ZAMAN saya dikategorikan ‘remaja’, ada banyak perasaan yang saya simpan. Saya simpan perasaan itu ‘hanya sebagai milik peribadi’, tidak diberitahu kepada sesiapa pun, walaupun kedua orang tuan saya. Ada sebahagian perasaan itu saya tulis, mengikut apa yang saya suka, dan tentunya di dalam diari atau ‘notebook’ (bukan notebook yang difahami oleh anak-anak saya sekarang).

Catatan itu saya jaga dan sorok. Tidak siapa yang tahun, kecuali kalau ada kakak atau adik saya yang ‘menceroboh’nya, termasuklah ‘menceroboh beg sekolah saya.’ Rumah saya, maksud rumah yang menjadi ‘tempat’ kami adik beradik berlindung dan membesar tidaklah kecil, tetapi, lazimnya tidak mempunyai bilik-bilik khusus seperti rumah sekarang.

Rumah sekarang, sekurang-kurangnya ada tiga bilik – satu bilik untuk adik beradik perempuan, satu bilik untuk anak lelaki dan satu bilik lagi, kepunyaan ayah dan ibu. Rumah kami hanya ada dua bilik, yang perempuan tidur di dalam bilik manakala kami ‘lelaki’ tidur di luar atau di ruang tamu. Ruang tamu rumah kami cukup besar. boleh memuatkan lebih 10 orang.

Saya tanya anak-anak saya, perempuan dan lelaki: Apakah ada diari? Jawab mereka selamba, sekarang diari tidak perlu lagi. Diari tidak dapat menyimpan ‘gambar’, cuma boleh simpan tulisan atau lakaran dalam bentuk lukisan.

Memang betul. Sebab itu, menjelang awal tahun, semakin kurang orang membeli diari. Pihak syarikat atau kedai ternama tidak lagi menghadiahkan diari kepada pelanggannya. Pada suatu ketika, saya mempunyai banyak diari yang dihadiahkan oleh rakan-rakan dan syarikat tertentu. Saya tidak menggunakan kesemua diari itu, hanya satu atau dua buah diari sahaja, yang lainnya, saya berikan kepada rakan-rakan lain yang memerlukan. Ada ketikanya, saya tetap simpan diari kosong, kerana semakin hilang ‘semangat menulis’ selepas sibuk dengan urusan rasmi di pejabat, dan jadual harian disimpan oleh ‘pembantu peribadi’.

Pembantu peribadi sentiasa mengingatkan saya, selewat-lewatnya sehari lebih awal walaupun setiap pagi Isnin, dicetak atau di emelkan mengenai pergerakan mingguan. Itu semua sudah lama berlalu, dan sekarang saya tidak lagi ada pembantu peribadi, juga tidak sesibuk seperti sebelumnya.

Saya sudah bersara, tetapi bukan bermakna sentiasa di rumah menunggu mati. Saya sentiasa mencari ruang dan masa untuk melakukan aktiviti yang saya suka, termasuklah ‘menjelajah’ atau ‘melancong dalam negeri’.

Saya cuba teroka keindahan alam, menikmati hari-hari senja dengan membaca buku dan sesekali menulis apa yang ‘saya rasa’, ‘saya fikir’, ‘saya fahami’ untuk dikongsikan, bukan lagi ‘menulis di dalam diari’, hanya untuk ‘rujukan sendiri’. Itulah berbeza, kerana saya turut dipengaruhi oleh media sosial, walaupun tulisan itu sekadar memperoleh beberapa ‘like’ tanpa ada yang sudi ‘share’ dan ‘komen’.

Tidak mengapa. Saya anggap media sosial menjadi ‘diari’, diari yang boleh dibaca oleh sesiapa, bahkan dikongsi oleh sesiapapun, yang kadangkala terasa saya tersangat ‘tolol’ dan ‘sakit hati’. Saya sakit hati apabila ada yang ‘berkongsi’ tetapi enggan menyebut di mana sumber rencana asal itu dan ia seolah-olah milik orang yang ‘meminjam’ secara ‘tidak peduli’. Bukan sekali, hal itu berlaku, bahkan banyak kali.

