Menarik untuk diulas, dibahas dan diperlingkupkan pendapat seorang timbalan menteri. Bukan sekali beliau membuat ‘kenyatan bodoh’, sudah tiga kali. Kali pertama komennya terhadap seorang gadis melayari internet di atas pokok kerana di bawah signalnya tidak ‘memadai’, bagi mencari bahan rujukan memenuhi  keperluan belajar secara dalam talian. Belajar secara dalam talian bukan lagi sebagai pilihan, ia adalah keperluan sejak diisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Veveonah Mosibin, seorang pelajar UMS dari Pitas, Sabah mengambil inisiatif memanjat pokok untuk mendapatkan signal internet yang mencukupi bagi membolehkan dirinya mengambil ujian. Peristiwa tersebut berlaku pada bulan Jun 2020, iaitu masih dalam tempoh PKP di mana para pelajar belum dibolehkan belajar seperti lazimnya, hadir kuliah secara fizikal dan menjawab ujian dalam bilik kuliah. Tanpa memahami apa yang dialami oleh pelajar tersebut, Zahidi Zainul Abidin membuat kenyataan, tindakan itu hanya untuk ‘hiburan dan menambahkan pengikut di youtube’. Alasannya, berdasarkan siasatan, Zahidi menjelaskan, pelajar berkenaan tidak menduduki peperiksaan ketika video itu tular. Akhirnya, setelah dikecam, Zahidi ‘memohon maaf’ dan menjelaskan ‘memperoleh maklumat tidak tepat.”

Sepatutnya beliau menerima perihal tersebut secara proaktif, mencari jalan bagaimana meningkatkan keupayaan internet di kawasan-kawasan bermasalah. Beliau mungkin boleh kembali kepada konsep Kampung Tanpa Wayar, walaupun ia adalah  seumpama ‘gula-gula politik’. Ketika itu (tahun 2011 dan 2012) kerajaan giat melaksanakan projek berkenaan dalam usaha untuk merapatkan jurang digital antara bandar- luar bandar- dan kawasan pedalaman, bukan kawasan terperosok di kaki bukit, hutan rimba, dihimpit antara dua tanah tinggi atau berpaya yang tidak berpenghuni.

Sayangnya, setelah berbelanja besar, Kampong Tanpa Wayar hanya tinggal signage, manakala wayar berselirat akibat tiada penyelenggaraan dan kehabisan peruntukan (atau tamat kontrak). Projek itu ditamatkan sepenuhnya pada 25 Februari 2017, setelah pelbagai masalah berkaitan tidak dapat diselesaikan. Ketika saya ke Long Bedian, Sarawak dalam bulan Jun 2015, khidmat KTW sudah tidak berfungsi dan menurut penduduk tempatan, ia hanya boleh digunakan dalam tempoh beberapa bulan selepas dilancarkan. Saya melihat itulah ‘norma lazim’ yang berlaku, bahkan banyak projek yang bagus akhirnya kandas atau dikuburkan tanpa nisan. Sekolah Bistari (Smart School sebagai salah satu flagship di bawah Multimedia Super Corridor (MSC) yang heboh diperkatakan akhir tahun 1990-an) misalnya, setelah berbelanja besar, tidak lagi kedengaran sejauh manakah ia berjaya dilaksanakan. Agensi yang diharapkan membangun model tersebut juga tidak kedengaran lagi namanya sama ada masih wujud atau sudah tenggelam (TM Smart School Sdn Bhd).

Projek KTW adalah inisiatif Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan ketika itu. KTW dijadualkan pada tahun 2011 melibatkan 3,100 buah kampong di seluruh negara. Akhir tahun 2010, terdapat 12 KTW sebagai pojek rintis dan KTW di Long Bedian kebetulan adalah sangat hampir dengan replica durian raksaksa yang letaknya di hadapan Homestay Nawan Dian. Berdasarkan dokumen tender KTW, Long Bedian termasuk dalam ‘batch 2 cluster 35’. (https://www.mcmc.gov.my/skmmgovmy/files/attachments/RFP_KTW_Phase2_CBA2012_221211_Final.pdf).  KTW turut dibekalkan dengan Komputer 1Malaysia.

