Hantu memang ada dalam ‘politik’. Sebab adanya hantu dalam politik, maka setiap sisi politik boleh dikatakan berhantu. Orang akan membicarakan politik di mana-mana: dari kedai kopi (parlimen rakyat), di bawah pokok ketapang (sidang DUN Perak), ataupun di majlis santai ketika bertemu sama-sama penggemar politik.Ada yang bercakap mengenai teori, pendapat itu dan ini, tidak kurang juga memperkatakan perihal wakil rakyat yang bukan berkhidmat untuk rakyat, tapi lompat melompat seumpama ulat beluncas bila terkena cuaca panas.

Memang politik sangat berhantu. Masakan tidaknya, ada yang sanggup melupakan nimat tidur malam kerana bersembang perihal politik. Ada juga yang tergiur-giurkan untuk masuk politik. Sebabnya, mudah, Politik bukan sahaja menjadikan seseorang itu berkuasa (kalau dilantik sebagai Menteri, Timbalan Menteri, Pengerusi GLC dan GLiC) dan paling utama ialah politik bakal menjadikan seseorang itu kaya, selepas ada kuasa. Sebab itulah setiausaha politik pun cergas mencari idea bagaimana nak bahagikan projek atau melantik proksi untuk dapat projek dan habuan tertentu.

Belum pun sampai dua tahun (dipinggir kuasa), ada setiausaha politik didakwa terbabit penggubahan wang haram bernilai RM 6.35 juta. Ada juga lantikan politik, di pejabat menteri mula mengintai projek dan melobi agar anugerah dibuat secara rundingan terus atau kelulusan istimewa. Lebih berani lagi, ada pegawai lantikan menteri mengintai kalau-kalau boleh dibengkokkan syarat, membuat pecahan kecil atau pembelian terus tanpa kontrak, hanya cukup dengan sebut harga walaupun syarikat berkenaan tidak mendaftar sebagai pembekal dengan Kementerian Kewangan.

Kalau dahulu, kerajaan lama dikritik adanya perundingan terus. Perundingan terus punca ‘ketidakadilan’ dan rasuah, maka dalam kerajaan baharu juga tetap berlaku. Cuma, sebab masih belum lama memerintah, ia tidak banyak terbongkar dan diketahui umum. Tapi, akhirnya tetap meletup. Ada kes dan ada salah laku.

Kerajaan lama, yang memerintah lebih enam dekad akhirnya jatuh. Tiada siapa sangka, ia boleh jatuh hanya atas sumbangan persepsi awam yang menggetarkan dan penuh bias kognitif. Ya! Cognitive bias. Apa itu bias kognitif? Persepi telah menyebabkan ramai yang percaya, tokoh-tokoh yang sedang berkuasa memang ‘berhantu’. Tokoh-tokoh yang memerintah dilihat seperti pelesit lapar. Setiap hari ada sahaja idea baharu, kerana idea itu akhirnya melahirkan projek dan setiap projek yang diluluskan, ada wang diperuntukkan. Kalau tidak ada dalam peruntukan tahunan, boleh buat permohonan atau kelulusan khas. Boleh juga tangguhkan projek sebelumnya (yang masih belum dilaksanakan), kerana projek baharu dilihat lebih segera dan perlu. Pusingan itu berpusing-pusing setiap masa, umpama gasing.

Pelesit bukan sahaja menganggu waktu senja, menjelang fajar bahkan ketika malam. Secara lazimnya, pelesit suka makan telur, maka untuk menghalau pelesit, tabib atau pawing atau bomoh akan menggunakan telur. Telur akan dijampi, maka di situlah bomoh akan menggunakan kepakaran manipulasi ketakutan dengan menceritakan ada objek sedang bergerak di dalam atau di persekitaran telur yang dijampi, maka telur itu tidak lagi boleh dimakan dan perlu dibuang di dalam hutan.

Lain pula apa yang diulas oleh bekas seorang menteri dari UMNO. Ketika mengulas kemungkinan Anwar Ibrahim menjalin kerjasama untuk menumbangkan Kerajaan Perikatan Nasional yang turut disertai DAP, Ahmad Shabery Chek menyifatkan kerjasama itu seumpama Raja Bersiong.

Menurut Sgabery, ketika penganalisis tidak menolak kemungkinan DAP akan mengabaikan rungutan lama dan bekerjasama dengan wakil rakyat UMNO dan menjayakan rancangan Anwar, “Dah mulai rasa kuasa memang nak rasa lagi. Macam Raja Bersiong.” Siapakah Raja Bersiong? Raja Bersiong hadir dalam sastera rakyat Malaysia.

