Biarpun Zahid Hamidi telah mengumumkan ‘gencatan politik’, tidak bermakna semua wakil rakyat UMNO yang masih berbaki kembali menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam usahanya untuk meneruskan ‘keyakinan Raja-Raja Melayu’ terhadap kerajaan PN yang masih diberikan pelampong untuk berenang.

Gelora masih berlaku, bahkan pada tengah hari 26 Oktober 2020 telah berlangsung perbincangan khusus oleh pemimpin UMNO dan bersambung dengan Mesyuarat Majlis Tertinggi pada malamnya. Ia memberikan petunjuk bahawa masih ‘belum beres’ lagi, masih ada perkara yang perlu diselesaikan berhubung dengan kerjasama Perikatan Nasional.

Dr Mahathir pula dalam kenyataan pertama selepas titah Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong (YDPA) setelah perundingan dengan Raja-Raja Melayu mengeluarkan pandangan yang boleh mengeruhkan lagi keadaan, seolah-olah parti-parti pembangkang dikenakan tindakan dan tekanan.

Malah, Dr Mahathir mahukan penubuhan Parti Pejuang Tanah Air tidak diluluskan pendaftarannya. Ia seumpama provokasi, Dr Mahathi mencipta sebab baharu untuk menjadikan pentas politik kembali ‘hangat’ dan medan melancarkan serangan baharu terhadap Muhyiddin.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia pula mengungkit semula kisah lama yang mungkin boleh dianggap klasik, kesilapan pengundi memilih Pakatan Harapan. Nampaknya, timbalan menteri dari Perlis itu ‘menutup ruang kelemahan UMNO’ dengan menyalahkan pengundi silap pilih atau sedang menyesal. Memang ada rasa menyesal, tetapi, sepatutnya UMNO sudah bersedia dan siap memperbetulkan kesilapan masa lalunya, maka bolehlah menceritakan harapan masa depan.

UMNO belum pulih dan masih lemah, sebabnya, UMNO masih dipimpin oleh pemimpin yang bermasalah dan belum dapat membersihkan diri sendiri. Masih ramai lagi melihat UMNO ‘kotor’ dan selagi mereka yang dikaitkan dengan kekotoran masih memimpin, keyakinan umum terhadap UMNO tidak akan kembali ke zaman sebelumnya. UMNO tidak akan menjadi lebih kuat seperti sebelumnya, UMNO akan terus dicengkam ‘rasa sakit’ dan ‘ngilu’ sebab sembilu yang tertusuk belum tercabut sepenuhnya.

Ini menjadi kelebihan buat Muhyiddin. Muhyiddin tahu dan memahami apa yang diperkatakan oleh orang ramai, kerana itu Muhyiddin seboleh-bolehnya mahu ‘membunuh UMNO’, cuma cara Muhyiddin jauh berbeza dengan Dr Mahathir. Dr Mahathir berperang secara terbuka dengan UMNO dan pemimpin-pemimpin, sehingga bertekad ‘tiada ruang untuknya kembali besama UMNO.”

Muhyiddin menggunakan pendekatan ‘membunuh dalam diam’, mendekati semula UMNO secara luaran dan bekerjasama secara terpilih. Pendekatan Muhyiddin kemudiannya disedari oleh pemimpin-pemimpin UMNO, maka mulalah pelbagai rasa terkilan di atas kerjasama yang dianggap ‘berat sebelah’ dan bersifat membuli.

UMNO melepaskan rasa kesal bila tidak memperoleh jawatan menteri kanan (kecuali Datuk Ismail Sabri Yaacob), namun, kedudukannya adalah terendah dalam hirarki kekananan. Ismail tidak boleh mempengerusikan Mesyuarat Jemaah Menteri, sebaliknya Azmin Ali dilihat sebagai menteri yang paling kanan. Perspektif tersebut turut membangkitkan rasa marah UMNO walhal UMNO mempunyai bilangan terbesar kerusi dalam komponen Perikatan Nasional.

