Joe Biden secara asasnya sudah pasti akan memasuki White House pada 20 Januari 2020 setelah Demokrat mencapai kemenangan besar dalam Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat yang diadakan pada 3 November 2020.

Dua hari selepas Pilihan Raya Presiden (PRP), Donald Trump masih mempertahankan andaian politiknya bahawa dia lebih berhak menduduki semula White House untuk penggal kedua berbanding Joe Biden yang dianggapnya sebagai pendatang baharu.

Media dan pemerhati politik meramalkan Joe Biden boleh menang selesa berbanding Donald Trump atas beberapa karakter dan peribadi kedua-dua pemimpin itu, terutama berhubung dengan sikap taikun hartanah yang tidak mengendahkan pandangan dan pendapat penasihatnya berhubung sesuatu keputusan dasar.

Donald Trump yang menang PRP tahun 2016 mengetepikan Hillary Clinton dengan 306 undi perwakilan menjadi sejarah besar buat Amerika Syarikat. Donald Trump tidak mempunyai apa-apa pengalaman dalam politik dan juga peringkat diplomatik antara negara, tetapi beliau ada pengalaman menarik mengenai perniagaan dan pembabitan dengan ramai wanita di seluruh dunia, termasuk skandal seksnya yang terkenal dengan jolokan “golden shower”.

Di awal keputusan tersebut, penyokong-penyokong Demokrat seperti membantah kemenangan Trump termasuk ada ancaman daripada negeri California untuk memikir semual penyertaannya dalam United States of America (USA), gabungan 50 buah negeri yang diasaskan bermula dengan Deklarasi Kemerdekaan Amerika Syarikat dari Koloni Inggeris pada 4 Julai 1776.

Antara tahun 1775 hingga 1781, Amerika Syarikat bergelut dengan Perang Revolusi. Tahun 1781, terbentuk kesatuan dibawah Artikel Konfederasi, tetapi hanya mampu bertahan selama tahun. Amerika Syarikat diiktiraf sebagai sebuah negara yang merdeka pada 3 September 1783 manakala perlembagaan bertulis telah disahkan diterima pada 21 Jun 1788.

Awalnya, ia hanya mengandungi 13 buah negeri. Ulang tahun kemerdekaan Amerika Syarikat disambut pada 4 Julai, iaitu sempena tarikh pengumuman pengisytiharan yang dirangka oleh Thomas Jefferson (1743-1826). Jefferson dipilih sebagai presiden ke-3 Amerika Syarikat selama dua penggal (1801-1809). Ketika itu, George Washington (1732-1799)  adalah presiden Amerika Syarikat pertama yang memerintah selama hampir lapan tahun penggal (30 April 1789 hingga 4 Mac 1797).

Dalam keputusan terbaharu, Joe Biden dijangka menang  306 undi perwakilan manakala Donald Trump sekadar mampu meraih 232 undi perwakilan. Keputusan jumlah unid perwakilan dijangka dapat diketahui secara rasmi sebelum akhir tahun 2020 berikutan beberapa dakwaan Donald Trump terhadap ‘penipuan undi’ di beberapa negeri belum dirujuk kepada Mahkamah Agung. Setakat ini, hanya dua buah negeri telah menolak petisyen yang dibuat oleh Donald Trump menerusi peguam Parti Republikan yang diketuai oleh Rudolph ‘Rudy’ Guliani, bekas Datuk Bandar New York ketika berlakunya serangan ke atas World Trade Center pada 11 September 2001.

PRP 2016, Donald Trump menang 306, iaitu menyamai jumlah undi perwakilan yang diramalkan dimenangi oleh Joe Biden. Jika ramalan itu tepat, Trump sebenarnya terpaksa menerima hakikat bahawa pengaruhnya adalah lebih kecil berbanding Hillary Clinton walaupun jumlah undi perwakilan adalah sama dengan apa yang diterima oleh lawannya selepas PRP 2016. Hillary masih dilihat sebagai ‘kekalahan yang bermaruah’ kerana undi popular berpihak kepadanya sedangkan untuk kali ini, undi popular berpihak kepada Joe Biden.