Kesukaran itu terus dirasakan oleh para guru untuk menjayakan ‘Pendidikan Abad 21’. Proses pengemaskinian data dan maklumat pelajar secara online sebagai evidence Pembelajaran Berasaskan Sekolah pernah menimbulkan masalah. Bukan sekolah tidak ada pencapaian internet, tetapi kelajuannya lebih teruk daripada kisah perlumbaan kura-kura.

Alasannya, berlaku kesesakan dalam sesuatu masa, maka sebahagiannya menjadi ‘jaga’ untuk memasukkan data pelajar pada waktu malam dan awal pagi. Resah itu kemudiannya dapat dikendurkan. KPM membuat keputusan untuk mengintegrasi dan berkongsi data pelajar dengan keseluruhan bahagian yang ada, tidak lagi perlu dilakukan secara terpisah. Arahan pengumpulan data hendaklah dimaksimumkan kerana guru sudah mendakwa profesyen mereka lebih banyak bersifat pengkeranian berbanding mengajar atau dipanggil P&P –pengajaran dan pembelajaran.

Kisah ‘silap cakap’ kedua ialah bila Zahidi berjanji akan mengusahakan ‘internet percuma di institusi pengajian tinggi’. Sebenarnya, internet percuma di IPT sudah pun ada, sebelum Zahidi dilantik sebagai timbalan menteri. Pada tahun 2008, timbalan menteri pendidikan tinggi, Idris Haron telah mengarahkan semua IPTA menyediakan akses internet tanpa wayar atau wifi percuma, yang disasarkan dapat digunakan sepenuhnya pada tahun 2010. (IPTA dapat WiFi percuma 2010, Malaysiakini 1 Julai 2008).

Selepas dua kisah ‘silap cakap itu’, wakil rakyat yang mewakili Perlis dalam kabinet Perikatan Nasional membuat dakwaan silap lagi. Beliau bercakap berdasarkan ‘rasa hati’ dan ‘ikut sedap cakap’ tanpa data sahih atau kajian yang boleh dipertanggungjawabkan, iaitu ‘ketidakstabilan politik sekarang’ disebabkan rakyat ‘salah memilih’. Ertinya, jika rakyat membuat keputusan mengekalkan BN, rakyat akan dianggap membuat pilihan yang betul. Sebetulnya, kecelaruan politik di Malaysia bukan disebabkan oleh ‘rakyat salah memilih’, ia disebabkan oleh pemimpin politik tidak benar-benar menghargai ‘mandat rakyat’. Banyak contoh dan teladan yang kita boleh semak berdasarkan sejarah politik negara.

Kalau zaman dahulu, kita mungkin menyalahkan kisah perebutan kuasa antara pemimpin. Perebutan kuasa berlaku kerana adanya kepentingan tertentu dan tidak mampu menyelesaikan konflik dalam kalangan keluarga sendiri. Ketika zaman penjajahan, peluang itu digunakan oleh British untuk menggantikan pemimpin yang dilihat boleh memberikan keuntungan dan pengekalan kuasa penjajahan. Setelah merdeka, perebutan kuasa dalam parti politik terus berlaku, sama ada perebutan itu berlaku dalam parti atau antara parti. Keadaan menjadi lebih hebat bila berlakunya pertembungan antara dua parti politik yang berbeza, dan saling ‘bermusuhan’. Pelbagai strategi digunakan termasuklah propaganda dan tindakan membuli ‘mandat rakyat’.