Raja Bersiong (Raja Ong Maha Perita Deriaadalah raja keempat kerajaan Merong Mahawangsa, iaitu kerajaan tua Kedah tua dalam oleh Empayar Srivijaya di Lembah Bujang (Sungai Petani dan Kuala Muda, Kedah). Seorang bekas menteri kabinet Malaysia Baru,  pernah mendakwa hasil penemuan artifek itu menyimpulkan bahawa orang India dan agama Hindu adalah penduduk terawal di Tanah Melayu. Bagaimanapun, M Kulasegaran akhirnya ‘menarik balik dakwaan tersebut’ dan memohon maaf setelah dikecam hebat. Kulasegaran juga boleh dianggap telah terkena ‘semangat Raja Bersiong’. Kerana apa yang diucapkan itu ketika dirinya berada dalam kelompok politikus berkuasa, ada pengaruh dan tujuannya untuk mempertahankan semangat “keindianan”; kempen politik membabitkan sebilangan kecil pengundi keturunan India.

Secara tidak sengaja, Raja Bersiong yang termakan gulai bayam yang mengandungi darah manusia. Si tukang masak yang sentiasa angau, berusaha menyembunyikan kerana kesuntukan masa menyediakan juadah sebelum baginda pulang berburu. Baginda merasakan masakan luar biasa enaknya, maka ditanyakanlah kepada tukang masak. Dijawab, dalam masakan itu ada titisan darah yang tidak sengaja, terpotong jari sendiri ketika memotong bayam. Akhirnya, Raja Bersiong memutuskan, setiap hari perlu dimasak gulai bayam yang dicampur dengan darah. Raja menjadi kemaruk dan ketagih darah.

Ahmad Shabery  membuat analosi. Kuasa yang adalah seumpama ‘darah’. Maka, seseorang yang pernah ada kuasa, akan tetap mahukan kuasa, termasuklah mereka yang berkuasa dalam tempoh yang singkat. Kuasa adalah kemuncak berpolitik maka demi, kata Ahmad Shabery, “DAP sanggup melupakan permusuhan dan sengketanya dengan UMNO, hanya kerana mula merasai ada nikmatnya bila berkuasa” (Free Malaysia Today, 11 Oktober 2020).

Ketika dalam kerajaan PH, menteri-menteri daripada DAP hampir berjaya mengubah lanskap politik Malaysia, menterjemahkan semula Malaysian Malaysia yang ditentang hebat oleh UMNO dan orang Melayu. Sekurang-kurangnya, UMNO masih kekal melihat slogan itu ‘merugikan orang Melayu’, pemimpin-pemimpin Melayu dalam PH semakin bersedia melaksanakannya menerusi doktrin Malaysia Baharu.

Apabila Lim Guan Eng dilantik sebagai Menteri Kewangan, beliau menyatakan semula formula mengurangkan beban kerajaan dengan cadangan perkecilkan saiz penjawat awam, menghapuskan skim pencen dan meuarkan-uarkan negara tiada wang, kerana telah dicuri oleh kerajaan sebelumnya. Rakyat diwartakan ‘jangan mengharapkan bantuan kerajaan’ kerana kerajaan bertungkus lumus untuk membayar hutang.

Kisah mengurangkan beban perbelanjaan kerajaan bukan baharu, bahkan sudah digagaskan oleh Dr Mahathir semasa negara berada dalam kemelut ekonomi tahun 1987/1988. Lantaran itu, awal 1990-an, Dr Mahathir memperkenalkan dasar penswastaan dan persyarikatan Malaysia. Alasannya, bila entiti kerajaan diswastakan, pengurusannya menjadi lebih cekap dan menjadikan ia mencetak untung. Kerajaan juga untung, dapat hasil cukai: cukai keuntungan syarikat, cukai pendapatan individu (kakitangan) dan cukai korporat selain cukai jualan dan eksais.  Tidak semua penswataan berjaya. Dr Mahathir berusaha menyalamatkan syarikat-syarikat yang gagal, dengan menyuntik dana atau ‘bail-out’.

Antaranya, MISC (Syarikat Perkapalan Antarabangsa Malaysia yang diterajui oleh Mirzan Mahathir), MAS (Syarikat Penerbangan Malaysia, yang dimiliki oleh Tajudin Ramli), Renong Berhad (yang diterajui oleh Halim Saad, proksi Tun Daim Zainudin menerusi Untied Engineers Malaysia), meminta LUTH (kini TH) membeli dua bangunan dengan harga berganda (Menara TH di Jalan Sultan Ismail dan TH Selborn, di Jalan Tun Razak), Indah Water Konsortium (awalnya dimiliki oleh jutawan Sport Toto, Vincent Tan), dan ERL (oleh YTL Groups) di samping kontorversi penguasaan Pengeluar Tenaga Bebas (IPP) kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) sebagaimana didedahkan oleh Tan Sri Ani Arope dalam memoirnya, Memoirs of Tan Sri Ani Arope (2013).