Setakat ini, Joe Biden dianggarkan memperoleh lebih 78 juta undi, iaitu dengan perbezaan lebih lima juta daripada Trump. Bahkan, undi yang diperoleh oleh Biden dikatakan sebagai keputusan bersejarah dalam politik Amerika Syarikat mengalahkan apa yang pernah diraih oleh Barrack Obama pada tahun 2008. Obama mendapat 69,498,516 undi ketika melawan Senator John McCain dari Parti Republikan.

Trump pada awal menunjukkan keengganannya menyerahkan kuasa kepada Joe Biden akhirnya mula mengakui kekalahannya dengan harapan beliau akan dicalonkan semula mewakili Parti Republikan untuk merebut jawatan presiden dalam PRP 2024. Menariknya, jika Trump dicalonkan semula pada tahun 2024, beliau akan mengulangi sejarah Joe Biden. Joe Biden menjadi calon presiden ketika berusia 77 tahun dan akan menduduki White House sebagai Presiden Amerika Syarikat ke-46 ketika berusia 78 tahun, merupakan presiden paling tua dalam sejarah politik negara kuasa besar itu.

Trump kini berusia 74 tahun, bermakna pada tahun 2024, beliau juga disifatkan sebagai calon presiden yang paling tua, memecahkan rekod yang dipegangnya sendiri, sebagai calon presiden tertua pada tahun 2016 (berusia 70 tahun). Rekod pengalaman politik sebelum dipilih sebagai presiden masih dipegang oleh Trump. Biden pernah bergandingan dengan Barrack Obama dan dilantik sebagai Naib Presiden selama dua penggal (2009-2017). Sebelumnya, Biden adalah Senator dari Delaware (1973-2009) dan menjadi ahli politik sejak berusia 29 tahun (1972). Ertinya, Joe Biden matang dengan selok belok politik Amerika Syarikat.

Berbeza dengan Trump, pendirian politiknya sentiasa bertukar-tukar, daripada Republikan (1987) kepada Parti Pembaharuan –Reform Party (1999), Demokratik (2001) dan kembali menyertai Republikan pada tahun 2009.  Ketika berkempen, Trump menggunakan slogan “Make America Great Again” yang dikembangkan menerusi nasionalisme politik “America for American”.

Tahun kemenangannya, 2016 diisytiharkan sebagai tahun post-truth yang banyak diperkatakan sebagai faktor kejayaan besar Trump. Post-truth adalah istilah yang merujuk kepada kekuatan pengaruh persepsi berbanding fakta sebenar, atau dalam istilah komunikasi ia dikaitkan dengan pembohongan dan smear politics, teknik kempen menyerang individu atau kumpulan secara fitnah dan semberono.

Untuk kempen 2020, Trump berusaha mengulangi slogan “Make America Great Again” tetapi kali ini tidak berjaya atas beberapa sebab. Antaranya, peribadi Trump selama empat tahun di White House dilihat begitu sombong dan angkuh. Hampir setiap bulan ada pegawai White House ataupun pemimpin tertentu dipecat kerana mempunyai pendirian yang bertentangan dengan kehendak dan pendapat presiden. Ia seumpama rentak Trump ketika mengendalikan program realiti The Apperantice, ‘You’re  fired!.”

Kekalahan Trump turut dikaitkan dengan caranya menangani wabak COVID-19 dan menjadi semakin angkuh bila melihatnya ‘kebal’, namun akhirnya turut disahkan positif (1 Oktober 2020) bersama-sama 18 orang yang lainnya. Lima hari lalu (20 November 2020), anak lelaki sulongnya, Donald Trump Jr (42 tahun) disahkan positif COVID-19. Sebelum itu, Trump dikritik kerana berusaha mendapatkan vaksin secara eksklusif dengan tawaran USD$ 1bilion daripada sebuah firma farmaseutikal dari Jerman.