Kita boleh lihat apa yang berlaku selepas PRU 12 (2008). Apabila gabungan parti-parti pembangkang memperoleh sedikit kemenangan (81 kerusi di peringkat Dewan Rakyat dan empat buah negeri –Kedah, Perak, Pulau Pinang dan Selangor—serta PAS kekal di Kelantan), tindakan untuk menjatuhkan ‘pilihan rakyat’, iaitu BN terus digerakkan. Ada cadangan untuk menukarkan kerajaan pada 16 September 2008. Siapakah yang menggerakkan tindakan tersebut sehingga ‘kestabilan politik’ terasa ada gugatannya? Rakyat atau politikus? Bukankah tindakan itu bermula daripada seorang politikus, setelah mendapat ‘kebebasan’ mahu menuntut jawatan perdana menteri kerana merasakan dirinyalah yang ‘paling layak’? Ingatkah kepada frasa-frasa indah dan  bersifat ‘personality cult’: masalah akan selesai jika saya jadi Perdana Menteri; Anugerah Tuhan; Paling layak kerana telah diuji dengan pelbagai ‘kezaliman’; dan sebagainya.

Ingatkah siapakah yang mencipta ‘Langkah Kajang’ sehingga meributkan kepimpinan politik Selangor? Ingatkan kisah ‘pembulian politik’ yang berlaku ketika perhimpunan BERSIH, Gerakan Memansuhkan ISA dan sebagainya. Siapakah yang mencetuskannya? Rakyat biasa atau pemimpin politik yang disokong oleh mereka yang ada kecenderungan untuk diangkat sebagai politikus? Benar, sebahagiannya berasal daripada aktivis pertubuhan bukan kerajaan. Sebahagian daripada mereka kemudiannya terjun ke lapangan politik, kerana berjaya mempromosikan diri setelah beberapa lama berada dalam NGO. Kita boleh saksikan, apa yang mereka lakukan selepas bergelar wakil rakyat dan berada dalam ‘koridor kuasa’? Lantang lagikah suara mereka mempersoalkan ‘nasib rakyat’? Masih kental lagikan ‘semangat juang’ untuk memperbetulkan ‘salah laku’ atau ‘ketimpangan sosial’?

Cuba kita renungkan. Cuba kita perhatikan. Bila berkuasa atau diberikan sedikit kuasa. Mereka bukan sahaja menjadi seronok untuk terus berkuasa dan menggunakan kuasa. Tetapi, setelah ‘terlucut kuasa’ mula ‘berkokok semula’ walaupun ekornya terkeluar ‘angin’ dan ‘najis’. Apakah ketika berkuasa, rakyat dipersalahkan kerana menjadikan situasi politik ‘tidak stabil’? Kita mungkin mempunyai sedikit pengajaran bila BN tewas dan PH mengambil alih kuasa. Ketika ditabdirkan oleh PH, situasi politik menjadi semakin buruk kerana kegagalan pemimpin dalam merencanakan kemaslahatan rakyat. Berlaku politicking dalaman antara parti-parti yang menyertai PH dan bergabung membentuk kerajaan. Ada pemimpin yang berusaha menjadi partinya lebih kuat dan bersifat hegemoni. Akhirnya, mandate rakyat dipersendakan.

Rakyat memberi mandate kerana percayakan janji-janji yang dibuat sebelum pilihan raya. Sekiranya janji-janji itu ditunaikan seperti dijanjikan, rakyat akan melihat pemimpin benar-benar melaksanakan ‘manifesto’ bukan mencari dalih dan helah. Apakah ketika Langkah Sheraton dirancang, ia adalah manifestasi kehendak rakyat? Berapa ramaikah rakyat dibabitkan secara langsung dalam tindakan itu?

Setakat ini belum kedengaran pembabitan rakyat secara meluas. Apa yang kita sedar dan diberitahu ialah sekelompok pemimpin merancang untuk menjatuhkan PH kerana ada ‘kepentingan peribadi’; juga sebagai tindakan ‘memberontak’ terhadap sesuatu. Azmin mempertahankan pendirianya untuk tidak menerima Anwar sebagai perdana menteri. Sebilangan kecil ahli politik pula tidak bersetuju Dr Mahathir mempertahankan kerjasamanya dengan DAP. Dr Mahathi sendiri pula dikatakan menggalakkan pemimpin Bersatu ‘menjarakkan diri daripada DAP’, dan bila hal itu dilakukan, Dr Mahathir memberikan alasan di sebaliknya. Akhirnya, politik Malaysia semakin bercelaru dan rakyat keliru: siapa yang betul dan siapa yang salah, siapa yang jujur dan siapa yang berbohong.

