). Ini perlu digabungkan pula dengan amalan sains yang baik (good science).

Penulis tertarik dengan kenyataan salah seorang rakan saintis yang juga merupakan penasihat kepada Jacinda Ardern Perdana Menteri New Zealand, Prof Micheal Baker dari Universiti Otago. Prof Baker merupakan professor Kesihatan Awam.

Apabila beliau ditanya bagaimanakah New Zealand berjaya memerangi pandemik Covid-19, Prof Baker menjawab “Good Science and Good Leadership”.

Atas nasihat saintis untuk melaksanakan perancangan kesihatan awam yang teratur, tegas dan berperinsip berasaskan data sains, Perdana Menteri Ardern telah mengeluarkan arahan tegas sejak dari awal pandemik berlaku.

Tiga prinsip yang dipegang oleh Arden dan anggota kabinetnya adalah; di pandu oleh pakar (be lead by expertise), mobilisati usaha pemulihan secara kolektif (mobilise collective effort) dan kemampuan mengatasi suasana (enable coping).

Setiap kali Ardern membuat kenyataan mengenai perkembangan Covid-19 beliau akan didampingi oleh Ketua Pengarah Kesihatan Ashley Bloomfield yang memberikan nasihat ‘sains’ yang diperolehi dari pakar-pakar seperti Prof. Baker.

Ardern sangat mencermati dan meneliti dengan penuh teliti nasihat sains sebelum apa jua keputusan kepimpinan negara diperoleh. Rakyat amat faham pula kenapa beliau bertegas sejak dari awal seragan Covid-19, tiada kompromi hatta terhadap anggota kabinetnya.

Ketika kes mencecah 102 kes, New Zealand telah mengarahkan ‘total lockdown’. Ardern di dalam sidang akhbarnya secara langsung di seluruh negara menegaskan, “kita akan memulakannya dengan tegas dan dari awal” (we’re going hard and we’re going early’).

New Zealand adalah di antara negara terawal dan paling tegas dalam melaksanakan pendekatan isolasi kendiri dalam dunia, dan seminggu selepas peristihatan pendekatan ini, New Zealand telah mengisytiharkan total lockdown.

Seorang lagi saintis dari Universiti Aukland Prof Shaun Hendy menyatakan bahawa hubungan kerja yang rapat di antara komuniti sains telah meletakkan New Zealand pada kedudukan terbaik berbanding dengan negara yang mempunyai hubungan sukar dengan komuniti sains pada masakini.

Apa yang perlu segera masakini adalah sebuah kerajaan dengan kepimpinan yang baik (good leadership) dan yang berpandukan kepada nasihat pakar dan sains yang baik (good science).

Data raya (big data) mengenai wabak ini hendaklah dibentangkan dan dianalisis sesegera mungkin dengan memisahkan di antara data mentah dengan data yang telah masak.

Capaian vaksin untuk membina imuniti kelompok perlu distrategikan supaya mobilisasi usaha pemulihan secara kolektif disegerakan dan pasukan kepimpinan yang berkemampuan mengatasi suasana (enable coping) perlu dibentuk.

Kenyataan dan perlaksanaan seperti kenyataan tegas seperti Perdana Menteri New Zealand Jacinda Arden “We’re going hard and we’re going early” perlu dicontohi.

Kita perlukan pemulihan segera dengan dasar serta perlaksanaan program pemulihan yang mampan, tegas dan terstruktur.

Penubuhan Majlis Pemulihan Negara hanya akan melembabkan lagi proses pemulihan. Kita perlukan “Good Science dan Good Leadership” sesegera mungkin. Kerajaan dalam kerajaan akan menyeban luka sediada semakin parah.

Tidak bolehkan kita melupakan Tun Mahathir pada ketika ini! Beliau berjasa dan penting akan tetapi ramai lagi yang boleh menyumbang jasa demi negara tercinta ini.

Cukuplah gangguan-gangguan pentadbiran yang berlaku sejak zaman Pak Lah dan Datuk Seri Najib yang telah beliau lakukan. Biar negara ini bergerak kehadapan dengan jasa-jasa baik Tun diingati.

sumber:  DR SHAHNOR BASRI, https://malaysiadateline.com/wajarkan-penubuhan-majlis-pemulihan-negara-cukup-cukuplah-mahathir

 

Translate »