Apabila wabak COVID-19 semakin sukar dikawal selepas diisytiharkan pandemik, Trump masih berbangga dengan tahap kemajuan kesihatan di Amerika Syarikat sebaliknya menyalahkan China dengan memanggil wabak itu sebagai ‘Wabak China” atau “Virus Wuhan”.

Kes pertama COVID-19 dikesan pertama kali di Amerika Syarikat pada 20 Januari 2020 apabila seorang wanita berusia 35 tahun yang lima hari sebelumnya pulang dari Wuhan (wilayah pertama dikesan dilanda wabak COVID-19). Sembilan hari kemudian, ditubuhkan Pasukan Petugas Koronavirus White House, dan dua selepasnya, Trump mengisytiharkan darurat kesihatan dan larangan kemasukan rakyat asing, terutama dari China. Tindakan White House di peringkat awal pandemik dikritik sebagai lemah dan amat perlahan. Trump dengan optimisnya menjelaskan Amerika Syarikat mampu mengawalnya dan jangkitannya terkawal.

Sehingga 3 Mei 2020, Amerika Syarikat merekodkan 1.13 juta kes positif dengan lebih 66 ribu kematian. Selepas China, Itali menjadi negara yang paling ramai dijangkiti COVID-19 dan kemudiannya, Amerika Syarikat menjadi negara paling besar dijangkiti COVID-19. Sehingga 23 September 2020, Amerika Syarikat mencatatkan kematian 200,182 kes menjadikan yang tertinggi selepas Brazil (137,271 kematian) dan India (88,935 kematian). Amerika Syarikat menyumbang 20 peratus kematian akibat COVID-19 di seluruh dunia.

Setakat 25 November 2020, jumlah kes seluruh dunia ialah 60,720,501 dengan kematian sebanyak 1,426,834 orang. Amerika Syarikat menyumbangkan 13,137,962 kes (21.63 peratus) dan kematian sejumlah 268,219 kes (18.8 peratus). Ia menjadi salah isu yang menggoncangkan harapan Trump untuk mengekalkan kedudukannya di penggal kedua, dan kini beliau sedang berada dalam senarai antara bekas presiden Amerika Syarikat yang hanya berkuasa selama sepenggal.

Trump akan mengiringi Goerge Herbert Bush (1924-2018) Ppresiden ke-41;  Jimmy Carter (lahir 1924), presiden ke-39);  John Adams (1735-1826), presiden ke-2;  John Quincy Adams (1767-1848), presiden ke-6; Martin van Buren (1782-1862), presiden ke-8;  Benjamin Harrison (1833-1901), presiden ke-23;  William H Taft (1857-1930), presiden ke-27;   dan Herbert Hoover (1874-1964), presiden ke-31.

Atau Trump akan mengulangi kejayaan Grover Cleveland (1837-1908), presiden ke-22 (4 Mac 1885- 4 Mac 1889) yang tewas kepada Benjamin Harrison (presiden ke-23 antara 4 Mac 1889-4 Mac 1893) dan menang semula untuk dilantik sebagai presiden ke-24 (4 Mac 1893- 4 Mac 1897). Ia masih belum diramalkan kerana pada tahun 2024, mungkin Parti Republikan mempunyai calon yang lebih baik walaupun ketika ini pengaruh Trump masih besar dalam lingkungan parti yang disifatkan sengat konservatif itu.

PRP 2020 mencacatkan dua sejarah besar, Joe Biden sebagai presiden tertua dan gandingannya, Kamala Haris sebagai Naib Presiden wanita pertama dan juga, orang pertama daripada kulit hitam menduduki jawatan tersebut. Sebelumnya, Barrack Obama merupakan orang pertama kulit hitam dipilih sebagai Presiden Amerika Syarikat. Ertinya, sejarah presiden kulit hitam pertama dipilih dalam tempoh 232 tahun selepas merdeka manakala wanita dipilih sebagai Naib Presiden pertama selepas 244 tahun.

