Asal sahaja perempuan, ada sahaja perkara yang tidak beres. Tidak beres kerana ada rasa takut dan sangsi.

Asal sahaja perempuan, ada hal seringkali menjadi lewat. Apa tidaknya, sudah lebih setengah menunggu masih belum ‘yakin’ sudah cukup tatariasnya untuk keluar rumah. Entah apa yang dibuatnya, mungkin terasa ‘tidak masuk’ warna baju, beg tangan dan tudung.

Asal sahaja perempuan, ada kematu di punggung. Apa tidaknya, katanya mahu sekejap, tetapi bila jumpa kawan lama, walaupun sebelumnya berjam-jam cakap dalam telefon atau membalas mesej whatsapp, bila ketemu tidak cukup sejam berborak.

Asal sahaja perempuan, ada rasa rimas ketika mendengar berita ada kawan lama (rakan sekolah) akan tiba.Apa tidaknya, rumah perlu dikemaskan, nati kawan-kawan melihatnya seperti tidak terurus. Bahan mentah untuk dimasak, perlu dibeli sehari sebelumnya kerana khuatir, bila mereka sampai, tiada juadah yang terhidang. Sanggup bangun jam tiga pagi memasak.

kesunyian

Walaupun resah, rimas dan memenatkan dalam hidup seorang lelaki tidak boleh terpisah dengan perempuan. Kalau tiada perempuan, tiada pertambahan zuriat. Kalau tiada perempuan, rumah terasa tiada berseri. Kalau tiada perempuan, lelaki hidup dalam kesunyian apatah lagi ketika usia meningkat tua. Anak-anak semuanya hidup berjauhan dan mempunyai kerjaya serta keluarga masing-masing.

Mungkin sesekali terasa meriah, bila anak cucu kembali menziarahi ‘orang tua’ mereka walaupun ‘orang tua’ tidak mengharapkan titipan wang belanja. Cukup sekadar ‘diingati’ dan bukan dilupakan oleh kesibukan mengurus rumah tangga sendiri ataupun kerjaya.

‘Orang tua’ faham kerana perlu melalui keadaan yang sama ketika membanting keringat membina keluarga dan mencari rezeki menyekolahkan mereka. Tetapi, kadangkala dalam ‘kebuntuan berfikir’ ada ketikanya ‘orang tua’ merasakan lebih baik mempunyai ‘seorang anak cacat’ kerana boleh menemani hari-hari tua. Itulah dikatakan ‘anak syurga’ kerana sebagai ‘orang tua’ tidak terasa jemu untuk menjaga dan melayannya, walaupun terasa letih dan tidak terdaya.

Tetapi, dengan ‘anak cacat’ itu setiap hari ‘orang tua’ hidup berteman, boleh bercakap dan bersembang. Biarpun ada perkara yang tidak difahami atau sekadar tersenyum bila mendengarnya.

Mencari rezeki

Perempuan mahupun ‘anak cacat’ adalah tanggungjawab seorang lelaki untuk menjaga, memberikan panduan dan melengkapkan keperluannya, jasmani dan rohani. Sebagai seorang lelaki, yang sebahagian masa mudanya bejauhan dengan ‘buah hati’ kerana tanggungjawabnya mencari rezeki, kadangkala menjadi ‘beban kepada seorang perempuan’ apabila sudah bersara.

Maksudnya, tiada lagi masa-masa sekurang-kurangnya lapan atau sepuluh jam bekerja dan berada di pejabat. Seluruh masanya di rumah, yang kadangkala terasa bosan apabila seorang perempuan mengeluh penat untuk melayan suaminya.

Kalau dahulunya, punya masa untuk berehat kerana ‘lelaki’ hanya pulang makan malam. Mungkin makan pagi dan tengah hari diambil sahaja di kantin-kantin atau cafeteria yang ada di sekitar pejabat. Cuma hari cuti atau minggu perempuan jadi sedikit sibuk, untuk juadah makan pagi, makan tengah hari, minum petang dan makan malam. Juadah makan tengah hari dan makan malam mungkin sama, kerana lauk-pauk boleh dipanaskan semula.

Berapa lama seorang perempuan mampu bertahan. Dua hari, dua bulan, dua tahun atau selama-lamanya. Saya tidak pasti, tetapi setelah lebih empat tahun bersara, ada resah, rungutan dan kurang selesa bila setiap hari menghabiskan masa di rumah, apatah dalam keadaan ‘emosi terkurung’ akibat PKP, PKPP, dan kini disambung dengan PKPB.

Sejak pertengahan Mac lalu, hanya bulan September ada sedikit kelegaan bila boleh jalan-jalan ke sana ke mari, menikmati iklim sejuk di kawasan rehat tanah tinggi, bersantai di pantai yang pantainya memanjang, pasir yang memutih dan batu-batan penghadang tiupan angin, pokok-pokok yang merendang untuk bertuduh daripada disambar pedihnya kulit panasnya mentari, atau jalan-jalan cari makan yang tular di media sosial.