Saya pernah ‘mengingatkan’ si peminjam, tetapi reaksi yang saya dapati cukup menyakitkan. Bukan sahaja bercakap sombong, malah menyalahkan saya dengan berkata: kalau tak mahu berkongsi, kenapa siarkan di media sosial. Saya pernah memberitahu, bukan saya tidak mahu ada orang lain ‘meminjam’ apa yang saya tulis. Saya hanya mahu ianya dihormati, kerana saya akan bertanggungjawab dengan apa yang saya tulis.

Saya menghabiskan banyak masa, juga perbelanjaan untuk menulis. Ada ketikanya, saya membuat beberapa rujukan, tentunya saya memerlukan buku-buku tulisan orang lain, yang saya hormat pandangan mereka. Saya tidak mengambil pendapat orang lain tanpa ‘menghormati’, saya catatkan di mana pendapat itu saya ambil atau dirujuk.

Itu cara saya hormat pendapat dan hasil pemikiran orang lain, dan jika saya tidak setuju, saya akan bahaskan berdasarkan apa yang saya faham dan asas pengetahuan yang saya pegang. Itu sahaja. Ia dapat memperkembangan tradisi perbincangan secara intelektual, bukan seolah-olah ‘saya yang hasilkan’ walhal ia adalah titik peluh dan keringat orang lain. Sekurang-kurangnya saya jujur kepada pendapat dan hasil pemikiran orang lain. Itu sahaja.

Ia berbeza dengan budaya sekarang. Kalau dahulu kita menyimpan catatan diari daripada diketahui orang lain, kini tidak lagi. Saban hari kita dapat ‘kata-kata’ yang baik-baik dan juga yang menyakitkan hati dalam media sosial. Sayangnya, ada kata-kata itu ‘dibingkaikan’, sayangnya, petikan asal tidak dijelaskan dari siapa. Tanpa kita selidik, atau tidak dapat dikesan oleh indera ingatan kita, kita akan merasakan ia adalah aslinya daripada orang yang menyiarkan. Sebahagiannya, bukan kutipan kata-kata asli miliknya, ia milik orang lain. Dengan cara ‘meminjam’ itu akan kelihatan seperti dialah yang mencetuskannya.

Ia bukan saha dianggap ‘plagiat’ malah kesalahannya sama dengan perbuatan mencuri. Tetapi, untuk membuktikan ‘peminjam’ mencuri, bukan satu perkara mudah. Perlukan eviden yang jelas, termasuk kutipan asal. Kalau dibawa ke muka pengadilan, ia dibicarakan dalam peruntukan undang-undang yang berbeza. Kalau mencuri, ia akan dibicarakan berdasarkan undang-undang jenayah. Tetapi, kalau ‘meminjam’, ia dibicarakan di bawah undang-undang harta intelek.

Bagaimana pula jika ‘ego’ yang dipamerkan di media sosial itu disalahgunakan oleh orang lain. Ya! Maksud saya, jika gambar ‘yang cantik’ itu kemudiannya diambil untuk dijadikan ‘pelaris’ produk tertentu. Orang yang mengambil gambar yang cantik dan ‘gedik’ itu untuk melariskan produknya. Siapa yang untung dan siapa yang rugi. Tentunya, untung adalah mereka yang menjual produk. Tuan punya ‘gambar’ bukan sahaja rugi, bahkan terasa malu kerana dieksploitasikan dengan produk tertentu, termasuk produk untuk lelaki.

Cuba kita perhatikan. Iklan produk untuk lelaki. Gambar siapakah yang banyak digunakan. Gambar lelaki atau gambar ‘cantik’ yang genit dan gebu? Tentunya, gambar ‘cantik, genit dan gebu’ kerana ia boleh meningkatkan libido lelaki untuk percaya produk itu berkesan. Sebahagian produk itu, tidak mengikut piawaian yang dibenarkan: ada steroid mahupun dadah yang seharusnya dibenarkan dengan pengawasan doktor perubatan.