Hillary Clinton adalah wanita pertama yang dicalonkan bertanding jawatan presiden selepas 240 tahun Amerika Syarikat merdeka. Ini bermakna, lebih 200 tahun politik Amerika Syarikat dikuasai oleh lelaki dan masih ada pandangan serong terhadap keupayaan politikus wanita di Amerika Syarikat. Pengundi Amerika Syarikat menolak kemenangan Hillary Clinton kerana sentiment perempuan sedangkan akhirnya sedikit menyesal memilih Donald Trump yang dianggap presiden paling ‘tidak berguna’ dan ‘menyusahkan rakyat Amerika Syarikat’ dengan dasar dan pendekatan populis.

Sepanjang empat tahun dibawah kepimpinan Trump, rakyat Amerika Syarikat mula berhadapan dengan kecelaruan budaya (culture anxiety). Dengan dasar menyekat kemasukan imigran dan ancaman membina tembok di sempadan Mexico, pada awalnya, rancangan Trump itu dianggap tidak munasabah dan menghabiskan wang pembayar cukai. Amerika Syarikat banyak bergantung kepada kaum imigran, terutama dalam beberapa jenis pekerjaan yang tidak sanggup dilakukan oleh rakyat Amerika Syarikat sendiri, misalnya dalam sektor 3D –dirty, dangerous and difficult.

Amerika Syarikat turut berhadapan dengan keperluan pekerja asing di peringkat professional terutama di sektor pembangunan dan penyelidikan teknologi digital. Ini dapat dilihat daripada kebanjiran pekerja imigran daripada pelbagai negara –China, India, Iran, Bangladesh dan negara-negara beka jajahan Soviet—yang menduduki pelbagai posisi (atau kepakaran) di firma teknologi di Lembah Silikon. Sebab itulah California mengancam meninggalkan Amerika Syarikat sekiranya Donald Trump menang PRP 2016.

Bagaimanapun, California tidak meneruskan hasrat tersebut bila Trump mengendorkan ancamannya untuk menghalang kemasukan pekerja-pekerja asing di Lembah Silikon dan menumpukan perang perdagangan dengan China. Sebaliknya, Trump menegaskan mereka yang mempunyai green card tetap dibenarkan bekerja di Amerika Syarikat, dan sekatan kemasukan imigran dihadkan kepada negara-negara tertentu (Iran, Irak, Libya, Somalia, Syria, Sudan dan Yaman).

Trump turut berhadapan dengan ‘kebencian pengundi wanita’ dan keadaan itu makin jelas apabila dianggarkan lebih  60  peratus mengundi Joe Biden. Pemilihan Kamala Haris sebagai gandingannya merupakan strategi ‘pembujukan massa’ yang berkesan, terutama dalam kalangan wanita yang sangat dipandang rendah oleh Donald Trump. Selain pengundi wanita, pengundi Muslim Amerika Syarikat lebih percayakan Biden daripada Trump. Joe Biden diyakini oleh Muslim Amerika Syarikat untuk tidak melakukan perkara yang sama dilakukan oleh Trump terutama berkaitan dengan dasar luarnya terhadap negara-negara Islam. Dua bulan sebelum PRP, Trump sekali lagi menyakitkan hati penduduk Islam dengan perjanjian normalisasi oleh dua buah negara Islam –Bahrain dan UAE—dengan Israel.

Sebelum itu, Mesir (1979) dan Jordan (1994) mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel. Ia dilihat sebagai ‘perlindungan Amerika Syarikat’ terhadap Israel yang semakin jelas dan terbuka kerana mengetepikan proses damai di Timur Tengah secara dua negara –Israel dan Palestin. Amerika Syarikat dengan secara langsung mengiktiraf ‘negara Israel’ yang dibentuk menerusi pengaruhnya selepas Perang Dunia II, apabila memindahkan kedutaan Amerika Syarikat ke Baitul Maqdis dari Tel Aviv. Penyelesaian ‘perebutan Baitul Maqdis’ tidak dilaksanakan secara adil. Atas sikap dan pendirian itu, Trump bukan sahaja dibenci oleh sebahagian besar penganut Islam bahkan dilihat benar-benar berada dalam telunjuk zionis.