Tidak cukup ruang

Semuanya seakan-akan terhenti meskipun masih ada kekuatan untuk ‘jalan-jalan’ dan memandu dalam jarak jauh. Tetapi, bila memikirkan persiapan terlalu lambat kerana perempuan membawa pakaian lebih banyak, kadangkala berperang dengan ‘muatan’ sebab boot kereta sudah tidak cukup ruang.

Dan, tentunya semakin menyesakkan bila ada buah tangan yang hendak dibawa pulang untuk ole-oleh anak cucu, sahabat dan jiran. Belum lagi dicampur dengan pesanan rakan-rakan, yang kadangkala dibuat menerusi pesanan ringkas, yang kadangkala memerlukan masa untuk mendapatkannya. Perlu mencari dan bertanya pula tentang spesifikasinya, takut-takut bila dibeli terasa tidak sesuai mahupun tidak berkenan di hati.

Suatu hari, seperti hari-hari biasa, selepas sholat subuh, masa yang paling tenang untuk saya ‘mengolah fikiran’ sama ada membaca, menulis atau merenung pertambahan usia dan membaca makna dari alam, saya teringatkan sesuatu yang telah lama saya simpan. Masalahnya, saya lupa di mana menyimpannya. Lalu saya tanya kepada seorang perempuan yang ada di rumah, iaitu isteri saya sendiri.

Ada nampak benda yang saya cari?” Dia sedang memerhatikan gelagat saya mencari. Bermula dari atas meja, dalam laci, di tepi timbunan buku-buku dan di celah-celah fail yang menyimpan pelbagai dokumen peribadi, keratan akhbar, cetakan komputer dan sebagainya. Saya masih belum jumpa. Saya tanya sekali lagi, kalau-kalau perempuan itu pernah menemuinya atau ternampak.

Lalu dijawabnya, “kalau simpan, mesti tidak jumpa bila dicari. Lain kali gantung sahaja pada leher, mesti senang diperoleh”. Saya sedikit tercengang dengan kenyataan itu. Namun, saya terus mencari di ruang yang lain, termasuk di dalam beberapa buah beg sandang yang pernah saya gunakan setiap pagi ketika bergegas ke pejabat.

stesen ikonik

Beg sandang itu adalah kewajipan bagi saya. Di dalamnya saya masukkkan beberapa buah buku yang bakal say abaca dalam kenderaan awam atau ketika menunggu ketibaan komuter. Saya berulang-alik ke pejabat menggunakan kenderaan awam, khususnya komuter. Saya menaiki tren komuter jam 6.30 pagi di stesen Sungai Buloh hingga ke stesen Serdang sebelum KTM komuter mengubah haluan perjalanan dari Rawang ke Seremban.

Setelah perubahan laluan perjalanan, saya mengambil komuter hingga ke stesen Kuala Lumpur yang merupakan stesen ikonik KTM sekian lama sebelum berpindah ke KL Sentral. Dari stesen Kuala Lumpur saya menapak menggunakan jejantas untuk ke seberang jalan, di tepi Sungai Kelang, kerana bas ikut jalan itu untuk ke Putrajaya. Saya berhenti di Parcel E, dan menapak sekitar 10 minit untuk sampai ke pejabat.

Alhamdullillah, sekiranya tiada apa halangan, kesesakan lalu lintas dan jadual perjalanan komuter dan bas tepat, saya boleh sampai ke pejabat sebelum jam 8 pagi. Waktu kerja anjal yang saya pilih ialah W3, iaitu antara jam 8.30 pagi hingga 5.30 petang. Itulah rutin saya sejak ditukarkan ke Putrajaya. Selama lapan tahun saya menjalani kehidupan begitu, kecuali ketika saya bercuti atau bertugas di luar kawasan.

Misi pencarian belum selesai. Apa yang saya cari belum ketemui. Sudah hampir sejam, masih belum jumpa. Bau ‘harum’ sudah terhidu akibat peluh dan punggah memunggah dan menyimpan semula. Saya berhenti seketika, dan akhirnya membuat keputusan tidak mencarinya kerana mungkin akan disambung di lain waktu.

Saya menyambung semula kebiasaan. Menghidupkan suis komputer riba, sambil berfikir-fikir apa yang hendak ditulis untuk hari itu. Sebelum memulakan penulisan, saya cuba mencari ilham daripada pelbagai sumber di internet termasuk membaca portal mahupun dokumen-dokumen yang mudah diakses, kerana sebahagian dokumen yang kita cari di Google, kadangkala menjerat.

ruang mereka’

Kita diperlukan menjadi ahli dan memuatnaik aplikasi tertentu, kerana masing-masing mahukan hak memasuki ruang eksklusif mereka. Apabila kita berada dalam ‘ruang mereka’ ruang kita di komputer riba atau telefon pintar menjadi semakin sesak. Kita juga dibebani dengan cookies yang tidak perlu. Kita juga akan disambut dengan pelbagai iklan yang membosankan. Kita juga akan diperingatkan dengan pelbagai notifikasi yang kadangkala amat tidak kita perlu.

