kelibat Mahathir dan Anwar

Dr Mahathir mula menyertai UMNO pada tahun 1964 dan kemudian menang di Kota Star dalam PRU 1964. PRU 1969, akibat silap percaturannya terhadap sokongan pengundi Cina, beliau kalah kepada Yusuf Rawa (PAS). Kekalahan itu menyebabkan beliau menyalahkan Tunku Abdul Rahman (Perdana Menteri dan Yang di Pertua UMNO) atas kesilapan dasar ekonominya yang terlalu berlembut dengan orang Cina.

Dr Mahathir menyerang Tunku Abdul Rahman (8 Februari 1903 – 6 Disember 1990) dengan mengedarkan surat kritikannya (bertarikh 17 Jun 1969, baca: http://anwarite.tripod.com/mahathir_1969_open_letter.htm) dan seterusnya menulis buku Malay Dilemma (diterbitkan di Singapura pada tahun 1970). Pada 12 Julai 1969, jawatannya sebagai Ahli Majlis Tertinggi UMNO digantung dan dipecat keahlian UMNO (26 September 1969) . Stelah itu, Dr Mahathir dilaporkan turut menggunakan platform PAS untuk berkempen. (Rujuk: Latar belakang politik, sejarah kehidupan Mahathir, Berita Harian, 24 Februari 2018)

Setahun selepas peristiwa berdarah yang lahir akibat ‘gelora politik’, yakni kemenangan besar DAP di kawasan bandar besar di Pantai Barat dan Gerakan di Pulau Pinang, Tunku Abdul Rahman akhirnya meletakkan jawatan pada 22 September 1970. Peristiwa hitam 13 Mei 1969 benar-benar menukarkan corak dan rentak pentadbiran politik negara apabila Tun Abdul Razak Hussein mengambil alih tampuk pemerintahan. Pada zaman pentadbiran Tunku Abdul Rahman (1957 hingga 1970), model pentadbiran berkisar kepada pemeliharaan undang-undang dan peraturan di samping pembangunan sosio-ekonomi yang bersifat komunal (Ahmad Atory Hussein, Reformasi Pentadbiran Awam Malaysia. Jitra: UUM Press, 2004). Selepas berjaya mendapat kemerdekaan daripada British, Tunku terpaksa menyesuaikan banyak perkara berkaitan dengan hubungan antara kerajaan dan rakyat agar dapat hidup bersama dalam hubungan yang lebih adil.

Tunku juga dipengaruhi oleh kepimpinan politik yang memujuk disebabkan dalam perundingan dengan British, kemerdekaan adalah bersyarat, yakni semua kaum diterima sebagai warganegara secara ‘jus soli’ untuk mana-mana imigran yang ingin menetap di Malaysia dan sebagai balasannya, bukan Melayu mesti menerima hak-hak istimewa orang Melayu, agama Islam sebagai agama Persekutuan, kedudukan Raja-Raja Melayu dan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.  Ia menjadi sesuatu yang boleh diterima umum sehinggalah munculnya DAP selepas Singapura tidak lagi menjadi sebahagian daripada Malaysia (ketegangan antara Malaysia – Singapura disorot dengan baik dan menarik oleh Rosli Mohd Yusoff, Singapura Dalam Malaysia 1963-1965: Perkongsian Tidak Serasi, K.Bahru: Penerbit UMK, 2019).

Tun Abdul Razak Hussien (11 Mac 1922 – 14 Januari 1976) kemudian dilantik sebagai Perdana Menteri ke-2 pada 22 September 1970. Berlatar belakangkan peristiwa 13 Mei 1969, Tun Razak mula menukarkan corak dan pendekatan pentadbiran politik dengan meletakkan aspirasi perhubungan antara kaum menuju perpaduan yang lebih erat bagi memecahkan garis perkauman dalam pelbagai bidang, khususnya ekonomi, politik dan sosial. Beberapa dasar yang bersifat penyatuan dan perkongsian ekonomi dirangka bermula dengan Dasar Ekonomi Baru (DEB), Rukunegara (falsafah sosial dan kehidupan bermasyarakat), penyatuan parti-parti politik (Barisan Nasional) pada 1 Januari 1973, toleransi budaya dan pembentukan budaya kebangsaan (Dasar Kebudayaan Nasional), Dasar Pendidikan Kebangsaan dan peningkatan taraf pendidikan peribumi. (Iskandar Hasan Tan Abdullah dan Nur Azuki Yusuff, Politik Pentadbiran Perdana Menteri Malaysia, K.Bahru: Penerbit UMK, 2019).