Tengku Razaleigh dalam kenyataannya mengelak untuk memperkatakan jumlah sokongan wakil rakyat UMNO sama ada kepada Muhyiddin atau Anwar Ibrahim dengan alasan ‘formula matematiknya lemah’. Mungkin Tengku Razeilgh takut disindir sebagaiman Azmin menyindi Anwar dua kali dengan perkiraan matematik tersebut. Ia adalah sesuatu yang boleh dijangka, kerana politik nombor sentiasa berubah, bahkan surat akuan bersumpah (SD) tidak lagi boleh diterima sebagai sesuatu solid dan final.

SD boleh berubah bila-bila masa, sebagaimana berlaku ketika Tujuh Hari Memanjang selepas Langkah Sheraton. Wakil rakyat boleh menarik balik sokongan masing-masing, apabila ada pertikaian atau namanya terdedah dan menjadi ‘bahan ketawa’ orang awam.

Selepasa Raja-Raja Melayu tidak bersetuju  cadangan Jemaah Menteri  bagi melaksanakan darurat, Muhyiddin bukan sahaja dilihat gagal, bahkan menjadi ejekan nakal daripada musuh-musuh politiknya, terutama sebahagian daripada rakan-rakan yang pernah bersama dalam PH. Mereka mahukan Muhyiddin meletakkan jawatan da nada yang mencadangkan Muhyiddin mengotakan untuk mengadakan PRU ‘dalam tempoh terdekat’. Maknanya, pelampong yang disorongkan kepada Muhyiddin tidak boleh bertahan lama dan COVID 19 bukan lagi alasan “mempertahankan diri’.

Ada yang mengemukakan cadangan, tidak sebab PRU tidak boleh diadakan kerana Amerika Syarikat pun melaksanakan Pilihan Raya Presiden walaupun jumlah kes positif telah melebihi 8.7 juta dan kematian 225,000 kes. Jangkitan baharu pada 25 Oktober mencecah hampir 60,000 kes. Pilihan Raya Presiden tetap akan berlangsung pada bulan November, untuk menentukan sama ada Donald Trump berjaya menduduki kerusi tersebut bagi penggal kedua.

Muhyiddin mendapat restu kabinet untuk mencadangkan pelaksanaan darurat kerana kedudukan politiknya begitu goyah. Sekiranya darurat dapat berlangsung, Muhyiddin boleh merangka strateggi untuk memperkukuhkan kedudukannya. Bila darurat dapat dilaksanakan, Muhyiddin tidak akan terganggu dengan kemungkinan Bajet 2021 akan gagal di Dewan Rakyat.

Muhyiddin boleh mencari mana-mana sumber dan membelanjakan wang tanpa perlu mendapat kelulusan Dewan Rakyat, ia boleh berselindung di sebalik penguatkuasaan darurat. Jika darurat diisytiharkan, menteri dalam negeri (katak lompat daripada UMNO masuk Bersatu) akan menjadi watak politik yang berpengaruh, dan akhirnya boleh menguntungkan Bersatu.

Apakah darurat menguntungkan Bersatu? Ia belum tentu. Sekiranya mengambil contoh Indonesia, ketika Suharto meletakkan jawatan, Habibie yang diberikan tanggungjawab sebagai Presiden (interim) tidak mampu melonjakkan semula Golkar. Bahkan, bila diadakan Pemilihan Presiden, Habibie tewas kepada Gus Dur, seorang yang pernah mengalami sepak terajang politik semasa Orde Baru. Ini berlainan dengan Bersatu, Bersatu mempunyai kuasa, namun kuasa itu boleh berubah. Bersatu tidak boleh memaksa UMNO untuk menyokong terus, UMNO juga masih belum pulih daripada defisit keyakinan.