Itu adalah contoh bagaimana Dr Mahathir menggunakan ‘kuasa’ untuk menyelamatkan kroni. Alasannya, tidak mahu syarikat-syarikat berkenaan dijual kepada pelabur asing atau gulong tikar. Ia boleh menyebabkan pekerja hilang pekerjaan, atau dibuang oleh pemilik baharu. Berselindung di sebalik ‘patriotik” akhirnya banyak wang Petronas, Lembaga Urusan Tabung Haji (LUTH) digunakan secara paksa. Proton setiap tahun dilindungi dan dibantu, tetapi akhirnya kecundang dengan model kereta ‘buruk’ dan kalah dengan Perodua.

Proton bukan menghasilkan kereta sendiri, hanya memasang kenderaan jenama luar dengan jenama tempatan Saga (rebadge Mitsubishi Tredia),  Perdana 1.0 (rebadge Mitsubishi Eterna), Perdana 2.0 (rebadge Mitsubishi Lancer Evo),  Perdana 3.0 (rebadge Honda Accord), Savvy (dengan Renault), dan Ertiga (dengan Suzuki). Percubaan Proton untuk membangunkan enjin sendiri dengan kepakaran Lotus (UK) bagaimanapun tidak mencapai kejayaan besar. Model-model keluarannya, Satria Neo, Gen 2, Juara, Pesona (sebelum rebadge oleh pemilik baharu Geely), Subprima. Iriz dan Preve tidak mendapat pasaran. Sebaliknya,  Perodua yang lebih berada dihadapan walaupun mengkhususkan kereta-kereta berkapasiti kecil (rebadge kereta keluaran Daihatsu). Pasaran kenderaan semakin terbuka, dan rakyat mempunyai banyak pilihan apabila  diperbanykkan permit import (kereta terpakai) dan kemasukan jenama-jemana yang lain.

Pemilikan saham Proton oleh Geely turut dikecam oleh Dr Mahathir dan dijadikan salah satu bahan kempen sebelum PRU ke-14. Apabila Dr Mahathir kembali berkuasa, menerusi gabungan Pakatan Harapan, sikapnya terhadap penguasaan Geely ke atas Proton berubah. Dr Mahathir melancarkan X70 secara rasmi di KLCC  pada 12 Disember 2018.  Sayangnya, untuk melancarkan Proton X50, Dr Mahathir tidak lagi berkesempatan, sudah melucutkan kuasa pada 24 Februari 2020.

Masakan kegemaran Raja Bersiong ialah gulai sayur bayam. Kegilaan Dr Mahathir ialah membina sebuah lagi entiti kereta tempatan (syukur tidak menjadi kenyataan). Kalau Raja Bersiong ketagih gulai bayam dicampur darah, Dr Mahathir pula gemar menyalah orang lain, dirinya sahaja yang betul. Dalam psikologi, orang yang cenderung begitu dipanggil narsistik. Sebab itulah Dr Mahathir akan bidas sesiapa sahaja yang tidak sehaluan dengan kemahuan politiknya. Cuma, Dr Mahathir tidak sampai pada tahap “membunuh banduan untuk diambil darahnya”. Tapi Dr Mahathir akan tetap berpolitik sampai berulangkali berkata, saya lakukan kerana ada orang yang mahukan saya kembali atau jadi Perdana Menteri.

Raja Bersioang tidak dapat ‘hidup’ tanpa memakan gulai bayam. Mahathir tidak dapat hidup tanpa menyalahkan orang lain, bahkan menyatakan pula sikap tertentu yang menggambarkan seseorang itu gelojoh, tidak layak dan sebagainya.  Jika Raja Bersioang melarikan diri kerana didesak oleh rakyatnya sendiri, maka Dr Mahathir sebenarnya sudah tersingkir daripada parti yang memberikannya peluang sebagai PM ke-7 selama 22 bulan.