Akibat sikap tersebut, Trump turut menamatkan bantuan kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Majlis Keselamatan PBB) kerana badan antarabangsa itu tidak sehaluan dengan dasar White House. Majlis  Keselamatan PBB tidak mengiktiraf Baitul Maqdis sebagai ibu negara Israel dan sebelum itu menerima keanggotan Palestin. Akibat bengang dengan keputusan Majlis Keselamatan PBB, Israel terus melobi Donald Trump agar mengancam atau menghentikan bantuan kewangan, kerana ia bertentangan dengan aspirasi Israel untuk menguasai geopolitik  Timur Tengah.

Hal ini berlaku kerana dari awal lagi Trump menunjukkan kecenderungan menyebelahi Israel di mana setelah empat bulan menduduki White House, ia memulakan lawatan pertamanya ke Israel (22-23 Mei 2017), selepas mengunjungi Riyadh (20-22 Mei 2017) dan ke Bethlehem (23 Mei 2020) bertemu Presiden Pihak Berkuasa Palestin, Mahmud Abas .

Pasca pilihan raya presiden AS, gandingan gandingan Biden-Harris berhadapan dengan cabaran besar untuk menyatukan jurang sosial, politik dan ekonomi yang ditinggalkan oleh Trump. Sepanjang empat tahun Trump berkuasa, langkah penyatuan sosial tidak diberikan tumpuan sebaliknya perasaan terhadap white supremacy dan Islamophobia semakin meningkat. Begitu juga dengan diplomasi antarabangsa, Trump tidak berusaha membina hubungan yang membina dan mesra sebaliknya berlaku ‘perang lisan’ dengan Jerman dan Kanada, selain hubungan tegang dengan China. Ketika mesyuarat G7 di Kanada, Trump enggan menandatangani satu kenyataan bersama dan memperlekehkan Justin Trudeu sebagai “amat tidak jujur dan lemah”.

Tindakan Trump berunding dengan pemimpin Korea Utara turut mendapat kritikan masyarakat antarabangsa. Ini kerana Kim Jong Un telah berjaya meletakkan beberapa syarat sebelum bersetuju berunding, dan pertemuan awal 2020 itu dianggap sebagai langkah ‘membuang masa’. Beberapa pertemuan sebelum ini menemui jalan buntu bagi menamatkan kegilaan Korea Utara melancar dan menguji senjata nuklearnya. Dalam hal itu, Amerika Syarikat turut ditempelak oleh masyarakat dunia apabila Donald Trump mengambil keputusan menarik diri daripada perjanjian nuklear dengan Iran yang dibuat pada tahun 2015.

Hal ini menyebabkan masyarakat kemarahan masyarakat antarabangsa dan sekaligus menampakkan alasan pembabitan Iran untuk memajukan senjata nuklear adalah rekaan Amerika Syarikat semata-mata. Ia seolah-olah memberikan tamparan hebat kepada Obama yang bersungguh-sungguh untuk menekan Iran dengan proses pengayaan uranium dengan bantuan teknologi Rusia. Permusuhan Amerika Syarikat kembali berlaku selepas Ayatullah Khomeini berjaya mengusir Shah Iran daripada terus berkuasa (1979) dan menamatkan kerajaan boneka Amerika Syarikat.

Populisme Trump turut menegangkan Kesatuan Eropah apabila Britain tercemar dengan kaedah politik white supremacy, atas alasan, mobilisasi buruh daripada negara-negara Eropah ke Britain yang menyebabkan rakyat tempatan kehilangan kerja. Kaum imigran dari negara-negara bekas komunis di Eropah boleh memasuki Britain dan diterima bekerja. Hal ini menyebabkan nasionalisme Britain semakin membuak-buak sehingga referendum dengan jelas membuktikan negara itu wajar menamatkan keanggotaannya dalam Kesatuan Eropah. Sesetengah penganalisis melihat tindakan Brexit itu seumpama ‘flu Trump’ atau ‘Trumpisme’.