Mahathir menghantar borang keahlian UMNO semula pada  7 Mac 1972. Tahun 1973, Mahathir dilantik sebagai senator. PRU 1974 kembali bertanding mewakili UMNO di Kubang Pasu dan menang. Selepas memenangi PRU 1974, Tun Razak melantik Dr Mahathir sebagai Menteri Pelajaran dan tahun 1975, menang salah satu daripada tiga jawatan Naib Presiden UMNO.  Bulan Februari 1976, Tun Razak meninggal dunia, dan Tun Hussein Onn (12 Februari 1922- 29 Mei 1990) dilantik sebagai PM ke-3. Tun Hussein Onn kemudian melantik Dr Mahathir sebagai Timbalan Perdana Menteri (5 Mac 1976-16 Julai 1981).

Tunku Abdul Rahman pernah menyifatkan Hussein sebagai seorang yang jujur. Menurut Tunku “dalam dunia ini nak cari orang yang kaya dan orang yang pandai bermilion-milion, tetapi nak cari orang yang jujur hanyalah Tun Hussein Onn, beliau seorang yang jujur.”  Langkah pertama yang diambil oleh Hussein Onn ialah memodenkan perkhidmatam awam,  tekanan yang berlaku sehingga menyebabkan Tun Hussein Onn (meletakkan jawatan mulai 15 Mei 1981) menyerahkan kuasa kepada Dr Mahathir Mohamad (dilantik sebagai PM ke-4 mulai 18 Julai 1981) dengan sedikit kisah berlaku perundingan antara tiga orang Naib Presiden UMNO ketika itu, Tengku Razaleigh Hamzah, Ghafar Baba dan Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad. Ghafar Baba menduduki lapisan teratas manakala Tengku Razaleigh di tangga kedua dan Tan Sri Wan Mokhtar di kedudukan ketiga.

Dalam penentuan Timbalan Perdana Menteri, Dr Mahathir memilih Musa Hitam sebagai gandingannya dengan mengetepikan tiga orang Naib Presiden UMNO. Keadaan itu sudah membayangkan sikap sebenar Dr Mahathir, lebih cenderung memilih mereka yang dilihat sebagai ‘orang yang layak’ berdasarkan kedudukannya dalam hirarki ‘parti’. Akibat kecewa dengan tindakan tersebut, Tengku Razaleigh menawarkan diri bertanding merebut jawatan Timbalan Presiden UMNO yang dikosongkan oleh Dr Mahathir.

Dr Mahathir sudah menang tanpa bertanding jawatan Presiden UMNO setelah Tun Hussein tidak mempertahankan jawatan. Sikap menyebelahi Musa Hitam oleh Dr Mahathir menunjukkan perilaku politik yang tidak harmoni dengan prinsip demokrasi. Seharusnya, Dr Mahathir tidak menunjukkan biasnya kepada Musa Hitam walaupun Musa adalah Timbalan Perdana Menteri. Ia berbeza ketika mengetahui Anwar Ibrahim akan bertanding merebut jawatan Timbalan Presiden UMNO pada tahun 1993.

Keadaan sedemikian berulang lagi pada pemilihan 1984. Dalam pusingan kedua, Tengku Razaleigh kalah sekali lagi. Namun, rasa marah Musa Hitam kepada Dr Mahathir semakin membuak-buak apabila mengekalkan Tengku Razaleigh dalam kabinet pasca pemilihan 1984 yang kemudiannya ditukarkan daripada Menteri Kewangan kepada Menteri Perdagangan dan Perindustrian. Ia berlanjutan sehingga Tengku Razaleigh meletakkan jawatan selepas tewas manakala Musa Hitam yang berseberangan idealisme dengan Mahathir meletakkan jawatan setahun sebelumnya (Februari 1986), iaitu sebelum Pilihan Raya Umum berlangsung (2 dan 3 Ogos 1986).

Akibat takut dicabar selepas UMNO diharamkan 1988, Dr Mahathir yang berjaya menubuhkan UMNO (B) membuat perubahan kepada Perlembagaan UMNO, agar jawatan paling atas tidak ditandingi dengan alasan mengelakkan perpecahan. Ini bermakna, Dr Mahathir berusaha untuk menyelamatkan kedudukannya sehingga mampu berkuasa lebih dua dekad.

Menurut Halim Mahmood, Eskapisme Anwar (1993) Dr Mahathir menunjukkan pendirian berbeza pada tahun 1993 apabila mendapati Anwar Ibrahim begitu bersedia untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden UMNO mencabar Tun Ghafar Baba. Sepatutnya,  Dr Mahathir mengekalkan pendiriannya bahawa Ghafar Baba adalah regunya yang terbaik memandang sumbangan besar ketika menyelesaikan kemelut pindaan perlembagaan membabitkan Raja-Raja Melayu. Apa yang berlaku ialah, dalam keadaan UMNO tenang, Dr Mahathir mencipta ruang politik yang berbeza, yakni membenarkan jawatan Timbalan Presiden dipertandingkan kerana kedudukannya telah selamat.