Dengan siapakah Bersatu akan membuka laluan baharu? Kembali bersama PH juga tidak mungkin kerana salah satu sebab mereka sanggup meninggalkan Dr Mahathir adalah menjarakkan dengan DAP. PAS sudah memberikan amaran, mana-mana gabungan yang ada DAP, tidak akan disokong, maka, apakah Anwar bersedia menerima kembali kelompok Azmin yang mengkhianat PKR? Apakah Anwar sanggup berkompromi dengan Bersatu, dan Bersatu sedia menjadikan Anwar Perdana Menteri sekiranya Muhyiddin benar-benar ‘malu’ dan meletakkan jawatan?

Dalam situasi sekarang, Muhyiddin benar-benar tersepit. Dengan UMNO, Muhyiddin dihimpit agar menghormati jumlah kerusi terbesar. Dengan PKR, Muhyiddin boleh ‘kencing tak lawas’ sebab Anwar hanya akan pertimbangkan sekiranya dia adalah calon Perdana Menteri.

Anwar tidak mahu jawatan Timbalan Perdana Menteri. Anwar tidak mahu terus menjadi PM menanti. Anwar sudah perit dengan apa yang pernah dialaminya, walaupun memberikan keyakinan penuh kepada Dr Mahathir untuk menentukan bilakah masa terbaik proses peralihan kuasa. Akhirnya, Anwar ‘tak keruan’ dengan tingkah politik Dr Mahathir.

Seandainya Muhyiddin meletakkan jawatan, siapakah yang akan membawa obor Bersatu? Apakah Hamzah Zainudin boleh diterima? Apakah Azmin Ali boleh bersetuju? Semakin banyak persoalan dan percaturan yang akan berlaku, kerana sebahagian parti-parti politik umpama ‘buih’.

Parti-parti itu hidup dan bernafas dalam keadaan tertentu, dan bila rakyat mula sedar ‘ditipu oleh permainan kuasa’, rakyat mula buka mata, banyak yang tidak boleh dipercayai, selagi enjin-enjin yang menggerakkannya masih ‘enjin lama’ dan menghamburkan ‘bunyi bising’ tanpa seimbang dengan kelajuan yang diharapkan.

Sekiranya Muhyiddin tidak meletakkan jawatan dan menggunakan keputusan YDPA ke atas kerajaan pimpinannya, apakah kebimbangan terhadap Bajet 2021 akan berakhir? Ada cadangan agar mewujudkan ‘gentlement agrement’ dengan kesemua parti. Kerjasama itu akan membolehkan Bajet 2021 diluluskan di Dewan Rakyat, dan ia memberikan sedikit kelegaan politik sementara menanti ‘resah’ PRU ke-15.

Penyelesaian wabak COVID-19, mencergaskan semula ekonomi dan bekerja lebih kuat akan membantu Muhyiddin yang sedikit tercemar dengan cerita ‘golf tournment’ berbanding berbincang mengekang wabak penyakit itu di peringkat awal. Muhyiddin juga perlu belajar untuk lebih tersenyum daripada mengetap bibir, kerana senyuman itu boleh ‘menyelamatkan kemarahan’ dan meredakan resah, juga menjadikan rakyat terasa mesra dengan ‘abah’.

Politik Malaysia, walau apa pun jenama parti, masih terus memperalatkan ‘kesenduan rakyat’ dengan kemiskinan dan kemajuan tidak seimbang dengan janji ‘memperbaiki nasib rakyat’ walhal yang meningkat ialah ‘kekayaan peribadi ahli politik’ dan kemegahan diri. Benarlah kata ilmuan teori politik Islam, politik tanpa iman akan menghancurkan masyarakat, jika iman diperdagangkan, rosaklah negara. Iman dan politik berpisah tiada, kerana iman itulah yang memandu dan membuka jalan kepada kemaslahatan ummah, bukan menimbun kekayaan peribadi.

 

MONOSIN SOBRI

Translate »