Dunia portal menjadi semakin sibuk, kerana pengendali portal turut terdesak untuk mendapat sumber iklan bagi meneruskan kelangsungannya. Biarpun setiap pelanggan dikenakan bayaran, sebagai yuran langganan untuk membolehkan membaca sepenuhnya berita atau rencana yang disiarkan, termasuk yang disimpan sebagai arkib.

Setakat ini saya belum melangganinya, masih menyukai akhbar dalam bentuk fizikal. Ia lebih mudah disimpan berbanding secara dalam talian, kadangkala penyimpanannya turut menyebabkan sukar dicari lagi, memerlukan kemahiran mengurus fail secara digital.

Kalau disimpan dalam dropbox, ia memerlukan sedikit bayaran. Bila tidak membayaran yuran tahunan, sukar untuk memperoleh semula apa yang disimpan dalam perkhidmatan penyetoran itu. Ianya sesuatu yang tidak saya pelajari dan belajar. Saya hanya belajar menggunakan perisian-perisian tertentu, yang kadangkala meminta bantuan rakan-rakan dan generasi M (milenial) untuk membantu.

Saya dilatih di peringkat awal penulisan menggunakan portable typewriter, yang sekarang sudah menjadi klasik dan obsolete.  Bahkan, yang terbaharu Google Photo pun akan mula mengenakan caj penyetoran gambar kita di ruangannya mulai tahun hadapan (2021), semuanya menjadkan Cash is King, bukan sahaja kepada ahli politik, bahkan kita juga. Biarpun ada yang berkata, kebahagiaan, ketenangan, kesihatan tidak boleh dibeli dengan wang. Sebahagiannya menjadikan kita tersintak, kerana bila orang mengukur kebahagiaan berdasarkan jumlah aset yang dipunyai.

Dalam sebuah video, seorang perempuan memberitahu anaknya, juga seorang perempuan agar memilih teman lelaki yang berduit, biarpun sebagai isteri kedua atau berusia. Sebabnya, mudah, lelaki muda tidak ada wang, yang ada hanyalah ‘benda’ itu sahaja.

lelaki berusia

Katanya, “kita tidak boleh hidup benda itu sahaja. Kita perlukan duit, dan semuanya memerlukan duit. Untuk berpakaian cantik-cantik, kita perlukan duit. Untuk sentiasa kelihatan cantik, kita perlukan duit. Untuk jaga kesihatan, kita perlukan duit—beli jamu, supplement dan perkakasan senaman di rumah. Untuk makan pun perlukan duit kerana bahannya tidak kita peroleh secara percuma.”

Sebab itulah lelaki berusia memang tinggi sahamnya berbanding perempuan yang berusia. Perempuan yang berusia nenek, belum tentu dapat memikat lelaki untuk dijadikan suami. Tetapi, lelaki seusia datuk, masih boleh berkahwin dengan perempuan belasan tahun, atau perempuan setengah baya yang merasakan dirinya sudah ‘tidak punya’ dan sukar mendapat jodoh.

Seorang perempuan, ada ketikanya memerlukan seorang lelaki dalam hidupnya. Tetapi, seorang lelaki sentiasa memerlukan kehadiran seorang perempuan. Sebab itulah ramai lelaki kahwin sekali lagi bila isterinya meninggal dunia. Ramai perempuan tidak berkahwin semula bila kematian suami. Banyak perkara yang difikirkan. Banyak perkara yang disoalkannya, termasuk kebolehterimaan anak-anak dan keikhlasan seorang lelaki.

sangat provokatif

Beberapa hari lalu, seorang rakan saya mempostingkan secebis ungkapan yang cukup bersahaja, tetapi penuh makna. Rakan itu juga seorang yang belum cukup dua tahun berpencen. Tulisnya, “Apakah jenis kesalahan seseorang suami yang membolehkan isteri memaki-hamunnya?”. Masya Allah, suatu pertanyaan yang sangat provokatif. Sukar untuk juga dijawab, kerana ia tergantung kepada ‘hati dan perasaan seorang perempuan’. Jika seorang perempuan itu ‘terbuka minda’nya dan tidak emosional, hal begitu tidak akan terjadi.

Seorang perempuan yang baik-baik, yang memahami hukum kerukunan hidup bersama tidak akan memaki-hamun suaminya sendiri dalam keadaan apa pun. Saya teringat kepada sebuah video daripada seorang ustazah, ‘ladang pahala seorang perempuan ialah suaminya’. Terasa bahagia hidup ini jika seorang isteri sentiasa bersikap lemah-lembut kepada suami, walaupun suami berada dalam situasi musibah dan tidak stabil. (BERSAMBUNG)

 

KAMARUN KH

Translate »