Dalam pandangan umum, Mahathir sebenarnya sudah menemui regu yang berkesan bagi membantunya setelah Musa Hitam meletakkan jawatan dan bermusuh. Atas sebab itulah Dr Mahathir mengeluarkan kenyataan “tidak ada pertandingan peringkat Timbalan Presiden lagi baik. Tetapi perlembagaan parti membenarkan pertandingan…Jika berlaku pertandingan, saya tidak boleh menyokong mana-mana pemimpin. Saya ‘neutral’.

Ia sangat berbeza ketika kekosongan jawatan Timbalan Presiden pada tahun 1981. Dr Mahathir dengan terang-terangan berpihak kepada Musa Hitam kerana jiwa sosialisnya yang agak sukar bekerja dengan ‘anak raja’. Apatah lagi bila melihat keupayaan besar Tengku Razaleigh ketika diberikan amanah oleh Tun Razak untuk meneruskan agenda ekonomi dan penguasaan Bumiputera. Atas alasan itulah Dr Mahathir secara terbuka ‘berkempen’ untuk kemenangan Musa Hitam (Ibrahim Ali, Perjuangan Tanpa Nokhtah:Ranjau, Onak, Fitnah dan Cemburu,  K.Lumpur: Berita Publishing, 2016).

Seperti diduga, Tengku Razaleigh tewas apabila dikaitkan dengan cerita-cerita yang tidak sahih, mempunyai ramai rakan-rakan keturuan Cina, dan dikaitkan dengan  ‘perempuan simpanan Cina’ hanya kerana tukang masak di kediamannya di Jalan Stoner memang Cina. Sebenarnya, tukang masak itu jugalah yang menguruskan rumah kediaman Tengku Razaleigh yang masih ‘bujang’ ketika itu. Lagipun, Tengku Razaleigh gemar ‘menu masakan Cina’.

Ertinya, Dr Mahathir mempunyai sikap dan prejudis politik yang besar terhadap Tengku Razaleigh. Setiap kali Tengku Razaleigh memasuki gelanggang pertandingan, sentiasa dikaitkan dengan peniaga Cina, skandal BMF dan kelengkapan mewah di pejabat (seperti kepala paip bertatahkan emas, karpet yang gebu dan sebagainya). Tektik itu digunakan untuk menunjukkan sikap boros dan mewah yang amat tidak diperlukan dalam budaya politik Melayu-Islam kerana UMNO berdiri atas keringat dan susah payah orang Melayu yang rata-ratanya hidup sederhana dan miskin.

Skrip yang sama diulang-ulangkan ketika pertandingan pusingan kedua (1984) dan tahun 1987, Musa dan Tengku Razaleigh berganding bahu untuk menentang presiden UMNO. Musa Hitam yang merasakan dirinya kurang ‘mampu’ melawan Dr Mahathir meminta Tengku Razaleigh mencabar manakala dirinya, sekadar mempertahankan jawatan Timbalan Presiden. Tun Ghafar Baba disahkan untuk bertanding melawan Musa.

Ketika itu, Dr Mahathir dilihat cenderung membantu untuk memenangkan Tun Ghafar Baba. Tengku Razaleigh kalah dengan 43 undi (swing Najib di saat-saat akhir dan pendirian Tan Sri Muhamad Yaacob menyokong Mahathir dikatakan punca kekalahan tersebut) walaupun awalnya, ramai meramalkan akan menang. Akhirnya Musa menulis mengenai dilema yang dihadapinya sehingga memaksanya meletakkan jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri dalam Frankly Speaking, P.Jaya: Pelanduk Publication, 2016 selepas tiga puluhan ‘menderita’ akibat Tragedi Memali (1985) dan pedih dengan sikap Dr Mahathir yang bukan sahaja gemar menuding jari bahkan licik berpolitik.

Dr Mahathir digambarkan oleh Musa Hitam sebagai ‘sangat teruk’ dan munculnya ‘AIDS’ yang cuba menjatuhkannya kerana cemburu dengan gandingan 2 M –Mahathir Musa. AIDS ialah gandingan Anwar Ibrahim, Daim Zainudin dan Sanusi Junid. Anwar Ibrahim mencanak naik dalam UMNO ekoran sokongan kuat Dr Mahathir dan sedikit tamak untuk membina rangkaiannya hampir di semua kementerian dan agensi kerajaan. Boleh dikatakan semua menteri dan menteri besar mempunyai kakitangan yang pernah berjuang dalam ABIM.