Sebab produk tersebut berselindung di bawah label ‘herba’ ramai yang percaya, herba tidak memberikan apa-apa kesan sampingan. Bahkan, kerana terasa ada jaminan ‘wang dikembalikan’, mudah percaya dan cair dengan pujukan itu, hasilnya, lama kelamaan ia boleh mendatangkan masalah besar kepada kesihatan. Tidak perlu saya sebut dengan ‘cara menuduh’, tetapi, banyak kita dengar, akibat percayakan produk herba, ramai penderita kencing manis enggan mendapat nasihat doktor. Bahkan, ada yang mendakwa, bila mengambil ubat yang disarankan oleh doktor, kencing manis tidak akan hilang, hanya dapat dikawal.

Bila makan ubat ‘kimia’ untuk jangka masa panjang, akan merosakkan buah pinggang. Tetapi, tidak pula dilaporkan, akibat percayakan herba, berapa ramai yang terpaksa ‘potong anggota’ kerana kudis tidak sembuh, ganggrin merebak dan sebagainya. Saya, kadangkala ingin berkata: bila sudah teruk kenapa rujuk kepada hospital. Kenapa tidak merujuk kepada pengeluar herba yang menjanjikan ‘harapan palsu’. Saya tidak menafikan, ada yang sembuh atau penyakitnya berkurangan dengan amalam herba.

Memang, herba adalah sumber perubatan yang bagus. Tetapi, sayangnya, kita hanya cuba mengambil herba itu setelah berpenyakit. Kita tidak menggunakan herba sebagai penawar atau pencegah sebelum penyakit muncul. Saya pernah bertanya, kenapa tidak jadikan ‘bunga betik’ sebagai ulam-ulaman sekali seminggu. Ataupun, makan buah peria katak sebelum dihidapi kencing manis? Tidak sanggup. Tidak tahan. Semuanya pahit.

Kita percaya, yang pahit itulah jadi penawar dan yang manis itu boleh jadi racun.  Dalam kehidupan seharian kita, kita tidak dapat mengelakkan daripada mengambil gula, sedangkan kita tahu gula itu banyak mudaratnya. Dari segi perubatan, WHO (Pertubuhan Kesihatan Sedunia) mengcadangkan seorang dewasa boleh mengambil gula tidak melebihi 25 gram atau 6 sudu the sehari. Tetapi, kita ambil lebih daripada had.

Katakan, kita minum teh atau kopi waktu pagi. Secawan kopi, sekurang-kurangnya dua sudu teh. Waktu tengah hari kita makan nasi bersama lauk-lauknya, termasuk gulai. Dalam gulai, gula turut dimasukkan bagi membangkitkan selera atau menambahkan kemanisannya. Ada juga gula dimasukkan ke dalam sambal, untuk ‘menahan lidah’ dari merasa pedas. Minum petang, kita minum teh tarik (walaupun kurang manis), tetap ada gula. Malam, minum lagi the tarik. Berapa gelas teh tarik setiap hari? Gula-gula itu berkumpul, yang kita makan dan minum dalam seharian. Akhirnya gula itu akan melemahkan proses pengeluaran insulan secara semulajadi, maka ia telah menganggu kehidupan kita. Kita mudah letih, terasa mudah dahaga dan sebagainya.

Kita makan donut, dounut juga ditabur gula. Kita makan kuih keria, juga dengan gula. Bahkan, ada yang makan goring pisang cicah gula. Minum air berkabonit, penuh gula. Jarang di antara kita boleh telan air masak sebaik sahaja bangun tidur dan sebelum tidur. Makan buah-buah sebelum makan nasi. Minum air masak sebelum makan nasi. Kita makan buah-buahan, buah-buahan juga ada gulu, tetapi ia adalah gula semulajadi kecuali kita makan mangga masam dengan pencoleknya. Dalam pencolek, ada gula dan garam.