Jika antara pemimpin tidak sehaluan, berbeza kiprah politiknya, ia bukan disebabkan oleh keputusan rakyat memilih politikus untuk memimpin mereka. Rakyat mungkin begitu percaya hipokrasi politikus, yang kadangkala ‘lembut gigi daripada lidah’ sebelum memperoleh kuasa dan ‘menggigit lidah’ bila ada kuasa. Sebab itulah politik Malaysia menjadi sebahagian daripada menu harian sebahagian besar rakyat, kerana ahli politik turut ‘melepaskan bola tanggung’ dan ‘melakukan smash tidak menjadi’. Jarang ada ahli politik bersikap jujur, bercakap dengan bahasa yang ‘tidak menimbulkan konotasi dan perbezaan makna’ dengan rakyat, sebab rakyat sentiasa dijadikan ‘kambing hitam’.

Kepada Zahidi, bolehkah kita bertanya: Apakah dengan bertukarnya kerajaan dan PN mengambil alih kuasa, kestabilan politik sudah dapat dipulihkan? Apakah tidak ada kisah buli membuli dan jatuh menjatuh dalam PN? Apa yang dimaksudkan dengan ‘gencatan politik’ selepas surat Zahid dan disokong oleh Najib menyokong Anwar tular di media sosial? Apakah itu membuktikan dalam PN sendiri tidak ada ‘kestabilan’ dan tentunya, kerana pemimpin yang berusaha melakukan sesuatu demi kuasa, sedangkan rakyat terus mengharapkan kerajaan PN dapat bekerja dan memulihkan situasi ekonomi dan psikologi yang semakin buruk dibaiki oleh PH selama 22 bulan. Kalau dari dalam sudah memperlihatkan ‘seperti enau dalam belukar’ atau ‘seluang menodak baung’, dari kaca mata rakyat, rakyat tetap berkata, alangkah kotornya perjalanan politik semasa.

Bilakah kekotoran itu akan terhapus? Bilakah PRU ke-15 akan diadakan, kerana rakyat sudah bosan dengan tingkah ahli politik dan mereka lebih bersedia memilih calon-calon baharu yang belum dibebankan dengan pelbagai liabiliti, atau bagasinya belum memberat. Politik itu menjadi kotor kerana politikuslah yang mengotorkannya: ada ketikanya tidak membasuh tangan walaupun ada SOP; merasakan diri kebal dan kuat kerana ada kuasa, walaupun virus COVID-19 ada di mana-mana; dan yang paling parah ialah ‘cakap lebih laju daripada otak yang memikirkannya’.

Pesan Khalifah Umar Abdul Aziz mungkin boleh kita jadikan pedoman yang baik dalam mengharungi hidup ini, kerana kita yakin apa pun yang kita lakukan, ada pertimbangan dosa dan pahala. Kita melabur ketika ‘hidup’ dan tentunya kita akan mengharapkan ‘dividen’ nanti, tatkala semuanya diperhitungkan di sana. Oleh itu ‘perbaikilah batin kalian, nescaya Allah akan memperbaiki lahiriah kalian. Perbanyakkanlah mengingat kematian dan bersiap-siaplah sebelum ia datang, kedatangannya merupakan penghapus setiap kenikmatan.”

Sebagai rakyat, saya sentiasa berusaha untuk meningkatkan ‘amar makruf’ dan menjauhi ‘nahi mungkar’. Dan, tentunya, saya juga tidak ingin melihat ada orang lain menyimpang daripada kewajipan itu, meskipun, saya tidak selalunya betul dan benar. Saya ada hak untuk ‘menegur’ atau berpendapat, kerana saya juga terasa kesannya bila politikus membuat silap dan bercakap tanpa alasan yang munasabah dan boleh diterima.  Salah itu ada di mana-mana dan oleh sesiapa sahaja. Dan, adalah ‘tidak salah’ jika ada yang menegur dan memberitahu ‘kita salah’ asalkan ia bukan diada-adakan dengan tujuan ‘yang salah’ dan ‘niat yang salah’.

MONOSIN SOBRI

Translate »