Daim Zainudin dilantik sebagai Menteri Kewangan (14 Julai 1984) apabila Tengku Razaleigh dipindahkan ke Kementerian Perdagangan dan Industri. Sanusi Junid merupakan Setiausaha UMNO dan mahir menggunakan teknik propaganda, termasuklah kisah lembu dipakaikan kaca mata hitam bagi menipu ‘rumput kering’ sebagai ‘rumput segar’. Beliau juga memperkenalkan istilah desperado yang ditujukan kepada Tengku Razaleigh bila bertanding jawatan Timbalan Presiden UMNO.

warlord UMNO

Dalam prinsip demokrasi, sesiapa pun boleh bertanding dalam apa-apa jawatan dalam parti kerana itu adalah asasnya yang paling wahid. Berdasarkan perspektif itu, bermakna demokrasi dalam UMNO semakin menipis dan sedang dinazakkan oleh warlord dan tindakan mengekalkan kuasa. Dalam UMNO (B) seolah-olah muncul ‘political baron’ sedangkan sebelumnya, tidak berlaku. Tahun 1978, Haji Sulaiman Palestin mencabar Tun Hussein Onn dalam pemilihan jawatan Presiden UMNO, yang menyaksikan Hussein Onn menang dengan 898 undi dan Haji Sulaiman sekadar berjaya meraih 250 undi. Sebelumnya, Tunku Abdul Rahman turut menyertai persaingan merebut jawatan tertinggi (Yang di Pertua UMNO) parti itu dengan CM Yusuf pada tahun 1952. CM Yusuf tewas.

Latar belakang itulah sebenarnya menarik minat saya untuk membaca buku Steven Lavitsky dan Daniel Ziblatt, How Democracies Die: What History Reveals About Our Future (Crown Publishing Group, New York: 2018) yang tajuknya sangat provokatif sebagaimana buku suntingan Bridget Welsh, The End of UMNO?: Essay on Malaysia Dominant Party (Petaling Jaya: SIRD, 2016). Masing-masing buku itu membawa persoalan terhadap ‘kematian’, yang hanya berbeza ialah Lavotsky dan Ziblatt membawa kepada sistem demokrasi yang lebih luas manakala Welsh meramalkan UMNO, sebuah parti dominan dalam politik Malaysia bakal menemui ajalnya.

Sebenarnya, ratib kepada UMNO sudah lama berlaku, sekurang-kurang pada tahun 2000, ada seorang penulis melihat keupayaan PAS untuk menguasai politik Malaysia dan menyingkirkan UMNO (Ibnu Hasyim, PAS Kuasai Malaysia?:1950-2000 Sejarah Kebangkitan dan Masa Depan, K.Lumpur: GG Edar, 1993). Syeh Hussein al-Attas (Pak Habib) pada tahun 1988 menerbitkan sebuah buku bertajuk Talqin Untuk UMNO  dengan mengungkapkan ‘kematian UMNO’ yang dibunuh di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 4 Februari 1988 atas desakan Geng 11. Geng 11 sebenarnya mahukan keputusan pemilihan UMNO 1987 dibatalkan dan diadakan pemilihan semula, tetapi Dr Mahathir berdegil. Mahathir takut kedudukannya tercabar kerana beliau menangpun hanya dengan kelebihan 43 undi.

UMNO belum menemui ajalnya walaupun tewas dalam Pilihan Raya Umum 2018 dan hayatnya seumpama ‘nyawa-nyawa ikan’ kerana hanya mampu menguasai dua buah negeri, iaitu Pahang dan Perlis. UMNO tewas di 10 buah negeri (Semenanjung tidak termasuk Wilayah Persekutuan, tiada kerusi DUN), termasuk Johor yang merupakan kubu kuat dan juga ‘tanah tumpah darah’nya. UMNO sudah lama tewas di Selangor (2008), Perak (2008), Kelantan (1964, 1990), Terengganu (1999 dan 2018), Kedah (2008 dan 2018), dan Negeri Sembilan dan  Melaka (2018).  Sabah akhirnya jatuh ke pihak gabungan Warisan apabila wakil rakyat UMNO menyokong Warisan selepas beberapa jam Musa Aman mengangkat sumpah (2018).

Kekalahan itu juga menyebabkan UMNO kehilangan tampuk kuasa yang dipeganginya selama 61 tahun (1957-2018) dan episod baharu politik Malaysia dikuasai oleh blok pembangkang dengan ‘aura Dr Mahathir’ selaku penerus semangat ‘menjatuhkan legasi Perikatan/BN’ selepas Anwar gagal melakukannya pada tahun 2008 dan 2013 (menerusi Pakatan Rakyat).

Kini, UMNO masih terkial-kial untuk menghapuskan ‘belenggu’ atau defisit kepercayaan pengundi lama dan pengundi baharu, walaupun belum bersedia untuk ‘mati’ sepenuhnya. Apakah UMNO masih ada kekuatan untuk melakukan ‘turn-around’ dalam keadaan tongkatnya ‘sekerat patah’ dan ‘suaranya tenggelam-timbul’ akibat tidak ingin membaca ‘makna daripada petunjuk dan tanda’ yang muncul di alam ‘mimpi’  masih seumpama raksaksa?

Matikah demokrasi?