Garam juga boleh menyebabkan kemudaratan. Kita disarankan mengambil garam sekitar satu suduh the garam sehari. Setiap sudu teh garam, tidak kurang 2,000 miligram Natarium Klorida (NaCl). Akibat mengambil garam berlebihan (dalam makanan yang diawet seperti ikan masin, jeruk, makanan yang diproses agar tahan lama –biskut, jeli, kicap, mee kuning, cili boh, minuman ringan (berkarbonit) dan jem—dan penggunaan sodium (serbuk penaik dan serbuk perisa atau MSG) telah menyebabkan sodium mengumpul dalam tubuh tanpa kita sedar. Ia kemudiannnya akan menyebabkan gangguan kepada pengaliran oksijen, dan menyebabkan saluran darah bermasalah.

Bila aliran oksijen dalam darah bermasalah, ia memberikan tekanan kepada pengaliran darah, boleh menyebabkan hipertensi dan masalah kardiovaskular. Darah tinggi dan kardiovaskular turut menjadi mudah dihidapi oleh kita bila kita meremehkan keperluan bersenam. Bersenam untuk membakar sejumlah kalori yang terdapat dalam badan kita akibat kita makan ‘ikut selera’ dan ada juga orang makan bagi mengatasi ‘tekanan’ atau ‘kebosanan’. Ya! Ketika awal PKP dilaksanakan, setiap hari ada cerita tentang makanan. Ada macam-macam menu tercipta. Betapa kreatifnya manusia mengolah bahan yang ada, yang sebelum PKP tidak banyak digunakan. Semasa PKP, dapur sentiasa berasap.

Menariknya lagi, ada suami mula belajar memasak. Ini kerana si isteri sudah ‘tidak larat’ untuk masak, kerana memasak itu bukan lagi kerja enteng. Ia kerja yang memerlukan daya fikir dan langkah mengadunkan bahan-bahan menjadi sedap, dan seisi keluarga berselera, dan setiap hari menunya mesti berubah. Ada ego yang perlu dijaga, ada juga yang ditonjolkan hasi percubaan itu. Pos mengepos ‘makanan siap’ seumpama berlumba-lumba dalam media sosial, sehingga sebahagian normal baharu yang kita belajar ialah ‘makan, makan, makan dan makan’ di samping kreativiti mencipta resepi dan empati suami terhadap isteri untuk sama membantu, sekurang-kurangnya belajar cara membasuh pinggan atau memegang penyapu dan mengelap lantai.

Anak-anak tetap dengan kisahnya, ada-ada sahaja yang diinginkan dan yang nakal sehingga berselerak ketika makan dan bersepah dengan mainannya. Ia menambahkan pengetahuan orang tua, di sebalik kebosanan, perlu mencipta aktiviti bersama yang lebih menyihatkan. Lupakan gajet beberapa jam, jom kita membaca bersama-sama. Kita baca buku, kita belajar memahami antara satu sama lain agar kita tidak dilihat sebagai “orang dewasa yang tidak akan faham apa-apa pun..” semoga kanak-kanak tidak terasa penat ‘untuk sentiasa dan selamanya menerangkan setiap sesuatu kepada mereka’. Jangan jadi ‘orang dewasa’ yang hanya gila angka atau nombor, biar pun numbor itu apa-apa, hanya catatan di atas kertas.  (Antoine de Saint-Exupery, Putera Cilik, (terjemahan Ezzah Mahmud), Shah Alam: Peanutzin, 2015).

Kita sedar, dalam jadual pemakanan yang dicadangkan, lebih banyak mengambil makanan berserat, bukan makanan yang mengandungi kalestrol tinggi.Kalau kita prihatin kesihatan sendiri, tentunya kita akan makan secara sihat, tidak sampai terlalu kenyang. Kita mungkin terlupa, Nabi Muhammad SAW berpesan, setiap kali kita makan, kita hanya boleh makan sepertiga sahaja bagi memenuhi ruang dalam perut kita. Sepertiga lagi perlu diisikan dengan air, keran air itu membantu proses pencernaan makanan. Sepertiga lagi ialah dibiarkan kosong. Ia menjadi ruang untuk organ dalaman itu memproses makanan.