Kebangkitan gelombang kulit putih di Amerika Syarikat telah memusnahkan nilai-nilai demokrasi yang dilihat sebagai contoh terbaik. Amerika Syarikat dalam tempoh pentadbiran Donald Trump tidak bersifat demokratik bila kehendak dan aspirasinya dicabar. Itulah yang berlaku apabila melancarkan ‘perang perdagangan dengan China’ walhal apa yang sebenarnya berlaku ialah produk Amerika Syarikat semakin kehilangan daya saing di peringkat global. China menguasai hampir kesemua produk, termasuk teknologi digital dan pemotoran. Produk teknologi daripada Amerika Syarikat bukan sahaja terlalu mahal, bahkan dilihat terlalu eksklusif.

Sikap agresif China melabur dan mendapatkan firma-firma penyelidikan yang asalnya monopoli barat menyebabkan Amerika Syarikat mengambil keputusan untuk melaksanakan tindakan menghalangnya, kerana bimbang kedudukannya sebagai kuasa ekonomi utama dunia akan bertukar. Hal yang sama sudah berlaku ke atas Jepun. Setelah memasuki Abad ke-21, China berjaya memotong kedudukan Jepun sebagai kuasa ekonomi kedua terbesar dunia. Dalam jangka kurang 20 tahun lagi, China dijangka mampu menandingi kekuatan ekonomi Amerika Syarikat.

Empat tahun Trump mengeksploitasikan ‘kecelaruan budaya’, retorik populis dan kebangkitan white supremacy, akhirnya Amerika Syarikat terlupa dalam konteks ekonomi keupayaannya semakin mengecil. Momokan-momokan politik yang dibangkitkan menerusi dasar imigran menyebabkan Amerika Syarikat hilang cengkaman ekonominya, yang kemudiannya diambil peluang itu oleh China sehingga produk teknologinya menguasai pasaran antarabangsa. Akhirnya Trump tersedar, maka didakwa bahawa produk teknologi MCA secara tidak langsung digunakan untuk tujuan pengintipan. Sekurang-kurangnya inilah asas larangan Trump ke atas Huawei, yang lebih terkedepan dalam pembangunan teknologi 5G.

Akibat keputusan Trump keluar daripada Perjanjian Perubahan Iklim (2015), Amerika Syarikat turut hilang daripada radar dan dipencilkan oleh sekutu-sekutunya di seluruh dunia. Amerika Syarikat semakin kehilangan pengaruhnya apabila menuduh WHO tidak berlaku adil dalam menangani COVID-19 walaupun ramai pemimpin dunia sedar, helah itu adalah tanda Trump berusaha untuk menuding jari atas kelemahan dasarnya. Itulah sebabnya, dari segi undi popular dan majoriti undi perwakilan berpihak kepada Biden kerana pengundi Amerika Syarikat sudah bosan dengan populisme Trump. Retoriknya memakan diri walaupun masih ramai penyokongnya sanggup keluar berdemonstrasi membantah kemenangan Biden.

Itu adalah perkara biasa dalam politik Amerika Syarikat kerana kemenangan Trump pada tahun 2016 juga disambut dengan demonstrasi dan bantahan. Bahkan, proses permulaan memasuki White House oleh Trump juga diselubungi ‘kemarahan dan kebencian’ penyokong Demokrat. Mungkin keadaan yang sama akan berlaku menjelang hari Biden menerima jawatan sebagai Presiden Amerika Syarikat ke-46, yang mungkin penyokong-penyokong Parti Republikan memenuhi jalan raya tidak menyokong Biden. Inilah wajah buruk demokrasi Amerika Syarikat, tidak menghormati keputusan pengundi sebaliknya, masih tebal nilai-nilai politik taksub dan bias.

Mahanor Saleha

 

 

Translate »