Buku How Democracies Die membawa saya ke pemahaman yang lebih mendalam mengenai corak dan bentuk amalan demokrasi dalam perspektif kajian sains politik kerana dua orang ilmuan daripada University Harvard itu membuat satu tafsiran cara-cara demokrasi akan musnah atau berakhir. Meskipun mereka sebenarnya melihat lanskap politik demokrasi yang sedang berlaku di Amerika Syarikat yang menjadi sejarah besar kemenangan Donald Trump dalam pemilihan presiden pada tahun 2016 dan jejak-jejak yang jelek dalam rentang pentadbiran taikun hartanah yang tiada pengalaman sebagai ‘politikus’ dalam dua tahun terawal (sehingga buku itu diterbitkan 2018). Zilbatt mempunyai pengalaman yang lama mengenai sejarah politik Eropah manakala Levitsky banyak membuat kajian di Amerika Latin.

Kemenangan Donald Trump, yang cukup banyak dikaitkan dengan pembiakan persepsi berbanding realiti, telah menghasilkan corak politik yang cukup berbeza dengan pemimpin-pemimpin Amerika Syarikatnya sebelumnya, rentang sejarah demokrasi yang panjang sejak negara itu merdeka dan bebas daripada koloni Britain pada tahun 1776. Era pentadbiran Donald Trump timbul pelbagai kesan terbitan terhadap kecurigaan, selekoh perkauman yang tajam, serta politik diplomasi luar negara yang merbahaya. Trump tidak merasakan dirinya bersalah dan patut disalahkan kerana itulah tafsiran terbaiknya bagi mengembalikan ‘nilai-nilai Amerika’ dan ‘kembali gagah’. Ada pertautan dengan kisah adiwira jelmaan Hollywood, walaupun secara kasar kelihatan tidak lojik dan ‘masuk akal’ dibingkaikan dalam perspektif ‘imajinasi politik Donald Trump’.

kubu kecurigaan

Masyarakat Amerika Syarikat bukan sahaja terpecah seumpama ‘kisah kabilah pada zaman klasik’ bahkan menukarkan sketsa politik kejujuran, tanggungjawab bersama dan kebenaran dalam manifestasi. Bagi Donald Trump, nasionalisme kulit putih atau white supremacy itu adalah segala-galanya, dan kerana itu setiap perilaku politiknya menjurus kepada binari kebencian dan persaingan sengit antara kubu kecurigaan.

Dalam menterjemahkan ‘American Great Again’, Donald Trump boleh sahaja membelasah mana-mana negara tidak mendokong slogan itu. Ketika menghadiri mesyuarat G7 di Kanada, Trump mengkritik Perdana Menteri Kanada Justin Trudeau dengan berkata “amat tidak jujur dan lemah”. Kenapa? Sebabnya ketika Donald Trump memperkenalkan dasar imigran yang menyekat kemasukan rakyat daripada beberapa buah negara Islam (antaranya Libya, Iran, Somalia dan Syria), Kanada bersedia menerima mereka untuk bekerja dan tinggal di sana. Sekatan itu sebenarnya membangkitkan kemarahan rakyat Amerika Syarikat sendiri kerana tanpa kemasukan imigran, sebahagian operasi ekonomi akan terjejas.

Galakan Trump kepada pelabur-pelabur Amerika Syarikat untuk mempertingkatkan pelaburan dalam negara sebagai faktor menyediakan pekerjaan kepada rakyatnya menampakkan kecenderungan “America for American” yang akhirnya menjerut ekonomi. Produk yang dihasilkan di Amerika akan menjadi lebih mahal, kerana bayaran upah pekerja mengikut undang-undang Amerika dan dibayar dalam bentuk dolar.

Ia berbeza dengan pelaburan di luar negara, terutama negara-negara membangun yang sebahagiannya tidak mempunyai dasar ‘gaji minimum’ dan dibayar dalam bentuk mata wang negara berkenaan, yang nilainya adalah lebih rendah berkali ganda daripada dolar. Ini membolehkan kos pengeluaran direndahkan, dan mampu meningkatkan daya saing dengan produk berjenama Amerika yang dihasilkan secara kontrak atau pengilangan di luar negara.

Rakyat Amerika belajar daripada kemelesetan ekonomi yang berlaku pada tahun 1986/1987 bila mana terpaksa memohon bantuan Jepun untuk berkembang semula. Amerika mendesak Jepun menurunkan nilai Yen bagi menjadikan harga produk mereka mampu bersaing. Namun hal itu tidak dapat dilakukan selepas Amerika Syarikat mengalami pertumbuhan yang perlahan berbanding dengan China selepas tahun 2010.

China pula tidak bersedia meningkatkan  nilai yuan, dan menghasilkan produk yang lebih murah daripada jenama Amerika, yang akhirnya, memaksa Amerika melancarkan pelbagai serangan ke atas China. Serangan itu bermula dengan kenaikan tariff produk China yang memasuki pasaran Amerika, yang kemudiannya turut dibalas oleh China. Ertinya, dalam ukuran tertentu, Amerika tetap kalah. China semakin agresif melebarkan pelaburannya di mana-mana negara, termasuk di Amerika sendiri.