Ia ibarat kita menggunakan pengisar. Jika kita isikan apa yang hendak kita kisarkan sepenuh-penuhnya, proses pengisaran akan terganggu atau bilah-bilah pengisar bebunyi kuat dan boleh terhenti. Tidak ada ruang untuknya bergerak. Tanpa air, bahan itu tidak menjadi lembut, dan tentunya, bilah-bilah pengisar tidak dapat berfungsi dengan baik, boleh jadi mudah rosak. Begitulah gambaran, apa yang akan berlaku ketika makanan masuk ke dalam perut kita.

Kita juga dinasihatkan untuk ‘makan’ makanan berkhasiat, bukan makan sebagai tabiat sehingga ‘kenyang’. Ular sawa, boleh makan seekor lembu, tetapi selepas memakannya, ia memerlukan beberapa hari untuk menghadamkan keseluruhan lembu itu. Ia bermakna, selepas beberapa hari ular sawa tidak akan makan. Manusia, bukan begitu. Selepas perut terasa sedikit lega, kita makan lagi.

Bahkan, lewat malam pun kita makan lagi. Kita sanggup ke kedai mamak untuk makan lewat malam. Sepatutnya, kita tidak lagi makan waktu malam, kerana, ia memaksa organ dalam badan kita bekerja keras untuk memprosesnya, walaupun kita sedang tidur. Organ dalam badan kita juga perlukan ‘rehat’, itu sahaj hukumnya. Ia begitu mudah, tetapi, kita tidak mudah mengawal makanan dan cara kita makan. Akhirnya, ego kita kepada makanan runtuh dengan sendirinya, setelah kita mula berkata: dah tak boleh makan. Semuanya kena kawal.

Bahkan, menurut Michael Moss, Salt, Sugar, Fat: How the Food Giant Hooked Us (2013), tiga bahan yang kita ambil setiap hari –garam, gula, lelemak-adalah penyebab utama epidemik obesiti yang semakin meningkat dan membimbangkan. Apa tidaknya, pengeluar makanan sentiasa mengekploitasi biologi kanak-kanak seolah-olah makanan segera itu lebih sedap dan berkhasiat daripada masakan ibu sendiri. Sebab itulah kanak-kanak lebih gemar memilih pizza, fun fries, ayam goreng, burger, ayam gunting, hot dog, nugget dan sejenisnya berbanding nasi atau laksa dan laksam.

Semuanya itu menyumbangkan kepada obesiti dalam kalangan kanak-kanak, maka tidak hairanlah kanak-kanak di Malaysia adalah kanak-kanak yang paling gemuk berbanding kanak-kanak sebaya di Asia Tenggara. Kata seorang pakar perubatan di Jabatan Pediatrik, Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Dr Siti Fatimah Hussain, Malaysia dinamakan sebagai sebuah negara yang mempunyai kadar obesiti yang paling tinggi dengan nisbah 1:5. Dengan kata lain, 20 peratus kanak-kanak di Malaysia berhadapan dengan obesiti. (Rujuk: http://www.kk.usm.my/index.php/en/doktor-usm-di-radio/95-doktor-usm-di-radio/1082-obesiti-dalam-kalangan-kanak-kanak-malaysia-meruncing).