Untuk kembali menyertai UMNO, Dr Mahathir ibarat ‘bertongkat paruh, berkerat rotan’, walaupun UMNO pernah menaikkan namanya sebagai Perdana Menteri ke-4 selama 22 tahun. Dr Mahathir sebenarnya ditolak oleh penyokong-penyokong, sama dengan Raja Bersiong yang tidak disokong oleh pengawal dan askar-askar selepas kematian adik seorang menteri kanan dibunuh menerusi perintah baginda. Kali ini, penyokong Anwar tetap tidak mahukan Dr Mahathir, sebab dua kali Dr Mahathir mengecewakan Anwar. Kali pertama (1998), mereka boleh ‘memaafkan’ tetapi kali kedua, tiada lagi maaf bagimu. Galah Dr Mahathir ‘tidak cukup panjang’ (mungkin setinggi Dr Mazlee) tetapi jika disambung boleh kaitkan ‘buah yang tinggi’. Semuanya tidak menjadi, akhirnya, Anwar mengadap YDPA untuk mempersembahkan ‘sokongan majoriti’ lebih 120 sokongan (cukup kuat untuk menjatuhkan ‘Abah’ Muhyiddin).

Tahun 2008, semangat Anwar kembali dengan slogan Road to Putrajaya (selepas menang, Dr Wan Azizah Wan Ismail mengosongkan kerusi itu) dengan menetapkan sasaran pada 16 September 2008. Road to Putrajaya gagal,  tidak ada wakil rakyat BN ‘sanggup menyeberang’ biarpun Tien Chua dan Saifudin Nasution Ismail memburu mereka hingga ke Taiwan.  April 2009, Tun Abdullah menyerahkan kuasa kepada Najib, maka bersilatlah Anwar dengan pelbagai andaian dan dakwaan buruk.

Sehari selepas Najib dilantik sebagai PM ke-6, Dr Mahathir kembali menyertai UMNO. Ia melengkapkan tiga kali Dr Mahathir dan Dr Siti Hasmah keluar-masuk UMNO:  (1) Dipecat 1969 dipecat oleh Tunku Abdul Rahman dan dibawa masuk oleh Datuk Harun Idris pada 1973; (2)  Pada 19 Mei 2008, mengisytiharkan keluar UMNO dan menyertai semula UMNO sehari selepas Najib dilantik; dan (3) Dr Mahathir bersama isterinya,  keluar UMNO pada Jun 2016 dan 2017, menubuhkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia). Dipecat sebagai ahli PPBM pada 28 Mei 2020 dan menamakan parti baharu sebagai Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) pada 12 Ogos 2020).

Ramai juga yang mempertikaikan mengenai kemunculan parti Pejuang. Ia bukan atas perjuangan politik Melayu-Islam, tetapi untuk mendapat platform bagi meneruskan hasrat besarnya, menjamin kedudukan Mukhriz dan kroninya tetap bernafas dalam lanskap politik Malaysia, yang dilihat seumpama hantu berkeliaran untuk menjatuhkan kerajaan PN.

Selepas kekalahan Warisan Plus di dalam PRN Sabah, Dr Mahathir dilihat mula mencari ‘kambing hitam’ baharu untuk menghidupkan aura politiknya, termasuk mendakwa “Anwar gila-gila nak jadi Perdana Menteri”;  mencalonkan Shafie Afdal sebagai calon PM dengan Mukhriz sebagai TPM II dan Anwar TPM 1; menghidupkan ‘undi tidak percaya’ kepada Muhyiddin; kekal tidak ‘percayakan Anwar’; dan terus menerus memecahbelahkan politik Melayu. Dr Mahathir kini dilihat sebagai ‘tokoh besar dalam pecahbelah politik Melayu-Islam’ walaupun pada suatu ketika menuduh PAS.

Nampaknya, Dr Mahathir seperti perilaku Raja Bersiong (kebetulan Dr Mahathir berasal dari Kedah), kerana sentiasa mencari jalan untuk berkuasa –Raja Bersiong makan masakan bercampur darah—dan itulah analogi kuasa dan darah dalam politik.  Biarpun Ahmad Shabery Cheek melihat ‘DAP’ seumpama ‘Raja Bersiong’ saya masih meletakkan Dr Mahathir mirip dengan karakter dan legenda Raja Bersiong. Ia tetap menghantui politik Malaysia, walaupun Anwar turut menyemarakkan politik angka dan mengepakkan sayap umpama ‘butterfly effect’ (memang beliau cukup handal dan diulas dengan baik oleh Muthurasan, Strategi Kemenangan Anwar Ibrahim, 2008). Setakat ini, kepakan sayap ‘kupu-kupu’ Anwar belum mampu melawan angin yang muncul akibat kepakan itu, tanpa diduga arus angin semacam tornado menyebabkan kupu-kupu bergegas mencari perlindungan.

Kamarun KH

 

Translate »