China juga agresif membeli entiti perniagaan yang bermasalah misalnya dalam industri automotif. Ia membantu China untuk mengeksport produk automotif ke seluruh dunia sehingga berjaya mencabar industri kereta di Eropah dan Amerika Syarikat sendiri, kecuali kereta berjenama mewah (BMW, Mercedes, Audi dan Daimler). Pengusaha industri kereta Amerika terpaksa mengeluarkan jenama khusus untuk jualan di China, seperti jenama Buick yang asalnya Cadillac oleh General Motors.

China mempunyai pasaran yang begitu besar manakala jumlah mereka yang kaya (jutawan) semakin meningkat ekoran perubahan dasar ekonomi kepada kapitalisme. Perniagaan dalam talian Alibaba mencatatkan keuntungan tahunan yang lebih lumayan berbanding Amazon.com dalam platform e-dagang Eropah dan Amerika Syarikat. Dengan kekayaan yang dimiliki oleh pengasasnya, Jack Ma menjadikan beliau orang yang terkaya di China dan menduduki tangga ke-7 di dunia pada tahun 2014.

tolong  ‘balas dendam’

Levitsky dan Zilbatt memulakan kisah dongeng seekor kuda yang kalah bertarung dengan seekor rusa. Kuda itu menemui seorang pemburu dan meminta pertolongan untuk membalas dendam. Pemburu itu bersetuju dengan syarat, dibenarkan memasang besi di rahang dan pelana di belakang. Syarat itu diperlukan bagi memudahkan pemburu mengawal kuda ketika ‘membalas dendam’ kepada rusa.  Masing-masing setuju dengan syarat yang ditetapkan, maka dalam pertarungan ‘balas dendam’ itu kuda menang.

Setelah menang dan perlawanan tamat, kuda memohon agar dirinya dilepaskan daripada belenggu besi di rahang dan pelana di belakang. Si pemburu enggan melakukannya, kerana “Kamu sekarang sudah di bawah kawalan saya. Maaf, saya tidak akan membebaskanmu untuk selama-lamanya”. Inilah yang dimaksudkan sebagai tunggang-menunggang dalam politik ‘demokrasi’ dan tindakan tersebut bukanlah sesuatu yang aneh. Kuda memohon si pemburu untuk membalasa dendam, tetapi kerana kuda sudah dikawal oleh si pemburu, maka selama-lamanya akan menjadi tunggangan si pemburu.

Dalam senario politik, si pemburu itu adalah politikus. Kuda dan rusa adalah pengundi atau kelompok politik. Tentunya, setelah politikus mendapat kuasa, pengundi akan ditungganginya atas nama kuasa, hanya diperlukan semula bila munculnya pilihan raya. Ertinya, mungkin sedikit berbeza, oleh kerana politikus memerlukan sokongan kelompok tertentu, maka kelompok itulah akan mengawal selama-lamanya. Kita mungkin boleh andaikan bagaimana Donald Trump dikawal oleh pihak tertentu sehingga sanggup ditunggang untuk memenuhi aspirasi kelompok yang membantu kemenangannnya.

Trump autokratik

Bagi Levitsky dan Zilbatt, demokrasi boleh dikalahkan atau dimatikan oleh tingkahlaku orang yang mendapat kuasa daripada sistem demokrasi itu sendiri. Demokrasi hanya diperlukan ketika pengundi berkuasa menentukan kemenangan seseorang, tetapi, setelah mendapat kuasa, demokrasi tidak lagi menjadi kerangka tindakannya. Ya! Donald Trump tidak mengupayakan kedua entiti dalam sistem politik Amerika Syarikat –Senat dan Konggress—ketika membuat keputusan mengiktiraf Baitul Maqdis sebagai ibu negara Israel, menarik diri daripada Perjanjian Perubahan Iklim (2015), menyerang China dalam perang perdagangan, menarik diri daripada perjanjian nuklear dengan Iran, memecat begitu ramai pegawai dalam CIA, FBI, hakim dan peguam, pembantu White House dan melantik anak dan menantunya menyertai pasukan pentadbiran White House. Tindakan Trump hampir kesemuanya bersifat autokratik.

Inilah paradoks sistem demokrasi. Dari perspektif asalnya, ia bersifat bottom-up (dari bawah ke atas) dan dalam membuat keputusan, ia tidak lagi bermula dari bawah, ia bersifat dari atas ke bawah. Keputusan dari atas ke bawah itu lebih menepati makna autokratik, kerana golongan yang lebih ramai terpaksa akur dengan keputusan seorang, tanpa boleh dan diberikan ruang untuk dibahas terlebih dahulu. Keputusan itu menjadi arahan atau dasar yang perlu dipatuhi, dan inilah yang berlaku ketika Melania Trump mendorong Trump memecat     Timbalan Penasihat Keselamatan, Mira Racardel kerana tidak berpuas hati dengan layanan yang diberikan semasa melawat Afrika bulan November 2018.