WHO turut bimbang kerana 41 juta kanak-kanak dibawah usia lima tahun mempunyai berat badan belebihan di seluruh dunia pada tahun 2016. (rujuk: https://www.utusanborneo.com.my/2019/07/08/obesiti-kanak-kanak-semakin-serius-di-malaysia) Malaysia menduduki tangga ketiga teratas dalam kalangan negara Asia, itu rumusan daripada Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Mobiliti (NHMS) 2015, iaitu 11.8 peratus dibawah  usia  18 tahun ditakrifkan sebagai obesiti.(Rujuk: https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2020/08/613637/peningkatan-obesiti-kanak-kanak-membimbangkan)

Bukan sahaja kanak-kanak berhadapan dengan obesiti, bahkan turut menjangkiti orang dewasa. Malaysia turut mempunyai kadar obesiti yang tertinggi dalam kanak-kanak dan orang dewasa, iaitu 23.7 peratus adalah obesiti (Rujuk: https://www.astroawani.com/gaya-hidup/obesiti-dalam-kalangan-kanakkanak-di-malaysia-membimbangkan-189106).

Dua sebab utama ialah ‘mengambil diet yang tidak seimbang’ dan ‘kurang bersenam’. Sebab yang lain kerana terlalu ‘kuang bergerak’, hanya menghabiskan masa dengan gajet. Sambil bermain dengan gajet, samba mengubah, maka yang dikunyah itu sesuatu yang mudah. Termasuklah ‘super ring’ yang menjadi sindiran PH terlucut kuasa. Syukurlah, selepas PKP, sudah ada peningkatan dalam memilih gaya hidup yang lebih baik, termasuklah aktiviti berbasikal.

Itulah ‘ego’ yang kita tukangkan setiap hari dalam kehidupan kita sendiri. Akibat menukang ‘ego’ dalam keluarga, tanpa kita sedar orang di sekeliling kita makin berhadapan dengan masalah kegemukan. Makin kita ‘ego’ untuk menjaga ‘diari peribadi’, kita ‘muat naik’ dihalaman sosial. Kita sebenarnya semakin menjadi objek ‘manipulasi’ oleh segelintir ‘perompak maya’. Akibat kita mendedahkan diri dengan rasa sunyi akibat tidak berteman, ada yang menghulurkan ‘simpati palsu’, akhinya, sebahagian daripada kita tertipu. Akibat kita cuba menaikkan ‘ego’ di media sosial, kita terlupa tindakan kita itu melampaui nilai moral dan peraturan sosial.

Gambar ‘cantik’ kita dieksploitasi, ada dijadikan ikon iklan ‘ubat kuat lelaki’ bahkan tidak kurang pula disebarkan kepada orang lain sebagai contoh ‘tidak senonoh’nya anak-anak gadis zaman sekarang, janda gersang yang sedang menggatal, dan juga ‘mengaku duda walhal sudah ada isteri lebih seorang’….bla,bla, bla.

Tersiar pula video tik tok “jangan pilih lelaki muda’ sebab lelaki muda tidak ada apa-apa. Pilihlah lelaki tua (walaupun ‘nak mampus’). ”Lelaki tua layan”, sambung perempuan muda betutup aurat tapi kata-katanya ‘tidak beraurat’ (lebih kurang beginilah kenyataanya, yang agak pekat loghat Kelantan), “kita dengan baik’, kalau nak shopping, dia (lelaki tua) ada duit, lelaki muda tak ada apa, ada gotu jah (‘benda itu’ sahaja)….Tak kisahlah, asal boleh ……”

Cakapnya mengalahkan kisah dua wanita yang bergaduh bila mengetahui suaminya berpoligami. Biarpun begitu, manusia sentiasa mempertahankan ‘ego’ sendiri, dan manusia sentiasa menonjolkan egonya seolah-olah terlupa, nilai-nilai moral seperti ‘merendah diri’, ‘sopan dalam percakapan’, ‘sederhana dalam tindakan’, ‘hormati hak orang lain’, ‘jaga diri’ hanya kerana kegilaan menjadi ‘orang yang berpengaruh dan popular’ walaupun di tempat dan situasi yang salah. Kiprahnya juga turut salah dan akhinya, terpaksa melawan ‘ribut Moldave’ ataupun ‘rasa takut’ bila penampilannya secara fizikal di tempat awam menjadi bahan cemuhan’. Berhati-hatilah menguruskan ego, agar ego tidak menaikkan ego orang lain.

 

MONOSIN SOBRI

 

Translate »