Demokrasi ‘mati’ juga disebabkan adanya kerjasama antara demagog (aktivis yang pandai menghasut) dan ektremis. Levitsky dan Zilbatt mengambil contoh kerjasama antara Mussolini dan Hitler, yang memperoleh kuasa menerusi proses mempengaruhi rakyat. Akhirnya kededuanya muncul sebagai “hantu kemanusiaan’ yang membunuh dan bertindak zalim.

Levitsky dan Zilbatt turut memberikan cadangan bagaimana menyelamatkan demokrasi: (1) mencegah seorang demagog atau seorang oportunis bekerjasama dalam perihal perundangan dengan menggandingkan tokoh moderat dan pemimpin politik utama; (2) perlembagaan atau perundangan semata-mata tidak cukup kuat untuk menyelamatkan demokrasi, maka diperlukan beberapa norma yang lain (saling bertoleransi dan menghargai lawan politik selayaknya). Mengenai kaedah mencegah kemasukan oportunis, Levitsky dan Zilbatt menjelaskan empat ciri utama, (1) menolak kaedah ‘rules of games’; (2) menolak kebasahan undang-undang lawan politik; (3) bertoleransi atau setuju dengan kekerasan; (4) ada batasan terhadap kebebasan hak-hak awam dan media.

Ya! Kebebasan tanpa batas memang boleh menghancurkan demokrasi. Ini kerana setiap orang boleh lakukan apa sahaja dan jika tindakannya disekat, akan dipasakkan bahawa ia bertentangan dengan hak asasi dan kebebasan. Maknanya, kebebasan memang dibenarkan tetapi ada syarat dan asasnya. Kebebasan tidak disalahgunakan untuk merombak nilai-nilai yang telah mapan dalam kehidupan politik, misalnya, proses pemilihan pemimpin secara terbuka dan adil.

kesabaran institusi

Ertinya, jika mereka yang memegang kuasa menunjukkan sikap berpihak dan bias, maka sesebuah parti akan mengalami perpecahan dan berantakan. Dan, inilah yang berlaku dalam UMNO pada tahun 1981 dan 1984, akibat kecenderungan Dr Mahathir untuk memastikan Musa Hitam menang. Ia kemudiannya menjadikan UMNO dikuasai oleh warlords.

Hal yang sama berlaku dalam PKR. Walaupun PKR mendakwa bahawa parti itu mengamalkan pemilihan paling demokratik, bibit-bibit perpecahan sudah mula berlaku bila Anwar Ibrahim mengeluarkan senarai siapakah yang sepatutnya dipilih. Ia kemudiannya membengkak ‘rasa marah Azmin Ali’ sehingga akhirnya beliau membuat keputusan menentang Anwar Ibrahim yang mendesak proses peralihan kuasa dengan Dr Mahathir sehingga melahirkan Langkah Sheraton. Ia bukan sahaja menjadikan PKR berpecah, bahkan Azmin berjaya meyakinkan rakan-rakannya yang lain untuk bergabung bersama Bersatu setelah Dr Mahathir enggan melakukannya pada 23 Februari 2020. Itulah yang dikatakan oleh Levitsky dan Zilbatt, untuk mengekalkan demokrasi, para pelaku mestilah menunjukkan kesabaran secara institutional (institutional forbearance).

Maknanya, secara institusi, ia perlu menggandingkan semua budaya politik agar ia bercampur dengan baik dan boleh saling bekerjasama, bukannya saling bertelingkah. Bila mereka yang tidak sehaluan orientasi pemikiran politiknya diasing atau dikenakan tindakan, mereka akan muncul sebagai penyumbang terbesar meruntuhkan kekuatan organisasi sehingga terkeluar daripada amalan dan budaya demokrasi.

Sebaliknya, atas nama demokrasi mereka memberikan hujah dan mewajarkan tindakan yang bertentangan. Dengan mendakwa mereka yang bertentangan sebagai ‘pengkhianat’ ia turut menjadikan demokrasi semakin hilang sifat dan bentuknya. Ia membawa kepada renjatan atau penentangan yang lebih besar seperti dihadapi oleh Dr Mahathir ketika bangkitnya semangat Reformasi (1998) ekoran pemecatan Anwar Ibrahim. Ertinya, demokrasi ditentang dengan demokrasi dalam versi yang berbeza seolah-olah terbentuk binari kuasa dari atas dan dari bawah.

Dalam ruang lingkup perundangan atau perlembagaan, ada dinyatakan mengenai hak-hak khusus di mana Kongress berhak melaksanakan hak-hak perlembagaan seperti pemakzulan (impeachment), menolak pembahagian peruntukan, tidak bersetuju dengan menteri yang dipilih oleh presiden. Ia disebut sebagai bom politik (constitutional hardball). Jika dilaksanakan juga, tanpa mengambil kira pertentangan-pertentangan tersebut, akan menyebabkan berlakunya deadlock, atau menemui jalan buntu dan kerana itulah ia memerlukan kesabaran institusi, harus dikendalikan secara bertahap dan penuh rundingan yang sah dari segi peruntukan undang-undang.

Tentunya kita boleh memahami apa yang dimaksudakan oleh Levitsky dan Zilbatt mengenai keperluan dan kearifan moral dalam menyegarkan demokrasi yang dibincang sepanjang 20 halaman di dalam bab 9, How Democracies Die. Ia boleh disamakan dengan pendekatan akhlak dalam kerangka politik Islam. Bezanya dengan politik Amerika Syarikat, tidak dibingkaikan dengan kerangka agama, maka moral itu mungkin sesuatu yang tidak bersempadan dengan jelas, masih bersandarkan kepada lojik akal atau rasional.

Politik Islam

Dalam politik Islam, akhlak itu mendekati apa yang dikenali sebagai amar makruf dan nahi mungkar. Jika tindakan itu membawa kepada kemungkaran, ia dilihat melanggar prinsip akhlak, misalnya menuduh seseorang yang kekal dengan keyakinan bahawa semua yang beragama Islam itu bersaudara, tanpa dipisahkan oleh kecenderungan menyokong sesebuah parti politik, secara jelas yang menuduh ‘orang lain itu kafir’ adalah satu tindakan tidak berakhlak.  Suatu tindakan yang melanggar batas-batas Islam, walaupun orang yang membuat dakwaan itu adalah seorang yang tinggi pengetahuan agamanya atau berstatus Tok Guru.

Saya akhirnya melihat dengan menarik apa yang disebut oleh Levitsky dan Zilbatt bahawa : “Semasa rejim jelas ‘melangkaui batas’ memasuki kediktatoran, tidak ada yang dapat menjadikan loceng masyarakat berbunyi. Mereka yang mengecam tindakan kerajaan barangkali boleh dianggap berlebihan atau sememangnya menipu. Hakisan demokrasi itu hampir tidak dirasai oleh kebanyakan orang.”

Ia berlaku kerana ada ketaksuban seseorang kepada seseorang politikus. Atas ironi ketaksuban itu tidak lagi dipedulikan apa yang sedang dilakukan dan juga menilai semula asal-usulnya, semuanya hampir terkambus oleh karismatik yang menyeruak harum sebagai aura. Itulah yang kita lihat apa yang sedang berlaku dalam politik di Malaysia sehingga ‘kesalahan’ boleh diketepikan secara mudah sedangkan ia adalah besar kesannya kepada orang kebanyakan. Apakah karismatik seseorang itu mampu ‘menutup bangkai gajah’ yang telah dilakukan?

Buku ini adalah ‘amaran tentang loceng demokrasi’ dan loceng itu sudah pun berbunyi dalam kemelut politik akibat keengganan Donald Trump mengakui kekalahannya di tangan Joe Biden. Trump berusaha menggunakan undang-undang untuk menyekat Joe Biden, sayangnya, Trump tidak menemukan bukti yang memadai bagi mengesahkan adanya penipuan dalam proses pengiraan undi. Dua buah negeri –Georgia dan Pensylvania—sudah menolak petisyen yang diajukan oleh pasukan peguam Trump, dan kedegilan Trump itu adalah sebahagian daripada kebobrokan demokrasi Amerika Syarikat, yang secara sinisnya boleh kita menyatakan, Ya! Dalam sesetengah situasi, demokrasi sebenarnya sudah lama mati dan akan terus dimatikan selagi takrif ‘gila kuasa’ tidak dapat dimuktamadkan secara konsensus.

Biarpun perspektif perbincangan buku How Democracies Die bersifat akademik, ia perlu difahami dengan jelas oleh mereka yang berminat dengan apa sahaja yang bersifat dan boleh dikaitkan dengan politik, termasuk seorang pengundi yang kritikal atau pemimpin politik yang semberono. Semoga setiap orang yang melihat demokrasi sebagai bentuk yang terbaik dan paling mujarab untuk mengubat ‘luka politik’ atau ‘petua terbaik’ berjalan atas landasan politik dapat membunyikan loceng kecemasan sekiranya demagog atau oportunis silih bersilat mengenainya.

Saya kira, mungkin boleh dibacakan bersama buku David Runciman, How Democracy Ends (Profile Books Limited, 2019) kerana sama-sama melihat Trump dengan pertimbangan paranoid populism  yang menyebabkan demokrasi kehilangan makna dan menerobos euforia. Trump benar-benar deeper problem untuk rakyat Amerika Syarikat dan masyarakat antarabangsa yang mendokong demokrasi, bukannya demo-crazy.

 

Kamarun KH

Translate »